Sunday, September 30, 2018

MAHATHIR PATUT TUNGGU UMUR 100 TAHUN BARU BERSARA



LONDON: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menerajui tampuk pemerintahan negara pada usia 93 tahun, secara berseloroh menyatakan bahawa umur persaraan baharu beliau ialah 95 tahun

Jenaka beliau itu menerima tepukan gemuruh rakyat Malaysia yang bermastautin di United Kingdom ini dalam satu perjumpaan dengan beliau di London pada Ahad.

Dr Mahathir berkata, bahawa beliau berharap akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang telah membelenggu negara walaupun beliau tidak berhajat untuk “duduk lama” dalam jawatan itu.

“Saya berharap saya dapat terus bekerja sehinggalah saya bersara nanti,” kata negarawan ulung itu.

Ketika ditanya sama ada isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali gembira dengan penangguhan persaraan beliau itu, Dr Mahathir berkata beliau (Siti Hasmah) tiada pilihan lain.

“Beliau sangat menyokong saya. Beliau mengikut saya ke mana jua saya pergi,” katanya yang menerima tepukan kuat para hadirin.

Siti Hasmah turut hadir pada majlis itu bersama kira-kira 500 orang rakyat Malaysia lain.

Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai pemimpin paling tua di dunia yang dipilih mengetuai sebuah kerajaan selepas gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi pilihan raya umum pada Mei lalu.

Menghimbau slogan “Kepimpinan melalui teladan“, Dr Mahathir berkata, beliau telah menjadikan dirinya sebagai teladan dalam bekerja keras.

“Penyakit boleh membunuh anda, pekerjaan tidak. Anda bukan sahaja perlu bersenam untuk menguatkan otot-otot di badan anda, tetapi anda juga perlu membuat senaman minda untuk menguatkan minda anda,” kata beliau.

ISA ADA PELUANG SEIMBANG DENGAN ANWAR



PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, antara lima calon bebas dalam pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau mempunyai peluang seimbang dengan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang.

Ahli politik veteran berusia 69 tahun itu berkata sebagai orang lama di Port Dickson, beliau juga mempunyai ramai penyokong tersendiri.

"Walaupun saya sudah keluar Umno tapi mereka sokong saya dan yang bukan Umno juga sokong saya. Saya bertanding kerana mahu membela nasib rakyat dan seterusnya membawa pembangunan di Port Dickson," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK Port Dickson hari ini.

Selain Mohd Isa, calon bebas lain ialah Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong (lebih dikenali sebagai Stevie Chan) dan Kan Chee Yuen. Turut bertanding calon PAS Mohd Nazari Mokhtar.

Mohd Nazari, 57, seorang pesara tentera pula yakin pengalaman dan perkhidmatannya selama 27 tahun sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia menjadi kelebihan buatnya dalam PRK itu.

"Rata-rata pengundi di PD adalah masyarakat Melayu dan ramai veteran tentera... saya tahu keperluan serta kehendak pengundi di sini, InsyaAllah kita ada peluang besar untuk menang," katanya.

Mohd Saiful Bukhari, yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar, menegaskan beliau bertanding bukan atas faktor dendam terhadap bekas majikannya itu.

"Tiada sebarang dendam terhadapnya malah saya menghormati semua calon yang bertanding," katanya yang pernah dikaitkan dalam kes mahkamah dengan Anwar.

“Tujuan saya bertanding ialah supaya saya boleh bergerak ke hadapan dan tema kempen saya ialah 'maju ke hadapan, kekalkan kestabilan", kata Mohd Saiful Bukhari.

Bekas pensyarah Lau, 51, satu-satunya calon wanita dalam PRK itu, berkata beliau bertanding untuk mewakili suara rakyat.

“Saya di sini untuk betrkhidmat, orang lain muingkin ada kepentingan politik, tetapi saya mengutamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, personaliti media sosial Stevie Chan, 51, berkata beliau mahu memberi khidmat cemerlang kepada masyarakat bagi memenuhi kehendak dan keperluan yang masih belum dikotakan pemimpin terdahulu.

"Saya akan selesaikan isu tempatan dahulu terutama dalam menambah pendapatan selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Saya juga akan berusaha menarik lebih ramai pelabur ke Port Dickson," katanya.

Pemilik syarikat perunding, Kan, 45, berkata beliau bertanding bukan untuk melawan kerajaan malah berbuat demikian untuk membantu kerajaan membawa perubahan kepada rakyat.

"Bagi saya kemajuan dan profesional amat penting dalam sesebuah kerajaan lebih-lebih lagi setelah kerajaan Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini yang membolehkannya membawa perubahan kepada negara," katanya.

- Bernama

Thursday, September 27, 2018

HAKIM TEGUR PIHAK PERTIKAI BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH



KUALA TERENGGANU, 27 Sept (Bernama) -- Hakim Syarie Terengganu Rosdi Harun menegur segelintir pihak yang dilihat mempertikaikan bidang kuasa dan hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah syariah di negeri ini oleh Mahkamah Syariah Terengganu.

Teguran itu disuarakan pada awal prosiding jatuh hukum terhadap seorang ibu tunggal berumur 30 tahun yang mengaku bersalah atas kesalahan persediaan melacurkan diri di sebuah hotel di sini 17 Sept lalu.

Mengambil contoh kes sebatan yang dijatuhkan terhadap dua wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Terenganu 3 Sept lalu terhadap dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis, beliau berkata hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat untuk mendidik dan memberi peringatan kepada pesalah dan juga masyarakat Islam.

“Negara kita adalah negara yang berdaulat dan negara yang bertamadun serta mempunyai peraturan. Begitu juga Mahkamah Syariah adalah berdaulat dan hukuman yang dijalankan terhadap pesalah dijalankan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) yang telah dipersetujui oleh pemerintah.

“Apa yang menyedihkan dewasa ini ada pihak yang menulis mengenai perkara itu (hukuman syariah) tetapi yang tiada ilmu pun nak tulis juga dan menegur mengenai bidang kuasa Mahkamah (Syariah),” katanya dalam nada sebak.

Rosdi juga kesal dengan pihak yang tidak mempunyai pengetahuan yang betul mengenai cara pelaksanaan hukuman sebatan yang dijalankan hingga menimbulkan polemik kepada masyarakat di negara ini khususnya yang disebarkan melalui media sosial.

