Tuesday, July 31, 2018

JANGAN TAKBUR CALON PKR

SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Datuk Lokman Noor Adam hari ini 'menegur' calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang disifatkannya bersikap takbur apabila begitu yakin dapat 'menyapu bersih' undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.

Malah kata calon BN itu jika beliau menerima dua undi sahaja daripada kaum India sudah cukup membuktikan keyakinan Mohd Zawawi tidak berasas.

"Kalau dia (Mohd Zawawi) cakap boleh sapu bersih, saya rasa takbur sangat. Sepatutnya sifat takbur dan riak tidak perlu ada dalam jiwa seorang ustaz," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Parlimen Kota Raja di sini.

Lokman Noor berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohd Zawawi hari ini yang menyatakan keyakinannya menyapu bersih undi masyarakat India pada PRK berkenaan.

Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu berkata keyakinan tersebut adalah hasil maklum balas positif yang diterima daripada kaum India di daerah-daerah mengundi DUN berkenaan selain daripada pemimpin komuniti yang menyatakan sokongan terbuka kepadanya.

Sunday, July 29, 2018

RAIS KECEWA MENTERI BERSATU MAHU LAKSANAKAN UEC



KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno dan PAS semalam bersama-sama dalam Himpunan Kebangkitan Ummah yang dianjurkan untuk mempertahankan Melayu dan Islam daripada unsur yang didakwa mengancam kepentingan dan haknya bawah Perlembagaan Persekutuan.

Antara pemimpin yang sudah hadir adalah Setiausaha Agung PAS Datuk takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.

Himpunan yang bertemakan 'Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam' itu anjuran gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan bertempat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Setakat ini lebih 1,000 hadirin sudah mula memenuhi padang itu.

Turut hadir adalah bekas menteri dan anggota BERSATU Tan Sri Rais Yatim.

Dalam ucapan lantangnya, Rais menegaskan kembali bantahan terhadap kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

"Kita tak boleh ada lebih daripada satu sistem peperiksaan. Lihat Singapura, Indonesia, India...semuanya hanya ada satu sistem.

"(Jadi) apa cerita nak ada dua sistem (dan) sijil?" soalnya.

Rais juga menggesa hadirin agar terus melawan sebarang usaha melangkaui Perlembagaan Persekutuan dalam soal hak dan budaya Melayu serta Islam.

"Salah satu caranya adalah untuk tidak berhenti menyatakan bahawa di negara ini, hanya perlu ada satu sistem peperiksaan," katanya.

Nasrudin pula menggesa hadirin untuk bangkit mempertahankan Islam kerana menurutnya kerajaan memberi ruang kepada pihak tertentu untuk menyerang agama itu.

"Ruang yang diberi kepada mereka yang mengancam Islam semakin luas hari demi hari.

"Ada juga tekanan dan ancaman daripada pelbagai pihak yang mahu mengancam kesucian Islam," dakwanya yang merupakan anggota parlimen Temerloh.


Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan kekecewaannya melihat anggota parlimen di pihak kerajaan yang dirasakannya secara terbuka mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.

"Beberapa kenyataan tidak bertanggungjawab pemimpin sebelah sana (HARAPAN) yang mencabar kedaulatan raja...tanah ini dikatakan bukan lagi Tanah Melayu tapi Tanah Malaysia.

"Ini disebut dalam Parlimen, bahasa Melayu juga tidak lagi diberikan tempat sewajarnya," katanya lagi.


Sepanjang himpunan, kenyataan dan dakwaan pemimpin yang berucap berkisar soal dakwaan usaha pihak tertentu - yang dikatakan disokong kerajaan hari ini - untuk menjejaskan hak Melayu dan Islam yang dijamin kerajaan.


Sejumlah pemimpin NGO menyasarkan pemimpin Melayu dan beragama Islam dalam kerajaan yang bagi mereka gagal melindungi hak golongan majoriti di negara ini, malah tunduk kepada tuntutan masyarakat minoriti.

Antaranya Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman yang menuduh Menteri Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa sebagai gagal melaksanakan tanggungjawabnya mempertahankan hak orang Islam.

Beliau juga mendakwa Menteri Pertanahan Mohamad Sabu sebagai "simpatisan komunis" yang kini diberi kepercayaan melindungi negara.

Dalam soal UEC, para pemberi ucapan membidas Menteri Pelajaran Maszlee Malik yang didakwa tunduk kepada tekanan DAP.

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki - yang turut hadir - kemudian memberitahu pemberita bahawa himpunan itu merupakan tanda kerisauan orang ramai dan perlu dipandang serius kerajaan.

"Dan suara rakyat, yang melangkaui politik, jelas menyatakan kerisauan majoriti bahawa hak mereka dihakis oleh mereka yang kini memegang kuasa," katanya lagi.

Sejumlah 20 pemimpin NGO memberikan ucapan. Himpunan ditutup dengan bacaan doa pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Friday, July 27, 2018

KUMPULAN REFORMASI LAWAN KUMPULAN PENYAMUN



KUALA LUMPUR:Pertembungan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat hampir tidak dapat dielakkan selepas bekas anggota parlimen Pandan itu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR September ini.

Azmin masih berahsia, namun lebih mudah untuk membayangkan menteri hal ehwal ekonomi itu mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak 2010 berbanding mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kedudukan nombor satu.

Yang pasti, dalam pertembungan yang disifatkan Rafizi sebagai antara ahli politik (career politician) dan reformis, bekas anggota parlimen Pandan itu memerlukan seberapa banyak sokongan yang ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi menunjukkan nada kempennya iaitu "mempertahankan idealisme reformasi" yang menjadi punca tertubuhnya parti itu.

Beliau juga membayangkan pasukannya dalam pemilihan kali ini adalah mereka yang tidak memegang kuasa, dengan kehidupan yang " tidak berubah sebelum dan selepas PRU ke-14".

"Saya tahu itu satu beban yang berat kerana saya bukanlah berjawatan kerajaan atau berduit," katanya.

Beberapa nama dispekulasikan berada dalam kem Rafizi termasuklah rakan sejawatnya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah, yang pernah bersama Rafizi dalam pasukan sama pada pemilihan PKR 2014, dijangka akan mempertahankan jawatan naib presiden.

Nama lain yang turut dikaitkan berada dalam kem Rafizi adalah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan Anggota Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Menurut sumber, ketiga-tiga nama ini juga dijangka bertanding jawatan naib presiden.

Dua lagi nama yang turut dispekulasikan berada dalam kem Rafizi ialah Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail.

Fuziah dan Rodziah masing-masing dijangka akan bertanding jawatan ketua Wanita dan timbalan ketua Wanita.

Sementara itu, bagi jawatan sayap Pemuda, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar dispekulasikan akan bersama Rafizi.

Akmal dikatakan akan bertanding jawatan ketua Pemuda dengan Raymond dijangka menjadi timbalannya.

Bermula minggu depan, Rafizi akan memulakan kempennya dengan mengadakan pertemuan dengan anggota PKR di seluruh negara.


"Saya sudi mendengar, ditegur, memohon maaf dan mencadangkan bagaimana kita mahu membina parti reformasi yang kekal dengan idealismenya.

