Thursday, August 31, 2017

RAZIF MAHU RAKYAT HARGAI KEMERDEKAAN



KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu semua rakyat menghargai kemerdekaan yang negara Malaysia kecapi hasil usaha dan pengorbanan pemimpin dan pejuang terdahulu.


‘Tidak ada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam suasana aman, damai dan tenteram. Kemerdekaan bererti keamanan, kedamaian, ketenteraman, kemakmuran’.


‘Inilah yang kita sedang nikmati sekarang di bumi Malaysia. Dan inilah yang kita perlu pertahankan sampai bila – bila’.

‘Banyak Negara yang mencapai kemerdekaan sezaman dengan Negara kita’.

‘Tetapi tidak ada satupun yang dapat mencapai tahap kejayaan dan pembangunan sepertimana yang sedang kita di Malaysia kecapi sekarang ini’.

‘Tidak ada satupun. Kerana hanya ada satu Malaysia di bumi ini. Satu Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai bangsa, pelbagai budaya, pelbagai agama. Kita berjaya buktikan bahawa di sebalik kepelbagaian, adanya kesatuan. Malah kepelbagaian inilah yang menjadi sumber dan tunjang kekuatan Malaysia sebagai sebuah Negara. Inilah yang kita perlu pertahankan’, katanya ketika berucap di Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 2017 Peringkat Negeri Terengganu yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pagi tadi.






Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, EXCO Kerajaan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Angung Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, EXCO-EXCO Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan dan orang ramai.

Tambahnya, semua rakyat perlu mempertahankan kemerdekaan Negara ini daripada ancaman pihak yang tidak bertanggung jawab dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi negeri dan Negara dalam bersama-sama membangun dan memajukan Malaysia.

‘60 tahun bukanlah satu usia atau tempoh yang panjang. Tetapi dalam jangkamasa yang begitu singkat kita menjadi sebuah Negara yang merdeka, kita sudah capai satu tahap yang amat membanggakan. Malah menjadi contoh teladan di kalangan Negara –Negara Islam di seluruh dunia’.

‘Ada orang menjanjikan bulan dan bintang, langit dan bumi. Tetapi mereka hanya boleh berjanji kerana mereka hanya perlu membuat janji. Kita yang mendengar segala janji mereka janganlah terpedaya. Kerana mereka tidak akan tunaikan janji. Kerana tanggungjawab mereka yang sedia adapun, mereka tidak laksanakan. Inikan pula berjanji perkara yang bukan menjadi tanggungjawab mereka lagi’ katanya lagi.

No comments:

Post a Comment