Thursday, November 30, 2017

1,415 ORANG BACA BERITA KHALID AWANG DALAM KENANGAN

Blog ini mencatat sejarah menerima hits yang tertinggi 1,415 dalam bulan November 2017 melalui berita Khalid Awang Dalam Kenangan. Beliau bukan ketua bahagian, bukan ahli jawatankuasa bahagian tetapi rupa-rupanya beliau mempunyai ramai kawan yang meratapi kehilangannya pada 24 November lalu. Al fatihah buat beliau.

10 rating tertinggi bagi bulan November 2017 ialah:-

1. Khalid Awang dalam kenangan (25.11.17) - 1,415 hits
2. MB cetus idea imej baru Pembantu Rumah (21.11.17)
3. Rujuk pejabat daerah jika banjir (24.11.17)
4. Doktor mati keracunan makanan (1.11.17)
5. Jaga ibu strok dorong Razif tubuh Pusat Rehabilitasi 1Malaysia (14.11.17)
6. Terengganu mohon JPS kaji punca banjir (26.11.17)
7. Masyarakat Cina Kemaman kembali sokong BN (23.11.17)
8. BN tetap cakna 0.2 peratus pengundi India di Terengganu (14.11.17)
9. Sokongan pengundi India di Terengganu meningkat (13.11.17)
10.Shafie tetap abang tapi saya tetap setia kepada Umno (12.11.17)


Tuesday, November 28, 2017

TERENGGANU MOHON JPS KAJI PUNCA BANJIR

KUALA BERANG, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu memohon agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji kembali punca banjir yang berlaku di enam daerah di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata banjir kali ini disifatkan berlaku begitu pantas berbanding kebiasaannya.

"Kebiasaannya di Terengganu banjir akan berlaku setelah hujan lebat turun tanpa henti dalam tempoh empat hingga lima hari tetapi kali ini hanya dua hari hujan sudah berlaku banjir dan jumlah perpindahan mangsa juga agak ramai."

"JPS harus melihat projek terdahulu yang diluluskan kerana mungkin ia tidak sesuai dengan bentuk rekacipta dan fizikal yang mungkin menyumbang kepada permasalahan ini," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di pusat pemindahan kampung Tok Lawit di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman; dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu Azmi Razik.

Selain melawat Kampung Tok Lawit, beliau sempat melawat dua buah lagi pusat perpindahan di daerah berkenaan iaitu di Kampung Tengkawang da Kampung Kepah.

Tambah Ahmad Razif, Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu melebihi 900 orang dan sebanyak 20 pusat pemindahan dibuka.

"Situasi banjir di Terengganu masih dalam keadaan terkawal walaupun berlaku peningkatan di beberapa daerah, saya nasihatkan penduduk sentiasa berhati-hati agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini."

"Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga arwah kanak-kanak yang meninggal akibat lemas di Bukit Payung dan berharap tragedi seumpama itu tidak akan berlaku di masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

Monday, November 27, 2017

NAFAS DIGESA KENALPASTI PRODUK MAKANAN UNTUK TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digesa mengenal pasti produk-produk agro makanan dan pertanian yang boleh dijadikan sebagai produk juara untuk menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi lambang kebanggaan petani di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika negara-negara Eropah boleh berbangga dengan produk pertanian mereka seperti buah epal dan anggur, Malaysia juga perlu menghasilkan produk pertaniannya untuk bersaing di pentas antarabangsa.

"Mungkin kalau beras kita tidak dapat menandingi negara-negara pengeluar lain seperti Thailand yang menghasilkan begitu banyak hasil dan berkualiti, jadi pasti ada produk atau hasil pertanian lain yang boleh kita fikirkan bersama."

"Saya percaya Nafas boleh melakukannya, kita boleh fikirkan bersama bagaimana untuk mencari idea ini dan mengembangkannya termasuk trend penggunaan perniagaan dalam talian yang boleh menggerakkan keupayaan produk kita itu nanti," katanya semasa berucap pada majlis makan malam dan merasmikan mesyuarat agung tahunan Nafas ke-44 di sini malam ini.

Ahmad Shabery berkata langkah itu bagi meningkatkan keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Katanya ia juga bagi mengimbangi perdagangan negara dalam sektor makanan dan produk pertanian dengan ketika ini nilai import negara terlalu tinggi berbanding nilai eksport, sekali gus memberi kesan kepada nilai mata wang negara.

Majlis itu turut menampilkan seorang penyanyi Indonesia, Jamal Mirdad dan dua orang penyanyi tempatan, Ayda Jebat dan Anuar Zain.

Sunday, November 26, 2017

KKLW TIDAK AKAN IKTIRAF UEC UNTUK KEMASUKAN KE IPTNYA

BERA, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak akan mengiktiraf dan menerima mana-mana pelajar yang menggunakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki institut pengajian tinggi di bawah kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana Pertubuhan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang memperkenalkan UEC perlu memahami dan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan terlebih dahulu sebelum sijil itu diiktiraf.

"Sebelum nak minta kita iktiraf (UEC), mereka perlu memahami Dasar Pendidian Kebangsaan kerana dasar ini sudah lama, jadi tak bolehkah kita ikut dasar ini sebagai rakyat Malaysia.

"Saya rasa sebelum nak tuntut apa-apa, fahami dulu dasar ini...selagi gagal, saya rasa kita tidak perlu mengiktiraf UEC ini. Macam kita di kementerian sendiri, kita tidak akan menerima sijil ini bukan sahaja di di Universiti Kuala Lumpur tetapi juga Kolej Universiti Poly-Tech Mara dan Universiti Agro Sains Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Khatan Perdana Peringkat Parlimen Bera di sini hari ini sebagai mengulas desakan berterusan Dong Zong kepada kerajaan supaya menerima dan mengiktiraf sistem yang mengguna pakai sukatan pelajaran Taiwan itu.