Jelasnya, mereka tidak melihat sendiri cara sebatan mengikut syariat Islam itu dijalankan sedangkan ia berbeza dengan sebatan di Mahkamah Sivil hingga salah faham ini menyebabkan ada pihak membuat kenyataan untuk ‘menghapuskan' Mahkamah Syariah.

Justeru katanya bagi mengelak perkara itu berulang, pihak mahkamah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika terdapat lagi tohmahan dilemparkan terhadap pihak Mahkamah Syariah (khususnya di Terengganu) susulan hukuman yang dijatuhkan terhadap ibu tunggal itu hari ini atau mana-mana kes berkaitan selepas ini.

“Untuk kali ini sekiranya terdapat tulisan atau perkara yang menghiris hati saya jika perlu kita tidak ragu-ragu akan bawa ia ke muka pengadilan untuk prosiding atas kes menghina mahkamah,” katanya.

Sebelum ini pelbagai spekulasi dan kecaman timbul terhadap pihak Mahkamah Syariah Terengganu ekoran pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita itu yang dijalankan di hadapan kira-kira 100 orang awam.

Kes itu mendapat perhatian ramai termasuk NGO berkaitan hak asasi manusia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mendakwa ia menghina, merendahkan dan seolah-olah suatu usaha tindakan memalukan wanita-wanita itu dan keluarga mereka.

-- BERNAMA

Wednesday, September 26, 2018

PAS SEKADAR BUANG DUIT DI PORT DICKSON?



MARANG, 26 Sept (Bernama) -- PAS akan meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt depan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pengumuman calon akan dibuat di Port Dickson malam esok.

Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang berkata keputusan itu dibuat atas dasar menghidupkan sistem demokrasi dan mahu rakyat mempunyai pilihan dalam menentukan pemimpin mereka meskipun PRK itu diadakan secara tergesa-gesa.


"Walaupun kita tidak bersetuju PRK ini dibuat secara tergesa-gesa, kita tidak mahu membazir tanpa membuat kerja sekurang-kurangnya kita melatih gerak kerja kita...tidak mustahil kita boleh menang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Harian Jawatankuasa PAS Pusat di sini malam ini.

Mengenai keputusan UMNO memboikot PRK tersebut, Abdul Hadi berkata kerjasama antara dua parti itu tidak akan terjejas kerana melibatkan dua perkara berbeza.

"Kita mengambil kira gelombang PRK Sungai Kandis dan Seri Setia yang menyaksikan kebangkitan rakyat terhadap apa mereka rasa tidak puas hati terhadap PH (Pakatan Harapan) menerusi kedua-dua PRK itu sebelum ini.

"Kita ajak semua parti bekerjasama pada PRK ini. Calon PAS ini orang yang mempunyai pengaruh," katanya yang enggan memberi gambaran mahupun ciri-ciri personaliti calon PAS meskipun diasak pelbagai pertanyaan oleh pemberita.

Beliau berkata PAS sebelum ini memberi laluan kepada UMNO dan MIC bertanding, namun apabila tiada calon dicadangkan, PAS mengambil keputusan untuk tidak memberi kemenangan percuma kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan calon PH bagi PRK tersebut.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding seterusnya menjadi anggota Parlimen.

Selain Anwar dan calon PAS, setakat ini Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga mengesahkan akan meletakkan calon dan seorang lagi calon ialah personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson diadakan pada 13 Okt ini dan hari penamaan calon ditetapkan 29 Sept, manakala hari mengundi awal pada 9 Okt.

-- BERNAMA

Tuesday, September 25, 2018

UMNO PUSAT BERI KUASA AUTONOMI KEPADA UMNO SABAH



KOTA KINABALU, 25 Sep(Bernama) -- UMNO Sabah menyambut baik pemberian kuasa autonomi yang telah diberikan oleh UMNO Pusat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pemberian itu merupakan satu sejarah kepada UMNO Sabah dan secara langsung akan “melokalkan" UMNO di negeri ini.

"Ini juga adalah hasil perjuangan UMNO Sabah dan selaras dengan usaha bagi "penjenamaan semula" atau "mencipta semula " UMNO Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata autonomi itu penting demi kepentingan masa depan UMNO di Semenanjung dan UMNO di Sabah.

“Ia juga mengelak UMNO Sabah daripada terus dimanipulasi sebagai “parti import” atau “parti Malaya” oleh pihak lawan di peringkat negeri," katanya.

Hajiji berkata melalui autonomi itu, UMNO Sabah akan menentukan halatuju sendiri termasuk soal memilih kepimpinan UMNO Sabah dan mahu rakan blok pembangkang faham perubahan yang berlaku dalam perjuangan UMNO Sabah melalui kuasa yang diberikan.

Beliau berkata UMNO Sabah akan menentukan teras perjuangan sendiri yang bersesuaian dengan sentimen di Sabah yang lebih cenderung dirujuk dengan identiti bangsa masing-masing berbanding perkataan 'Melayu'.

"Dengan autonomi ini UMNO Sabah mempunyai asas perjuangan tambahan sendiri yang bersesuaian dengan sentimen di Sabah iaitu perjuangan hak dan kepentingan anak negeri, bumiputera dan negeri Sabah," katanya.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata beliau akan menyentuh perkara itu dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO pada 29 September ini sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO untuk diperakui.

Katanya perkara berkenaan juga akan dibawa ke Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi membolehkan pindaan perlembagaan parti berhubung permintaan UMNO Sabah untuk diberi autonomi berkenaan.

-- BERNAMA

Monday, September 24, 2018

AZMIN TAWAR PROJEK KEPADA PERWAKILAN PKR?



KOTA KINABALU 23 Sept. - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud individu tertentu yang berkuasa menawarkan projek bagi mendapat sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.


Anwar berkata, beliau tahu perkara itu wujud, justeru tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan.


“Kamu sokong aku nah projek, ada... saya tahu, kalau saya tahu jaga. Azizah (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dia Presiden dia baik sikit, kalau saya naik (Presiden) saya ‘lesing’,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Malaysia 2018 PKR Sabah di sini hari ini.