"Serta menyanjung aktivis di bawah lebih tinggi berbanding tunduk kepada jawatan di atas," katanya.

Pemilihan PKR tahun ini dijangka bertumpu pada 'perseteruan' antara Rafizi dan Azmin yang mendominasi pergelutan dalaman parti itu sejak 2014.

Rafizi akan membuat pengumuman rasmi berhubung kempen dan pasukannya pada Ahad ini di Hotel de Palma, Ampang.

Ulasan saya, PKR yang ditubuhkan di zaman reformasi sudah berbeza dengan PKR sekarang. Seolah olah wujud dua kumpulan dalam PKR, kumpulan reformasi dengan kumpulan penyamun.

Sejak PKR menguasai Selangor pada PRU 2008, PKR telah melahirkan ramai pemimpin yang kaya yang banyak menyamun projek. Idealisme asal PKR sudah dilupakan. Dahulu mereka menentang rasuah kini mereka terpalit dengan rasuah.

Maka langkah Rafizi Ramli bertanding jawatan timbalan presiden PKR adalah untuk membersihkan gejala salah guna kuasa  dan rasuah dalam PKR. Apa yang dilakukan oleh Rafizi tidak popular tetapi jika sejarah Perang Badar tidak dielakkan maka pemimpin PKR akan jadi seperti tentera Islam yang gilakan harta rampasan dan ia punca kekalahan mereka dalam perang tersebut.

Semoga Rafizi yang mengetuai kumpulan refornasi berjaya dalam misinya menentang kumpulan penyamun dalam PKR.

Thursday, July 26, 2018

BELUM ADA CALON LAWAN ANWAR JAWATAN PRESIDEN PKR

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Masih belum ada calon lain yang tampil menyuarakan hasrat untuk mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata setakat ini hanya Anwar yang mengesahkan akan bertanding jawatan tertinggi parti itu yang kini disandang isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Setakat ini yang dah betul-betul mengesahkan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2018 (MIRF) di sini hari ini ketika ditanya mengenai perkara itu.

Saifuddin berkata beliau akan bertemu dengan Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, di Turki bagi urusan melengkapkan borang pencalonannya.

"Secara kebetulan saya akan menziarahi beliau esok di Turki dan saya akan bincang mengenai persiapan beliau dalam mengambil bahagian dalam pemilihan akan datang," katanya.

Wednesday, July 25, 2018

IKHLASKAH PH MAHU PEMBANGKANG KETUAI PAC?



KUALA LUMPUR: Pertimbangan hanya nama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bukan muktamad kerana ia harus berdasarkan undian semua anggota parlimen.

Bekas pengerusi PAC, Tony Pua Kiam Wee berkata ini kerana ada kemungkinan mana-mana anggota parlimen pembangkang lain yang berminat akan muncul untuk menjadi antara calon bagi mengisi jawatan tersebut.

“Saya tidak tahu siapa akan dilantik (menjadi pengerusi PAC) tapi memang ia harus datang daripada pihak pembangkang untuk beri semak dan imbang kepada kerajaan sekarang.

“Kalau mungkin ada (anggota Parlimen pembangkang lain) yang berminat, kita tunggu dan lihat sajalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM1 juta oleh lebih 200 syarikat perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang kepada Tabung Harapan Malaysia malam ini.

Pua, yang juga Anggota Parlimen Damansara, berkata kerajaan Pakatan Harapan akan menerima sesiapa sahaja dari pihak pembangkang untuk mengisi jawatan berkenaan.

Media hari ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan hanya nama Ahmad Zahid sahaja yang dipertimbangkan untuk dipilih sebagai Pengerusi PAC.

Namun, katanya, buat masa ini keputusan itu adalah di tangan Ahmad Zahid sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau tidak.

Ulasan saya, kenyataan Tony Pua menggambarkan PH tidak ikhlas mahu PAC diketuai pembangkang. Liew telah mengatakan nama Zahid nama tunggal calon pengerusi PAC tetapi Tony Pua kata bukan muktamad kalau ada calon lain. Sebaliknya anggota parlimen akan mengundi secara sulit.

Tony Pua nampaknya lebih hebat dari Liew yang jaga undang undang negara. Saya cadangkan supaya Tony Pua ganti Liew sebagai menteri undang undang.

Tuesday, July 24, 2018

ZURAIDA DICABAR LAWAN ANWAR BAGI JAWATAN PRESIDEN PKR



KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada bertanding dalam pemilihan parti itu atau tidak.

Menurut menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu, hal ini memandangkan tarikh menghantar nama di tunda sehingga 5 Ogos, jadi ia memberi lebih masa untuknya membuat pertimbangan.

"Saya belum lagi memutuskan jawatan apa akan bertanding. Dalam masa terdekat (saya) akan buat keputusan dan buat pengumuman kerana tarikh dah tunda daripada 29 Julai kepada 5 Ogos.

"Ia beri saya lebih masa untuk pertimbangkan (untuk bertanding atau tidak)," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya jika akan bertanding bagi mana-mana jawatan sempena pemilihan PKR tahun ini.

Selain itu, mengulas soalan partinya itu kini berpecah kepada dua kem, Zuraida tidak menafikannya.

Malah, beliau berkata, ia merupakan satu amalan demokrasi yang sihat kerana wujudnya 'perlawanan' dalam sesebuah parti.

"Kalau lawan mesti ada beberapa kem. Kalau tak, tak ada lawan.

"Kita mengamalkan demokrasi jadi pengamal demokrasi membenarkan orang untuk bertanding. Biarkan mereka bertanding. Selepas itu, mereka boleh menjadi kawan (semula)," ujarnya lagi.

Minggu lalu Zuraida mengeluarkan kenyataan bahawa Wanita PKR menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan berkenaan dicabar.

Zuraida turut mengingatkan agar PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula daripada kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Ulasan saya, saya cabar Zuraida tanding jawatan Presiden PKR lawan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau yang beriya iya benar mahu PKR amalkan demokrasi.

Azmin yang dikipas oleh Zuraida terpengaruh dengan kipasan itu mahu menentang Anwar seolah olah Zuraida mahu menafikan jasa Anwar  yang memulakan reformasi menjatuhkan Dr Mahathir pada tahun 1998.

Zuraida sudah lupa daratan kerana pangkat dan harta yang beliau kumpul selama ini. Beliau yang merosakkan PKR sehingga PKR berpecah dua dan sehingga beliau lupa sumbangan Anwar. Jika Azmin enggan menentang Anwar, saya cabar Zuraida yang lawan Anwar. Beranikah Zuraida?

Monday, July 23, 2018

SARAWAK DAN TERENGGANU BERSETUJU ROYALTI DARI PENGELUARAN MINYAK



KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Difahamkan, pertemuan yang memfokus isu royalti minyak itu turut dihadiri Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Ahmad Samsuri berkata, secara khususnya kedua-dua negeri bersetuju dan komited untuk memastikan yang terbaik bagi negeri Terengganu dan Sarawak serta negeri pengeluar minyak dan gas yang lain.

“Pembayaran royalti adalah perlu mengikut perjanjian yang dimeterai, dan kami juga sepakat bahawa ianya adalah royalti dari pengeluaran minyak dan gas, dan bukannya dari keuntungan bersih,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sunday, July 22, 2018

TAMAN HERBA PASIR RAJA LAHIRKAN 32 ORANG PELADANG SATELIT HERBA

DUNGUN, 22 Julai (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Taman Herba Pasir Raja, sebuah projek Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD), di mukim Pasir Raja, di sini, hari ini.

Projek usahasama awam-swasta itu dimajukan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) dengan syarikat pengeluar produk suplimen kesihatan, Bioalpha.

Keberangkatan Sultan Mizan ke majlis diiringi anakanda Tengku Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan Zainal Abidin, Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A Rahman Yahya, Pengerusi Bioalpha Holdings Berhad Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Terdahulu Abdul Rahman dalam ucapannya berkata pembukaan HICD yang ditanam dengan 20 jenis tanaman herba di atas tanah seluas 406 hektar (1,004 ekar) sejak 2015 berjaya melahirkan 32 peladang satelit herba di mukim ini.

"Seluas 83 hektar (260 ekar) tanah setakat ini ditanam dengan 20 jenis tanaman herba termasuk Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Dukung Anak, Pecah Beling dan Mas Cotek."

"Menerusi projek ini peladang satelit berpeluang menjadi usahawan tani berjaya menerusi sistem bayar balik yang akan memberi pendapatan berpatutan sekaligus membangunkan ekonomi negeri ini," katanya.

Saturday, July 21, 2018

ZAM KETINGGALAN ZAMAN

Lucu saya baca posting terbaharu Zainuddin Maidin dalam blognya Zam Kata apabila beliau menulis, "Apabila Parti Pembangkang(PH) menjadi kerajaan Menteri Penerangannya Gobind Singh Deo mengambil keputusan berani membuat siaran langsung sesi soal jawab yang memberikan gambaran keyakinan kerajaan PH untuk menghadapi apa juga akibatnya"


Nampaknya Zam ketinggalan zaman. TV1 sejak zaman Datuk Seri Najib Tun Razak lagi telah menyiarkan siaran langsung soal jawab parlimen dari jam 10 pagi hingga 11.30 pagi dari hari Isnin hingga Khamis.


Tradisi dimulakan oleh bekas menteri komunikasi dan multi media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan diteruskan oleh Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sehinggalah parlimen dibubarkan. Oleh itu Gobind Deo Singh meneruskan keterbukaan yang dirintis oleh Ahmad Shabery Cheek.


Itu yang pelik bekas menteri penerangan tak ikuti perkembangan zaman. Saya pernah dimarahi bekas menteri apabila saya menulis Zam tak wajar dapat penghargaan dari KKMM kerana tulisan beliau banyak menghentam Najib Razak. Tapi menteri tersebut kata saya tidak terbuka kerana penghargaan Zam diberi kerana beliau bekas menteri penerangan.


Zam memang kuat bodek tetapi nak bodek Gobind Deo Singh pun buatlah homework terlebih dahulu. Buat malu sahaja. Bagi saya Zam ini tak layak dapat pingat Tan Sri kerana beliau seorang stringer yang kuat bodek Melan Abdullah akhirnya dapat jadi Ketua Pengarang Utusan Malaysia.

Friday, July 20, 2018

SEKOLAH DI TERENGGANU SUDAH LAMA PAKAI KASUT HITAM SEJAK 2015

KUALA TERENGGANU, 20 Julai (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung pemakaian kasut berwarna hitam di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah dilaksanakan di seluruh negara mulai tahun depan.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata semua pelajar di negeri ini dibenarkan memakai kasut hitam sejak tahun 2015 dan setakat ini lebih separuh daripada 504 sekolah telah melaksanakannya.

"Bagaimanapun, ada juga permintaan daripada ibu bapa yang mahu anak mereka memakai kasut putih dengan alasan kasut dipakai kakak atau abang mereka sebelum ini masih elok dan selesa untuk dipakai."

"Bagi jabatan, kami tiada masalah dengan perkara itu asalkan ia tidak membebankan ibu bapa....galakan memakai kasut berwarna hitam adalah kerana ia lebih praktikal di kalangan pelajar dan kami bersedia melaksanakan cadangan itu tahun depan," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata pemakaian kasut sekolah berwarna hitam itu adalah berdasarkan permintaan ibu bapa yang tidak mahu anak mereka memakai kasut berwarna putih.

Kebanyakan ibu bapa juga menyambut baik pemakaian kasut sekolah berwarna hitam kerana ia tidak mudah nampak kotor dan sesuai dengan cuaca di Terengganu yang sering mengalami hujan terutama pada musim tengkujuh.

-- BERNAMA

Thursday, July 19, 2018

RAJA KAMARUL BAHRIN GUNA PENGALAMAN ARKITEK UNTUK PERKASA SEKTOR PERUMAHAN

KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya sebagai arkitek selama ini untuk terus memperkasa sektor perumahan negara.

Beliau juga bercadang menggunakan teknologi tempatan dalam pembinaan rumah dengan lebih cepat sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada tukang kayu khususnya di negeri Pantai Timur.

"Menerusi kajian saya sebagai seorang arkitek, Terengganu dan Kelantan memang ada satu sistem pasang siap untuk pembinaan rumah kampung selama ini. Kita akan lihat kemungkinan guna teknologi tempatan itu jika sesuai.

"Secara tidak langsung boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan khususnya tukang kayu yang mempunyai kemahiran itu," katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir di tapak pembinaan Kuala Terengganu Bypass di sini, hari ini.

Katanya isu perumahan sering menjadi rungutan rakyat berikutan harganya di luar kemampuan mereka dan kementerian akan beri tumpuan terhadap pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan kos sederhana.

Wednesday, July 18, 2018

TERENGGANU BOLEH LAKSANAKAN ENAM ORANG ADUN DILANTIK



KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan akan melantik wakil kaum non-muslim di kalangan kaum Cina dan India bagi mewakili masyarakat minoriti di negeri ini.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apabila tiba masa yang sesuai kerajaan akan umumkan perlantikan kaum non-muslim itu.

Menurutnya, segala perancangan ke arah itu proses perlantikan pegawai-pegawai khas berkenaan dalam tindakan kerajaan negeri.

“Perkara (perlantikan) itu sedang dalam pertimbangan dan memang ada pegawai-pegawai yang dilantik. Kita sedang menimbang untuk wakil kaum Tionghua dan wakil kaum India.

“Sebenarnya, perlantikan untuk pegawai-pegawai (khas) bangsa Melayu dan wanita juga dalam proses. Jadi bila sampai waktunya kita (kerajaan) akan umumkan,” ujarnya kepada wakil media.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama kaum non-Muslim dari warga Tionghua (Cina) dan India, di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Dr Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa kepentingan kaum lain khususnya di Terengganu adalah sama penting antara Melayu, Cina dan India.

Justeru, katanya masyarakat non-muslim juga perlu diwakili dari kalangan kaum mereka sendiri.

“Ada (wakil) sebab mereka juga adalah komponen yang penting dalam negeri kita dan tentulah mereka perlu diwakili dari kalangan mereka.