Ismail Sabri berkata setakat ini kabinet juga belum bercadang untuk mengiktiraf sistem itu dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu seramai 350 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Bera menyertai program khatan perdana anjuran UMNO Bahagian Bera itu.

Ismail Sabri berkata program berkenaan merupakan kali ketujuh diadakan dan merupakan sebahagian daripada sumbangan UMNO kepada rakyat dalam usaha untuk meringankan bebanan mereka.

"Saban tahun program khatan percuma seperti ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk dan untuk tahun ini kita membawa khas seramai 18 tok mudim profesional yang terdiri daripada doktor bukan sahaja dari Pahang tetapi juga Terengganu dan Kelantan," kata Ketua UMNO Bera itu.

-- BERNAMA

Saturday, November 25, 2017

KHALID AWANG DALAM KENANGAN

KEMAMAN: Dua hari lepas sahabat baik saya, Khalid Awang, bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman  call saya tanya bila saya nak balik ke Kemaman. Saya jawab belum pasti. Sepatutnya pagi semalam saya balik ke Kemaman tapi tak jadi apabila saya last minute ada temujanji dengan Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas pada petang semalam.

Kalau Kayveas tak jadi jumpa saya semalam, sempat saya temui Khalid Awang pagi ini. Biasanya kami selalu minum bersama dengan bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Kemaman (1995-1998) Yusof Jaafar dan Che Wan Zamri Che Wan Sulaiman.

Pagi tadi Che Wan Zamri call Khalid ajak minum di Chukai. Biasanya Che Wan Zamri ambilnya di rumahnya di Pantai Kijal dan bawanya ke Chukai. Tapi pagi ini Khalid kata dia nak bawa sendiri keretanya  ke Chukai.

Saya difahamkan dalam perjalanan balik ke Kijal bersama isterinya tiba tiba beliau diserang sakit jantung ketika sedang memandu kereta dan kereta terbabas ke tepi jalan di Chukai Utama. Beliau disahkan meninggal dunia di dalam kereta tersebut.

Begitulah perjalanan akhir sahabat baik saya, Khalid Awang yang saya kenali pada tahun 1995 kira kira 22 tahun lalu ketika sama sama bertanding ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman pada tahun tersebut.

Khalid yang juga ketua pemuda Umno Cawangan Padang Kemunting bawa nama saya kepada para perwakilan Kijal. Saya menang dalam pertandingan tersebut menduduki tempat ketujuh dengan undi yang sama banyak (72 undi) dengan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (kini Datuk). Arwah tak silap saya dapat undi kelima tertinggi.

Sejak itu kami berkawan. Ketika kami ke Switzerland  pada tahun 1997, saya sempat bergambar dengan arwah, Haji Mustafa Abdul Rahman (kini Datuk), Haji Azmi Karim dan Suhaimi Hassan. Minggu lepas saya temui gambar itu dalam handphone saya yang baru diformat semula.


 Setiap kali saya balik ke Kemaman saya akan berkunjung ke rumahnya di Pondok Limau atau di Pantai Kijal. Dia rajin call saya sejak akhir akhir ini mengenang kembali perjuangan kami dalam pemuda dari tahun 1995 hingga 1998.

Malah jika beliau datang ke Kuala Lumpur saya pergi temuinya di hotel beliau menginap. Paling lucu lima bulan lepas kami ingin makan ikan singgang di Medan Tuanku dan kami naik monorel dari stesen Titiwangsa ke stesen Medan Tuanku. Saya sudah masuk ke dalam monorel tetapi arwah bersama Che Wan Zamri tertinggal di belakang apabila monorel terus bergerak. Maka saya terpaksa turun semula di stesen Chow Kit dan patah balik ke stesen Titiwangsa untuk mengambil mereka berdua kerana ketika itu handphone saya sudah kehabisan bateri.

Khalid bukan tokoh besar dalam politik Kemaman tetapi percakapan beliau amat ditakuti oleh ramai pemimpin Bahagian kerana beliau suka cakap berterus terang. Sebab itu beliau kurang disenangi oleh pemimpin Bahagian. Malah beliau pernah menyuruh saya menulis buku "Penyu Menangis Di Teluk Kalung" yang tidak sempat diterbitkan.  Hari ini beliau sudah meninggalkan kita semua. Saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Alfatihah buat Khalid Awang.

Friday, November 24, 2017

RUJUK PEJABAT DAERAH JIKA BANJIR

KUALA BERANG, 25 Nov (Bernama) -- Orang ramai perlu menjadikan pejabat daerah sebagai pusat gerakan utama dan rujukan apabila berlaku banjir.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata pusat gerakan banjir akan diketuai pegawai daerah dan disertai pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba.

Pejabat daerah lebih mengetahui keadaan sebenar apabila berlakunya bencana berkenaan. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat sebenar dari pejabat daerah bagi mengelak timbul keresahan ekoran maklumat yang tidak tepat, katanya pada sidang media selepas merasmikan Skuad Sukarelawan Bencana Daerah Hulu Terengganu di Kampung Menerong, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Nasrudin Mahmud dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu Azmi Razik.

Skuad sukarelawan tersebut yang kini mempunyai 40 anggota merupakan yang pertama seumpamanya yang dilancarkan oleh kawasan parlimen dengan kerjasama agensi seliaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan seperti APM, bomba, polis dan Telekom Malaysia Bhd.

Thursday, November 23, 2017

MASYARAKAT CINA KEMAMAN KEMBALI SOKONG BN

KEMAMAN, 23 Nov (Bernama) -- Masyarakat Cina di Kemaman akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang setelah menyaksikan kesungguhan BN membela nasib mereka sejak PRU13.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata sokongan itu dilafazkan oleh ketua dan pemimpin 27 persatuan dan kelab masyarakat Cina dalam satu program ramah mesra yang diadakan malam tadi.