Menurut Anwar, beliau mahu hanya pemimpin yang bersih mene­rajui parti agar objektif utama PKR mentadbir negara dengan pembaharuan lebih baik dapat dicapai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya setiap perwakilan parti agar memilih berdasarkan pemimpin yang berkaliber dan menawarkan polisi terbaik bukannya menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri.

Anwar juga mengakui wujud kelemahan dalam sistem pemilihan parti itu sehingga menimbulkan kekecohan dan menyebabkan proses pengundian di sembilan cabang di Kedah ditangguhkan.

Bagaimanapun katanya, kelemahan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan kekecohan termasuk insiden membaling kerusi yang berlaku di Pulau Pinang sehingga menjejaskan imej parti.

Sehubungan itu tegasnya, mana-mana ahli yang menimbulkan kekecohan dan terlibat dalam insiden membaling kerusi itu akan dipecat daripada parti.

“Dulu MIC terkenal dengan membaling kerusi, jadi MIC sudah tiada dia ganti masuk Keadilan (PKR), baling kerusi, saya punya jawapan orang yang baling kerusi itu kita akan baling dia keluar daripada parti.

“Memang ada kelemahan dalam corak kepimpinan sebab itu kita tangguh untuk Kedah semalam dan hari ini di Perak, kerana kita mahu pastikan pemilihan bersih,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri.

Sunday, September 23, 2018

MELACUR KERANA ANAK AKAN DIUMUM HUKUMANNYA PADA KHAMIS INI



KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Seorang ibu tunggal yang didakwa melakukan persediaan untuk melacurkan diri, memberi alasan ketiadaan wang sebagai punca beliau berbuat demikian.

Wanita berusia 30 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini hari ini, atas kesalahan menawarkan khidmat seks kepada seorang lelaki di bilik 507, sebuah hotel di sini pada pukul 11.45 malam, 17 Sept lalu.

Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun, didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Takzir 2001, menyebabkannya berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Ketika merayu diringankan hukuman, ibu tunggal yang memakai baju kurung dan bertudung berwarna biru itu turut menyatakan beliau adalah yatim piatu dan ekoran hubungan tidak baik dengan enam lagi adik beradiknya menyebabkannya bertekad melakukan kesalahan itu demi mendapatkan wang.

“Saya tidak suka menyusahkan keluarga. Adik-beradik telah membawa haluan masing-masing dan biasanya saya hanya bergantung dengan rakan-rakan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa anaknya dijaga oleh kakaknya sejak bercerai tujuh tahun lalu.

Sepanjang prosiding, Hakim Syarie Rosli Harun beberapa kali bertanya kepada tertuduh adakah beliau akan kelaparan jika tidak melakukan kesalahan itu, tertuduh menjawap:”Ya.”

Hakim Syarie: “Adakah kamu mempunyai pekerjaan?”

Tertuduh: “Ya, Kadang-kala sebagai pekerja sambilan di pasaraya dan ada juga canting batik dekat kawasan rumah di Kota Bharu, Kelantan. Gaji saya tidak seberapa”

Hakim Syarie: “Sebab apa kamu boleh jadi (lakukan kesalahan) pada hari kejadian? Biasa ke buat kerja seperti ini?”

Tertuduh: “Tidak, sebab masa itu (hari kejadian) saya perlukan duit untuk anak saya.”

Berdasarkan fakta kes, ketika tangkapan tertuduh mempunyai wang tunai sebanyak RM750 namun mendakwa ia bukan miliknya, sebaliknya wang untuk membeli keropok di Kuala Terengganu setelah dikirim oleh rakan-rakan.

Sementara itu, Pendakwa Syarie Khasmizan Abdullah berkata ketika tangkapan itu, tertuduh mengaku menjalankan aktiviti seks dengan bayaran antara RM300 hingga RM1,000 semalam.

“Matlamat tidak menghalalkan cara. Saya pohon mahkamah memberi hukuman berat ke atas tertuduh, agar menjadi pengajaran dan kegerunan kepada semua pihak serta mengekang masalah aktiviti pelacuran yang mampu membawa kehancuran rumah tangga, penyebaran penyakit dan gejala sosial,” katanya.

Hakim Syarie Rosli menetapkan Khamis ini untuk memutuskan hukuman ke atas tertuduh.

-- BERNAMA

Saturday, September 22, 2018

TIMBALAN MENTERI MENGAKU ADA SKANDAL DENGAN PEGAWAINYA


KOTA BELUD: Nampaknya gempa bumi telah melanda Kota Belud di Sabah setelah terbongkar skandal seks antara Anggota Parlimen dengan pegawai beliau.

Noraini Limbot, isteri pegawai tersebut, Mohd Norazri Fauzi Nur Azalleh, membuat laporan polis yang menuduh bahawa suaminya mencekiknya dan memukulnya.

Nampaknya pertengkaran bermula ketika Noraini mengkonfrontasi suaminya mengenai kecurangan dengan YB Isnaraissah Munirah Majilis, Anggota Parlimen Warisan untuk Kota Belud, yang juga adalah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar.

Insiden tersebut terjadi pada 8 Ogos 2018 lalu di mana  menurut siasatan polis,  YB Isnaraissah Munirah mengaku berselingkuh dengan Mohd Norazri. Noraini memberi tahu polisi bahwa dia menemui kecurangan itu melalui  WhatApp suaminya.

Moral dari cerita ini adalah: Jangan gunakan WhatsApp untuk komunikasi rahsia Anda dan guna Telegram Anda ke "whatsapp rahsia" yang lebih selamat.

TERENGGANU AKAN CEPATKAN KELUAR GARIS PANDUAN SELIA AKTIVITI HIBURAN



KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan mempercepatkan langkah mengeluarkan garis panduan bagi mengawal selia aktiviti hiburan di pulau-pulau pelancongan di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata garis panduan itu sedang dirangka dan akan dikeluarkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Memandangkan kemasukan ke pulau-pulau di Terengganu akan ditutup sepenuhnya dari Oktober hingga awal Januari berikutan monsun, jadi kita akan ambil kesempatan tempoh itu untuk keluarkan garis panduan ini dalam memastikan insiden yang berlaku baru-baru ini tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Tren ETS Berpaparan Beautiful Terengganu Malaysia' di KL Sentral di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai 10 individu termasuk tiga wanita ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika asyik berpesta arak di dua pusat hiburan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, Selasa lepas.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri tidak menghalang pengunjung melakukan aktiviti hiburan di pulau yang dilawati namun perlu mematuhi adab dan peraturan yang ada bagi menjaga keharmonian pengunjung lain.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama kerajaan negeri dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu akan melonjakkan kemasukan pelancong ke Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata sebagai permulaan, hanya satu set tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan memaparkan secara kreatif imej destinasi dan produk pelancongan melalui jenama Beautiful Terengganu selama setahun.

