Tuesday, February 28, 2017

TERENGGANU STPM TEMPAT PERTAMA TIGA TAHUN BERTURUT TURUT


DUNGUN, 28 Feb (Bernama) -- Anak yatim, Nik Nur Maizatul Izzati Nik Ali, adalah antara 15 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh A Penuh dalam empat subjek dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.0 di Terengganu.

Beliau berkata kejayaannya itu dicapai hasil kesungguhannya untuk berusaha mengubah nasib keluarganya selepas kematian bapanya pada 2012.

"Ibu menasihatkan supaya saya mengubah nasib keluarga, keluar dari kepompong kemiskinan...motivasi guru-guru sekolah juga adalah kekuatan untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM di sini, Selasa.

Nik Nur Maizatul Izzati, 20, berkata sejak kematian bapanya, beliau dan tiga adiknya bergantung kepada enam abang mereka untuk menanggung perbelanjaan harian.

"Kesemua abang saya hanya berkerja biasa di kampung dan ada yang jadi mekanik. Mereka masing-masing menghulurkan sumbangan bagi perbelanjaan keluarga," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut.

Gadis itu berkata memandangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya adalah sekadar 4A 5B, beliau nekad cemerlang dalam STPM agar dapat ke universiti awam seperti rakan-rakannya.

Sebagai anak sulung perempuan dalam keluarga, Nik Nur Maizatul Izzati memilih tidak tinggal di asrama kerana mahu membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah.

"Setiap hari, saya bangun jam 4 pagi untuk solat tahajud, mengulang kaji pelajaran sebelum menghantar tiga adik saya ke sekolah. Selepas itu, barulah saya ke sekolah pula," katanya yang berharap melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri Terengganu sangat berbangga dengan pencapaian cemerlang semua calon STPM hingga menempatkan Terengganu di tempat pertama buat kali ketiga berturut-turut.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju menghadiahkan sebuah komputer riba kepada semua 15 pelajar yang memperoleh A Penuh dan 55 pelajar yang mendapat semua A akan diberi baucer pembelian tablet.

"Hadiah berjumlah RM100,000 itu diharap dapat menyuntik semangat supaya lebih cemerlang di peringkat universiti kelak," katanya sambil memberitahu kerajaan negeri akan memberi insentif lain kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah yang cemerlang.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberi insentif kepada Siti Zubaidah Ismail yang dipilih sebagai pelajar terbaik kebangsaan, katanya selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan itu di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan memperkasa pendidikan peringkat prauniversiti dengan menambah lebih banyak sekolah di luar bandar kerana ia merupakan peluang kedua buat pelajar yang tidak cemerlang dalam SPM.

Sementara itu, Siti Zubaidah juga dari SMK Bukit Payong, ketika dihubungi Bernama berkata kesusahan bapanya sebagai penoreh getah dan memperoleh pendapatan rendah menjadikannya bersemangat untuk mengubah masa depan mereka.

Keputusan cemerlang itu adalah hasil fokusnya semasa guru mengajar di kelas dan kekerapannya mengulang kaji pelajaran di rumah, katanya.

-- BERNAMA

RATING TERTINGGI BAGI BULAN FEBRUARI 2017

Buat pertama kali blog ini mencatat sejarah mendapat hit paling tinggi 2,126 hits dengan posting Anak Kemaman juara silat antarabangsa yang disiarkan pada 2 februari. 10 hits tertinggi ialah:-

1. Anak Kemaman juara silat antarabangsa (2.2) - 2126 hits
2. Ketua masyarakat Cina Kemaman yakin dengan grup whatsapp KK (11.2)
3.Langkah UKOM amat tepat (17.2)
4.Terengganu nafi atlet paralimpik diabaikan (18.2)
5.20,000 hadiri Fiesta Kemamang Kite (26.2)
6.Hari isnin diisytihar hari tanpa tie (15.2)
7.KK bantu Ayob yang kemalangan (4.2)
8.LPT2 bina tiga stesen minyak baharu (8.2)
9.Terengganu hargai peranan media tangkis tohmahan (5.2)
10.Rakyat tak perlu bimbang kesihatan MB (6.2)

Monday, February 27, 2017

TERENGGANU TAWARKAN TAPAK UNTUK UNIVERSITI SUKAN PERTAMA DI NEGARA INI



DUNGUN 28 Feb. - Terengganu bersedia menawarkan tapak di Taman Ilmu Tembila, Besut untuk dijadikan lokasi pembinaan universiti sukan pertama di negara ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, lokasi itu amat strategik memandangkan kawasan berkenaan sudah dilengkapi bangunan dan kemudahan infrastruktur untuk tujuan itu.

“Kita sudah ada sekolah sukan di sini, jadi elok benar kalau ada universiti sukan pula.


