Thursday, August 8, 2019

NAJIB ARAH BLOGGER SERANG AHMAD HUSNI

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan seorang blogger supaya menyerang beliau bersama anaknya, sekitar hujung 2016, susulan ucapan beliau berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.

Saksi ke-56 pendakwaan itu berkata serangan berkenaan bermula dengan blogger, Raja Petra Kamaruddin didakwa membocorkan minit mesyuarat Majlis Ekonomi yang dihadiri oleh anaknya, Khalid Ahmad Husni, di catatan Facebook yang mendakwa Ahmad Husni marah dengan Najib apabila anaknya tidak mendapat projek konsesi lebuhraya bernilai RM2.7 bilion.

Pendedahan itu dibuat oleh Ahmad Husni dalam testimoni beliau semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-50 perbicaraan Najib, yang berhadapan dengan tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Antara lain Ahmad Husni berkata Najib juga berada di belakang tuduhan gangguan seksual yang dihadapinya pada 2016.

Muhammad Shafee: Bila anda dapat idea bahawa Najib ada di belakang tuduhan gangguan seksual terhadap anda

Ahmad Husni: Selepas bercakap di Parlimen pada 2016 (merujuk kepada insiden semasa persidangan Dewan Rakyat semasa beliau menuntut penjelasan berhubung pelaburan USD1 bilion (RM4.17 bilion) unit dalam Aabar Investment PJS Ltd).

Muhammad Shafee: Kemudian Najib tampil dengan idea ini

Ahmad Husni: Ia bukan sekadar idea, saya tahu.

"Selepas insiden itu, saya berada di rumah sebelum setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh datang dan berjumpa dengan saya sekitar pukul 10 malam. Shukry beritahu saya sukar untuk jumpa rumah saya, tapi oleh kerana arahan Najib, dia tetap perlu datang dan jumpa saya.

"Saya diberitahu Shukry bahawa Najib hendak bertemu dengan saya malam itu, tapi saya beritahu yang saya sangat letih.. dia beritahu saya bahawa Najib telah menghubungi Raja Petra (Kamaruddin) dan esok dia (Raja Petra) akan serang saya," katanya.

Semasa ditanya oleh Muhammad Shafee sekiranya beliau berjumpa dengan Najib untuk mengesahkan kebenaran perkara itu, Husni menjawab “Tidak”, dan menambah ada stu lagi insiden berhubung dengan serangan itu.

"Catatan Facebook oleh Raja Petra kemudiannya dilaporkan oleh Utusan yang merujuk kepada seorang bekas menteri terbabit dalam skandal. Saya hantar mesej kepada Najib, tanya dia “Apa ini”.

Beliau berkata Najib menjawab “Bincang dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan kemudiannya keesokkan harinya serangan itu terhenti.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya menceritakan pertemuannya dengan Nazri di Hotel Shangri-La.

"Nazri beritahu saya apa jua yang berlaku kepada Najib bukan dalam kawalan mereka, kerana kita hanya mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal,” katanya.

Ahmad Husni juga tidak bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee yang menyarankan bahawa ekoran serangan itu, beliau sedih dan marah dengan Najib.

"Saya tidak marah. Saya hidup untuk Umno, malah setiap hari saya berdoa agar tuhan bukakan pintu hati Najib untuk melihat kebenaran. Saya tidak pernah marah dengan Najib kerana dia hanya manusia biasa,” katanya dan menambah susulan tulisan Raja Petra, anaknya diberhentikan oleh syarikat berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok pada pukul 10 pagi.

-- BERNAMA

Wednesday, August 7, 2019

RAKYAT MALAYSIA DISERU BANTU PROF DR AB RAHIM ISMAIL

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM400,000 sumbangan diperlukan bagi menampung kos rawatan dan membawa pulang bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ab Rahim Ismail, (gambar) 62, yang masih koma di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki sejak 15 Julai lepas.