"Hampir 3,000 masyarakat Cina hadir ke majlis ini membuktikan sokongan mereka kepada kepimpinan BN negeri di mana mereka nyatakan untuk kembali menyokong BN Terengganu pada PRU akan datang kerana sudah membuat penilaian parti mana yang lebih banyak membela nasib mereka ketika dalam kesusahan.

"Kita berharap sokongan ini akan berterusan sehingga PRU 14 dan diterjemahkan melalui kertas undi kerana BN akan terus memastikan kesejahteraan hidup masyarakat Cina di Kemaman ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Dewan Komuniti Masyarakat Cina Kemaman di sini malam tadi.

Dalam majlis itu,Rosli turut mengumumkan peruntukan RM100,000 daripada kerajaan negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan di dewan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi penganjur program, Datuk Soh Kok Hiang berkata masyarakat Cina Kemaman sudah mengenal mana kaca dan mana permata sejak pilihan raya umum lalu.

"Kita lihat BN yang banyak memberi bantuan kepada masyarakat Cina di Kemaman apabila berlaku masalah seperti banjir, BN yang akan pertama turun meninjau permasalahan kami.

"Jadi, kami semua 27 kelab dan NGO Cina Kemaman memutuskan untuk kembali menyokong BN Terengganu dan berharap BN akan terus kekal memerintah negeri ini pada PRU akan datang," katanya.

Bagi Pengerusi kehormat Persatuan Kelab Kemaman, Datuk Alex Siaw Teck Hwa pula, BN Terengganu tidak pernah menafikan suara masyarakat Cina dan sentiasa mengambil cakna kebajikan mereka walaupun mereka adalah golongan minoriti di negeri itu.

Berdasarkan Statistik Asas Terengganu 2015, jumlah masyarakat Cina di Terengganu hanya seramai 27,700 orang atau 2.39 peratus daripada keseluruhan 1.16 juta rakyat negeri itu.

-- BERNAMA

Wednesday, November 22, 2017

SPEAKER KELANTAN ANTI KERJASAMA UMNO-PAS

KOTA BHARU, 22 Nov (Bernama) -- Dua belas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) sepakat untuk memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan datang sebagai tanda protes terhadap pengusiran ketua pembangkangnya, Datuk Nozula Mat Diah (gambar).

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, yang mewakili 12 ADUN BN itu, berkata keputusan itu dicapai berikutan tindakan Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya'kub mengusir Nozula, yang juga ADUN Paloh, semasa persidangan dewan hari ini.

"Walaupun Nozula masih belum pulih sepenuhnya dari serangan angin ahmar, (namun) beliau tetap gagahkan diri hadir ke dewan demi menyampaikan suara rakyat yang diwakilinya dan tindakan Speaker untuk tidak bertolak ansur dan mempertimbangkan keadaan kesihatannya serta bertegas mengusir beliau dari dewan tidak boleh diterima," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Md Alwi berkata persidangan DUN dan sesi perbahasan merupakan satu-satunya pentas dan ruang kepada ADUN untuk menyampaikan pandangan dan meluahkan sebarang isu termasuk keluhan daripada rakyat yang diwakili mereka.

Beliau berkata sikap tidak demokratik yang diamalkan menggambarkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS sangat takut untuk menghadapi keluhan dan suara rakyat secara berdepan.

"Yang Berhormat Paloh hanya ingin menyampai keluhan rakyat Gua Musang terhadap kebimbangan mereka apabila bukit ditarah, balak ditebang dan Hutan Simpan Kekal diteroka sehingga 200,000 hektar.

"Beliau juga ingin menyampaikan kebimbangan penduduk Orang Asli di Gua Musang terhadap cadangan pembinaan Empangan Nenggiri yang disebut oleh Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dalam ucapan belanjawan pada hari pertama persidangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Speaker, Abdul Latiff Abdul Rahman yang mengatakan Nozula hanya melakukan 'lakonan air mata' dan kenyataan tersebut dilihatnya sangat biadab.

Nozula diarah keluar dewan oleh Speaker berikutan keengganannya duduk setelah diarahkan tidak mengganggu penggulungan oleh Exco Kerajaan Negeri.

Persidangan DUN Kelantan yang bermula Isnin lepas berakhir hari ini.

-- BERNAMA

Tuesday, November 21, 2017

MB CETUS IDEA IMEJ BARU PEMBANTU RUMAH



KUALA TERENGGANU, 21 Nov (Bernama) -- Siapa sangka imej pembantu rumah profesional yang memakai uniform, mempunyai perwatakan menarik dan bekerja dengan sistematik seperti yang sering ditampilkan dalam telenovela luar negara sebenarnya wujud di Terengganu.

Pekerjaan tersebut diiktiraf sebagai 'Home Manager' (pengurus kediaman) bagi memartabatkan imej wanita yang menyertai sektor ini dan tidak dinafikan mereka mempunyai kecekapan dalam pelbagai urusan rumah tangga ekoran diberi latihan secukupnya dari semasa ke semasa.

Lebih istimewa, mereka tidak perlu bermalam di rumah majikan seperti kebiasaan rutin pembantu rumah konvensional dan hanya bekerja mengikut waktu pejabat sahaja atau waktu yang sesuai setelah berunding dengan majikan.

Program khas hasil idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa di seluruh negeri ini malah menjadi inspirasi kepada negeri lain.






'Home Manager' ini akan menerima gaji RM1,000 sebulan dan dilindungi insurans serta mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) malah bagi mempromosi program ini, kerajaan negeri turut membantu majikan dengan memberi subsidi RM200 sebulan pada tiga bulan pertama.

Antara majikan bertuah yang menyertai program tersebut ialah Ahmad Huzairi Ali, 36, dan isterinya Majdah Yusof, 34, dari Manir, Kuala Terengganu.