“Kalau Yang Berhormat Khairy Jamaluddin hendak, maka esok kita boleh isytiharkan dan jumpa semula kerana saya mahu menawarkan Taman Ilmu di Tembila sebagai universiti sukan pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Siri Jelajah Transformasi Nasional 2050 (TN50) Peringkat Zon Timur di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Cadangan pembinaan universiti sukan pertama itu dilontarkan oleh seorang peserta program berkenaan, Mohd. Rafi Kori, 37.

Sementara itu, Khairy memberitahu, pihaknya menyambut baik tawaran Ahmad Razif dan memberi jaminan akan membawa cadangan tersebut ke perhatian Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dengan tawaran yang amat baik itu.

“Sebagai menteri, saya amat bersetuju kerana daripada dahulu kita menginginkan sebuah universiti sukan. Tiada masalah diwujudkan di Terengganu jika ada tawaran tanah cuma untuk pembinaan perlu datang daripada Kementerian Pengajian Tinggi,” ujarnya. 

Sunday, February 26, 2017

20,000 HADIRI FIESTA KEMAMANG KITE

Walaupun Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membatalkan program Fiesta Kemaman Kite di saat saat akhir, namun ia tetap diadakan di Kuala Nerus pada tarikh yang sama 24 dan 25 Februari. Program dua hari itu telah menraik 20,000 orang muda untuk menyaksikan perlumbaan keretayang disertai oleh pelumba antarabangsa.

Ia dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail yang mewakili Menteri Besar yang kurang sihat pada malam tersebut. Sesungguhnya program ini merupakan satu platform untuk mendekati pengundi muda.

Pada malam pertama para hadirin dihiburkan dengan persembahan penari SUKTRA manakala pada malam akhir artis ternama dari KL telah menghiburkan mereka iaitu Aiman Tino, Aie Lantana, Yabang Khalifah, Mat Over, Mat Dang, Ezzat dan Suktra Band.






Thursday, February 23, 2017

LORI LEBIHI HAD MUATAN SEBABKAN KERAJAAN BAIKI JALAN RM900 RIBU SETIAP TAHUN




HULU TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM900,000 setiap tahun bagi membaiki kerosakan jalan Hulu Terengganu-Gua Musang disebabkan lori mengangkut bijih besi melebihi had muatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya jalan yang sepatutnya memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya untuk bergerak antara Kelantan, Terengganu dan Perak itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha bijih besi di Gua Musang, Kelantan.

"Jabatan Pengangkutan Jalan Raya telah menetapkan had muatan lori hanya 40 tan pada satu-satu masa, namun kebanyakannya dikesan membawa muatan antara 90 hingga 100 tan.

"Muatan yang berlebihan ini menghasilkan gegaran yang memberi kesan kepada lereng-lereng bukit yang akhirnya boleh menyebabkan runtuhan tanah, sama ada yang berskala kecil, sederhana atau besar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya walaupun operasi penguatkuasaan sering dilaksanakan terhadap lori-lori terbabit, hukuman ringan yang dikenakan menyebabkan pengusaha bijih besi tidak serik.

"Justeru kita berharap denda maksimum dapat dikenakan kepada pengusaha bijih berkenaan agar mereka serik dan tidak lagi mengangkut bijih besi melebihi muatan ketika melalui jalan berkenaan," katanya.

Tengku Putera berkata jalan sepanjang 70 kilometer itu dibuka 10 tahun lalu dan sepatutnya berperanan sebagai jalan pintas yang menghubungkan Kelantan-Terengganu-Perak.

"Satu kerugian apabila jalan ini sepatutnya menjadi laluan utama bagi memajukan sektor sosioekonomi masyarakat setempat. Jalan ini merupakan pintu masuk ke Tasik Kenyir iaitu satu tarikan pelancongan utama di negeri ini.

"Namun disebabkan ia sering rosak, tidak ramai pengguna memilih laluan ini sebaliknya mereka lebih rela menggunakan laluan jauh terutama pengunjung dari atau ke Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur dan ini mempengaruhi kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir," katanya.

Terdahulu Tengku Putera menghadiri Program Salam Qaseh Sempadan Hulu Terengganu-Kelantan Selatan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Paloh Datuk Norzula Mat Diah.

Program sehari itu bertujuan mencari penyelesaian kepada masalah tersebut yang membelenggu penduduk sekitar dan pengguna jalan raya sejak sekian lama.

Sementara itu, Norzula berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak melaksanakan sebarang penguatkuasaan terhadap pengusaha bijih besi di Gua Musang.

