Saturday, June 30, 2018

PERWAKILAN KEMAMAN TAK BERANI BUAT PERUBAHAN




KEMAMAN: Bekas MB (2014-2018) Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman gagal mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus. Beliau tewas 43 undi kepada naib ketua bahagian, Apli Yusof.

Apli dapat 465 undi manakala Razif dapat 422 undi. Tetapi lain pula di Kemaman, bekas MB (2008-2014), Datuk Seri Ahmad Said gagal ditumbangkan Mat Dalam Awang.

Ahmad Said dapat 570 undi manakala Mat Dalam dapat 126 undi. Ahmad Said mendapat 81 peratus undi daripada para perwakilan sedangkan Mat Dalam mendapat 19 peratus undi.

Ini adalah kali kedua Mat Dalam mencabar Ahmad Said yang juga ADUN Kijal. Pada tahun 2013, beliau yang bergerak solo mendapat 41 undi. Ini bermakna prestasinya meningkat tiga kali ganda bila berakit dalam "Kemaman Berubah" dengan 126 undi.

Mat Dalam tidak kuat kerana majoriti perwakilan adalah orang Ahmad Said. Jika bekas Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Mohd Rahim Husin menentang Ahmad Said mungkin keputusan pertandingan lebih sengit.

Ramai perwakilan berkata jika Datuk Seri Rahim yang tanding, mereka tidak undi Ahmad Said.

Begitu juga jika timbalan ketua bahagian, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menentang Ahmad Said maka beliau akan beri saingan yang hebat kepada Ahmad Said. Tapi beliau yang kalah kerusi parlimen pada PRU lalu melepaskan jawatan timbalan dan bertanding ahli jawatankuasa bahagian sahaja dengan mendapat undi terbanyak sebanyak 543 undi.

"Kemaman Berubah" sepatutnya dapat 300 undi lebih tetapi ramai perwakilan yang bermuka-muka. Sebab itu semua calon Kemaman Berubah dapat undi yang berbeza-beza. Datuk Mohamad Awang Tera (Pengerusi Tetap) dapat 238 undi, Sazali Idris (Timbalan Pengerusi Tetap) dapat  168 undi, Mat Dalam (ketua) dapat 126 undi, Ahmad Mizani Mohd (naib ketua) dapat 87 undi.

Jika mereka pegang konsep berakit, semua calon patut dapat undi yang sama banyak  238 undi seperti undi Mohamad Awang Tera. Cuma dua orang sahaja dari Kemaman Berubah yang menang ahli jawatankuasa bahagian, Dr Zaki Salleh di tempat keempat (503 undi) dan di tempat nombor 20, Mohamad Ismail (334 undi).

Nampaknya perwakilan Umno Bahagian Kemaman tidak berani berubah. Mereka masih konservatif mengekalkan Ahmad Said sebagai ketua bahagian. Kita tunggu sejauh mana Ahmad Said melaksanakan program untuk menawan tiga kerusi DUN yang tewas dalam masa tiga tahun akan datang.

Tahniah kepada semua pemenang iaitu Ahmad Said (570 undi), Hisham Zubir (407 undi), Ahmad Fikry Ibrahim (475 undi) dan 20 ahli jawatankuasa bahagian, Ahmad Shabery Cheek (543 undi), Mohd Satti Said (534 undi), Mazlan Mamat (515 undi), Dr Zaki Salleh (503 undi),Zaidi Mat (498 undi), Datuk Mustafa Ab Rahman (473 undi), Che Ku Maznah Che Ku Awang (471 undi), Ahmad Zaki Abdullah (464 undi), Kamarizam Harun (463 undi), Jeffri Mohamad (460 undi),  Zuhaini Abdul Ghani ((450 undi), Wan Hisham Wan Hamid (442 undi), Malissa Ab Sollah (437 undi), Tuan Kecil Tuan Tengah (436 undi), Faizal Johar (432 undi),Che Wan Mohd Azlizan Che Wan Abu Bakar (432 undi), Abdul Nasir Mohamad (425 undi), Hassan Ali (421 undi), Datuk Ngah Ismail (404 undi) dan Mohamad Ismail (334 undi).




Friday, June 29, 2018

MAMPUKAH "KEMAMAN BERUBAH" MENAWAN HATI PARA PERWAKILAN KEMAMAN?




KEMAMAN:  Rabu lepas ada seorang perwakilan wanita marahi saya kerana menghantarnya posting http://todayterengganu.blogspot.com/2018/06/kenapa-ahmad-said-perlu-disingkir.html kepada whatsappnya.

Dia kata saya tak habis habis buat fitnah. Saya tanya  balik adakah  Datuk Seri Ahmad Said keluar dari Umno dan masuk semula Umno selepas tidak jadi MB satu fitnah? Adakah Ahmad Said buat undi tak percaya kepada MB ketika itu, Datuk Seri Razif Abdul Rahman satu fitnah? Adakah kegagalan beliau sebagai ketua bahagian mempertahankan BN di mana BN kalah tiga kerusi DUN dan satu kerusi parlimen dalam PRU bulan lepas satu fitnah?