"Dengan jumlah penumpang 10,695 orang sehari dan purata jumlah sebulan mencecah 324,635 penumpang di laluan Kuala Lumpur, Ipoh, Butterworth, Padang Besar dan Gemas, paparan ini mampu menjadi langkah paling efektif dalam mempromosikan pelancongan di Terengganu.

"Malah, pengenalan dua produk yang menjadi kebanggaan negeri ini, nasi dagang dan keropok lekor di dalam cafe ETS akan melonjakkan produk Terengganu ini ke negeri lain," katanya.

-- BERNAMA



Friday, September 21, 2018

AKIBAT ENGGAN LETAK JAWATAN MAKA UMNO TERIMA PADAHNYA

PEKAN, 21 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan kepercayaan dan kesetiaan anggota Parlimen UMNO yang meninggalkan parti dalam keadaan parti sedang diuji.

Beliau berkata mereka, selaku pemimpin yang diberi kepercayaan dalam UMNO, seharusnya setia kepada perti dan meneruskan perjuangan yang didukung selama ini.

"Kita mesti setia pada parti walau dalam apa jua keadaan yang menimpa... sama ada kita berkuasa atau tidak berkuasa. Apatah lagi dalam saat ini, yang mana parti amat memerlukan kita," kata Anggota Parlimen Pekan itu semasa ditemui pada Program Bubur Asyura dan Santai Bersama Peneroka di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Chini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman dua Anggota Parlimen UMNO iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar parti baru-baru ini.

Mustapa yang merupakan Anggota Parlimen Jeli bertindak melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, pada Selasa lalu, atas alasan lagi tidak sealiran dengan parti.

Anifah selaku Anggota Parlimen Kimanis pula mengesahkan meninggalkan parti kurang 24 jam selepas Mustapa dengan berkata keputusan itu dibuat kerana mendakwa kerajaan sebelum ini gagal memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Ulasan saya, Najib tak perlu cakap banyak mempersoalkan kesetiaan Tok Pa dan Anifah yang keluar dari Umno. Mereka kena fikir masa depan mereka. Soal mereka diugut SPRM atau tidak, tidak timbul kerana mereka lihat Umno sukar bangkit lagi pada PRU akan datang.

Isu perkauman yang diperjuangkan Umno sudah tidak relevan lagi dalam politik Malaysia. Maka tindakan mereka meninggalkan Umno sudah dijangka. Inilah akibat Najib enggan letak jawatan apabila isu 1MDB meletup. Jika beliau letak jawatan maka Umno tidak terima padah seperti ini.

Memang sedih nasib Umno kerana jasanya amat besar kepada bukan sahaja orang Melayu malah kepada semua rakyat Malaysia. Tetapi apa kan daya, nasi sudah menjadi bubur. Lima tahun lagi dengan pengundi baru hampir 1 juta dengan remaja berusia 18 tahun, maka sukar BN menumbangkan kerajaan PH. Ahli parlimen Umno kena fikir juga soal survival hidup mereka. Maka perkara seperti ini sudah dijangka apabila BN tewas pada PRU lalu. Puncanya kerana Najib enggan berundur dari awal. Salah siapa sekarang?

Thursday, September 20, 2018

DAPATKAH ORANG NEGERI SEMBILAN TERIMA ANWAR PADA 13 OKTOBER?

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson, Negeri Sembilan diadakan pada Sabtu, 13 Okt.

SPR juga menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 29 Sept (Sabtu) manakala hari pengundian awal pada Selasa, 9 Okt.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood yang mengumumkan perkara itu pada sidang media hari ini, berkata tempoh berkempen bagi PRK berkenaan ialah selama 14 hari.

"PRK Port Dickson melibatkan peruntukan RM3.6 juta kerana ia melibatkan kawasan yang luas dan Parlimen Port Dickson melibatkan lima Dewan Undangan Negeri di bawahnya,” katanya selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Parlimen Port Dickson di ibu pejabat SPR di sini.

Othman berkata SPR meletakkan sasaran 70 peratus daripada 75,700 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Port Dickson keluar mengundi pada PRK itu nanti.

Ini adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. Anwar baru-baru ini juga menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.

Dalam PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Othman berkata permohonan undi pos luar negara dan dalam negara dibuka pada hari ini dan ditutup pada 29 Sept.

Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Menurutnya SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Port Dickson dan beliau akan dibantu oleh sembilan Penolong Pegawai Pengurus.

“SPR juga bersetuju menubuhkan lima Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

Bagi PRK itu, seramai 1,403 petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil dengan 39 buah pusat mengundi yang mengandungi 171 saluran akan digunakan berbanding 145 saluran mengundi dibuka pada PRU14, katanya.

Wednesday, September 19, 2018

REMAJA 18 TAHUN LAYAK MENGUNDI PADA PRU AKAN DATANG



PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya bagi mendapatkan persetujuan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan tersebut, beliau akan bertemu dengan semua anggota parlimen dalam kalangan belia tanpa mengira parti politik untuk menubuhkan Kaukus Belia.

"Melaui Kaukus Belia, anggota parlimen muda setiap parti akan berbincang bukan sahaja usul undi 18 tetapi juga berkaitan isu anak muda lain kerana walaupun mereka di sebelah pembangkang, kita perlu dapatkan input mereka dalam hal ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pascakabinet, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai ketua-ketua pemuda semua parti politik di negara ini untuk membincangkan usul tersebut.

"Kita perlukan sokongan daripada mereka dan saya agak yakin khususnya apabila mereka mewakili anak muda, undi 18 ini diidam-idamkan oleh anak-anak muda Malaysia sejak dahulu lagi,” katanya yang berharap perbezaan politik tidak akan menghalang mereka bersatu dalam usaha memperkasa anak muda di negara ini.