"Ini menyebabkan mereka bermaharajalela dan tidak bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku di sepanjang laluan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, February 18, 2017

TERENGGANU NAFI ATLET PARALIMPIK DIABAIKAN

HULU TERENGGANU, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu menafikan dakwaan seorang atlet paralimpik negeri ini bahawa beliau diabaikan meskipun telah mengharumkan nama negeri dengan kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat berkata kerajaan negeri telah membantu dari segi keperluan makan dan minum atlet tersebut serta perbelanjaan lain dengan peruntukan hampir RM100,000.

"Kerajaan negeri turut memberi insentif kepada mereka yang mendapat pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 baru-baru ini," katanya kepada pemberita pada program Mung Belia Nelang, di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan isu layanan kelas kedua kerajaan negeri terhadap atlet paralimpik sukan renang dan triatlon, Subki Ariffin, 36, yang kini menduduki ranking 22 dunia dalam kategori PT3.

Rozi berkata kerajaan negeri komited dalam membantu perkembangan atlet paralimpik kelahiran Terengganu bagi memastikan mereka terus membina nama dalam acara sukan yang diceburi.

"Kita memang tidak mempunyai program pembangunan langsung di bawah kerajaan negeri namun ia ada dijalankan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri sentiasa komited membantu atlet-atlet paralimpik negeri setakat yang terdaya," kata Rozi.

Sementara itu kerajaan negeri juga telah mengenal pasti 25 atlet negeri berkenaan untuk diserapkan ke program Akademi 'Road to Olympic' sebagai persediaan ke sukan Olimpik Tokyo 2020.

Program itu bertujuan membantu atlet Terengganu yang berpotensi untuk ke Olimpik Tokyo kelak dan akan dilancarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam masa terdekat.

"Mereka ini dalam proses untuk latihan dan ada antara mereka akan dihantar keluar negara seperti Australia untuk mendapatkan latihan yang lebih intensif".

"Ia bagi merealisasikan impian kita melahirkan lebih ramai atlet Terengganu yang berjaya di peringkat antarabangsa dan Olimpik khususnya," katanya.

-- BERNAMA

Friday, February 17, 2017

LANGKAH UKOM AMAT TEPAT

KUALA LUMPUR: Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Terengganu (UKOM), Roslan Abdul Rahman yang menjemput saya ke majlis ramah mesra dengan Pengarah baru UKOM, Datuk Muda Mamat, 66 tahun,  di sebuah hotel di sini dua malam lepas.

Muda yang juga bekas ADUN Pengkalan Berangan (1982-1999) baru sahaja ambilalih jawatan tersebut pada 1 Februari lalu.


Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selama dua penggal (1986-1995) menggantikan Ab Rosid Jusoh yang bertukar ke jawatan Yang Dipertua Daerah Besut.

Muda yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Marang selama 21 tahun (1985-2004) juga dilantik sebagai Pengerusi Biro Penaziran UMNO Negeri sejak 2014 sehingga kini.

Beliau yang memiliki latar belakang pendidikan agama dari Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Klang, Selangor (1971-1973 ) adalah pemegang Ijazah sarjana muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1974-1978)



Gabungan Muda dan Ruslan diyakini dapat memantapkan lagi UKOM. Roslan pun bukan orang baru. Beliau adalah bekas Setiausaha Akhbar MB dari tahun 1986 hingga 1999. Di zaman Datuk Seri Idris Jusoh (2004-2008), beliau berpindah ke UKOM. Di zaman Ahmad Said(2008-2014) beliau dikekalkan di UKOM dan di zaman Ahmad Razif (2014- sekarang) beliau masih dikekalkan kerana beliau juga adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus.

Saya sudah lama mengenali Roslan dan kami selalu berceramah bersama di musim pilihanraya di seluruh daerah di Terengganu.

Dalam pertemuan mesra dengan beberapa orang media dan blogger di Kuala Lumpur pada malam tersebut, Muda akui bahawa komunikasi bukan bidangnya tetapi beliau akan memberi tumpuan kepada bidang baru ini supaya rakyat terus menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Majlis malam tersebut dihadiri wartawan kanan Kosmo, Jamdi Nasir dan tiga orang blogger.. Dua orang dari mereka pernah mengasaskan Kelab Che Det dan selepas menunaikan haji di Mekah, beliau berdoa kepada Allah tunjukkan siapa yang patut beliau ikut sama ada bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atau PM sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak. Balik ke Malaysia, Allah tunjukkan kepadanya bahawa perjuangan Najib lebih benar maka beliau tinggalkan Dr Mahathir yang menjadi idola beliau selama ini.

Bukan mudah untuk lari dari Dr Mahathir yang sudah sebati dengan jiwanya tetapi keputusan itu amat tepat kerana perjuangan Dr Mahathir semata mata mahu menaikkan anaknya, Mukhriz sebagai PM dan 1MDB hanya alasan bekas PM itu untuk mengaburi mata rakyat.