Dia senyap tetapi katanya para perwakilan akan kekalkan Ahmad Said sebagai ketua bahagian. Jika esok Ahmad Said menang lagi, nampak sangat perwakilan Kemaman tidak mahu buat perubahan.

"Kemaman Berubah" menonjolkan bekas pegawai khas MB, Mat Dalam Awang untuk menentang ketua bahagian, Ahmad Said. Bagi jawatan timbalan, "Kemaman Berubah" tidak meletakkan calon kerana mahu memberi peluang kepada perwakilan untuk mengundi di antara bekas ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar dengan bekas pegawai khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Hisham Zubir.

Bagi jawatan naib ketua, "Kemaman Berubah" mengemukakan bekas ahli jawatankuasa bahagian, Ahmad Mizani Mohd untuk menentang bekas ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman dan ketua pemuda, Ahmad Fikry Ibrahim.

Calon pengerusi tetap bagi "Kemaman Berubah"ialah  bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera dan calon timbalan pengerusi tetap bagi" Kemaman Berubah" ialah bekas setiausaha kerja bahagian, Sazali Idris.

Malam ini di Suria Hotel Cherating dalam majlis hari raya anjuran Kemaman Berubah, semua calon berucap termasuk wartawan hebat, bekas Presiden Kesatuan Wartawan Terengganu (KAWAT),  Ayob Mamat turut berkempen untuk Kemaman Berubah.

Mampukah calon-calon "Kemaman Berubah" buat kejutan? Sama samalah kita tunggu petang esok.


Thursday, June 28, 2018

AHMAD SAID KECEWA TAK JADI MENANG TANPA BERTANDING SABTU INI

KEMAMAN: Usaha Umno Bahagian Kemaman untuk membatalkan pencalonan Mat Dalam Awang dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Sabtu ini gagal.

Strategi itu tidak mengena apabila Mat Dalam sempat menghubungi  Jabatan Insolvensi cawangan Terengganu semalam yang mengesahkan bahawa bekas pegawai khas Menteri Besar itu tidak muflis.

Semalam heboh di sekitar Kemaman kononnya ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said telah menang tanpa bertanding Sabtu ini dalam pertandingan ketua bahagian.

Bagi jawatan timbalan pula bekas ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar menentang bekas pegawai khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Hisham Zubir manakala bagi jawatan naib ketua bahagian, bekas ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman menentang ketua pemuda, Ahmad Fikry Ibrahim dan  bekas ahli jawatankuasa bahagian, Ahmad Mizani Mohd.

Petang ini Umno Bahagian telah mengeluarkan surat baharu yang mengesahkan Mat Dalam layak bertanding menentang Ahmad Said.

Menurut pemerhati politik, sepatutnya Setiausaha Bahagian membuat pengumuman Mat Dalam tidak layak bertanding sebelum pengundian dimulakan. Ini menyebabkan Mat Dalam tidak sempat meminta pengesahan dari Jabatan Insolvensi.

Tetapi oleh kerana ia sudah heboh tiga hari sebelum pengundian maka Mat Dalam sempat meminta pengesahan dari Jabatan Insolvensi bahawa beliau tidak muflis. Ternyata strategi kumpulan Ahmad Said untuk menyekat Mat Dalam bertanding gagal.

Ia seolah-olah satu konspirasi untuk memalukan Mat Dalam Awang yang boleh menarik undi simpati dari para perwakilan yang mengatakan Umno Bahagian tidak sewajarnya memalukan mana mana calon yang menawarkan diri untuk merebut sebarang jawatan dalam bahagian.

 Surat tidak layak bertanding Mat Dalam kelmarin pun telah diviralkan kepada semua perwakilan yang membuktikan bahawa pihak Bahagian memang mahu memalukan Mat Dalam.






Wednesday, June 27, 2018

KENAPA AHMAD SAID PERLU DISINGKIR?


KEMAMAN: Para perwakilan Umno Bahagian Kemaman yang bersidang Sabtu ini mempunyai 10 sebab mengapa mereka perlu singkirkan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dari jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Beliau ditentang oleh bekas pegawai khas Menteri Besar, Mat Dalam Awang bagi pusingan kedua. Pada pemilihan Umno 2013, Mat Dalam Awang mendapat 41 undi gagal menumbangkan Ahmad Said yang juga Menteri Besar ketika itu. Dapatkah Mat Dalam buat kejutan Sabtu ini dalam suasana ahli Umno mahukan perubahan di seluruh negara? Sama sama kita tunggu.

1. Ahmad Said keluar dari Umno apabila dilucutkan jawatan Menteri Besar Terengganu pada Mei 2014. Kemudian beliau buat u turn dua hari kemudian. Adakah perwakilan mahu kekalkan ketua bahagian yang macam ini yang keluar Umno apabila mengutamakan kepentingan peribadi dari kepentingan parti?