Mengimbas semula kenangan tiga tahun lalu, Ahmad Huzairi berkata beliau pernah mengalami masalah kerana mendapat pembantu rumah yang tidak serasi bekerja dalam tempoh yang lama terutama dalam hal penjagaan anak sulungnya yang berusia tujuh tahun yang menghidap Cerebral Palsy.

Beliau pernah menggunakan khidmat beberapa pembantu rumah orang tempatan sebelum ini, namun kebanyakannya tidak kekal lama dan berhenti dalam masa yang singkat sahaja kerana masalah peribadi.

Ahmad Huzairi akhirnya nekad mahu mengambil pembantu rumah warga Indonesia dan bersedia mengeluarkan wang RM18,000 untuk tujuan itu.

"Namun, selang beberapa hari kemudian, saya terbaca mengenai satu program yang baru diperkenalkan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) iaitu pengurus kediaman.

"Program itu bertujuan membantu majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah yang terlatih dan profesional iaitu produk YPKT," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

"Saya sangat bersyukur apabila calon yang disaran YPKT iaitu Nur Farhani Alias bersetuju untuk bekerja dengan saya dan menjaga dua anak saya terutama anak istimewa saya, Ahmad Thaqif Amzar," katanya memulakan bicara.

Nur Farhani, 24, memulakan tugas di rumahnya pada 1 Sept 2015 dan beliau mengakui kecekapan Nur Farhani dalam menjaga serta menguruskan keperluan anak istimewanya itu.

"Bila kawan-kawan dan saudara mara datang berkunjung ke rumah, mereka juga tertarik dengan konsep yang dilaksanakan YPKT ini dan setakat ini, lima kawan saya sudah mendapatkan khidmat pengurus kediaman dari YPKT setelah mengalami pelbagai masalah dengan pembantu rumah mereka sebelum ini," katanya.

Bagi Nur Farhani pula, beliau semakin selesa bergelar pengurus kediaman kerana waktu kerja yang lebih fleksibel, gaji yang lumayan dan majikan yang sangat memahami dirinya bagaikan keluarga sendiri.

Sebelum ini beliau bekerja di pasar raya dan mempunyai jadual kerja syif yang kadangkala menyebabkannya tidak mempunyai rehat yang cukup malah gaji hanya 'cukup makan'.

"Sehinggalah saya terbaca iklan mengenai pengambilan pengurus kediaman di YPKT, saya tergerak hati mahu memohon pekerjaan itu kerana tertarik dengan inisiatif dan pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya yang perlu menjalani kursus asas selama 10 hari anjuran YPKT sebelum bekerja.

Nur Farhani tidak menafikan pada peringkat awal, beliau agak kekok menjaga kanak-kanak istimewa itu, namun berkat sokongan keluarga Ahmad Huzairi dan belajar kaedah penjagaan yang betul, beliau mula seronok dan tercetus perasaan sayang.

"Mulanya saya menjaga Ahmad Thaqif hanya sekadar menunaikan tugas sahaja, lama-kelamaan timbul perasaan sayang kepadanya dan saya ikhlas menjaga makan minumnya serta berusaha menggembirakan dia sepanjang ketiadaan ibu bapanya ketika keluar bekerja.

"Suami saya, Mohamad Arif Hafizan, juga sentiasa memberi sokongan moral untuk saya memberi perkhidmatan terbaik di rumah ini dan pastinya pekerjaan ini adalah 'universiti kehidupan' saya dalam mengejar cita-cita membuka taska khas untuk kanak-kanak istimewa senasib Ahmad Thaqif," katanya.

-- BERNAMA

Monday, November 20, 2017

TERENGGANU CATAT SAHABAT GERAH TERTINGGI

KUALA NERUS, 20 Nov (Bernama) -- Terengganu merekodkan pendaftaran tertinggi untuk program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), iaitu seramai 11,000 orang setakat hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Mohd Zaki Hassan berkata pihaknya hanya menyasarkan pendaftaran 10,000 Sahabat Gerah ketika ia dilancarkan pada Ogos lalu.

"Namun kita sudah mencapai sasaran itu lebih awal dari masa yang ditetapkan pada 31 Dis tahun ini. Bagi saya, ini adalah bukti komitmen tinggi daripada rakyat Terengganu dalam membantu SPRM membanteras rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) oleh Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan 1,100 kakitangan UniSZA termasuk pensyarah dan petugas pentadbiran, di sini hari ini.

UniSZA adalah universiti kedua yang melaksanakan IBR di negeri ini selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu.

Sunday, November 19, 2017

TERENGGANU BELANJA RM3 JUTA HADAPI BANJIR

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Terengganu membelanjakan kira-kira RM3 juta sebagai persediaan menghadapi banjir pada tahun ini, kata Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Wan Nawawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata perbelanjaan itu termasuk menyediakan kemudahan sempurna di kesemua 553 pusat pemindahan di negeri ini.

"Semua pegawai daerah yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing juga diarah untuk memastikan semua pusat pemindahan ini mempunyai kemudahan yang lengkap dan sempurna untuk keselesaan mangsa banjir nanti.

"Secara keseluruhannya, persiapan akhir Terengganu untuk menghadapi banjir kali ini berada di tahap yang amat baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNT kali ketiga di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail

Saturday, November 18, 2017

SYARIKAT SIMPAN DATA PENGGUNA HARUS PASTIKAN DATA TERKAWAL


KUALA BERANG, 18 Nov (Bernama) -- Mana-mana syarikat yang menyimpan data pengguna perlu memastikan data itu dalam keadaan terkawal dan tidak dikongsi dengan pihak lain jika tidak mendapat kebenaran daripada pengguna berkenaan.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata ia sebagai langkah keselamatan dan memastikan data pengguna tidak dicuri dan disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya pihaknya sebelum ini telah menggariskan beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh pemegang data dan juga pengguna bagi memastikan ia tidak bocor ke pihak lain.