Dalam berhadapan dengan media sosial, UKOM mungkin kekurangan bahan maka grup whasapp Sahabat UKOM ditubuhkan untuk memberi input yang sesuai untuk menangkis serangan pembangkang untuk diviralkan kepada grup whatsapp lagi. Maka kehadiran tiga orang blogger dari PMO amat tepat pada waktunya.



Sesungguhnya pendekatan Muda berkawan dengan pihak media dan blogger adalah langkah yang baik kerana seperti kata MB dalam wawancara dengan TV1 tiga malam lepas bahawa tahun ini adalah tahun menyerang. Maka untuk menyerang, UKOM perlukan banyak input. Jadi langkah UKOM mengumpulkan pihak media dan blogger merupakan langkah yang amat tepat bagi membantu UKOM menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.


Thursday, February 16, 2017

MB NAFI ADUN BN SERTAI BERSATU



KUALA TERENGGANU 16 Feb. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan desas-desus kononnya terdapat kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini menyertai PPBM seperti yang tular ketika ini.



Ahmad Razif


Katanya, cubaan untuk kembali menghangatkan suasana politik, dan memberikan gambaran tidak menyeangkan kepada rakyat yang begitu mudah dimainkan melalui media sosial wajar dihentikan oleh kalangan yang dikaitkan dengan pembangkang.


Katanya kerajaan negeri tidak ambil peduli soal itu, dan apa yag mustahak ialah meneruskan tanggungjawab dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

“Situasi ini sama macam yang disebut Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bahawa ada menteri kanan akan meletakkan jawatan tetapi tiba-tiba wakil rakyat pembangkang pula yang keluar parti.

“Lain pula jadinya, mungkin juga selepas ini ada lagi dalam kalangan pembangkang yang akan mengikut jejak langkah itu.

“Jadi saya nasihatkan cukup-cukuplah, masing-masing jaga parti masing-masing tanpa perlu provokasi dan mencetuskan keadaan tidak baik kepada rakyat,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan tersebut semalam.

Wednesday, February 15, 2017

HARI ISNIN DIISYTIHAR HARI TANPA TIE

KUALA TERENGGANU, 15 Feb (Bernama) -- Hari Isnin diisytihar sebagai 'Hari Tanpa Tie' di Terengganu dan tiada mesyuarat diadakan pada hari tersebut kecuali ia dianggap terlalu penting.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata arahan tersebut berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan pegawai kerajaan lebih memberi fokus kepada pelanggan dan tugas mereka pada hari berkenaan.

"Saya telah mengarahkan semua ketua jabatan negeri dan persekutuan untuk menjadikan hari berkenaan sebagai hari mereka turun padang bertemu pelanggan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco di sini semalam.

Tuesday, February 14, 2017

KERAJAAN LANCAR PROGRAM TERENGGANUKU



KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri telah melancarkan program TerengganuKu untuk membantu golongan muda di bawah umur 40 tahun yang berumahtangga dan kakitangan awam Negeri memiliki rumah pertama mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dalam program ini kerajaan negeri memberi subsidi kepada rakyat sebanyak RM40,000 bagi setiap unit rumah di pangsapuri Ladang Tok Pelam Kuala Terengganu dan Pangsapuri Bandar Baru Kerteh Kemaman.


Tambahnya, ini adalah inisiatif kerajaan dalam menyediakan keperluan perumahan untuk rakyat bagi memudahkan memiliki kediaman serta mengurangkan beban mereka melalui Terengganuku.

‘Pangsapuri Ladang Tok Pelam yang berada di tempat strategik seperti mana yang dijanjikan untuk kita menyediakan peluang kepada orang muda di bawah umur 40 tahun yang mempunyai keluarga untuk memiliki rumah’.

‘Pangsapuri itu mempunyai lebih 200 unit dan sebuah rumah ada 3 bilik ia memang sesuai dimiliki oleh mereka dan pada masa yang sama kita nak membantu orang muda mempunyai aset sendiri terutamanya di kawasan bernilai tinggi yang mempunyai prospek untuk harga meningkat pada masa akan datang’.

‘Kita menawarkan kepada orang muda yang 40 tahun ke bawah yang mempunyai kemudahan untuk mendapatkan pinjaman perumahan untuk diberi subsidi RM40 ribu dengan nilai rumah yang ada sekarang’.

‘Nilai rumah RM190 ribu selepas subsidi menjadi RM150 ribu sahaja dan ini adalah sumbangan kerajaan negeri untuk rakyat’.