2. Apabila beliau menyertai semula Umno, beliau serahkan semua tugasnya kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau langsung tidak peduli kepada Umno Bahagian. Adakah orang macam ini mahu dikekalkan sebagai ketua bahagian? Tahun lepas baru beliau muncul dalam persidangan Umno Bahagian Kemaman merasmikan persidangan 2017.

3. Beliau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada persidangan Dewan Undangan Negeri 2016. Adakah wajar ADUN BN buat begitu?

4. Ahmad Said mengkritik terbuka dalam Astro Awani apabila BN umumkan Datuk Mohamad Awang Tera sebagai calon BN bagi DUN Chukai di pejabat Umno Perhubungan. Wajarkah ketua bahagian berbuat demikian?

5. Beliau bersengkokol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri majlis Nothing To Hide di PWTC mengutuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu 1MDB.

6. Beliau gagal mempertahankan 3 DUN dan satu parlimen dalam bahagian Kemaman pada PRU baru-baru ini. Jika beliau dikekalkan sebagai ketua bahagian, tidak mustahil BN akan dapat 5-0 pada PRU 2023.

7. Beliau seorang menang di DUN Kijal tetapi beliau hanya menang di Seri Bandi sedangkan di kampungnya sendiri Teluk Kalong beliau kalah. Ini bermakna majoriti rakyat sudah menolaknya.

8. Selagi Umno Bahagian Kemaman tidak berubah selagi itu BN takkan dapat merampas tiga  kerusi DUN dan parlimen Kemaman pada PRU akan datang.

9. Jika BN menang semula pada PRU 2023, beliau akan mengamalkan semula kronisme dan nepotisme dalam pembahagian projek kepada kontraktor-kontraktor di daerah Kemaman.

10. Jika Ahmad Said menang, Umno Bahagian Kemaman lesu tiada program kerana selama ini beliau bergantung kepada ahli parlimen yang juga menteri memberi kewangan menghidupkan cawangan-cawangan Umno.

Tuesday, June 26, 2018

SPRM TAK PANGGIL PUN, PERGI JUGA. MACAM MACAM CARA CARI PUBLISITI MENJELANG PEMILIHAN UMNO



PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini memberi keterangan secara sukarela bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi menaiki kereta Audi dan ditemani oleh seorang lelaki yang merupakan anggota keluarganya.

Pada Mei lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu bersedia memberi keterangan berhubung kes yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB bermula sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Monday, June 25, 2018

KU LI ULAS UMNO TAMATKAN SALUR PERUNTUKAN BULANAN KEPADA SEMUA UMNO BAHAGIAN

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- UMNO memiliki aset dan harta di seluruh negara, yang nilainya berjumlah berbilion ringgit dan ia sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi terus menggerakkan parti.

Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, sehubungan itu ia (aset dan harta) perlu dikumpulkan dan dilihat semula bagaimana ia dapat dilaburkan bagi menjana hasil yang lebih baik.

"UMNO mempunyai banyak aset bukan sahaja di ibu pejabat tetapi di seluruh negara termasuk saham dan harta lain. Ia lebih banyak di Kuala Lumpur bukan sahaja ibu pejabat UMNO tetapi tanah yang kita beli di rancangan perumahan dan lain-lain. Saya tahu ini jelas sekali, tiap bahagian ada pejabatnya dan terletak di kawasan strategik yang nilainya sudah tentu meningkat dari tahun ke tahun."

"Semasa saya bendahari UMNO dahulu, banyak tanah di Bangsar dimiliki UMNO dan tiap-tiap satu kaki persegi di Bangsar hari ini harganya tidak kurang RM1,000. Saya rasa kalau setiap satu bangunan harganya RM50 juta, bayangkan kalau di seluruh negara."

"Tinggal lagi bagaimana ia dapat diurus dengan baik dan bagaimana ia dapat dilabur semula dalam pelaburan yang boleh memberi pulangan baik kepada parti, jika ia dapat dilakukan (kumpul semua maklumat), insyaallah kita ada peluang buat duit lebih dari apa yang kita jangkakan," katanya kepada pemberita selepas Sesi Ramah Mesra bersama calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Tengku Hamzah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan UMNO untuk menamatkan penyaluran peruntukan bulanan ke semua bahagiannya termasuk sayap di seluruh negara.

Bagaimanapun kebanyakan aset UMNO didaftarkan atas nama pemegang amanah yang memegang jawatan tinggi yang dilantik parti.

Sunday, June 24, 2018

AHLI UMNO YANG TAK PERNAH NAK BERUBAH

KEMAMAN: Calon ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman yang tewas kelmarin, Mohd Zammil Zuslaini menerima keputusan pemilihan tersebut dengan redha.

Katanya, namun demikian dalam proses pemilihan tersebut masih berlaku unsur unsur yang tidak telus.