Tuesday, September 18, 2018

TIADA BAYI YANG BARU DILAHIRKAN DINAMAKAN TERENGGANU

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Kemasyhuran nama seseorang tokoh semasa menjadi satu faktor pemilihan nama seseorang anak oleh ibu bapa untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Oleh sebab itu tidak hairanlah jika nama seperti "Tun" dan "Mahathir" ialah antara nama popular yang direkodkan oleh JPN iaitu seramai 4,726 orang untuk nama Tun manakala Mahathir seramai 420 orang.

Bagaimanapun, menurut JPN penggunaan nama Tun ketika ini hanya dibenarkan kepada mereka yang ada keturunan Tun sahaja dan berbeza dengan keadaan sebelumnya yang boleh digunakan tanpa mengira keturunan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Jasri Kasim berkata berdasarkan rekod jabatan itu, orang yang bernama "Malaysia" juga mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu seramai 129 orang manakala nama "Merdeka" 102 orang.

“Pihak JPN mempunyai beberapa standard yang perlu dipatuhi sebelum pihak ibu bapa memberi nama kepada JPN khasnya dari segi maksud kerana sesetengah nama memberi makna yang berbeza kepada sesuatu kaum.

“JPN tidak menghalang nak letak nama apa pun, namun jika nama tersebut boleh memberi kesan kepada penama, JPN akan berikan cadangan nama lain yang sesuai,” katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah eksklusif di sini baru-baru ini.

Menurutnya pemilihan nama oleh ibu bapa banyak dipengaruhi keadaan dan faktor semasa seperti politik, sukan, hiburan mahupun peristiwa penting yang berlaku semasa bayi tersebut dilahirkan.

“Kalau anak itu lahir ketika politik negara tengah panas, mana lahirlah nama-nama pemimpin politik, begitu juga jika anak lahir ketika Piala Dunia mahupun ketika kemunculan beberapa artis terkemuka, jadi ia memang boleh mempengaruhi,” katanya.

Dalam pada itu katanya nama negeri turut menjadi pilihan seperti Sabah iaitu seramai 176 orang, Johor (163), Perak (130), Melaka (91) dan Kedah (60).

Selain itu katanya turut popular adalah nama Pahang (37), Sarawak (12), Labuan (8), Perlis (7), Putrajaya (5), Selangor (3), Kelantan (2) dan Pulau Pinang (1) manakala untuk nama Terengganu belum ada dalam rekod setakat ini.

JPN bertanggungjawab bagi mendaftarkan setiap kelahiran bayi yang berlaku di Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung Malaysia, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Cap.10) bagi negeri Sarawak dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Cap.123) bagi negeri Sabah.

-- BERNAMA

Monday, September 17, 2018

JAIPK AKAN PERKENALKAN SESAWANG E JODOH

IPOH, 16 Sept (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan memperkenalkan laman sesawang e-jodoh untuk membantu individu yang sukar bertemu jodoh mendapatkan pasangan.

Pada masa sama, Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata JAIPk juga akan melancarkan modul poligami bertujuan memberi pendedahan tentang tanggungjawab mereka yang ingin berpoligami bagi memastikan isteri dan anak tidak terabai.

Kedua-dua inisiatif itu akan dilancarkan serentak bulan depan, katanya kepada pemberita selepas Program Majlis Nikah Jamaie Syarie peringkat negeri yang turut dihadiri Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, hari ini..

"Kita akui ada yang mahu berkahwin tetapi belum bertemu dengan pasangan yang sesuai sehingga ada yang sudah lewat usia, jadi kita akan membantu mereka bertemu jodoh seterusnya menjadi salah satu kaedah untuk menggalakkan perkahwinan menerusi e-jodoh," katanya.

Modul poligami pula bertujuan memberi pendedahan dan penerangan sebenar kepada masyarakat khususnya golongan suami tentang tanggungjawab dan kemampuan bagi mereka yang berkeinginan untuk berpoligami, katanya.

Sunday, September 16, 2018

MB HARGAI KERAJAAN PUSAT CARI JALAN SALURKAN ROYALTI KEPADA TERENGGANU



KUALA NERUS, 16 Sept (Bernama) – Kerajaan Terengganu tidak menganggap tempoh enam bulan yang diambil oleh kerajaan pusat untuk memperhalusi kaedah pembayaran 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak sebagai satu usaha melengahkan janji manifesto.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau amat menghargai usaha kerajaan pusat mencari jalan bagi menyalurkan 20 peratus royalti kepada negeri yang terlibat sepertimana yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

"Kita hargai apa yang mereka cuba buat. Tinggal lagi sebelum daripada tempoh kajian, perjanjian sedia ada berjumlah lima peratus yang diterima oleh kerajaan negeri Terengganu sebelum ini yang tidak kurang daripada RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun mestilah berjalan seperti biasa.

"Jadi kita menjangkakan tentulah sekiranya kajian yang baru dibuat, keputusan akhir jumlahnya mestilah tidak berkurangan daripada yang diterima sekian lama iaitu sejak 1974.

"Kalau tidak, apa makna sebuah janji manifesto oleh kerajaan baharu jika jumlah yang diterima lebih kecil daripada yang diterima sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berpendirian bahawa tugas mengkaji kaedah pembayaran royalti itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan pusat dan tidak perlu dipertikaikan.

"Saya bersangka baik bahawa itu adalah hasrat mereka untuk membuat pertimbangan baharu. Dia orang nak ambil masa setahun nak kaji pun tak apa yang penting yang lepas tu (bayaran sebelum ini) harus berjalan seperti biasa.

"Kita sedang menunggu akhir bulan ini atau awal bulan depan untuk menerima wang royalti sebanyak lima peratus mengikut perjanjian seperti yang diterima sebelum ini," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga sudah menerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang mengiktiraf bahawa penerimaan yang bersangkutan dengan hasil minyak dinamakan sebagai wang royalti dan bukannya wang ihsan yang disalurkan terus kepada akaun negeri.