‘Kedua Pangsapuri Bandar Baru Kerteh juga kurangkan RM40 ribu dan akan kita melihat lagi beberapa rumah yang siap dibina di bawah ACDC juga kita akan kenal pasti untuk kita berikan tawaran ini’ katanya selepas Majlis Ucap Negeri 2017 di Wisma Darul Iman pagi semalam
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, Exco-Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Harga asal rumah Pangsapuri Ladang Tok Pelam adalah RM225 ribu hingga RM248 ribu seunit bergantung kepada aras dan pemandangan manakala pangsapuri Kerteh berharga RM197 ribu menjadi RM157 ribu selepas subsidi.

Ahmad Razif memberitahu kerajaan negeri juga bercadang membina Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di lokasi kuarters kerajaan Batu Buruk untuk kemudahan kakitangan kerajaan.

Monday, February 13, 2017

UMT SEDIAKAN PENEMPATAN SEMENTARA UNTUK MANGSA HAKISAN PANTAI

KUALA NERUS, 13 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyediakan penempatan sementara di kampus universiti itu kepada penduduk tiga kampung yang terjejas dengan hakisan pantai di Mengabang Telipot di sini.


Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata penempatan itu boleh memuatkan 60 hingga 70 orang sebelum mereka berpindah ke kawasan penempatan yang lebih baik.

"Dari segi konteks cuaca, keadaan angin kencang yang membawa ombak besar ini akan berterusan hingga bulan Mac dan penduduk harus berwaspada dan berpindah serta merta jika perlu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di perkampungan tersebut, semalam.

Tiga kampung berkenaan iaitu Kampung Kolam, Kampung Gelam dan Kampung Tengah di Mengabang Telipot mengalami masalah hakisan ombak pada setiap musim tengkujuh sehingga merosakkan rumah penduduk yang terletak berhampiran pantai.

Dalam pada itu, Nor Aieni berkata beberapa kajian UMT sebelum ini mendapati masalah hakisan di kawasan pantai perkampungan berkenaan semakin serius dan mengancam keselamatan penduduk.

Katanya kajian mendapati kawasan perkampungan itu sudah tidak selamat diduduki kerana garisan pantai semakin mengecil setiap kali tiba musim tengkujuh sekaligus menjejaskan rumah penduduk yang terletak berdekatan pantai.

Sementara itu, Mohd Yahya Muda, 54, ketika ditemui di rumahnya berkata hakisan yang melanda kawasan rumahnya kini semakin kritikal dan tahun ini merupakan yang paling teruk.

"Selama lebih 10 tahun saya dan keluarga tinggal di sini, tahun ini kali pertama hakisan tersebut menyebabkan tandas belakang rumah saya musnah teruk dan kini tidak dapat digunakan lagi.

"Mungkin saya dan keluarga terpaksa juga mencari penempatan sementara jika kawasan rumah ini tidak lagi selamat diduduki," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, February 12, 2017

DUA PENUNTUT UNISZA WAKILI MALAYSIA KE PERTANDINGAN KONSULTASI KLIEN

KUALA NERUS, 12 Feb (Bernama) -- Dua penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terpilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Konsultasi Klien Piala Louis M Brown di United Kingdom pada 19 hingga 22 April depan.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata kedua-dua mereka ialah pelajar tahun empat Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) di universiti berkenaan.

"Galvin Loo Wei Ming dan Goh Lai Ling, kedua-duanya berusia 24 tahun berjaya menjadi juara di Pertandingan Konsultasi Klien Peringkat Kebangsaan Harun M Hashim (NCCC 2016) ke-13 yang berlangsung di UniSZA baru-baru ini.

Saturday, February 11, 2017

KETUA MASYARAKAT CINA KEMAMAN YAKIN DENGAN GRUP WHATSAPP KEMAMANG KITE

ANALISIS BERITA

CHUKAI: Sambutan Majlis Tahun Baru Cina anjuran grup whatsapp Kemamang Kite (KK) semalam di sini mendapat sambutan kira-kira 1,000 orang dari pelbagai kaum terutamanya dari kaum Cina.

Sudah tentu ia memberi petanda yang baik kepada BN untuk merampas keimbali kerusi DUN Chukai yang tewas teruk pada PRU 13.

Pada PRU tersebut calon PAS, Hanafiah Mat menang dengan majoriti 2,446 undi. Beliau memungut 12,457 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam mendapat 10,011 undi.

Ini bermakna ahli Umno dan masyarakat Cina menolak calon pilihan MB, Datuk Seri Ahmad Said. Tetapi dengan sokongan masyarakat Cina semalam terhadap program KK membuktikan bahawa mereka kembali menyokong BN sekiranya BN meletakkan calon yang boleh diterima oleh semua kaum.

Majlis itu dihadiri oleh ketua MCA, ketua Gerakan, ketua kelab kelab Cina daerah Kemaman dan mereka yakin dengan grup whatsapp KK yang membuat majlis sambutan Tahun Baru Cina yang tak pernah diadakan oleh Umno Bahagian Kemaman untuk mereka.

Mereka terharu dengan kesungguhan KK mengadakan majlis seperti ini dan mereka yakin jika semangat ini dikekalkan pada PRU akan datang maka BN mampu merampas kembali kerusi DUN Chukai dari tangan PAS.

Malah ADUN PAS yang turut hadiri majlis tersebut tidak dilayan oleh mereka lantaran mereka menyesal memilih calon PAS sebagai wakil rakyat mereka.

Dalam ucapannya penaung KK, Datuk Rahim Husin sekali lagi mengajak semua kaum bersatu padu membangunkan Kemaman  yang banyak ketinggalan dari segi fizikal.

"Sudah sampai masanya Kemaman membangun seperti kawasan lain yang mana kita kesal di sini tiada projek perumahan rakyat, tiada hospital baru dan tiada ibupejabat polis yang baru," kata beliau.

Katanya, sudah sampai masanya bagi rakyat Kemaman menuntut perubahan.

Majlis itu diakhiri dengan cabutan bertuah dan nyanyian dari artis Cina serta tarian singa. Turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan dari pihak hospital. Sesungguhnya program KK ini dapat merapatkan semula kaum Cina dengan Melayu di Chukai yang mereka rasa terabai selama ini.



















Friday, February 10, 2017

ECER DAN UNISZA TINGKAT PENDIDIKAN ORANG ASLI DI TERENGGANU

KEMAMAN, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengambil langkah pro-aktif bergabung dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Orang Asli di negeri ini.

Pengurus Besar ECER Ahmad Fuad Sulaiman berkata seminar 'Move The Heart' melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Berua dari Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di sini yang membabitkan 59 pelajar Orang Asli serta ibu bapa mereka.

"Seminar itu diadakan bagi mengukuhkan kefahaman dan kesedaran tentang per
anan ibu bapa dan guru dalam meningkatkan potensi akademik dan sahsiah pelajar daripada kalangan Orang Asli.

"Selain itu, ia dapat meningkatkan motivasi dan semangat ibu bapa dan guru dalam usaha memajukan diri pelajar melalui program Empower ECER," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis penutup Seminar Move The Heart yang disempurnakan Timbalan Exco Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Terengganu Nik Man Nik Ya.

Sementara itu, Wan Abdul Hakim dalam ucapannya berkata seminar itu diharap dapat meningkatkan pencapaian akademik yang lebih baik dalam kalangan peserta.

"Usaha ini adalah selaras dengan Model Ekonomi Baharu (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara yang bertujuan mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di samping merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dan bandar," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, February 9, 2017

TERENGGANU WUJUDKAN BANDAR KOPERASI

KUALA NERUS, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan mewujudkan 'Bandar Koperasi' di pusat perniagaan Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu menjelang Ogos ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Nawi Mohamad.

Katanya projek itu yang disaran oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan melibatkan 30 koperasi kluster A.

"Setakat ini sebanyak 46 daripada 91 lot kedai di pusat perniagaan itu dikenal pasti untuk tujuan tersebut dan saya akan berbincang lanjut dengan menteri berhubung pembiayaan bagi 30 koperasi yang berminat," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Wednesday, February 8, 2017

LPT2 BINA TIGA STESEN MINYAK BAHARU

KEMAMAN,8 Feb (Bernama) -- Tiga stesen minyak bakal beroperasi sepenuhnya di beberapa laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri Rosli Othman berkata dua stesen minyak akan dibina di Paka manakala satu lagi berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Perasing.

"Setakat ini pihak pemaju telah bersetuju untuk pembinaan stesen minyak berkenaan dalam waktu terdekat. Sekurang-kurangnya tahun ini dan kerja-kerja pengambilan tanah juga telah selesai dilakukan," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama peniaga di kawasan RnR Perasing di sini, hari ini.

Ketika ini LPT2 hanya mempunyai stesen minyak mini di Hentian Kijal.

Tambah Rosli, bagi stesen minyak di Paka, pembinaan akan dilakukan di sebelah kiri dan kanan jalan menghala ke Kuala Terengganu dan Kuantan.

Sesi dialog bersama 18 peniaga di RnR Perasing dilakukan berikutan masalah ketiadaan pengunjung di kawasan itu hingga mengakibatkan mereka mengalami kerugian.