"Keadaan di mana individu yang tak sepatutnya berada di dalam bilik undi untuk mempengaruhi perwakilan dan membuat edaran senarai cai di dalam bilik undi antara perkara yang sepatutnya dielakkan," katanya.

Beliau yang mendapat 48 undi dikalahkan Hashim Ali yang mendapat 160 undi berkata urusetia Umno Bahagian tidak profesional di dalam menguruskan proses pengundian tersebut.

"Pengundian dibuat di tempat terbuka sehingga tiada privasi kepada para perwakilan," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau sedih apabila beliau menrungut tentang perkara ini, pihak beliau dilabel dengan pelbagai gelaran seperti team cuba nasib, team banyak modal dan team yang dibayar untuk bertanding.

"Saya agak terkilan kerana inilah penyakit ahli Umno yang tak pernah nak berubah," dakwanya lagi.

Katanya, laungan perubahan itu hanyalah modal meniaga yang paling laku ketika ini.

"Tapi apakah perubahan itu benar-benar berlaku?" soal beliau.

Mohd Zuslaini berkata dalam keadaan kita ingin menagih kembali kepercayaan ahli akar umbi, kita masih terpalit dengan sikap sebegini.

"Ini ternyata suatu penghinaan kepada demokrasi yang sepatutnya wujud dalam Umno," tambahnya lagi.

Tegasnya, keterbukaan dalam pertandingan semua jawatan hanyalah lakonan semata-mata.

"Kita ahli Umno seperti harus menerima bahawa jawatan ini hanya patut diwarisi dan diperkenan oleh penyandang sahaja," katanya.

Beliau berkata kalau mahu lawan, bersedia untuk dihina, dicaci dan dikutuk apabila anda kalah.

"Sampai bila Umno akan menjadi satu parti yang kukuh kalau perkara sebegini tidak diubah. Setiap kali pemilihan, kita kena menerima realiti  yang kita akan berpecah belah," ujarnya.

Beliau berharap cacat cela yang berlaku pada pemilihan sayap dapat diperbaiki pada pengundianabtu depan kerana pemilihan kali ini amat penting untuk survival Umno untuk tiga tahun akan datang.

"Jika tidak diubah pada hari ini, jangan berangan  untuk merampas kembali negeri Terengganu dan negara kita," tegasnya lagi.

Saturday, June 23, 2018

UMNO TERENGGANU WUJUDKAN TABUNG PRIHATIN

KUALA NERUS, 23 Jun (Bernama) -- Prihatin dengan nasib kira-kira 1,000 orang kakitangan agensi kerajaan negeri lantikan politik yang bakal ditamatkan perkhidmatan 30 Jun ini, UMNO Terengganu mewujudkan Tabung Prihatin bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata mereka yang terdiri daripada kakitangan Unit Komunikasi Negeri, Agensi Transformasi Rakyat Terengganu dan pusat khidmat masyarakat bakal kehilangan pekerjaan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 memihak kepada PAS.

"UMNO Terengganu mewujudkan Tabung Prihatin untuk membantu meringankan beban golongan terbabit dalam tempoh sebulan dua sebelum mereka memperoleh pekerjaan baharu.

"Sebagai permulaan, Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan menyumbang RM100,000. Saya juga akan menyumbang gaji, elaun dan wang pencen saya bagi tempoh dua bulan kira-kira RM50,000 untuk tabung ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini, hari ini.

-- BERNAMA

Friday, June 22, 2018

"KEMAMAN BERUBAH" MEMPUNYAI AGENDA BESAR






KEMAMAN: Kumpulan "Kemaman Berubah" mempunyai agenda yang besar jika ia menang pada pemilihan bahagian pada 30 Jun ini.

Menurut bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera, para perwakilan Kemaman mesti memberi sokongan yang penuh kepada semua calon "Kemaman Berubah" jika mahu melihat BN menang semula pada PRU akan datang.

"Saya percaya "Kemaman Berubah" mampu mengangkat kembali martabat Umno Bahagian Kemaman," katanya ketika berucap di majlis sambutan hari raya "Kemaman Berubah" di sebuah hotel di Cherating malam tadi.

Beliau yang juga calon Pengerusi Tetap Umno Bahagian menyeru para perwakilan mengundi calon Ketua Bahagian, Mat Dalam Awang; calon naib ketua, Ahmad Mizani Mohd dan semua calon ahli jawatankuasa bahagian serta calon Timbalan Pengerusi Tetap, Sazali Idris.

Beliau percaya jika kumpulan penyandang yang diketuai ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said menang lagi dalam pemilihan minggu depan, Umno Kemaman tidak akan berubah.

"Pada tahun 2008, kita menang empat kerusi DUN. Pada tahun 2013, kita kalah satu kerusi DUN tetapi pada PRU 2018, kita kalah tiga DUN. Tidak mustahil BN kalah empat DUN pada PRU akan datang jika para perwakilan tidak berani menukar barisan kepimpinan Umno Bahagian," tegasnya.