Perkongsian maklumat ini dibuat Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, iaitu ayah kepada bayi yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di laman Facebook peribadinya yang turut menyertakan poster berkaitan maklumat sumbangan itu, lewat hari ini.

“Sumbangan ikhlas untuk Prof Dr Ust Ab Rahim Ismail, Mantan pensyarah UKM & UIAM. Untuk makluman, Prof Ab Rahim sekarang sedang koma di Turki. Usaha untuk membawanya pulang sedang giat dilakukan.

“Perbelanjaan untuk membawa pulang dan baki kos rawatan yang sedang berjalan di sana sekarang adalah sebanyak RM400,000.

“Saya harap, kita semua dapat membantu seorang sedikit dalam usaha membawa Prof Ab Rahim yang ketika ini diuji supaya dapat pulang dan dirawat di Malaysia.

“Saya bantu berkongsi hantaran Facebook ini sebab dahulu ramai orang telah membantu menjayakan proses rawatan Ainul Mardhiah. Kini, giliran saya pula berbakti sekadar kemampuan saya kepada orang yang memerlukan.

“Anda boleh share post ini ya! Terima kasih tuan puan semua. Insha-Allah, perbuatan baik kita pada hari ini, Allah akan memberi ganjaran yang setimpal kepada kita, jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak. #Sila Share,” tulis Safiuddin.

Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan menantu pensyarah itu, Muhamad Fikri Aziz, 33, Ab Rahim terbang ke Turki bagi menghadiri jemputan khas satu majlis konvokesyen di sana dan selepas urusan rasmi berkaitan majlis itu tamat, Ab Rahim makan angin di sekitar Denizle.

Menurutnya, ketika bersiar-siar, Ab Rahim tiba-tiba terkena serangan jantung dan rebah sehingga kepalanya terhentak di atas lantai yang menyebabkan kecederaan di bahagian otaknya.

Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank di nombor akaun 512268522574 milik Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah.

Sebarang pertanyaan mengenai sumbangan ini boleh berhubung dengan Muhamad Fikri di talian 016-6190395 atau Nadhila Ab Rahim di talian 012-3516317.

-- BERNAMA

Saturday, July 27, 2019

API MISTERI GANGGU KELUARGA DI TANJUNG BATU

PEKAN, 27 Julai (Bernama) -- Sebuah keluarga di Tanjung Batu di sini, mendakwa diganggu dengan api misteri yang membakar pelbagai barangan dan perabot rumah mereka, sejak Isnin lalu.

Penghuni rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Sal, 29, berkata kejadian itu berlaku sebelum Subuh, pada waktu petang iaitu semasa hampir memasuki Asar dan pada waktu senja (Maghrib).

"Api itu muncul secara tiba-tiba dan biasanya kami akan tercium bau hangit sebelum ia berlaku. Setakat ini, antara barangan yang musnah ialah wang, kad pengenalan, perabot dan barangan elektrik.

"Awalnya kami seram dan cemas juga namun selepas kerap berlaku, kami lebih tenang dan terus memadamkan api bagi mengelakkan ia merebak," katanya yang mendakwa turut merakamkan video kejadian itu.

Suri rumah itu mendakwa kejadian itu baru dialami walaupun sudah 10 tahun menetap di rumah tersebut dan untuk keselamatan dua anak berusia empat dan setahun enam bulan, beliau menghantar mereka ke rumah saudara berdekatan setiap malam.

Api itu juga menyebabkan beliau, suami dan adik lelakinya mengambil keputusan untuk bergilir-gilir berjaga pada waktu malam bagi mengelakkan rumah mereka terbakar.

"Kami akan menyimbah air setiap kali api itu muncul, namun kelihatan api itu seperti sukar untuk dipadamkan," katanya.

Sal mendakwa mereka juga sudah melaporkan kejadian itu kepada polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk mendapatkan nasihat berhubung kejadian itu.