-- BERNAMA

Tuesday, February 7, 2017

SUAMI ISTERI RUGI RM300,000 JUAL PRODUK TANPA KELULUSAN KKM



KUALA TERENGGANU, 7 Feb (Bernama) -- Gara-gara ingin mengaut keuntungan lebih, sepasang suami isteri menanggung kerugian bernilai lebih RM300,000 apabila lebih 3,000 kotak produk kecantikan yang dijual mereka menerusi online, dirampas dalam serbuan di premis pasangan itu di Jalan Pasir Panjang, dekat sini, dua hari lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar berkata pasukan Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas produk itu selepas mengesan pasangan yang berumur 35 dan 20-an itu menjual dan mengeluarkan sendiri produk kecantikan tidak berdaftar yang merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

"Difahamkan pasangan berkenaan menjual produk tersebut dengan harga RM80 satu botol, sedangkan modal yang diperlukan hanya RM10 untuk sebotol produk tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini Selasa.

Dalam serbuan berasingan pada 11 Jan lalu, seorang wanita berumur 20-an turut berputih mata apabila pelbagai produk kecantikan yang dijual di premisnya di Gong Badak, di sini bernilai RM20,000 turut dirampas di bawah akta sama kerana mengeluarkan sendiri produk kesihatan yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Katanya, untuk kedua-dua kes ini pihak Cawangan Penguatkuasa Farmasi JKNT terlebih dahulu melakukan pemantauan selama dua bulan ke atas produk yang dirampas termasuk penjualannya yang dilakukan secara online di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

"Kedua-dua suspek boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan denda yang diperuntukkan adalah tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan RM50,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya," katanya.

Sehubungan itu JKNT mengingatkan semua pengguna agar membeli dan menggunakan produk kesihatan dan kosmetik yang berdaftar dan bernotifikasi serta tidak terpengaruh dengan testimoni di laman sosial yang tidak diketahui kesahihannya.

"Ini kerana keluaran yang tidak berdaftar dengan pihak Berkuasa Kawalan Dadah adalah tidak selamat untuk digunakan kerana kualiti, keselamatan dan keberkesanannya tidak terjamin," katanya.

Beliau berkata kebanyakan produk yang tidak berdaftar ini mempunyai bahan campuran palsu seperti ubat perangsang seksual sildenafil, agen pelansing sibutramine dan steroid yang boleh memudaratkan kesihatan.

"Sementara produk kosmetik yang bernotifikasi pula kebanyakan mengandungi bahan-bahan terlarang seperti hidrokuinon, tretonin dan merkuri yang boleh menghakis lapisan luar kulit dan mendedahkan pengguna kepada risiko kanser kulit," katanya.



-- BERNAMA









Monday, February 6, 2017

RAKYAT TAK PERLU BIMBANG MENGENAI KESIHATAN MB

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang terjatuh dari kuda semasa menjalani sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di sini semalam, dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian.

Beliau sedang menjalani latihan di bawah pengawasan seorang jurulatih pada kira-kira 10.30 pagi, apabila tiba-tiba pitam dan jatuh, kata Ahmad Razif kepada Bernama ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini.

Doktor menasihati beliau agar berehat bagi tempoh dua hingga tiga hari, katanya, dan menambah rakyat negeri itu tidak perlu bimbang mengenai kesihatannya.

Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Terengganu menangguhkan semua program melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Menurutnya, ini berikutan menteri besar memerlukan pengawasan doktor sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas terjatuh kuda dalam sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara semalam.

"Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT akan mengurniakan kesembuhan dan semoga Yang Amat Berhormat (Ahmad Razif) pulih segera," menurut Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, menurut kenyataan di Facebook Pegawai Khas kepada Ahmad Razif, Ahmad Fauzan Abd Kadir, menteri besar kini di rawat di sebuah hospital swasta di ibu negara dan berada dalam keadaan stabil.

"Tiada perkara serius berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu. Beliau sedang dirawat di bawah pengawasan doktor di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Keadaan beliau adalah baik. Terima kasih atas doa anda semua," menurut kenyataan itu.

Ahmad Razif dimasukkan ke hospital tersebut pada kira-kira 11 pagi semalam selepas terjatuh kuda ketika sedang menjalani latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara.



Sunday, February 5, 2017

TERENGGANU HARGAI PERANAN MEDIA TANGKIS TOHMAHAN

KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Peranan media dalam menyebarkan kefahaman dan memberi penjelasan tepat mengenai sesuatu isu mampu menangkis pelbagai tohmahan daripada pihak tidak bertanggungjawab, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata banyak isu dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu terutama menjelang pilihan raya umum.

"Jika nak diikutkan sejak dulu lagi, apa sahaja pembangunan yang kita buat pasti ada sahaja yang membangkang, namun sekarang kita lihat mereka yang membangkang dulu turut menikmati kemudahan hasil pembangunan yang dijalankan kerajaan.