Dalam pada itu beliau berseloroh kepada para perwakilan supaya jangan lupa undi beliau untuk jawatan Pengerusi Tetap Umno Bahagian.

Thursday, June 21, 2018

TUAN NORAISHAH SEDIA TERIMA PANDANGAN DARIPADA AHLI PUTERI BIASA

KEMAMAN:  Calon Ketua Puteri, Tuan Noraishah Tuan Puteh bersedia menerima pendapat, cadangan dan luahan dari semua ahli puteri jika beliau menang dalam pertandingan ketua puteri Umno Bahagian Kemaman esok.

Katanya, beliau bersikap terbuka menerima pandangan dari semua pihak.

"Inilah misi utama saya," katanya ketika menemui 50 orang perwakilan puteri dari DUN Chukai di Hailam Kopitiam di sini petang semalam.

Selain dari itu, beliau mahu membina dan menanam jati diri anak anak muda dengan semangat menghargai, bersyukur dan cintakan negara melalui program-program yang membina dan berkesan.

Beliau berharap semua perwakilan dapat mengundi beliau esok kerana beliau berhasrat merubah puteri Umno Kemaman kepada yang lebih baik.

Tuan Noraishah sudah menemui sebahagian besar para perwakilan sewaktu berkempen dalam tempoh masa yang singkat.

"Saya berharap mesej yang kami mahu sampaikan kepada perwakilan sudah diterima para perwakilan kerana puteri Umno Kemaman perlu berubah sejajar dengan tuntutan zaman," katanya lagi.

Wednesday, June 20, 2018

10 SEBAB KENAPA PERLU UNDI NORZAMZIAH BAGI KETUA WANITA KEMAMAN

KEMAMAN: Para perwakilan Wanita Umno Bahagian Kemaman yang bersidang pada hari Sabtu ini diseru mengundi calon Kemaman Berubah, Norzamziah Afzainizam, 45 tahun.

Ada 10 sebab kenapa beliau perlu diundi iaitu:-

1. Beliau mewakili kumpulan Kemaman Berubah. Jika calon dari kumpulan lain dipilih ini bermakna perubahan tidak akan berlaku dalam Umno Bahagian Kemaman.

2. Beliau seorang yang berani berjuang walaupun beliau adalah pensyarah di sebuah insitusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri. Beliau seorang pensyarah yang mahu mendidik bangsa.

3. Norzamziah masih muda berumur 45 tahun. Orang muda lebih sesuai menerajui wanita bahagian kerana lebih bertenaga.

4. Norzamziah seorang yang peramah, tidak sombong dan mudah mesra dengan perwakilan wanita.

5. Norzamziah seorang pensyarah akaun yang ada pendidikan di luar negara dan dalam negara. Kalau BN mahu tonjolkan calon wanita, tak malu BN mencalonkan wanita seperti Norzamziah berbanding dengan dua calon wanita BN dalam PRU baru-baru ini.

6. Beliau adalah anak kelahiran Geliga, Kemaman. Jadi beliau sudah biasa dengan persekitaran masyarakat Kemaman.

7. Beliau mahu menjalankan pelbagai program untuk Wanita Kemaman supaya Wanita Umno Kemaman sama tinggi dengan wanita Umno di seluruh negara.

8. Beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa puteri Umno Kemaman. Maka pengalaman dalam puteri dapat menyuntik beliau menjadi ketua wanita yang cemerlang.

9. Sudah sampai masanya wanita Umno memilih ketua yang ada pendidikan tinggi kerana apabila berhimpun di Kuala Lumpur wanita Umno Kemaman dipandang tinggi.

10. Pelbagai pembaharuan akan dilaksanakan oleh Norzamziah jika beliau menang. Oleh itu undilah calon Kemaman Berubah, NORZAMZIAH BINTI AFZAINIZAM


Tuesday, June 19, 2018

SEMUA ADUN TERMASUK PEMBANGKANG AKAN DIBERI PERUNTUKAN


KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada parti pembangkang Barisan Nasional (BN) akan diberikan peruntukan DUN untuk pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peruntukan itu diberi mengikut keperluan DUN masing-masing terutama yang mempunyai keperluan mendesak setelah penyesuaian semula kewangan dilakukan.

"Tiada DUN yang dipinggirkan daripada menerima peruntukan tersebut dan kita akan pertimbangkan pemberian itu mengikut keperluan dan perbelanjaan di kawasan masing-masing.

"Sebagai contoh, jika di kawasan itu memerlukan peruntukan untuk membaiki rumah rakyat, kita akan dahulukan dan begitu juga kegunaan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ladang di sini, hari ini. Turut hadir ADUN Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Ahmad Samsuri sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa melaksanakan catuan kewangan dengan memberi keutamaan kepada ADUN PAS kerana peruntukan wakil rakyat BN yang sepatutnya dibelanjakan dari Januari hingga Disember telah habis digunakan pada April iaitu waktu pilihan raya umum lepas.

Ditanya jika tindakan akan diambil terhadap ADUN berkenaan, Ahmad Samsuri berkata ia bukan masa untuk kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap mereka.

