KUALA BERANG, 30 Ogos (Bernama) -- "Kemerdekaan yang dikecapi hari ini ini tidak ternilai harganya, jangan mudah kita lepaskan, kerana sekali kita lepaskan, dengan air mata darah sekali pun, tidak mungkin kita akan mendapatnya semula," demikian pesan bekas guru dan anggota veteran UMNO.
Abdul Razak Yakob, 80, yang tinggal di Kampung Rahmat, Kuala Berang, dekat sini berkata, oleh itu, generasi hari ini perlu terus menghargai perjuangan orang-orang terdahulu yang merintis jalan ke arah kemerdekaan kerana ia bukan diraih dalam masa sehari dan perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan juga tidak mudah.
Katanya zaman mudanya banyak dihabiskan berjuang bersama UMNO dan ketika itu bagi beliau, imbuhan tidak penting kerana yang menjadi keutamaan menuntut kemerdekaan daripada pihak British.
"Tanpa sebuah kemerdekaan, negara ini tidak akan maju dan membangun kerana kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sumber bumi yang kita ada dan pendidikan untuk anak-anak Melayu juga tidak diutamakan.
"Anak-anak Melayu ketika itu juga tidak digalakkan belajar tinggi-tinggi, habis tinggi pun boleh jadi polis dan guru. Ia terjadi kerana ibu bapa ketika itu sering dimomok-momokkan oleh penjajah bahawa untuk dapat pekerjaan yang bagus-bagus sangat susah," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Melihat kepincangan itu, beliau yang ketika itu masih remaja mengambil keputusan untuk bergiat cergas dalam UMNO kerana maklum ia satu-satunya platform untuk anak-anak Melayu menuntut kemerdekaan daripada penjajah.
"Saya masih ingat, ketika itu kita nak buat pilihan raya umum yang pertama, kalau tidak silap pada tahun 1955. Saya ketika itu masih berumur belasan tahun pergi berkempen dan berjumpa pengundi di kampung-kampung di pedalaman Hulu Terengganu dengan menaiki perahu.
Meskipun terpaksa menyabung nyawa, ketika itu saya, pegawai daerah dan pegawai pilihan raya, kami bertiga dengan cekal hati masuk ke kampung-kampung berkenaan, berminggu-minggu lamanya, pergi dari satu rumah ke satu rumah untuk berkempen dan menyedarkan orang ramai agar turun mengundi.
"Sebab kalau tidak mengundi macam mana kita nak tuntut kemerdekaan daripada orang putih" katanya.
Katanya, meskipun tidak diberi ganjaran yang mewah untuk kerja-kerja parti yang dilakukan tetapi apa yang paling bermakna adalah nikmat kemerdekaan yang dikecapi setahun kemudiannya daripada pihak British.
"Saya diberi kepercayaan mengetuai acara menurunkan bendera Union Jack di Padang Astaka, Kuala Berang sebaik sahaja Tengku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) mengumumkan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957.
"Dengan rasa bangga dapat memegang dan menggantikannya dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini Jalur Gemilang). Menitik air mata ketika itu kerana perjuangan bersama UMNO membuahkan hasil," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment