Monday, August 21, 2017

EPIC ADAKAN DUA MAJLIS SERENTAK













CHUKAI, 21 Ogos (Bernama) -- EPIC Berhad sebuah anak syarikat milik kerajaan Terengganu mencatat sejarah kerana mengadakan dua majlis serentak semalam di sebuah hotel terkemuka di sini.

Pada mulanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melancarkan Syarikat Eastern Pacific GD Solar Sdn Bhd, iaitu salah satu anak syarikat baharu EPIC, yang membangunkan projek Loji Janakuasa Tenaga yang dianggap oleh beliau sebagai satu lagi "success story" negeri Terengganu.

Ahmad Razif percaya industri Tenaga Baharu ini akan sentiasa terus disokong dan terus berkembang serta berdaya saing. Industri tenaga baharu masih kurang diterokai sepenuhnya di Malaysia dan peluang untuk kita bersama-sama membangunkan industri ini terbuka luas, seiring Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu.

Loji janakuasa tenaga solar berkapasiti 18.5 megawatt (mW) di Teluk Kalong di sini yang sedang dibangunkan dengan kos RM80 juta dijangka beroperasi Mac 2018.


Ahmad Razif  berkata, projek yang digerakkan oleh anak syarikat kerajaan negeri menjadi perintis dan pemacu industri solar di pantai timur.

Katanya, pembangunan sistem solar berskala utiliti di atas kawasan seluas 28.32 hektar dalan tiga fasa itu mampu menjana keuntungan dianggarkan sebanyak RM262 juta dalam tempoh 15 tahun hasil jualan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelak.

Katanya, ketika ini Syarikat Eastern Pasific GD Solar Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) Bhd. sudah menjalankan kerja membabitkan penghantaran panel.

"Pembangunan sistem solar berskala utiliti ini akan memberi banyak manfaat kepada kita yang secara tidak langsung mengurangkan kos pengendalian sistem penjanaan yang kompleks.

"Projek ini dijangka akan mengeluarkan tenaga tahunan kira-kira 33 juta kilowatt (kW) dan memberikan pulangan keuntungan melalui beberapa fasa," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan projek pembangunan loji itu di Awana Resort World Kijal di sini semalam.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan perjanjian, EPIC Bhd. akan membekalkan tenaga solar kepada TNB selama 21 tahun.

Selepas pelancaran projek solar tersebut,  EPIC Mushtari Engineering Sdn Bhd (EME), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Stork Technical Services Holding B.V untuk melaksanakan perkongsian teknologi dan kepakaran bersama rakan niaga antarabangsa.

Pengerusi EME, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata MoU itu akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dalam menjana keuntungan secara efisyen untuk menghadapi persaingan industri dan ekonomi pada masa depan.

"Kerjasama ini juga akan membantu mempertingkatkan syarikat kepada lebih aktif, agresif dan produktif dalam mencipta peluang dalam bidang pemulihan dan pembaikan loji.

"EME dan Strok Technical Services telah mencapai beberapa kata sepakat untuk melaksanakan rangkaian kerjasama ini. Ia adalah usaha untuk menembusi peluang pasaran lebih tinggi khususnya yang menepati keperluan Petronas," katanya ketika berucap di majlis penandatanganan MoU itu di sini semalam.

EME diwakili Pengarah Urusan Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor manakala Stork Technical Services diwakili Pengarah Operasi Wilayah, Deon Otto dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.....

No comments:

Post a Comment