"Ia termasuk juga kes Bank CIMB tempoh hari di mana ia bukan sahaja melibatkan data itu sendiri (hilang) ...tetapi fizikalnya (pita magnetik) turut hilang ...perkara ini juga telah diakui oleh pihak CIMB dan ia telah diambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Kuala Kejir dan Kampung Tengkawang di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas isu kehilangan pita data sokongan CIMB pada 13 November lepas.

Kejadian itu juga tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj seperti yang telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Jailani merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu turut berkata kecurian data sebenarnya bermula daripada pengguna yang teruja memuat naik data mereka ketika menggunakan laman sosial.

"Fungsi butang hashtag sebenarnya harus diambil peduli...jangan kita sewenang-wenang berkongsi hal-hal peribadi di alam maya ini...sekarang orang sudah tidak kisah apa sahaja gambar contohnya gambar anak dan kawan semua masukkan dan ini mengundang untuk orang ambil dan tularkan, apabila sudah tular maka susahlah untuk kita ambil tindakan.

"Zaman sekarang, jenayah siber seperti kecurian data ini dilakukan secara sindiket dan apa yang saya tekankan adalah pengguna harus klik pautan dengan bijak dan harus sentiasa ambil peduli...kita di pihak kementerian akan terus mengambil tindakan segera apabila sindiket ini telah dikesan dan SKMM selaku agensi teknikal akan sentiasa membantu agensi seperti polis untuk mengesan siapa yang terlibat dalam kebocoran data peribadi," katanya lagi.

--BERNAMA

Friday, November 17, 2017

ADA YANG NAMPAK RUMPUT YANG LEBIH HIJAU DI NEGARA LAIN

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Menyelar sikap sesetengah rakyat Malaysia yang sering merungut tentang negara mereka, Menteri Komunikasi dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan mereka bahawa ''rumput tidak selalu lebih hijau di padang lain''.

"Terdapat rakyat Malaysia yang sentiasa merungut tentang negara mereka tetapi warga asing yang datang ke Malaysia cenderung untuk bersetuju bahawa negara kita adalah syurga. Sama ada warga asing yang banyak berkunjung ke negara lain ini berbohong atau mereka melihat sesuatu yang jelas kita tidak nampak," katanya dalam catatan di laman blog sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Beliau berkata daripada kaca mata sesetengah rakyat Malaysia 'rumput selalu tampak lebih hijau di padang lain' apabila mereka berkunjung ke luar negara dan membandingkannya dengan Malaysia, tidak semestinya betul.

"Ambil perhatian tentang masalah rasis dan kurangnya toleransi di negara-negara yang dianggap lebih liberal dan maju daripada Malaysia. Wanita Islam yang memakai tudung di negara Eropah seperti England, Perancis dan Belanda perlu berdepan rasa takut didiskriminasi, dicaci atau diserang," kata Salleh.

Menteri itu turut mengkritik sesetengah rakyat Malaysia yang hanya melihat pada satu aspek sahaja untuk mengutuk negara ini.

"Contohnya, kenaikan harga petrol. Tetapi adakah rakyat Malaysia ini (yang suka mengkritik) katakan perkara yang sama apabila harga petrol turun? Adakan negara kita mempunyai berjuta-juta gelandangan yang tidur di jalan-jalan seperti di negara-negara maju? Kita perlu melihat Malaysia secara menyeluruh dan bukan pilih satu perkara setiap hari untuk merungut," kata Salleh.

Beliau berkata ada sesetengah rakyat Malaysia sudah masuk dalam perangkap sikap suka merungut tentang negara walaupun kerajaan sebenarnya melakukan banyak perkara baik.

"Tolong sedar bahawa ini merupakan strategi antikerajaan yang klasik bagi mewujudkan rasa tidak puas hati. Kita perlu bersikap rasional dan ini bermakna pujian patut diberikan sewajarnya pada yang berhak," katanya.

Menyatakan rakyat tidak harus berpeluk tubuh dan merungut hanya semata-mata mahu merungut, Salleh menegaskan sudah tiba masanya untuk maju ke depan dan membantu membina sebuah negara yang lebih baik.

-- BERNAMA


Thursday, November 16, 2017

KERAP BERSENAM CARA URUS STRES DENGAN BAIK

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Urus stres dengan baik dan kerap bersenam adalah antara tip diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kekal cergas dan sihat.

Bercakap pada sesi dialog bersempena dengan majlis pembukaan Persidangan dan Pemeran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) 2017, beliau berkata itulah yang membuatkan beliau sihat dan cergas selama ini walaupun rambutnya sudah beruban.

Menyatakan beliau mula berkecimpung dalam politik pada usia 22 tahun, menjadi timbalan menteri semasa 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Besar pada usia 29 tahun, Najib yang kini berusia 64 tahun mengakui beliau terpaksa melepaskan banyak perkara dalam hidupnya kerana mengabdikan kebanyakan masanya dalam politik.

"Kini saya dapati diri saya sebagai pemimpin Malaysia, tahap stres dialami juga lebih tinggi. Tahap stres sebagai menteri adalah tinggi, timbalan perdana menteri lebih tinggi tetapi daripada timbalan perdana menteri kepada perdana menteri jauh lebih tinggi lagi dan saya jamin bahawa jika anda berpeluang jadi perdana menteri, anda akan rasainya.

"Tetapi anda perlu tahu cara menguruskan stres. Urus stres dengan baik adalah kunci bukan sahaja sebagai ahli politik tetapi juga untuk setiap orang, anda mungkin stres dengan jurubank anda, pelanggan anda, pasangan anda, tetapi anda perlu uruskannya secara asasnya dengan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dan kehidupan keluarga, semua ini perlu dilakukan dengan cara yang memberikan keselesaan kepada anda," katanya,

Najib berkata demikian semasa menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim tentang bagaimana beliau kekal cergas dan sihat.