"Tiada tindakan dikenakan sebab ini untuk kepentingan rakyat... kita ada enam bulan lagi untuk mencari sumber kewangan bagi setiap DUN. Kita boleh lakukan sebab kita mempunyai akaun berbeza-beza, kalau satu akaun kosong tidak bermakna kita tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Ahmad Samsuri dalam pada itu mengalu-alukan peruntukan RM100,000 yang diberikan kepada Anggota Parlimen daripada pembangkang seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

"Cuma mekanisme penggunaan peruntukan itu belum diperincikan...untuk kegunaan apa dan cara ia akan digunakan. Semuanya akan diperincikan oleh pihak Perbendaharaan kelak," katanya.

-- BERNAMA

Monday, June 18, 2018

WAN HAKIM TAK FAHAM KONSEP BERAKIT




KEMAMAN: Calon Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman dari pasukan "Kemaman Berubah", Haji Wan Hakim Wan Mokhtar tidak faham dengan konsep berakit.

Pemilihan Umno secara berakit bukan asing lagi kepada para perwakilan Umno Bahagian Kemaman. Pada tahun 2001, dua rakit berentap merebut kerusi ketua, timbalan ketua dan naib ketua serta 20 ahli jawatankuasa Umno Bahagian.

Pasukan pemangku ketua bahagian, Datuk Abu Bakar Ali dicabar oleh pasukan bekas Exco, Datuk Seri Ahmad Said pada pemilihan tersebut. Abu Bakar Ali dibantu Nazri Salleh bagi jawatan timbalan ketua manakala Haji Shahbudin Maidin bagi jawatan naib ketua.

Pasukan Ahmad Said dibantu oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (timbalan ketua) dan Datuk Seri Mohamed Rahim Husin (naib ketua). Pasukan Ahmad Said hampir menyapu bersih 20 kerusi ahli jawatankuasa Umno Bahagian kecuali Tuan kecil Tuan Tengah yang menang dari pasukan Abu Bakar Ali.

Maka bertanding bahagian secara berakit sudah lumrah di Kemaman. Tahun ini nampaknya pasukan Ahmad Said akan ditentang oleh pasukan "Kemaman Berubah" yang diketuai bekas pegawai khas Menteri Besar, Mat Dalam Awang.

Ahmad Said beregu dengan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid serta Ahmad Fikry Ibrahim (Bulat) manakala "Kemaman Berubah" menampilkan Mat Dalam Awang, Wan Hakim (timbalan ketua) dan Ahmad Mizani Mohd (naib ketua).

Oleh kerana Wan Hakim tidak faham dengan konsep berakit maka beliau disingkirkan dari pasukan "Kemaman Berubah". Pasukan itu telah bersetuju menampilkan Norzamziah Afzainizam bagi calon ketua wanita tetapi Wan Hakim menyokong calon ketua wanita dari pasukan Ahmad Said iaitu Hajah Rosmiza Mokhtar, maka beliau terpaksa disingkirkan dari "Kemaman Berubah".

Malam tadi ketika membuat road show di Felda Kerteh 5, semua calon dari "Kemaman Berubah" telah memperkenalkan diri kepada para perwakilan dari enam cawangan. Mereka ialah Mat Dalam Awang (ketua), Mizani (naib ketua), Norzamziah (ketua wanita), Tuan Noraishah Tuan Puteh (ketua puteri) dan Mohd Zammil Mohd Zuslaini (ketua pemuda).

Sunday, June 17, 2018

MAT SABU NAFI GUNA HELIKOPTER TENTERA BALIK PERLIS

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menafikan dakwaan beliau menggunakan helikopter yang merupakan aset kerajaan untuk beraya bersama keluarganya di Perlis seperti yang tular di laman sosial Facebook.

"Tidak benar sama sekali. Saya tidak akan menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan diri sendiri dan tidak berada di Perlis pun. Semuanya palsu, dan dusta semata-mata," katanya dalam catatan Twitternya twitter.com/MSabu_Official.

Video berdurasi 27 saat itu dimuat naik hari ini oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa kononnya Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara telah menggunakan helikopter kerajaan bersama keluarga isteri untuk bersuka ria pada Hari Raya Aidilfitri di Jejawi, Perlis selepas dilantik sebagai seorang menteri.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu bersama 12 lagi anggota kabinet yang lain mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 21 Mei lalu selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

-- BERNAMA

"KEMAMAN BERUBAH" TENTANG PASUKAN PENYANDANG DI KEMAMAN



KEMAMAN: "Kemaman Berubah" yang diketuai bekas Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Mat Dalam Awang dikatakan akan menentang  penyandang jawatan  Umno Bahagian Kemaman pada pemilihan 30 Jun ini.

Penyandang ketua bahagian, Datuk Seri Ahmad Said akan mempertahankan jawatan manakala timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menarik diri. Maka jawatan timbalan ketua bahagian dijangka ditandingi naib ketua sekarang, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Manakala jawatan naib ketua ditandingi Ahmad Fikri Ibrahim yang merupakan ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman sekarang.