"Namun, saya sangat berterima kasih atas hubungan baik yang terjalin antara media dan kerajaan negeri selama ini kerana banyak penjelasan diberi kepada rakyat mengenai isu-isu tersebut yang akhirnya dapat memberi mereka kefahaman yang sangat jelas dan tidak lagi terpengaruh dengan tohmahan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama media di Seri Iman, kediaman rasmi Menteri Besar malam tadi yang dihadiri lebih 150 pengamal media dari pelbagai agensi.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga sangat menghargai peranan media dalam menyampaikan berita dan maklumat pantas mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Laporan tepat dan pantas ini sangat penting bagi membolehkan kesemua mangsa banjir dibantu sewajarnya walaupun pada masa sama media terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk menjalankan tugas mereka.

"Peranan media dalam penganjuran Visit Beautiful Terengganu 2017 tahun ini juga diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan negeri yang secara tidak langsung memberi banyak manfaat kepada rakyat dalam ekonomi setempat.

"Saya berharap agar semangat ini akan kekal berterusan dan jalinan baik antara media bersama kerajaan negeri membawa lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, February 4, 2017

KK BANTU AYUB YANG KEMALANGAN

KUALA TERENGGANU: Grup whatsapp Kemaman Kite telah memberi sumbangan kepada seorang OKU, Ayub Abdul Aziz, 25 tahun, yang terjatuh dari Hilux di Chukai minggu lepas.

Sumbangan telah disampaikan oleh admin KK, Mat Dalam Awang kepada emak Ayub, Aishah Mat Ali di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini tiga hari lepas.

Sumbangan itu dikutip daripada 256 orang ahli grup whatsapp tersebut.

"Jumlahnya tidak banyak mana tetapi ia adalah sebagai tanda perihatin KK kepada Ayub yang sedang koma di hospital," kata Mat Dalam.

Ayub yang koma selama lima hari akhirnya sedar seperti biasa selepas menjalani pembedahan di kepalanya. KK yang dinaungi oleh Datuk Rahim Husin yang kini menunaikan umrah di Mekah sekali lagi memberi khidmat sosial kepada penduduk Kemaman.



Friday, February 3, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JANUARI 2017

Sekali lagi program grup whatsapp Kemaman Kite menjuarai rating tertinggi bagi bulan Januari 2017 dengan posting KK raikan pertukaran Rosman ke UPEN dengan 86 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Januari 2017 ialah:-

1. KK raikan pertukaran Rosman ke UPEN (28 Januari)
2. Pegawai Perikanan lemas di pantai Chendering (29 Januari)
3.Kehadiran TPM ceriakan mangsa banjir (1 Januari)
4. Razali tak ada pengaruh pun (4 Januari)
5.Rawatan tradisional untuk pulihkan Liya (17 Januari)
6.Betapa cerdiknya ADUN PKR (3 Januari)
7. Tahun Visit Beautiful Terengganu tidak terjejas walaupun banjir (5 Januari)
8.Ku Li tinjau masjid baharu Gua Musang (21 Januari)
9. Epic tandatangani MOU dengan CMC Engineering (16 Januari)
10. Kemaman buka pusat pemindahan banjir untuk pesakit berisiko tinggi (23 Januari)

Thursday, February 2, 2017

ANAK KEMAMAN JUARA SILAT ANTARABANGSA

KEMAMAN:  Muhammad Shahmiel Ashraf Zulkhairi, 17 tahun, anak Kemaman menjuarai kejohanan silat dalam Karnival  Tempur Seni Bela Diri Antarabangsa 2017 yang diadakan di Besut, Terengganu minggu lepas.

Karnival itu disertai oleh kelab-kelab  silat seluruh Malaysia dan kelab silat dari Thailand. Manakala negara lain seperti Indonesia. Brunei, Filipna tidak hadir kerana mereka bimbang terperangkap dengan banjir.

Anak kelahiran Kemasik ini sedang belajar di tingkatan lima di Sekolah Menengah Chukai di sini. Beliau yang meminati silat olahraga sejak di tingkatan satu lagi mendapat dorongan daripada Cikgu Nisfu Jusoh.

Di Besut minggu lepas, beliau menang pingat emas putra D mengalahkan pesilat dari Thailand. Beliau juga diumumkan sebagai pesilat terbaik. Sehingga ini beliau telah menyertai lima pertandingan silat.

Ayahnya Zulkhairi yang berasal dari Kemasek bekerja sendiri manakala ibunya pengusaha kantin di Sekolah Menengah Badrul Alam Shah, Kemasik.

Shahmiel yang juga anak ketiga dari lima adik beradik bercita cita menjadi seorang usahawan dan beliau berharap dapat mewakili negara dalam silat olahraga.

"Terima kasih kepada ayah saya yang banyak beri sokongan untuk saya teruskan menceburi bidang silat olahraga," katanya yang mengucapkan penghargaan kepada Cikgu Nisfu dan jurulatihnya.