Thursday, August 3, 2017

YPU ANJUR KONVESYEN USAHAWAN MELAYU PADA 13 OGOS INI

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Konvensyen Usahawan Melayu yang akan berlangsung di sini pada 13 Ogos depan akan memberi tumpuan kepada usaha mendedahkan golongan itu tentang peluang dalam model ekonomi baru dan kebolehan golongan itu mencipta pasaran sendiri tanpa bergantung kepada bantuan agensi kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu Dr Tengku Khairi Tengku A Rahman berkata konvensyen anjuran yayasan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Negeri Terengganu dan MARA Negeri itu dijangka dapat memberi pendedahan tentang peluang ekonomi khususnya menjelang 2018 dan mengumpul maklum balas keperluan strategi usahawan Melayu mendepani cabaran masa depan.

Katanya tema konvensyen "Mendepani Cabaran Ekonomi Masa Kini" selaras dengan cabaran model pertumbuhan ekonomi masa depan yang dilihat berpaksi kepada ekonomi digital dan peranan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai enjin perkembangan ekonomi negara.
"Konvensyen Usahawan Melayu membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi tapak peserta bertukar idea dan rangkaian hubungan melalui enam sesi yang menampilkan tokoh hebat dalam industri.

"Enam sesi tersebut merangkumi pelbagai bidang yang akan dikupas iaitu impak pembangunan infrastruktur Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur kepada usahawan," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi mengendalikan enam sesi perkongsian maklumat pada konvensyen tersebut, antara tokoh dan profesional yang akan terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Dr Hafsah Hashim; Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Mohd Radzi, Pengarah Eksekutif Unit Transformasi Ekonomi Terengganu, Datuk Wan Mohd Albakri Wan Md Nor, wakil Celcom Axiata dan wakil Huawei Technologies.

"Adalah menjadi harapan YPU selaku penganjur bersama dengan DPPMNT dan MARA agar konvensyen yang diadakan mampu mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap kemajuan pembangunan usahawan Melayu.

Konvensyen Usahawan Melayu ini menyasarkan 200 penyertaan dengan yuran pendaftaran hanya RM50.

Justeru, usahawan yang berminat boleh menghubungi YPU di talian 09-6242424 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

No comments:

Post a Comment