Wednesday, August 9, 2017

15 PELAJAR DIREMAN TERBABIT KES BULI DUA PELAJAR



KUALA TERENGGANU: Seramai 15 pelajar sebuah kolej di Kuala Nerus, direman empat hari selepas dipercayai terbabit dalam kes buli dua pelajar junior, pagi semalam.




Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Roszita Md Saad, bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dijalankan terhadap mereka.



Semua suspek berusia 16 tahun dan 17 tahun ditahan pada kira-kira jam 8 malam, semalam selepas pihak polis memanggil penjaga menyerahkan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.



Media sebelum ini melaporkan, dua pelajar vokasional jurusan Teknologi Elektronik di Kuala Nerus cedera, dipercayai akibat dibelasah kira-kira 20 pelajar senior di asrama mereka, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.



Berikutan itu, seorang daripada pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, Ahmad Zikrill Azim, 16, yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan dua kali pengsan, manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.



Ahmad Zikrill terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila pengsan selepas disoal siasat polis berhubung kes terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.



Keluarga mangsa membuat laporan di IPD Kuala Terengganu kira-kira jam 3.30 petang semalam.

No comments:

Post a Comment