-- BERNAMA

Wednesday, November 15, 2017

PENGGUNA INTERNET MENINGKAT 89.3 PERATUS

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Penggunaan Internet di negara ini kini meningkat kepada 89.3 peratus berbanding 80 peratus pada 2016, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata kajian pengguna media sosial mendapati 15.5 peratus pengguna adalah dalam kalangan remaja berumur 19 tahun ke bawah.

"Hasil dapatan kajian itu juga mendapati pengguna media sosial menggunakan Internet sekitar empat jam sehari," katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai).

Beliau berkata pemilik akaun Facebook meningkat daripada 96.5 peratus pada 2016 kepada 97.3 peratus setakat ini, selain Instagram (46.7 peratus kepada 56.1 peratus) dan Twitter (26.5 peratus kepada 26.6 peratus).

Mengenai perlindungan data peribadi, beliau berkata pengguna Internet perlu lebih berhati-hati menyalurkan maklumat terutama menerusi media sosial memandangkan data dikumpul setiap hari dan tanpa sempadan.

Jailani turut menyarankan pengguna Internet menggunakan kata laluan bersifat 'alphanumeric' iaitu gabungan nombor dan abjad sebagai langkah perlindungan.

Katanya antara modus operandi yang sering digunakan penjenayah siber ialah teknik penggodaman, kecurian fizikal seperti komputer riba dan telefon pintar, penyamaran seperti menggunakan e-mel serta media sosial.

Selain itu, Jailani berkata kementerian sentiasa mengingatkan syarikat telekomunikasi untuk memeriksa sistem transaksi bagi memastikan ia tidak digodam.

Katanya langkah itu termasuk dalam syarat lesen yang perlu dipatuhi pihak syarikat telekomunikasi.

Beliau berkata sehingga kini tiga kes telah didakwa di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan kesemuanya telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Akta itu adalah untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial dan terpakai kepada pelbagai sektor serta industri utama negara yang merupakan pengguna data seperti komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti.

Menerusi akta berkenaan, sebarang bentuk penzahiran maklumat peribadi tanpa persetujuan pengguna data menerusi apa-apa platform termasuk Internet adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

Tuesday, November 14, 2017

JAGA IBU STROK DORONG RAZIF TUBUH PUSAT REHABILITASI 1MALAYSIA



KUALA NERUS, 14 Nov (Bernama) -- Awalnya hanya menjaga arwah ibu yang mengalami strok, akhirnya, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serius mahu membantu orang lain agar pesakit tidak terbiar dan pulih sepenuhnya.

Pesakit strok sememangnya memerlukan penjagaan rapi terutama dalam melatih mereka untuk pulih, disebabkan itu Ahmad Razif bertekad menubuhkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, yang beroperasi secara rasmi empat tahun lalu.

Pusat tersebut yang terletak di kawasan perkampungan nelayan bukan sahaja menyediakan peralatanlengkap umpama sebuah hospital swasta tetapi juga tenaga pekerja terlatih, yang semuanya boleh digunakan secara percuma.

"Kebetulan, saya juga berpeluang menjaga arwah ibu saya yang menghidap angin ahmar selama tiga tahun, jadi sedikit sebanyak saya sangat memahami keperitan dialami pesakit dan keluarga mereka," katanya ketika ditemui Bernama di pusat tersebut.






Pusat tersebut menjadi lokasi tetap persinggahan Ahmad Razif yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, meskipun sibuk menjalani tugasan harian malah ia bagaikan mempu meredakan kerinduan kepada arwah ibunya yang telah meninggal dunia 16 tahun lalu.

"Sejak menjadi wakil rakyat, saya sering keluar masuk kampung menziarahi rakyat dan bertemu pesakit yang mengalami masalah angin ahmar dan mereka berdepan banyak kesukaran untuk mendapatkan rawatan susulan fisioterapi, di hospital.

"Saya bertekad untuk membantu mereka, terutama mereka yang tiada pendapatan tetap malah jika mereka tiada kenderaan, pesakit akan diambil dari rumah untuk jalani ujian kesihatan di sini secara berkala," katanya yang akan meninjau pusat itu pada sebelah pagi sekitar 9 hingga 10 pagi sebelum memulakan tugas rasmi Menteri Besar.

Ahmad Razif berkata sejak awal lagi, niat beliau untuk membina sebuah pusat rehabilitasi secara percuma itu sentiasa dipermudahkan Allah SWT dengan sokongan banyak pihak serta syarikat swasta, yang menghulurkan sumbangan.

Katanya bagi membina bangunan tersebut, beliau pada mulanya, hanya memanggil tukang yang terdiri daripada orang kampung pada setiap minggu dan tiada kontraktor khas dilantik kerana kekangan kewangan.

Sepanjang dua jam tinjauan Bernama di pusat tersebut, Ahmad Razif dilihat tidak kekok mengurut pesakit diiringi bacaan ayat suci al-Quran serta doa dan menurutnya, kebolehan mengurut itu ekoran pengalaman menjaga ibunya dan mendapat ilmu urutan yang betul daripada pegawai perubatan bertugas.

"Masa saya jaga arwah ibu, saya belum jadi wakil rakyat. Setiap hari saya akan membuat sedikit urutan kepada ibu saya agar dia lebih lega dan urutan juga sebenarnya mempercepatkan lagi proses pemulihan pesakit angin ahmar ini.

"Urutan juga merapatkan lagi hubungan saya dengan arwah ibu kerana itulah masa untuk saya berbual dengan dia dan mendengar nasihatnya yang hingga kini saya simpan rapi sebagai pegangan diri," katanya mengimbas kenangan lalu.