“Ada yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara ini iaitu kaum India dan kaum Tionghua,” jelasnya.

Menurut Dr Ahmad Samsuri lagi, wakil rakyat PAS di peringkat Dun (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen sentiasa mengambil ‘cakna’ menyelesaikan masalah rakyat.

“Wakil rakyat kita (PAS) di Dun Bandar, Ahmad Shah Mohamed sentiasa berhubung dengan mereka. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim juga ada berhubung dengan mereka.

“Kita sangat prihatin dan sangat mengambil perhatian serta perjalanan untuk selesaikan masalah rakyat, dan dari hari ke hari sentiasa ada (aduan) masalah,” jelasnya.

Katanya, antara permasalahan yang sentiasa diterima aduan adalah mengenai perniagaan, tapak perniagaan, pasar pagi Kampung Tiong, masalah longkang tersumbat dan kebersihan.

Ulasan saya, ketika PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 sidang DUN Terengganu telah meluluskan enakmen perlantikan enam orang ADUN. Maka sudah sampai masanya bagi MB melaksanakan enam orang ADUN dilantik itu untuk mewakili kaum cina, kaum india, orang asli, wanita, veteran dan wakil NGO.

Di Sabah dahulu ada juga enam orang ADUN dilantik di zaman PBS. Tetapi apabila BN membentuk kerajaan pada tahun 1994, BN tidak pernah melantik lagi enam orang ADUN.

Maka sudah sampai masanya bagi Terengganu melaksanakan enakmen ini jika benar MB mahu wakil non muslim, wanita turut berada di dalam Dewan Undangan Negeri.

Tuesday, July 17, 2018

JANGAN SOMBONG DAN CAKAP KASAR BILA BERTUGAS DI KAUNTER UTAMA


KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan kakitangan awam yang berkhidmat di bahagian kaunter mana-mana jabatan atau agensi kerajaan di negeri ini supaya tidak bersikap pilih kasih terhadap pelanggan.

Beliau berkata mereka yang terlibat seharusnya bersikap profesional tanpa membuat penilaian luaran berdasarkan 'penampilan' seseorang.

"Lihatlah mana negara-negara maju lain seperti di Amerika dan Eropah yang begitu menghormati setiap rakyat yang datang berurusan dengan mereka, walaupun seorang pakcik berpakaian compang-camping tetap dipanggil dengan gelaran mesra...dijemput duduk untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

"Kenapa kita tak boleh lakukan perkara sama kepada rakyat kita? Saya sangat berharap agar perkhidmatan di kaunter ini akan berubah dengan semangat profesionalisme yang tinggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ucap Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status dalam laman Facebook rasminya malam semalam berhubung pengalaman isterinya yang terkilan dengan sikap kurang berbudi bahasa seorang pegawai di kaunter Pejabat Pendidikan Kuala Terengganu di Wisma Persekutuan.

Dalam catatan status itu, Ahmad Samsuri berkata isterinya pergi ke pejabat itu pada kira-kira 11.30 pagi atas urusan pertukaran anaknya ke sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.

"Saya merasa sangat terkilan dengan sikap kurang budi bahasa dan profesionalisme seorang pegawai di kaunter untuk urusan sekolah menengah, bila bercakap kasar dan sombong. Kalau beginilah sikap sesetengah pegawai berurusan dengan rakyat, ia sangat memalukan.

"Sudah tentu saya akan memaklumkan kepada Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) bila bertemu nanti - iaitu sebahagian isu kerosakan profesionalisme," catatnya dalam status yang mendapat lebih 12,000 reaksi dan 1,966 perkongsian netizen di seluruh negara itu.

Ahmad Samsuri, bagaimanapun menegaskan perkara itu sudah diselesaikan dengan baik dan pegawai terbabit telah memohon maaf serta semua pihak termasuk isterinya kini berlapang dada dengan insiden tersebut.

"Pesanan saya kepada isteri apabila pergi berurusan ke mana-mana sahaja jangan perkenalkan diri sebagai isteri menteri besar, cukuplah datang sebagai rakyat biasa.

"Dari situlah baharu kita boleh membuat penilaian, senang atau susah, bagus atau tidak sesuatu perkhidmatan tersebut," katanya sambil berharap insiden itu menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Monday, July 16, 2018

LSSPV JANA PENDAPATAN KEPADA EPIC SEBANYAK RM273 JUTA






KEMAMAN: EPIC Berhad melangkah setapak lagi ke hadapan dengan melibatkan diri di dalam perkhidmatan pembangunan Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar "Photovoltaic"  (LSSPV) bagi mengetengahkan sumber bekalan tenaga baru (renewable energy) dengan menggunakan teknologi sumber tenaga hijau iaitu tenaga solar di Pantai Timur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor, pembangunan stesen janakuasa ini akan menambahkan lagi kepelbagaian aktiviti dan sumber pendapatan kepada EPIC.

"Dengan tertubuhnya loji janakuasa ini secara tidak langsung akan memberi impak yang positif kepada negeri Terengganu," katanya ketika berucap di majlis pelancaran rasmi loji janakuasa tenaga solar berkapasiti 18.5 megawatt di Teluk Kalong di sini semalam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah merasmikan loji tersebut.

Noor Fadzil berkata  penubuhan sebuah syarikat usahasama iaitu EPIC Solar Sdn Bhd antara EPIC Berhad dan MIE Industrial Sdn Bhd telah berjaya memperoleh lantikan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi melaksanakan projek LSSPV ini bagi pusingan pertama.

"MIE Industrial Sdn Bhd bertindak sebagai EPCC (Engineering Procument Construction and Commissioning) dan juga sebagai pembawa teknologi yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam pembinaan loji janakuasa tenaga solar ini," katanya.

Katanya lagi, LSSPV ini dioperasikan di tanah EPIC seluas 70 ekar dengan kos sebanyak RM86 juta.

Projek yang bermula pada 23 Mac lalu telah menerima kontrak daripada TNB selama 21 tahun yang mana ia dijangka menjana pendapatan sebanyak RM273 juta.

"Buat masa ini, loji janakuasa di Teluk Kalong ini merupakan loji janakuasa solar terbesar yang beroperasi di Malaysia," katanya lagi.

Beliau berharap kejayaan hari ini akan membuka ruang yang lebih besar terutamanya bagi inisiatif perniagaan baru di Terengganu untuk EPIC terus berkecimpung dan bersama sama mengambil peluang menjana pendapatan dan memberi impak yang positif kepada ekonomi Terengganu secara berterusan.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kerajaan Terengganu bertekad untuk menerokai bidang tenaga diperbaharui seperti tenaga solar bagi menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata bidang itu sudah lama bertapak di luar negara tetapi agak baru di Malaysia kerana kekangan beberapa faktor termasuk kepakaran tenaga mahir yang terhad.

"Sebelum ini kebergantungan lebih kepada sumber asli seperti arang batu, petroleum dan sebagainya. Dalam menggunakan tenaga diperbaharui, dengan sendirinya membantu bukan sekadar untuk memahami teknologi tetapi juga sediakan peluang ekonomi kepada rakyat.