-- BERNAMA

Wednesday, September 12, 2018

KHIDMAT ZAKARIA DITAMATKAN

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) – Khidmat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Zakaria Arshad, sebagai pengarah syarikat itu ditamatkan, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat perniagaan pertanian itu berkata tindakan tersebut berkuat kuasa selepas FGV menerima surat daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini yang menarik balik pelantikan Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan dalam pelaksanaan perlembagaan baharu FGV, yang telah diluluskan oleh pemegang saham FGV pada 28 Jun lepas.

Tindakan itu mengikut Klausa 89(3) perlembagaan tersebut, yang menyatakan khidmat pengarah lantikan kerajaan akan ditamatkan apabila pelantikan beliau ditarik balik.

Antara jawatan yang kini dipegang Zakaria dalam organisasi lain ialah Naib Pengerusi Persatuan Penapis-penapis Minyak Sawit Malaysia; Anggota Silih Ganti Lembaga Minyak Sawit Malaysia; Anggota Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE) Universiti Malaysia Kelantan dan penasihat Persatuan Trak Makanan Bergerak dan Makanan Jalanan Malaysia.

Perubahan itu menyusuli pelantikan dua pengarah bebas baharu FGV – bekas CEO Bursa Malaysia Datuk Yusli Mohamed Yusoff dan anggota lembaga pengarah Zurich Life Insurance Malaysia Bhd, Datin Hoi Lai Ping.

-- BERNAMA

Monday, September 10, 2018

PH MENANG DI SERI SETIA TAPI HILANG MAJORITI SEBANYAK 15,300 UNDI

PETALING JAYA, 8 Sept (Bernama) – Calon anak tempatan Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia apabila menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.

Halimey, 46, yang merupakan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh 13,725 undi manakala Dr Halimah, 58, yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor mendapat 9,698 undi.

Halimey bagaimanapun memperoleh majoriti lebih rendah berbanding majoriti undi 19,372 yang dimenangi bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain pada pukul 9 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sivik MBPJ di sini.

PRK DUN Seri Setia diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong dan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Shaharuddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S. Vignes (217).

Mohd Azizi ketika pengumumannya berkata peratusan keluar mengundi pada hari ini adalah 44.1 peratus dan jumlah kertas undi yang ditolak adalah 164.

“Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pilihan raya N32 Seri Setia,” katanya.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi hari ini adalah 23,423 orang daripada 53,492 pengundi berdaftar dalam kawasan DUN Sungai Kandis.

-- BERNAMA

PENEMBAK BEKAS ADUN ALOR LIMBAT DITEMBAK MATI



KEMAMAN, 10 September (Bernama) -- Polis hari ini berjaya menembak mati seorang penjenayah yang amat dikehendaki bagi 12 kes jenayah berat termasuk kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah pada 2015.

Suspek, Syukri Muhamad Abiah, 37, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, maut dalam kejadian tembak-menembak dengan sepasukan anggota polis di Felda Neram Satu dalam satu serbuan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata lelaki itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena tembakan di bahagian dada kanan dan kepala.

"Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di sebuah rumah separuh siap selepas usaha menjejaki suspek dijalankan selama tiga tahun.

"Polis terpaksa menembak balas untuk mempertahankan diri. Pemeriksaan selepas itu mendapati suspek tidak sedarkan diri dan kemudiannya meninggal dunia akibat ditembak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim (gambar) .

Polis turut menemui sepucuk pistol semi automatik jenis Norinco, sebutir peluru dan sebilah parang milik suspek di tempat kejadian.

Fazlisyam berkata suspek adalah penjenayah yang amat dikehendaki bagi siasatan kes bunuh dan culik di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dan polis percaya susulan tumpasnya penjenayah itu, pihaknya telah dapat menyelesaikan beberapa kes pembunuhan di tiga negeri berkenaan.

Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek turut bertindak sebagai pembunuh upahan.

Suspek mempunyai isteri dan tiga orang anak serta pernah ditangkap beberapa kali kerana jenayah kekerasan dan dipenjarakan pada 2001 kerana mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

"Kita percaya suspek mempunyai ramai rakan yang membantunya menyembunyikan diri daripada polis," katanya.

-- BERNAMA

Friday, September 7, 2018

SIAPA NYANYUK: LIM KIT SIANG ATAU HANIF OMAR?




KUALA LUMPUR:Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi tempoh selama 48 jam kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Hanif Omar untuk membuktikan beliau mencadangkan supaya semenanjung Malaysia dibahagi dua dengan Pantai Barat diserahkan kepada kaum Cina.

Lim berkata, dakwaan Hanif bahawa beliau membuat kenyataan itu selepas berlaku rusuhan kaum pada 1969 hanya sekadar rekaan bekas ketua polis itu dan merupakan agenda untuk memburukkan beliau dan DAP.

"Saya minta supaya Hanif memetik bab dan rangkap, tarikh dan masa, di mana saya membuat cadangan mengarut seumpama itu. Jika maklumat itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, maka ia harus dinyahkan daripada status itu.

"Saya memberi Hanif tempoh selama dua hari untuk memberi respons terhadap cabaran ini atau rakyat Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa beliau sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP dengan penipuan sebegitu.

"Saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas tamat tempoh dua hari tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan beliau tidak berada di Kuala Lumpur antara 10 Mei 1969 sehingga pada hari penahanannya.

Menurut Lim, beliau merupakan pemimpin politik yang paling banyak dimomokkan sepanjang separuh abad lalu termasuk dituduh menjadi komunis, dalang rusuhan 13 Mei, anti-Melayu dan anti-Islam.

"Namun semua pembohongan, kepalsuan dan tindakan memburuk-burukkan ini tidak terbanding dengan cerita temberang Hanif yang mendakwa kononnya saya mahu Malaysia terbahagi kepada dua bahagian selepas PRU Mei 1969," katanya.

Lim menjawab laporan sebuah akhbar yang memetik Hanif sebagai berkata bahawa beliau terpaksa memenjarakan Lim demi menjaga keharmonian negara selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, Hanif  tidak secara khusus menamakan Lim sebagai individu yang mencadangkan agar semenanjung Malaysia dibahagi dua selepas tragedi hitam itu.

“Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia, cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi ketua polis negara,” ujar Hanif seperti dilapor Sinar Harian.

Lim dalam kenyataannya mempersoalkan dari sumber mana Hanif mendapat maklumat tersebut.