Penat lelah dan kesungguhan Ahmad Razif itu turut mendapat perhatian dan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir merasmikan pusat rehabilitasi itu pada Mei 2013, serta menyalurkan banyak sumbangan untuk pembelian mesin rawatan berteknologi tinggi dan sebuah van yang dilengkapi kemudahan khas untuk pesakit berkerusi roda.

Sehingga kini, hampir 2,500 pesakit telah mendapatkan rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir itu sejak ia memulakan operasi sebulan sebelum perasmian tersebut.

Ahmad Razif berkata walaupun penubuhan asal pusat rehabilitasi itu adalah untuk kemudahan rawatan pemulihan kepada pesakit DUN Seberang Takir sahaja, namun pihak pengurusan menerima banyak permohonan dari pesakit kawasan luar untuk menjalani rawatan di situ.

"Saya kata tak apalah. Kita terima sahaja pesakit dari mana-mana, asalkan mereka dirujuk dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Doa saya agar pusat rehabilitasi ini terus menjadi 'rumah kedua' untuk pesakit yang memerlukan kerana ini adalah sumbangan kecil saya, inisiatif peribadi saya untuk rakyat Terengganu dan penduduk Seberang Takir khususnya," katanya tersenyum.

Bersebelahan pusat rehabilitasi itu juga, Ahmad Razif turut menyediakan pusat hemodialisis yang menyediakan 24 mesin rawatan percuma untuk pesakit buah pinggang.

Lebih istimewa, apabila siap sepenuhnya pada Mac tahun depan, ia bakal menjadi pusat hemodialisis swasta pertama yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pesakit HIV dan hepatitis di negara ini.

Sementara itu, seorang warga emas, Mardziah Muda, 73, berkata beliau mula pulih dan boleh berjalan menggunakan tongkat selepas menerima rawatan di pusat itu sejak dua tahun lalu.

"Tok ada sakit kencing manis dan punca strok ni sebab terjatuh dalam bilik air. Mula-mula tok datang, berkerusi roda. Langsung tak boleh berjalan. Tapi bila berlatih guna mesin-mesin ni, kaki tok rasa lembut dah, boleh jalan perlahan-lahan guna tongkat.

"Paling tok puji pusat ni sebab ada van yang boleh ambil dan hantar semula ke rumah untuk buat rawatan. Biasa anak atau cucu tok yang hantar tapi macam pesakit lain, ada yang tidak mempunyai kenderaan, jadi mereka akan naik van percuma yang disediakan pusat ini," katanya.

-- BERNAMA

BN TETAP CAKNA 0.2 PERATUS PENGUNDI INDIA DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- "Jumlah kami hanya 10,000 orang, malah pengundi India hanya 0.2 peratus di Terengganu, namun kami sangat gembira kerana kerajaan negeri sangat mengambil berat tentang kebajikan kami," kata Setiausaha MIC Terengganu, Dr A. Mangaleswaran.

Beliau berkata apa sahaja bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, masyarakat India turut tidak ketinggalan menikmatinya dan ia merangkumi semua aspek terutama perumahan, pendidikan dan kebajikan.

Terbaru, kerajaan negeri telah menyampaikan wang dana khas Deepavali kepada 148 penerima di parlimen Kemaman, semalam.

"Sejak dana itu dimulakan pada 2008, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM600,000 kepada masyarakat India dengan keutamaan diberi kepada keluarga miskin, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal," katanya kepada Bernama hari ini.

Di Terengganu, komuniti masyarakat India lebih banyak tertumpu di dua kawasan iaitu di Kemaman dalam sektor perladangan dan bidang perniagaan serta pekerjaan profesional di Kuala Terengganu.

Monday, November 13, 2017

SOKONGAN PENGUNDI INDIA DI TERENGGANU MENINGKAT

KEMAMAN, 13 Nov (Bernama) -- Sokongan masyarakat India di Terengganu kepada Barisan Nasional (BN) menunjukkan peningkatan mendadak berbanding ketika Pilihan Raya Uumum ke-13 (PRU13) yang lalu, kata Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata peningkatan sokongan itu adalah hasil kerja kuat parti MIC selama ini yang tidak henti-henti mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat India di negeri itu.

"Sebelum ini, masyarakat India di Terengganu juga terpengaruh dengan pelbagai perkara yang tidak benar yang disebarkan melalui media sosial.

"Tetapi dengan kesungguhan...gerakan penerangan yang dibuat, masyarakat India di sini mula faham apa sebenarnya yang berlaku dan saya berkeyakinan penuh bahawa BN akan terus dapat mengekalkan kuasa di peringkat pusat dan Terengganu dengan majoriti dua pertiga," katanya.

Ahmad Razif, yang juga Menteri Besar, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian wang dana khas Deepavali kepada 140 penerima di Lembah Jabor, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MIC Terengganu, Dr Dayal Krishnan dan Ketua MIC Bahagian Kemaman, S Siva Kumar.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menyalurkan sebanyak RM89,000 wang dana khas Deepavali kepada 244 penduduk kaum India termasuk ketua keluarga, ibu tunggal, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan terus membantu masyarakat India di negeri itu sama seperti rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa.

"Walaupun mereka golongan minoriti di Terengganu, kerajaan negeri akan terus bantu terutama dari tiga aspek yang menjadi fokus utama ketika ini iaitu menangani peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan,"katanya.

-- BERNAMA


Sunday, November 12, 2017

SHAFIE TETAP ABANG TAPI SAYA TETAP SETIA KEPADA UMNO

LAHAD DATU, 12 Nov (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal menolak andaian pihak tertentu bahawa beliau lebih mementingkan politik berbanding ikatan kekeluargaan iaitu hubungan adik dan abang dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Yusof menegaskan hubungan persaudaraan dan perjuangan politik merupakan dua perkara berbeza dan tidak sepatutnya dimanipulasi dengan cara menjadikannya sebagai isu besar.