Bagi "Kemaman Berubah", Mat Dalam yang pernah menentang Ahmad Said pada pemilihan Umno 2013 akan bertemu buat pusingan kedua minggu depan. Rakit itu menonjolkan bekas ADUN Air Putih, Haji Wan Hakim Wan Mokhtar untuk jawatan timbalan ketua bahagian manakala bekas ahli jawatankuasa bahagian, Ahmad Mizani Mohd bertanding jawatan naib ketua bahagian mewakili rakit tersebut.

Bagi sayap wanita, Norzamziah Afzainizam akan menentang ketua wanita, Datuk Rohani Abdullah dan bagi sayap pemuda, Mohd Zammil Mohd Zuslaini menawarkan diri bagi jawatan ketua pemuda. Bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap Umno Bahagian.

Mat Dalam ketika ditemui berkata BN sudah kalah di Terengganu pada PRU lalu  maka Umno Bahagian Kemaman perlu pembaharuan dari semua peringkat.

"Oleh kerana orang lain tidak sanggup memikul tugas ini, maka sekali lagi saya mengetuai rakit ini. Bezanya dahulu saya bersendirian tapi kali ini kami berakit bagi semua jawatan termasuk 20 orang ahli jawatankuasa bahagian," katanya.

Haji Wan Hakim dikatakan bersetuju menyertai "Kemaman Berubah" kerana dalam pertandingan mereka perlu bersatu untuk dapatkan sokongan semua perwakilan. Beliau tewas dalam pertandingan naib ketua bahagian pada tahun 2013 kerana bergerak sendiri.

Bagi Ahmad Mizani Mohd, pengalaman selama lima penggal sebagai ahli jawatankuasa bahagian mendorong beliau menyertai "Kemaman Berubah"  untuk jawatan naib ketua bahagian.

"Ahmad Said selaku ketua bahagian gagal mempertahankan DUN Chukai pada PRU 2013 tetapi PRU kali ini  beliau gagal mengekalkan tiga DUN Chukai, Air Putih dan Kemasik, maka perwakilan perlu mengundi "Rakit Pembaharuan" untuk memulihkan kembali tenaga Umno Bahagian Kemaman," katanya.

Calon Ketua Wanita bagi "Kemaman Berubah", Norzamziah Afzainizam. 45, menyeru perwakilan wanita berani membuat perubahan pada pemilihan 23 Jun ini. Beliau akan menentang penyandang ketua wanita, Datuk Rohani Abdullah yang sudah empat penggal memipin pergerakan wanita Umno Kemaman.

"Sudah sampai masanya bagi perwakilan wanita membuat perubahan," katanya yang pernah menjadi ahli jawatankuasa puteri Umno Bahagian Kemaman bagi penggal 2008-2013.

Calon Ketua Puteri Bahagian, Tuan Noraishah Tuan Puteh,35, yakin untuk membawa puteri Kemaman ke arah yang lebih baik. Beliau yang juga ketua puteri cawangan Kg Tuan Injin Gergaji rasa bertanggungjawab untuk pikul tugas sebagai ketua puteri.






Wednesday, June 13, 2018

KEPUTUSAN GPS PERLU DIHORMATI

ALOR SETAR, 12 Jun ( Bernama) -- Keputusan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak untuk meninggalkan gabungan berkenaan bagi membentuk pakatan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dihormati.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata anggota UMNO serta BN tidak perlu bersedih kerana masih ramai anggota yang tetap setia bersama gabungan berkenaan.

"Atas sifat sebuah negeri yang besar dan tentunya nak dominasi politik sendiri kita hormati mereka. Apa yang penting bagi kita ialah kita perlu terus maju dengan parti kita dan mereka dengan blok baharu mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Badan Perhubungan UMNO Kedah bersama kepimpinan UMNO bahagian seluruh negeri di sini hari ini.

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebulat suara keluar daripada BN dan akan mewujudkan GPS.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata keputusan itu diambil susulan pertimbangan dan penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tuesday, June 12, 2018

KU LI TUNGGU HASIL ISTIKHARAH


 
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah belum memutuskan sama ada bertanding atau tidak jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, 30 Jun ini.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata beliau sedang mempertimbang pandangan pelbagai pihak yang mahu beliau bertanding jawatan tertinggi UMNO itu.

Namun, katanya, beliau merasakan orang muda perlu diberi tanggungjawab memimpin parti yang berusia 72 tahun itu.

"Saya dah terima pandangan dari keluarga (berhubung cadangan bertanding jawatan Presiden UMNO). Dari segi umur saya...terdaya atau tak terdaya nak pergi ke 191 bahagian dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, saya akan beristikharah," katanya yang juga Anggota Parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh, 81, berkata demikian pada forum "Dilema Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14" di Kelab Sultan Sulaiman di sini, malam ini.

Kira-kira 200 peserta menghadiri forum itu sebagai tanda memberi sokongan terhadap cadangan untuk mencalonkan Tengku Razaleigh bagi jawatan presiden parti.

-- BERNAMA

Monday, June 11, 2018

UMNO TERENGGANU SOKONG AHMAD SAID TANDING NAIB PRESIDEN

KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan menyokong sepenuhnya pencalonan Ketua UMNO Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said sebagai naib presiden dalam pemilihan parti itu akhir bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata UMNO Terengganu amat gembira dengan pencalonan itu kerana ia akan mewakili suara Terengganu ke peringkat tertinggi kepimpinan parti.

"Sudah lama Terengganu tidak ada wakil di situ (kerusi nasib presiden) memandangkan kali terakhir ialah pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1990-an.

"Sudah pasti UMNO Terengganu akan memberi sokongan penuh dan kita akan berkempen untuk beliau sebagai satu-satunya wakil Terengganu yang akan sampai ke tampuk kepimpinan sebegitu (tinggi)," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anggota Kelab Wartawan Media Terengganu di sini malam tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus pula, Ahmad Razif menegaskan beliau akan mengundurkan diri sekiranya ada calon muda yang mahu bertanding.

Sunday, June 10, 2018

670 BAKAL MAHASISWA TERIMA BANTUAN YAYASAN TERENGGANU


KEMAMAN 10 Jun (Bernama) -- Seramai 670 bakal mahasiswa di Parlimen Dungun dan Kemaman menerima bantuan persediaan berjumlah RM418,500 daripada Yayasan Terengganu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata daripada jumlah itu, Yayasan Terengganu menyerahkan RM217,250 kepada Parlimen Kemaman untuk 335 bakal mahasiswa yang mengikuti kursus diploma dan matrikulasi.

Sebanyak RM201,250 pula untuk 335 bakal mahasiswa di Parlimen Dungun.

"Tahun ini, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk bantuan ini. Sejak dimulakan pada 2006 hingga 2017, seramai 272,159 orang telah mendapat manfaat daripada bantuan sebanyak RM202,599,150," katanya pada majlis penyampaian Bantuan Persedian Yayasan Terengganu di Peringkat Matrikulasi, Asasi dan Diploma di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya bantuan itu dapat meringankan beban mereka dalam menyediakan kos persediaan kelengkapan atau membayar yuran mendaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Sementara itu, Muhammad Hariz Azfar Azhari, 18, berkata dengan bantuan itu, beliau dapat membuat persiapan mendaftar kursus kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya menerima sebanyak RM500...saya rasa gembira kerana dapat menggunakannya untuk membeli barangan persiapan," katanya.

Nur Farihin Shukri, 18, yang menerima tawaran kursus asasi sains di sebuah IPT di Selangor juga gembira dengan bantuan itu.

-- BERNAMA

Saturday, June 9, 2018

KERAJAAN TERENGGANU PERKENAL PITAS 2030





BANGI: Kerajaan baharu Terengganu telah memperkenalkan satu Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.

Menurut Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi mencapai Terengganu Sejahtera pada tahun 2030 berteraskan lapan sasaran pencapaian penting di dalam lima fokus utama.

"Semua ini dibangunkan dengan tujuh prinsip PITAS iaitu pematuhan kepada prinsip Islam, insan berkualiti aset penting negeri, kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk rakyat, pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan dan masyarakat, pembangunan lestari yang mencakupi tiga elemen utamanya alam sekitar, masyarakat  dan ekonomi yang berteraskan Islam, kerajaan negeri sebagai pemandu, pemudahcara dan pemantau kepada swasta dan rakyat dalam menjayakan pelan pembangunan negeri dan pengasingan fungsi di antara badan politik dan kuasa ekonomi di mana badan politik sebagai penentu hala tuju negeri, perancang program dan pemantau. Kuasa ekonomi bertanggungjawab terhadap penentuan syarikat pelaksana," katanya ketika berucap di majlis buka puasa perantau anak Terengganu bersama Menteri Besar di sini petang tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Yahya dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang  menjadi penasihat ekonomi bagi negeri Terengganu.

Katanya lagi, berdasarkan kerangka inilah kita akan sama sama bekerja membangunkan Terengganu.

"Kerajaan baharu ini membawa agenda yang lebih besar kepada rakyat Terengganu," katanya lagi.

Katanya, kita bukan sekadar memberikan manifesto yang bersifat jangka pendek tetapi kita juga membawa visi yang lebih besar untuk rakyat.

"Kita memberikan penyelesaian yang bersifat systemic bersistem dan bukannya sekadar symptomatic atau hanya menyelesaikan isu tetapi tidak punca masalah, " tegasnya lagi.

Dr Samsuri dan para jemputan berbuka puasa dengan 5,000 orang perantau anak Terengganu selepas majlis dialog.  Yang menariknya mereka makan sambil bersila di atas permaidani dalam dewan  di Bangi Convention Centre.