Kata Lim, Hanif bukan ketua polis negara ketika beliau ditahan buat pertama kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 18 Mei 1969.

Hanif berkhidmat sebagai ketua polis negara dari tahun 1974 hingga 1994, manakala Lim dibebaskan pada tahun 1970. BN pula hanya dibentuk pada tahun 1973.

"Ini kali pertama saya dengar bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penahanan saya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

"Ini juga adalah kali pertama saya mendengar mengenai cadangan untuk memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian.

"Jika saya pernah membuat cadangan sebegitu, ia tidak akan terperap lama sehingga separuh hampir abad, kerana sudah pasti akan digunakan oleh musuh saya untuk memburuk-burukkan saya," kata Lim.

Thursday, September 6, 2018

BATALKAN TALIAN NOMBOR TELEFON AH LONG

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa perlu mengambil langkah penguatkuasaan bagi melumpuhkan medium komunikasi ceti haram atau ah long untuk mengelak masyarakat terjebak permasalahan akibat meminjam wang dengan mereka, menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Zharif Johor berkata pihaknya menerima 11,650 aduan berkaitan ah long sejak 2015 daripada pengadu berusia antara 18 hingga 70 tahun.

“Kerajaan perlu melumpuhkan medium komunikasi dan promosi perkhidmatan ah long dengan memastikan poster iklan pinjaman ah long tidak wujud dan membatalkan talian nombor telefon yang dipamerkan menerusi iklan itu selain menangkap mereka dalam usaha membanteras kegiatan ah long,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara Khas, Gerakkan Kuasa Pengguna terbitan Bernama News Channel bertajuk ‘Ah Long, Bukan Mahu Tolong?’ di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan bekas ah long yang juga Pengarah Operasi Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang.

Zharif berkata pihaknya percaya langkah berkenaan mampu mengatasi masalah itu berikutan ah long tidak mempunyai pejabat untuk berurusan dan hanya berhubung dengan peminjam menerusi talian telefon serta mengiklankan perhidmatan mereka menerusi poster yang ditampal di tempat awam.

Beliau berkata berdasarkan statistik, sebanyak 65 peratus pengadu yang mempunyai masalah dengan ah long adalah disebabkan berjudi, diikuti meminjam wang untuk membantu kawan yang mempunyai masalah kewangan, ingin gaya hidup mewah, membeli dadah selain berkahwin.

Katanya PPIM berperanan mendidik masyarakat tentang bahaya ah long dan membantu menyelesaikan aduan berkaitan ah long dari segi rundingan, menetapkan jumlah tuntutan dan menyusun semula pembayaran balik peminjam.

Sementara itu, Azman menzahirkan kekesalan beliau menjadi seorang ah long seawal usia 20 tahun pada 1996.

Azman, 43, atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Soon Gila’ semasa bergiat aktif dengan kegiatan ah long berkata beliau mula terjebak dengan aktiviti haram itu semata-mata ingin mendapatkan pulangan wang yang banyak dengan mudah.

“Pada mulanya kawan saya yang terjebak dengan pinjaman ah long tetapi ah long mencari saya untuk menuntut bayaran balik pinjaman kawan saya itu tetapi saya tidak dapat membayarnya.

“Sejak peristiwa itu, saya pula menjadi ah long kerana melihat pada jumlah wang yang perlu dibayar semula oleh peminjam terlalu banyak… tetapi wang itu tidak berkat,” katanya yang memeluk Islam pada 2003.

Menceritakan antara pengalaman sebagai ah long seperti menyimbah cat, mengancam peminjam dan bergaduh dengan kumpulan ah long lain yang bersaing kawasan merupakan perkara biasa yang pernah dilakukannya selama kira-kira 10 tahun terlibat dalam aktiviti itu.

Katanya beliau mula tersedar untuk berhenti daripada terus melakukan kegiatan ah long apabila ditangkap dan dinasihat oleh Nadzim pada 2006.

Azman yang berasal daripada Taiping, Perak mengakui bukan mudah untuk berubah apabila beliau kemudian kembali menjalankan kegiatan ah long tidak lama selepas itu sehingga kembali insaf atas sebab yang enggan didedahkan dan menyertai PPIM pada 2015.

-- BERNAMA

Wednesday, September 5, 2018

MESYUARAT PERTAMA MAJLIS TINDAKAN SARA HIDUP NEGARA HUJUNG BULAN INI

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada hujung bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Beliau berkata mesyuarat, yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. dijadual membincangkan enam kluster yang menyumbang kepada peningkatan kos hidup rakyat iaitu berkaitan makanan, perumahan, utiliti, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.

"Bidang yang merupakan penyumbang utama kos hidup iaitu makanan, perumahan, utiliti dan pengangkutan memakan banyak perbelanjaan rakyat, sekali gus meningkatkan kos sara hidup.

Majlis itu akan memperhalusi kesemua perkara yang menyumbang kepada kos sara hidup," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata satu pelan tindakan akan digubal hasil daripada mesyuarat itu dan jika ia berkaitan dengan kluster tertentu, kementerian yang berkaitan bertanggungwab untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Mengenai perkembangan semasa Ops Catut 5.0 yang diadakan sejajar dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Sept, Saifuddin Nasution berkata sebanyak 3,084 premis perniagaan telah diperiksa melibatkan 83,000 barangan disemak.....

Tuesday, September 4, 2018

KRITIKAN HUKUMAN SEBAT BERSIFAT SEMENTARA

KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Terengganu bersikap positif terhadap kritikan segelintir pihak berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis, oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam.

Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata beliau percaya ia bersifat sementara dan mereka akan faham bahawa hukuman yang dikenakan itu adalah untuk mendidik pesalah yang terlibat dalam kegiatan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negara ini.

"Mereka (masyarakat) kena faham prinsip dan undang-undang yang dilaksanakan itu adalah satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa amalan seks songsang tidak wajar diamalkan di negeri Terengganu khususnya dan amnya di negara ini yang mempunyai tatasusila dan norma masyarakat yang beragama Islam.

"Jadi, saya percaya jika masyarakat kita melihat hukuman ini dengan objektif, dengan mata hati dan ilmu serta kefahaman dan bukan dengan emosi mereka boleh terima dan lihat keindahan di sebalik hukuman itu berbanding kaedah sivil yang agak tegas," katanya.