Kejadian seumpamanya pernah dilaporkan Bernama pada September 2017, melibatkan sebuah keluarga di Kampung Penambang, berhampiran Kota Bharu, Kelantan yang mendakwa 'diekori' api misteri hingga menyebabkan rumah mereka terbakar.

-- BERNAMA

Tuesday, July 23, 2019

MASALAH AIR DI SELANGOR TAK BOLEH SELESAI NAK JADI NEGERI PINTAR

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor berhasrat menjadikan negeri ini sebagai negari pintar utama di Asia Tenggara menjelang 2025, dengan memanfaatkan teknologi pintar dan inovasi, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata di bawah inisiatif Smart Selangor, ia akan memberikan penyelesaian kepada keperluan dan masalah rakyat serta meningkatkan prospek sosio-ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang bernilai tinggi bagi perniagaan dan pelaburan.

"Smart Selangor adalah unik dalam erti kata bahawa ia adalah satu-satunya di dunia untuk mengambil konsep melampaui hab bandar yang ditubuhkan.

"Matlamat Smart Selangor adalah untuk memastikan semua orang di Selangor daripada penduduk bandar kepada penduduk kampung, daripada eksekutif kolar putih kepada nelayan dan petani boleh menikmati faedahnya," katanya dalam ucaptama pada forum serantau Selangor Regional Powerhouse di sini, hari ini .

Inisiatif Smart Selangor bermula pada lewat tahun 2015 dengan visi untuk berada dalam ranking 20 bandar pintar teratas di dunia, dengan idea untuk memanfaatkan penyelesaian Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan kualiti hidup semua warganya.

Ia telah menyenaraikan 12 domain di bawah pelan induk projek seperti Pengurusan Sisa Pintar, Infrastruktur Digital Pintar, Tadbir Urus Pintar dan Pendidikan Pintar.

Amiruddin berkata Selangor telah lama berlalu dan bangga menjadi negeri paling maju di negara ini dan sudah waktunya bagi negeri itu mengambil langkah seterusnya ke tahap yang lebih tinggi.

Amiruddin berkata Selangor telah menapak jauh sejak bertahun lamanya dan berbangga menjadi negeri termaju di negara ini dan telah tiba masanya bagi negeri ini untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

"Mengenai infrastruktur digital, kadar penembusan internet berkelajuan tinggi kami adalah 60 peratus tahun ini, dan di bawah inisiatif Smart Selangor, kami berhasrat meningkatkannya kepada 100 peratus menjelang tahun 2025," katanya.

Amiruddin berkata Selangor kini telah lama menjadi juara ekonomi Malaysia dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kira-kira AS$80 bilion tahun lalu dan menyumbang hampir satu perempat daripada KDNK negara.

Melangkah ke hadapan, Amirudin berkata kerajaan negeri juga meningkatkan tumpuan kepada pelbagai kelompok untuk menambah nilai kepada ekonomi Selangor seperti aeroangkasa, automotif, pertanian dan agro-teknologi, maritim, pendidikan, dan eko-pelancongan.

"Selangor telah menjadi hab bagi beberapa industri termasuk industri berkaitan aeroangkasa yang mempunyai pelaburan bernilai RM25 bilion serta sains hayat yang menghasilkan pelaburan bernilai RM13 bilion," katanya.

Selangor Regional Powerhouse adalah forum satu hari yang menghimpunkan 500 pemimpin terkenal global yang terdiri daripada pembuat dasar dan pemimpin industri untuk membincangkan peluang pelaburan di Selangor dan bagaimana kerajaan dan industri kerajaan boleh bekerjasama untuk saling menguntungkan dan mengoptimumkan ekosistem dan infrastruktur yang ideal di negeri ini .

-- BERNAMA

Monday, July 22, 2019

MB TERENGGANU BERGELAR DATUK SERI

KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini bergelar Datuk Seri apabila Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu hari ini.

Beliau menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Zainal Abidin (S.S.M.Z).

Selain Ahmad Samsuri, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran - Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk kepada sembilan individu iaitu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar; Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Zainal Abidin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Kamaru Al-Amin Ismail.

