Friday, August 11, 2017

TERENGGANU TUBUH MAJLIS PETROLEUM TERENGGANU



KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) yang menjadi platform bagi kerajaan untuk merencana, menyelaras dan memantau urusan berkaitan industri minyak dan gas di negeri ini.


Majlis tersebut dinaungi oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata, penyelarasan tersebut akan membolehkan pihaknya membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat tempatan terlibat dalam industri minyak dan gas sekali gus memastikan hak anak tempatan dan juga projek-projek dimanfaatkan dengan lebih baik.

“Pengumuman ini juga akan membuka jalan kepada TPC untuk memulakan operasi dan menjalankan kerja-kerja awal dengan segera. Buat masa ini, Pejabat TPC akan ditempatkan di Tingkat 6, Wisma Darul Iman,” katanya pada Majlis Pengumuman TPC di U2, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Beliau berkata, penubuhan TPC berserta terma-terma rujukan umum secara dasarnya diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 17 Mei lepas dan pelancaran secara rasmi dijangka dibuat secepat mungkin.

Ahmad Razif berkata, TPC turut diberi mandat mengkaji kemungkinan dan mengenal pasti potensi manfaat untuk rakyat dan negeri serta melihat isu kelestarian sumber tersebut untuk memaksimumkan hayat sumbangan sektor tersebut secara berterusan kepada pendapatan hasil negeri.

Di samping itu, katanya, peranan TPC turut memastikan penglibatan anak tempatan dalam industri minyak dan gas di Terengganu dalam aspek pembangunan sumber tenaga, pembinaan kepakaran teknikal dan peluang pekerjaan dalam industri terlibat.

Jelasnya, penubuhan TPC juga akan menyelaras dan membantu dari segi penyediaan dan ruang kepada anak-anak Terengganu dari segi biasiswa, kursus jangka pendek dan panjang serta memberikan latihan yang sewajarnya.

Sementara itu katanya, TPC tidak mengikut model atau entiti di mana-mana negeri sebaliknya mengikut konsep sendiri dalam melindungi kepentingan Terengganu dalam industri minyak dan gas serta memaksimumkan penglibatan entiti di Terengganu dan industri itu.

Katanya, majlis tersebut turut menumpukan kepada hasrat untuk mengembalikan hak Terengganu selain pembahagian peluang perniagaan, pekerjaan, tanggungjawab sosial korporat, pembangunan modal insan dan keutamaan kepada rakyat negeri ini.

No comments:

Post a Comment