Beliau mengulas mengenai kritikan di media sosial tentang pelaksanaan hukuman sebat itu, selepas Majlis Kesyukuran Meraikan Pasukan Piala Presiden TFC III dan Piala Belia TFC IV di sini hari ini.

Monday, September 3, 2018

JANGAN ANAK TIRIKAN PENYOKONG PAS DALAM PROGRAM YPK

MARANG: Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman meminta Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) tidak menganaktirikan penyokong PAS dalam setiap program YPK.

Katanya, beliau menerima aduan daripada penyokong PAS bahawa mereka tidak diterima untuk belajar menjahit di bengkel jahitan YPK kerana mereka anak penyokong PAS.

"Malah dalam pengambilan guru taska pun mereka ditanya sokong PAS atau BN ketika ditemuduga," kata beliau ketika berucap di majlis lawatan Khairunisa' ke YPK Marang semalam.

Beliau meminta YPK berlapang dada dalam pemilihan pelatih kursus jahitan dan pengambilan kakitangan mereka.

Tuan Faizah yang juga isteri Menteri Besar mengetuai Khairunnisa' melawat YPK Marang. Beliau diiringi Hajah Zarani Othman (isteri Speaker Dewan Undangan Negeri), Zainon Abdul Wahab, Mar Syerah Omar, Hafizah Abd Rahman dan pemimpin muslimat PAS Kawasan Marang.

Turut hadiri majlis tersebut ialah Pengarah YPK, Shafaruddin Mustafa selaku tuan rumah.

Sebelum ini, blog Today Terengganu pada 5 Jun lalu pernah melaporkan 12 sebab kenapa "Pengarah YPK perlu dipecat"   yang mana Shafaruddin didakwa menggunakan YPK berkempen untuk calon BN pada PRU lalu.

Posting tersebut telah dibaca oleh seramai 50,264 orang yang menunjukkan ramai rakyat Terengganu bersetuju kerajaan PAS memecat beliau tetapi sehingga sekarang kerajaan PAS masih mengekalkan beliau sebagai Pengarah YPK.

Sunday, September 2, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OGOS 2018

Posting "Terengganu berharap Putrajaya pertimbang ECRL" yang disiarkan dalam blog Today Terengganu pada 22 Ogos telah mendapat 717 hits. Terima kasih kepada semua pembaca yang masih sudi membaca blog ini.

10 rating tertinggi bagi bulan Ogos 2018 ialah:-

1. Terengganu berharap Putrajaya pertimbang ECRL (22 Ogos) - 717 hits.
2. Melacur melalui wechat ditahan pejabat agama di Kemaman (23 Ogos)
3. Dr Nur Ilyani berhak bersuara kata Syed Saddiq (13 Ogos)
4. Dua lesbian ditangguh hukuman sebat (28 Ogos)
5. RM4,900 yang hilang dipulangkan semula kepada Omar (15 Ogos)
6. Khairy mahu perompak GST dibawa ke mahkamah (9 Ogos)
7. Terengganu perhebat program perkahwinan ibu dan bapa tunggal (15 Ogos)
8. Petani muda raih RM10,000 sebulan (21 Ogos)
9. Sultan Mizan rasmi KTS Hospital (4 Ogos)
10. Perkara 27 Fasa 2 Enakmen 1999 bukan sahaja boleh lantik wanita malah orang China sebagai ADUN ( 14 Ogos)

Saturday, September 1, 2018

SST BERJALAN LANCAR DENGAN ADUAN HARGA MAKANAN DI RESTORAN SELURUH NEGARA

KULIM, 1 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini secara keseluruhannya berjalan lancar, kecuali berkaitan aduan harga makanan di restoran-restoran di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun aduan berkenaan telah ditangani dengan baik oleh pegawai kementerian berkenaan dan beliau sendiri.

"Adalah dijelaskan restoran-restoran berkenaan boleh mengenakan SST dan hasil siasatan kita berdasarkan resit, harga yang dikeluarkan adalah betul dan bukan kedai itu sengaja menaikkan harga seperti dakwaan.

"Saya telah mengarahkan Majlis Harga Barang Negara bersama lebih 1,000 pemantau harga agar memberikan tumpuan di kedai-kedai makanan untuk memastikan tidak ada pengusaha perniagaan yang membuat penipuan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar mengenai Penguatkuasaan Pencatutan di Bawah Operasi Catut 5.0 di sini, hari ini.

Sebelum itu Saifuddin bersama pegawainya membuat lawatan di sebuah syarikat penyelenggaraan kenderaan jenama Toyota di sini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Datuk Mohd Roslan Mahayuddin, Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah dan Pengarah KPDNHEP Kedah Mohamed Fitri Hassan.

Saifuddin berkata mulai hari ini pihaknya akan melaksanakan Operasi Catut 5.0 di seluruh negara yang merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan Operasi Catut 4.0 yang mula digerakkan pada 1 Jun lalu.

"Tindakan ini kita jalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua rantaian perniagaan di seluruh negara dengan memberikan tumpuan kepada tindakan ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian," katanya.

Antaranya perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, adalah penandaan harga, petunjuk atau gambaran mengelirukan mengenai harga serta pengeluaran resit atau invois belian.

Selain itu, mulai hari ini kementerian itu membuka Bilik Gerakan dan beroperasi sehingga jam 10 malam bermula pukul 7 pagi yang bertujuan memudahkan pengguna membuat aduan dan pertanyaan melalui talian bebas tol 1-800-886-800.

Kementerian turut menyediakan pelbagai saluran aduan yang lain iaitu di portal rasmi KPDNKK, emel http://eaduan.kpdnkk.gov.my, SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK serta di media sosial Twitter dan Facebook KPDNKK.

"Bagaimanapun aduan itu mestilah jelas seperti butiran nama, alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian untuk memudahkan kita membuat siasatan," katanya.

Beliau menjelaskan peranan KPDNHEP dalam pelaksanaan SST ini bertujuan menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutamanya yang melibatkan stok-stok sedia ada semasa GST 0 peratus.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan memperkenalkan rang undang-undang mengawal harga caj perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan tidak lama lagi agar servis penyelenggaraan tidak dimanipulasi sehingga ia membebankan pengguna.

-- BERNAMA