"Terengganu antara yang terlibat dalam bidang berkenaan dan tenaga diperbaharui ini banyak termasuklah tenaga solar dan tenaga angin yang kita kenal pasti boleh diterokai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 megawatt di Teluk Kalong di sini

Ahmad Samsuri berkata Projek Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 megawatt yang dibangunkan EPIC itu adalah terbesar di Malaysia.

"Pembangunan sistem solar berskala besar ini dijangka memberi manfaat kepada sistem bekalan elektrik dan dijana daripada sumber mesra alam.

"Melalui teknologi ini juga ia mampu memacu pertumbuhan ekonomi di mana inovasi dalam bidang ini bukan sahaja diguna pakai oleh industri malah membawa manfaat kepada pengguna," katanya.









Sunday, July 15, 2018

OKU TERIMA ANUGERAH KHAS PENDERMA DARAH

KUALA TERENGGANU, 15 Julai (Bernama) -- "Saya tidak ada harta benda, apa yang ada hanyalah darah yang mengalir dalam tubuh badan saya. Biarlah darah ini menjadi sumber pahala dan kebaikan kepada pihak memerlukan," kata Mohd Zamzuri Ariffin, 46.

Penerima anugerah penderma darah peringkat kebangsaan bagi kategori orang kelainan upaya 2018 itu berkata beliau mula menderma darah sejak 10 tahun lepas setelah mendengar kebaikan amalan itu.

Lelaki cacat penglihatan itu berkata setiap tahun beliau akan menderma darah melalui kempen yang diadakan di Masjid Batu Buruk di sini pada bulan Ramadan.

"Setiap kali Ramadan, pasti ada kempen derma darah dilakukan di masjid-masjid...di situlah saya menderma darah buat kali pertama 10 tahun lalu dan saya berazam mahu menjadi penderma tetap iaitu menderma empat kali setahun bagi memastikan bekalan darah mencukupi," katanya.

Mohd Zamzuri ditemui pemberita di majlis penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan yang disempurnakan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di sini Sabtu malam.

Saturday, July 14, 2018

APA SALAHNYA MAHDZIR KHALID JADI PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO TERENGGANU?

KUALA TERENGGANU: Ramai ahli Umno Terengganu marah apabila pucuk pimpinan Umno melantik Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu yang baharu.

Bagi saya, apa salahnya melantik beliau kerana beliau adalah Naib Presiden Umno. Dua orang lagi naib presiden Umno turut dilantik Pengerusi Perhubungan Perlis (Datuk Seri Khalid Nordin) dan Pengerusi Perhubungan Selangor (Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob).

Saya percaya perlantikan ini bersifat sementara kerana Mahdzir Khalid mahu menyatukan lapan orang ketua bahagian di Terengganu. Yang nak sangat jadi pengerusi perhubungan ialah Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Untuk mengelak perebutan kuasa di antara dua ketua bahagian ini maka Umno melantik orang Kedah sebagai pengerusi perhubungan Umno Terengganu. Saya yakin bekas Menteri Pendidikan itu mampu menyatukan semua ketua bahagian di Terengganu dalam masa terdekat.

Kalau jawatan itu diberi kepada Ahmad Said, ramai ketua bahagian tidak bersetuju kerana semasa beliau jadi pengerusi Umno Terengganu dahulu BN hanya mampu menang 17 kerusi sahaja pada PRU 2013. Maka lebih elok buat sementara dua tahun ini dalam memulihkan semula imej Umno yang tercemar jawatan ini diberi kepada orang luar.

Melantik orang luar sebagai pengerusi perhubungan Umno Terengganu bukan perkara baharu. Pak Lah sewaktu TPM pernah dilantik pengerusi perhubungan Umno Terengganu. Begitu juga Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Oleh itu apa salahnya Mahdzir Khalid memulihkan semula Umno Terengganu dalam tempoh lima tahun ini.

Tahniah kepada Mahdzir Khalid. Semoga beliau dapat menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama kepada semua ahli Umno Terengganu.

Friday, July 13, 2018

TEMPAHLAH BUKU DIGITAL "KISAH BENAR"

Buku digital terbaharu di pasaran KISAH BENAR susunan Azwan Adli.
Untuk membelinya anda bayar RM50 kepada nombor akaun CIMB 7002297592. Selepas itu anda forward gambar resit itu kepada nombor handphone 01115725682 dengan beri nama penuh dan email anda. Buku itu akan dihantar terus kepada email anda selepas kami terima gambar resit pembayaran.

ORANG AIR PUTIH TAK LAYAK JADI PENGERUSI PENYELARAS DUN?

KEMAMAN:  Umno Bahagian Kemaman tak serik dengan kekalahan tiga kerusi DUN dalam PRU Mei lalu. Dalam mesyuarat pertama ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman dua hari lepas, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Kemasik diikuti Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), Ahmad Fikry Ibrahim (Chukai) dan Rosli Ahmad (Air Putih).

Tiga DUN dapat anak tempatan sebagai Pengerusi Penyelaras DUN  tetapi kenapa DUN Air Putih lantik orang luar (Setiausaha Bahagian)? Amat malang DUN Air Putih yang sering kali dianaktirikan. Selepas anak tempatan (Datuk Harun Hassan) menjadi calon Air Putih (1986-1999), Air Putih asyik dapat orang luar sebagai calon (Dr Ramli Taib, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dan Wan Hakim Wan Mokhtar).

Rakyat Air Putih tolak Wan Hakim orang luar sebagai calon mereka pada PRU lalu bukti rakyat Air Putih mahu anak tempatan sebagai calon. Mesej yang disampaikan oleh rakyat Air Putih masih tidak difahami oleh pucuk pimpinan Bahagian. Umno nak menang tak PRU akan datang di Air Putih? Kalau nak menang kena dengar suara akar umbi.

Ada lima ahli jawatankuasa Umno Bahagian dari DUN Air Putih, Tuan Kecil Tuan Tengah, Dr Zaki Salleh, Kamarizam Harun, Mazlan Binjai dan Zaidi Mat. Pilihlah Tuan Kecil orang paling lama sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih dan kenapa perlu lantik Rosli Ahmad?

Yang lebih melucukan Ahmad Said ketika mengumumkan perlantikan semua  Pengerusi Penyelaras DUN beliau membaca kertas yang diberi oleh Rosli Ahmad. Macam macam hal.

Oleh itu Ahmad Said perlu dengar suara majoriti ketua cawangan dalam DUN Air Putih yang mahu anak tempatan dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN jika mahu BN bertapak semula dalam PRU akan datang di DUN tersebut.

Wednesday, July 11, 2018

EPIC TERUSKAN CSR KEPADA ANAK ANAK YATIM PERKAYA




MARANG: EPIC Berhad sekali lagi melibatkan diri dalam program CSR untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik bersempena dengan bulan Syawal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor, komitmen untuk membela nasib anak anak yatim dan miskin adalah satu komitmen yang perlu ditingkatkan dari masa ke masa.