Selain itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mohd Azmi Mohamad Daham turut menerima gelaran yang sama, berserta empat lagi individu iaitu Mohd Shukri Azam; Mohd Rosli Janah; Che Mat Din Ismail dan See Kok Yem.

Istiadat pengurniaan gelaran dan bintang-bintang darjah kebesaran negeri itu berlangsung di Istana Syarqiyyah, di sini.

Hari ini, Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran kepada seramai 53 penerima termasuk tiga anakanda baginda iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Senarai penuh penerima akan dikeluarkan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

-- BERNAMA

Sunday, July 21, 2019

UMNO YANG BODOH DIPELAWA SERTAI BERSATU



SUNGAI SIPUT 21 Julai - Kutukan dan penghinaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed ke atas pemimpin dan ahli UMNO bukanlah perkara pelik kerana beliau sendiri telah terbiasa menghina orang Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebaliknya secara sinis berkata, apa yang patut dihairankan adalah apabila kumpulan yang dikatakan bodoh itu jugalah yang dipelawa pemimpin tersebut untuk menyertai parti pimpinannya.


“Itu yang saya pelik dengan Tun Dr. Mahathir, dalam beliau mengatakan ahli UMNO tidak guna, bodoh, sombong, perompak dan pencuri, itu jugalah yang dia minta masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Maknanya Tun Dr. Mahathir ini dalam hati sebenarnya mengaku yang ahli UMNO ini cerdik, mulut sahaja mengata kita bodoh. Tak akan beliau mahu ambil orang bodoh (sertai Bersatu)?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zolkafly Harun di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.

Dr. Mahathir menerusi portal berita pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di ibu negara semalam dilaporkan berkata, parti itu perlu mengambil ikhtibar budaya pemimpin yang mementingkan diri sendiri dengan menyekat penyertaan ahli parti yang lebih cekap daripada mereka.

Mahathir berkata, situasi itu dapat dilihat di dalam UMNO dengan mengambil contoh pemimpin cawangan parti itu yang dikatakan tidak membenarkan orang yang lebih pandai untuk menyertai parti dan hanya dibuka kepada orang yang lebih bodoh.

Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau percaya, pemimpin dan ahli UMNO yang cerdik dan mampu berfikir secara matang tidak akan sama sekali terpengaruh dengan pelawaan Pengerusi Bersatu itu untuk menyertai beliau.

Malah beliau berkata, penghinaan oleh Dr. Mahathir itu juga tidak akan melemahkan semangat mereka malah berasa tercabar sekali gus bangkit mempertahankan parti keramat orang Melayu itu.

“Ini bukan perkara pelik untuk lihat beliau menghina UMNO. Beliau bukan sahaja hina UMNO, orang Melayu pun dihina dengan dikatakan malas tambahan sekarang UMNO adalah musuhnya.

“Orang UMNO ini bukan boleh tidur begitu sahaja. Bila beliau buat benda (menghina UMNO), kita akan tercabar dan bangkit. Lagi kuat dihina, lagi kuat orang UMNO bangkit,” katanya.

Friday, July 19, 2019

ZURAIDA DISARAN GUNA PLATFORM PEMUKIMAN DARIPADA MEMBUAT KENYATAAN MEDIA

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin disaran menggunakan platform pemukiman PKR yang bermula malam ini sehingga Ahad di Port Dickson untuk memberi apa-apa pandangan tentang permasalahan parti.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyarankan perkara itu berkata Zuraida yang merupakan pemimpin kanan parti dan menjadi peserta sesi pemukiman, harus mengemukakan hujah-hujahnya, jika dia merasakan ada keretakan dalam parti.

"Itu lebih baik daripada membuat kenyataan (media) setiap hari dan tidak membantu keadaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Food Bank Malaysia @ Pasar Tani di pasar tani Putrajaya di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Zuraida sebelum ini yang mendakwa wujud perpecahan dalam PKR sejak penyebaran satu video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

-- BERNAMA