Saturday, August 26, 2017

KERAJAAN SENTIASA CAKNA GOLONGAN PESARA




OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN



Nampaknya kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Hari Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017, bahawa golongan bersara tidak seharusnya “menggigit tangan kepada yang memberi makan” telah menarik perhatian ramai.

Bahkan kenyataan ini telah dijadikan isu oleh beberapa individu tertentu yang ingin mengambil kesempatan ,kononnya apa yang ditegaskan oleh Zahid Hamidi itu sebagai sesuatu yang tidak patut dinyatakan. Ada yang menganggap golongan pesara tidak ada hutang dengan kerajaan dan tidak perlu untuk terus setia bersama dengan kerajaan.

Namun adakah mereka ini faham akan apa yang cuba dinyatakan oleh Zahid Hamidi atau sekadar memberikan satu intepretasi kepada satu perumpamaan .

Dalam hal ini, Zahid mengaku bahawa pasti ada sesuatu isu atau perkara yang tidak dipersetujui oleh golongan pesara ini , Namun ,tidaklah perlu untuk golongan ini “menggigit tangan” bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Apa yang sebenarnya dimaksudkan ialah gunakanlah saluran yang betul dan berikanlah kritik atau tegurlah dengan cara yang berhemah dan bukannya mengikut nafsu dan perasaan untuk terus “menggigit tangan”. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan.

Memandangkan jasa yang telah diberikan, pastinya golongan pesara kerajaan akan sentiasa dihormati oleh generasi hari . Itu sebabnya apa yang dilakukan oleh mereka boleh dicontohi oleh generasi hari ini dan adalah penting bagi golongan pesara mengamalkan adab dan tatasusila yang betul dalam melontarkan perbezaan pendapat masing-masing walaupun golongan ini tidak lagi berada dalam organisasi kerajaan.

Dalam ucapannya, Zahid Hamidi juga telah menyentuh dan menegaskan bahawa golongan pesara kerajaan masih merupakan aset terpenting kepada kerajaan dan negara serta tidak pernah dianggap sebagai satu liabiliti. Itu sebabnya kerajaan sentiasa mengambil berat dan prihatin tentang kebajikan golongan pesara ini.

Adalah difahamkan bahawa Jumlah pesara kerajaan dijangka meningkat daripada 775,000 orang pada tahun 2016 kepada 1.5 juta pada tahun 2050 seiring dengan peningkatan jangka hayat penduduk iaitu daripada 75 tahun kepada 85 tahun ,dalam tempoh tersebut. Arah aliran itu turut dijangka akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk pesara daripada RM20.35 bilion pada tahun 2016 kepada RM100 bilion pada tahun 2050.

Ini merupakan satu komitmen dari pihak kerajaan yang tidak boleh dinafikan lagi dan membuktikan bahawa sistem pencen di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia . Itulah sebabnya janganlah terkejut jika masih ramai yang ingin menjadi penjawat awam.

Pengalaman yang diperolehi oleh golongan pesara semasa berkhidmat merupakan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.Bahkan golongan ini masih digalakkan untuk terus menyalurkan idea dan pandangan terhadap sesuatu perkara khasnya yang berhubung dengan pembangunan negara kita.

Mungkin ada di antara kita yang lupa, tetapi pada tahun 2015 , telah berlakunya satu pertemuan lapan pemimpin Yayasan Pesara Kerajaan dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan hala tuju pesara kerajaan selain melihat kepada peranan mereka untuk membantu kerajaan menghadapi cabaran masa depan.

Usaha ini membuktikan bahawa pihak kerajaan sentiasa menghargai dan masih mengharapkan golongan pesara terus memberikan sumbangan kepada pembangunan negara, khansya ketika negara kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran bagi menjayakan Transformasi Nasional 2050.

Sebagaimana yang dinyatakan, kerajaan sejak dari dahulu lagi telah mengambil berat akan kebajikan para pesara kerajaan.Antara usaha yang telah dilakukan ialah menubuhkan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia, iaitu sebuah yayasan yang memperjuangkan kebajikan dan kepentingan para pesara kerajaan.



Yayasan ini merupakan sebuah pertubuhan yang menjadi perantara antara pesara dan kerajaan bagi membincangkan tentang kesejahteraan para pesara. Dan saya yakin ini bukanlah usaha terakhir oleh pihak kerajaan hari ini untuk terus memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada golongan pesara ini.

No comments:

Post a Comment