"Kami merasa rendah hati dapat memberi sumbangan kepada anak anak PERKAYA seramai 456 orang anak anak yatim yang menetap di asrama PERKAYA bagi tahun 2018," katanya ketika berucap di majlis penyampaian zakat EPIC Berhad kepada PERKAYA di Asrama Perkaya di sini pagi tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden PERKAYA, Prof Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor dan semua pegawai PERKAYA serta semua pegawai EPIC Berhad.

Katanya, sumbangan yang diberikan dalam bentuk keperluan harian seperti gula, teh, tepung, bantal, selimut dan tuala.

"Sumbangan juga diberikan menerusi pemberian wang zakat sebanyak RM45,600 kepada anak-anak PERKAYA dengan jumlah sumbangan sebanyak RM65,000," katanya lagi.

Noor Fadzil berharap sumbangan dan bantuan EPIC Berhad kepada anak-anak ini akan menjadi motivasi dan dorongan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan seperti mana diharapkan setiap ibu bapa dan guru.

Sebelum itu beliau ditemani Prof Dr Tengku Mahmud melawat setiap bangunan dalam kawasan Asrama PERKAYA tersebut yang mana mereka telah berjalam kaki sejauh 1.7 kilometer.


Tuesday, July 10, 2018

MAT HASSAN CADANG UMNO TANDING DI SUNGAI KANDIS

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mencadangkan agar UMNO bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu dalam senario politik semasa.

Bagaimanapun, katanya keputusan sama ada UMNO akan bertanding atas tiket sendiri atau Barisan Nasional (BN) di PRK berkenaan bergantung kepada hasil perbincangan mesyuarat peringkat tertinggi BN.

"Kita perlu bertanding setiap PRK dan ini (PRK Sungai Kandis) akan menjadi latihan kepada UMNO untuk berkempen secara pembangkang buat pertama kali," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi anggota panel pada Wacana Sinar Harian berjudul 'Mampukah BN Bangkit Semula?' di sini hari ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong setelah penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR, meninggal dunia akibat kanser pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pula pada 21 Julai ini..

Monday, July 9, 2018

SEMUA CALON BN DICADANG BUAT AKUR JANJI JIKA KELUAR UMNO KENA LETAK JAWATAN


TELUK PANGLIMA GARANG: Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Langat, Hajah Rozana Kamaruzaman mencadangkan supaya Umno membuat akurjanji kepada semua calon BN jika mereka keluar dari Umno maka mereka hendaklah mengosongkan kerusi mereka.

Katanya, mereka menang atas tiket BN maka jika mereka keluar dari BN, mereka wajib meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen atau ADUN.

"Saya kesal dengan sikap Datuk Mas Ermieyati selaku bekas ketua puteri  Umno Malaysia yang tidak  kuat iman dan  meninggalkan perjuangan Umno di saat saat BN menghadapi kekalahan besar," katanya ketika ditemui di majlis wanita Umno Bahagian mengadakan baraan di rumah bekas ketua bahagian, Datuk Abdul Fatah Iskandar di sini malam tadi.

Beliau yang pernah menjadi ketua puteri bahagian di bawah Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Noraini Ahmad berkata walaupun BN tewas di peringkat pusat tetapi Umno adalah parti yang terkuat (54 kerusi) berbanding PKR, DAP dan Bersatu.

"Ini bermakna Umno masih kuat, maka saya optimis bahawa Umno akan bangkit semula selepas PRU akan datang," katanya.

Beliau yang menjadi ketua wanita bahagian buat penggal kedua berkata Umno kena konsisten mengadakan pelbagai program dari sekarang tanpa henti melaksanakan pelbagai program kebajikan kepada rakyat sehingga PRU akan datang jika Umno mahu merampas kembali tampuk kerajaan.

Hajah Rozana yang aktif selama 13 tahun dalam pergerakan belia yakin rakyat akan memilih BN semula jika kerajaan PH gagal melaksanakan segala manifesto mereka.

Sunday, July 8, 2018

POK CIK MASZLEE MENGENDAP PELAJAR MELALUI TINGKAP KELAS

MARANG, 8 Julai (Bernama) -- "Kenal tak?. Saya pok cik Maszlee," demikian kata Dr Maszlee Malik kepada pelajar ketika menjejakkan kaki ke dalam dua bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang ketika melakukan lawatan secara mengejut hari ini.

Pendekatan mesra dan mudah didekati itu membuatkan beberapa pelajar darjah dua lebih berani mendekati Menteri Pendidikan itu dan beliau sendiri mendahului menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan cara tersendiri bersama pelajar walaupun ramai yang seolah-olah tergamam melihat beliau.

Awalnya ada yang segan untuk berdepan dengan Maszlee kerana keadaan baju sekolah yang kotor namun Maszlee menyatakan bahawa baju yang kotor tanda orang itu aktif dan pelajar yang aktif adalah seorang yang cerdik.

Usikkan itu ternyata berjaya dan ramai yang akhirnya tersenyum dan bersemangat mendengar pesanan Maszlee supaya menyampaikan salam kepada ibu bapa masing-masing serta membelikan mereka buku cerita berbahasa inggeris lebih banyak dan perlu makan sebelum ke sekolah.

Aksi Maszlee itu dirakamkan oleh ramai pihak dan ia bukan sahaja menarik perhatian pelajar tetapi juga guru serta pengamal media yang berada di lokasi malah Dr Maslee tidak kisah 'mengendap' pelajar menerusi tingkap sahaja ketika melalui kawasan kelas bagi mengelak menganggu tumpuan pembelajaran mereka.

Dalam kunjungan itu Maszlee menegaskan beliau akan hadir ke mana-mana sekolah pada bila-bila masa tanpa jadual terperinci bagi mengenalpasti permasalahan dengan cara lebih berkesan.

Pada persidangan akhbar, beliau menegaskan bahawa kontraktor yang lewat menyiapkan projek yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas.

"Sekolah Kebangsaan Seberang Marang ini termasuk dalam sekolah daif dan pembinaan bangunan dua tingkat di sini terlewat siap dan terbengkalai. Kita akan memantau dan pastikan segala projek sekolah di seluruh negara dalam masa lima tahun ini akan dipercepatkan.

"Semua kontraktor perlu bersedia kerana saya akan muncul bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Ada beberapa negeri yang mempunyai projek terbengkalai dan ada yang serius termasuk di Borneo. Mereka (kontraktor) perlu kembali kepada jadual asal dan sekiranya lewat tindakan akan menyusul," katanya.

Tambah beliau pada era Malaysia baru, pihak kontraktor sepatutnya cuba berubah dengan memastikan projek mendahului (siap) daripada jadual yang diberikan dan perlu mempunyai mentaliti negara maju tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kualiti.

Sekolah terbabit menempatkan 620 pelajar namun tidak mempunyai dewan malah terpaksa menggunakan bilik makmal (hanya saiz bilik darjah biasa) sekiranya terdapat majlis tertentu.

Namun ekoran masalah kontraktor yang tidak menyiapkan bangunan dua tingkat yang sepatutnya menempatkan pelajar sebanyak lapan bilik darjah, makmal itu terpaksa digunakan sebagai kelas kepada 56 pelajar (darjah dua).

Ia sepatutnya siap Februari lepas namun tertangguh sehingga kini dan di kesempatan lawatan itu Maszlee sempat mengingatkan kontraktor supaya menyegerakan pembinaan bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

-- BERNAMA

Saturday, July 7, 2018

SAIFUDDIN PERTAHAN HASIL KAJIAN KPDNHEP

GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertahankan hasil kajian pihaknya yang mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 Jun lepas.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata selain pemantauan oleh penguat kuasa KPDNHEP selama sebulan, beliau sendiri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peniaga ketika melakukan tinjauan termasuk di Pasar Bayan Baru, di sini pagi ini.

"Penguat kuasa KPDNHEP telah buat tinjauan di 1,688 premis membabitkan 417 pelbagai barangan yang selalu digunakan pengguna antaranya barangan basah, kering serta keperluan bayi dan 70 peratus daripadanya turun 0.04 hingga 13 peratus.

"Dalam tinjauan saya hari ini, peniaga turut mengakui harga barangan menyaksikan penurunan sama seperti tinjauan yang dibuat di peringkat kementerian sebelum ini," katanya selepas melawat Pasar Bayan Baru, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan kenyataan Saifuddin Nasution mengenai penurunan harga barangan bagi tempoh 1 hingga 30 Jun lalu termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mendesak Saifuddin mendedahkan laporan kajian itu supaya rakyat dapat membuat perbandingan dengan realiti harga di pasaran.

Katanya peniaga juga mengakui ada penurunan harga barangan yang dibeli daripada pemborong dan mereka boleh tawarkan harga lebih murah kepada pembeli.

Saifuddin Nasution yang juga wakil rakyat Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata tinjauan yang dilakukan juga mendapati kesediaan untuk berbelanja dalam kalangan pembeli menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini berikutan harga barangan yang lebih murah.

"Saya tanya peniaga-peniaga, mereka maklumkan orang ramai kini semakin berani untuk berbelanja selepas GST pada kadar sifar dan trend berbelanja meningkat, saya percaya maklum balas itu munasabah kerana peniaga lebih mengenali tabiat pembeli," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 4,000 aduan diterima KPDNHEP sepanjang bulan lepas dan lebih 50 peratus daripadanya berkisar pada harga barangan tidak berubah malah ada yang meningkat selepas GST pada kadar sifar.

"Jumlah aduan bulan lepas meningkat banyak berbanding bulan Mei dan semua aduan itu diterima melalui e-portal, talian hotline serta laman web KPDNKEP. Berdasarkan aduan, kami dapati banyak berkaitan harga makanan dan minuman yang meningkat di restoran, kedai makan serta medan selera. Penguat kuasa kami mengambil tindakan segera dengan membuat pemeriksaan," katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 6, 2018

RINA HARUN HADIRI MAJLIS HARI RAYA RISDA






KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Luar Bandar walau sesibuk mana menjalankan tugas di kementerian itu masih tetap berkelapangan menghadiri majlis sambutan hari raya aidilfitri anjuran RISDA pada Khamis lalu.

Rina Mohd. Harun yang baru dilantik mengetuai kementerian itu amat ramah dan sentiasa menguntum senyuman sebaik melangkah kaki ke agensi berkenaan yang terletak di Jalan Ampang pada Khamis lepas.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis tersebut, beliau mengingatkan kepada kakitangan agensi tersebut supaya dapat bersama-sama kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri ini dalam membangunkan negara yang disayangi ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan yang diundang oleh RISDA.

Pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu seperti lemang, ketupat, rendang serta pelbagai lagi yang enak-enak belaka.

Menariknya rumah terbuka ini ialah kesemua anak syarikat RISDA seperti RISDA Fleet dan RISDA Estet mengambil bahagian dengan menyajikan pelbagai juadah enak dan menyelerakan.

Turut mengiringi Rina ialah Ketua Pengarah RISDA, Datuk Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad

Thursday, July 5, 2018

IBU TUNGGAL TERENGGANU PALING RAMAI DI KEMAMAN SERAMAI 5,279 ORANG

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Nasib 32,411 ibu tunggal di seluruh Terengganu terus terbela apabila kerajaan negeri bersedia meningkatkan taraf kehidupan mereka menerusi bimbingan ekonomi dan kemahiran diri, perundangan, kekeluargaan serta kesihatan dan kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata terdapat dua kompleks khas untuk golongan itu menjalankan pelbagai aktiviti bersesuaian iaitu Bangunan Ibu Tunggal di Kampung Serdang Baru di Kuala Nerus dan Kompleks Ibu Tunggal di Chendering.

Katanya kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) juga akan terus membantu ibu tunggal termasuk membantu mereka dari segi pembiayaan perniagaan.

"Contohnya, program Pinjaman Jaya Diri (PJD) telah memperuntukkan sebanyak RM474,000 bagi membantu 52 ibu tunggal menceburkan diri dalam bidang perniagaan, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini."

"Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan dalam bidang kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan," katanya menjawab soalan lisan tambahan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri membela nasib ibu tunggal dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 32,411 ibu tunggal itu, daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 5,279 orang diikuti 4,768 di Besut, Marang (4,305), Dungun (4,182), Kuala Terengganu (3,925), Kuala Nerus (3,658) Setiu (3,307) dan Hulu Terengganu (2,987).

"Daripada jumlah itu seramai 28 orang ibu tunggal berumur di bawah 20 tahun manakala 2,010 orang (21 hingga 30 tahun), 4,783 orang (31 hingga 40 tahun), 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang di atas 61 tahun," katanya.

Sementara itu ketika sidang media Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri memerlukan lebih RM63 juta untuk menyiapkan lima lagi pakej projek pembinaan Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Katanya setakat 31 Oktober tahun lalu, projek itu hanya siap 77.53 peratus dengan perbelanjaan sebanyak RM144 juta.

"Sepatutnya semua projek ini sudah siap dengan peruntukan asal sebanyak RM207 juta. Kerajaan negeri tidak boleh beri jaminan dapat menambah duit itu dalam masa terdekat kerana kami akan tengok dulu keadaan kewangan negeri."

"Namun, jika kita mampu dari segi kewangan, kita akan teruskan sahaja projek ini sebab ia sudah siap 77 peratus, takkan kita nak berhentikan sahaja...ini akan membazirkan duit rakyat. Bila semuanya sudah siap, kerajaan negeri akan cari operator yang berpotensi dalam menguruskan kawasan bebas cukai ini sebagai pemangkin ekonomi negeri," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepuh) berkenaan status terkini pembangunan zon bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir itu, beliau berkata hanya satu daripada enam pakej telah berjaya disiapkan setakat ini.

"Antara pakej yang masih belum siap ialah kerja menyiapkan bangunan terminal utama jeti penumpang dan kerja berkaitan di Pulau Bayas iaitu hanya 80.84 peratus siap, pusat beli belah dan kerja pembangunan KTC (55.04 peratus), menyiapkan pencawang elektrik, sistem agihan bekalan tinggi dan rendah (50 peratus)."

"Kemudiannya kerja pembinaan jalan servis pendaratan bot, paip air kumbahan dan kerja berkaitan (99.44 peratus) dan sistem rawatan air dan kumbahan serta kerja berkaitan di Pulau Bayas (79.9 peratus)," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, July 4, 2018

SIDANG MEDIA PEGUAM NEGARA GUNA BAHASA INGGERIS JADI KECOH

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Suasana di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kecoh sebentar apabila kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak mendesak Peguam Negara Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

Mereka melaungkan 'Melayu' dan 'Hidup Najib' sehingga menyebabkan sidang media oleh Peguam Negara itu terganggu dan seterusnya dipindahkan ke tingkat 5 bangunan itu.

Seorang petugas media yang berang dengan provokasi penyokong Najib yang mengganggu sidang media itu berteriak kepada kumpulan terbabit; "Kami tunggu dah berapa jam, korang bising!

Antara penyokong Anggota Parlimen Pekan itu yang melakukan provokasi dan kekecohan adalah pelakon Ellie Suriaty, yang diberi amaran oleh polis. Ellie dan beberapa individu lagi kemudiannya dibawa keluar daripada lobi mahkamah itu oleh polis.

Sebelum itu polis telah memberi amaran kepada timbalan ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz kerana menimbulkan provokasi dengan melaung "Hidup Najib" apabila bekas perdana menteri itu memasuki kompleks mahkamah.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kekecohan itu dan polis membawa mereka yang terbabit ke luar perkarangan mahkamah.

Tuesday, July 3, 2018

ENAM PROJEK DI BAWAH BN LIBATKAN KOS LEBIH RM3.2 BILION

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu terdapat enam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu dengan konsep kerjasama awam swasta (PPP) melibatkan kos lebih RM3.2 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata terdapat dua kaedah pembayaran dalam enam projek PPP iaitu pembayaran tertangguh dan kaedah bayaran berjadual yang telah dibayar bermula dari 2016 hingga 2032.

"Projek tersebut ialah Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dengan kos RM686.87 juta yang perlu dibayar dalam tempoh enam tahun, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (RM1.3 bilion - 13 tahun), Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus (RM600 juta - lapan tahun enam bulan).

"Muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta - lima tahun), asrama atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.49 juta - lima tahun) dan pembangunan Bandar Baru Kijal fasa dua di Kemaman (RM250 juta - lima tahun)," katanya ketika menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada persidangan DUN di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Hishamuddin mengenai jumlah bayaran tahunan pula, Dr Mamad berkata bayaran pada 2016 dan 2017 ialah sebanyak RM70 juta setahun manakala pada tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak RM101.2 juta.

"Seterusnya pada 2019, kerajaan negeri perlu bayar RM290.8 juta, 2020 (RM348.1 juta), 2021 (RM382.2 juta), 2022 (RM371.4 juta), 2023 (RM339.6 juta), 2024 (RM248.1 juta) manakala tahun 2025 hingga 2031, jumlah perlu dibayar ialah RM761.6 juta dalam tempoh tujuh tahun dan bayaran terakhir pada 2032 ialah sebanyak RM45.3 juta," katanya.

Dr Mamad juga menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan projek menggunakan konsep itu pada masa akan datang terutama yang melibatkan keperluan mendesak rakyat seperti menaik taraf loji rawatan air.

"Bagaimanapun, sudah tentu kajian perlu dibuat mengenai kemampuan kewangan negeri agar kita tiada masalah dalam proses pembayaran semula seperti yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

Monday, July 2, 2018

NGA KOR MING PERSENDA MAHATHIR DALAM CERAMAH TAKKAN NAK DILANTIK MENTERI?



KUALA LUMPUR: Pemuda DAP mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mengikuti senarai calon menteri yang dicadangkan kepimpinan DAP, termasuklah Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan MP Stampin Chong Chieng Jen.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh menyoal jika Dr Mahathir pada masa hadapan akan menolak setiausaha agung DAP sebagai menteri, jawatan tertinggi parti yang kini disandang Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?" Soal Wong dalam suatu kenyataan.

Wong turut mengadu barisan kabinet tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP yang memenangi jumlah kerusi parlimen kedua terbanyak selepas PKR.

"Tindakan Perdana Menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat...

"...malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan," katanya.


Guan Eng sewaktu berkempen dalam PRU14 menjanjikan Nga dan Chong dilantik menjadi menteri jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, Mahathir enggan menerima Nga di dalam kerajaan sementara Chong pula dilantik sebagai timbalan menteri.

"Apabila keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan memberikan kuasa kepada YAB Perdana Menteri untuk memilih dan melantik menteri, sesungguhnya ini juga bermakna bahawa Perdana Menteri akan melantik menteri dalam kalangan senarai calon yang dikemukakan oleh parti-parti...

"... dan Perdana Menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan HARAPAN supaya ia dapat membentuk sebuah kabinet yang sempurna," kata Wong yang berasal dari Perak, manakala Nga Kor Ming ialah pengerusi DAP negeri.

Wong berkata Nga dan Chong merupakan pemimpin berbakat dengan pengalaman yang banyak.

Beliau juga berkata Pemuda DAP tidak mempersoalkan pertimbangan perdana menteri dalam memilih jemaah menterinya tetapi DAP tahu kemampuan calon-calonnya dengan lebih baik.

Wong menjelaskan kritikan Pemuda DAP bukan kerana merebut jawatan menteri tetapi demi menghormati hasrat rakyat.

"DAPSY ingin menegaskan bahawa pandangan terhadap senarai kabinet yang diumumkan YAB Perdana Menteri bukan berniat untuk merebut mana-mana jawatan menteri tetapi adalah untuk menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti demi memastikan tidak wujudnya sistem cacat bahawa sesebuah parti terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan," katanya yang menegaskan keputusan patut dibuat secara persetujuan bersama.

Sunday, July 1, 2018

50,077 ORANG BACA BERITA MB DIGESA PECAT PENGARAH YPK

Hari ini dalam sejarah. Blog www.todayterengganu.blogspot.my yang muncul dua tahun lepas menerima hits tertinggi setakat ini sebanyak 50,077 melalui posting "MB digesa pecat Pengarah YPK" yang disiarkan pada 5 Jun lalu.

Terima kasih kepada semua pembaca yang memilih blog todayterengganu sebagai blog wajib anda.

10 posting tertinggi bagi bulan Jun 2018 adalah seperti berikut:-

1. MB digesa pecat Pengarah YPK (5 Jun)- 50,077 hits
2. 670 bakal mahasiswa terima bantuan Yayasan Terengganu (10 Jun)
3. Terengganu Inc akan disusun semula (6 Jun)
4. "Kemaman Berubah" lawan pasukan penyandang di Kemaman (17 Jun)
5. Kenapa Ahmad Said perlu disingkir (27 Jun)
6. 10 sebab kenapa perlu undi Norzamziah sebagai ketua wanita Kemaman (20 Jun)
7. Umno Terengganu sokong Ahmad Said tanding Naib Presiden (11 Jun)
8. Wan Hakim tak faham konsep berakit (18 Jun)
9. 38,290 orang sudah baca MB digesa pecat Pengarah YPK (7 Jun)
10. SPRM tak panggil pun, pergi juga. Macam macam cari publisiti menjelang pemilihan Umno (26 Jun)