"Dia (Shafie) tetap abang saya, prinsip perjuangan politik kami berbeza dan saya memilih untuk terus setia pada UMNO," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya ideologi politik adalah hak individu dan beliau memilih untuk kekal dan bersama dalam perjuangan UMNO dan Barisan Nasional kerana yakin parti keramat itu konsisten menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negara.

Dalam pada itu, Yusof terus mengingatkan anggota UMNO di bahagian Silam agar tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang sengaja menggunakan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melemahkan perjuangan UMNO Silam.

"Anggota UMNO dan pengundi perlu melihat perkara ini dari sudut yang positif dan mengaitkan dengan perjuangan politik parti."

"Kita harus merapatkan barisan dan mengetepikan semua perkara yang boleh mengganggu perjalanan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Sementara itu, Yusof berkata beliau akan terus menggalas tanggungjawab dan komited melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu walaupun baru selesai menjalani rawatan kesihatan.

"Penting bagi saya untuk memastikan rakyat terus yakin terhadap UMNO dan BN kerana kerajaan sedia ada ini telah banyak berbakti kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, November 11, 2017

PEMBEKAL BAS AMFIBIA AKAN DISAMAN JIKA GAGAL HANTAR HUJUNG BULAN INI

KUALA NERUS, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada pembekal bas amfibia (amphicoach) untuk membuat penghantaran bas berkenaan atau berhadapan tindakan saman.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pihak berkenaan gagal membuat penghantaran dalam tempoh ditetapkan itu.

"Sehingga ini kerajaan negeri masih belum menerima bas berkenaan di mana sebelum ini pihaknya mendapati terdapat masalah teknikal, namun ia telah dapat diselesaikan.

"Bas itu sudah siap dan masih berada di Malta, namun saya difahamkan ada masalah penghantaran. Tetapi itu masalah pembekal, bukan soal kita,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Quran kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) negeri Terenganu di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata, beliau sudah memberi kata dua kepada pembekal dan meminta penasihat undang-undang negeri dan Jabatan Kerja Raya, mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu berikutan kelewatan berkenaan.



MOA SEDANG LAKUKAN PERINCIAN AKHIR BANTUAN PESAWAH TERJEJAS BANJIR





DUNGUN, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang melakukan perincian akhir sebelum menyalurkan bantuan kepada pesawah yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bantuan akan disalurkan mengikut tahap kerugian dan kemusnahan yang dialami golongan tersebut.

"Kakitangan kita sudah melawat dan sudah buat anggaran cuma sekarang kita sedang buat perincian terakhir sebelum kita laksanakan bantuan.....ini kerana kita bimbang bencana belum berakhir lagi kerana difahamkan ada gelombang kedua dan kemungkinan (berlaku) gelombang ketiga.

"Tetapi, kita sentiasa peka dengan perkara ini dan bantuan akan diberi terutama kepada pesawah-pesawah padi.

"Perincian ini dibuat kerana tak semua kawasan sawah itu perlu diberi pampasan kerana setengahnya belum lagi menanam pun, kerana ada skim (penanaman padi) di mana kita ada bayaran mengikut kategori tertentu," katanya.



Friday, November 10, 2017

SUKARELAWAN TTB TABUR BAKTI DI PULAU PINANG



BUKIT MERTAJAM: Dua ratus Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (SSTTB) telah berjaya melaksanakan misi pasca banjir di empat buah kampung di Permatang Pauh sebelah pagi.

Pada sebelah petang pula, SSTTB menabur bakti membersih Sekolah Menengah Agama Al-Ahmadi Al-ijtimaiah Jalan Padang Lalang,Bukit Mertajam yang mana dinaiki air setinggi 0.7 meter 3 hari lalu.


Turut bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat merangkap Pengerusi SSTTB negeri.

Rozi berkesempatan bersama-sama sukarelawan membersih surau di dalam sekolah berkenaan bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh Abu Bakar Sidekh.

Menurut Rozi, 200 sukarelawan ini telah berjaya melaksanakan operasi pembersihan di beberapa kampung yang terjejas akibat bencana banjir beberapa hari lalu .

Katanya , misi ini akan diteruskan esok pagi di Kampung Nibong , Simpang 3 sebelum semua skuad sukarelawan pulang ke Terengganu pada sebelah petangnya.

‘Saya melihat semangat mereka untuk membantu mangsa banjir amat kuat sehingga lewat petang mereka masih membersihkan kesan-kesan banjir’

‘Saya sebagai pengerusi SSTTB negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka semua kerana membantu sehingga lewat petang membersih sekolah ini tanpa menghiraukan makan dan minum yang disediakan urusetia’, ujarnya.- TERENGGANU TIMES



Thursday, November 9, 2017

DBP MENUJU KE ARAH PENERBITAN DIGITAL

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini dalam usaha ke arah menjalankan kegiatan penerbitan secara digital, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata DBP masih meneruskan usahanya untuk penerbitan dan pengembangan Bahasa Melayu seperti menjadi Urusetia Bulan Bahasa Kebangsaan dan menjalinkan hubungan yang akrab dengan badan bukan kerajaan yang berkaitan.

"Bagaimanapun beberapa hal berkaitan kita perlu melihat DBP memainkan peranan dalam penerbitan digital kerana saya lihat DBP masih lebih kepada penerbitan buku-buku.

"Sekiranya DBP masuk ke era digital sepenuhnya, saya percaya ia akan berada pada tahap terbaik sepertimana yang dilalui dahulunya," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam usaha memperkasakan fungsi agensi itu yang dilihat kini tidak relevan seperti dahulu.

MUSANG KING: MEKANISME PASTIKAN LAMBAKAN TIDAK JEJASKAN HARGA

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan merangka mekanisme terbaik bagi mengelak kejatuhan harga durian Musang King meskipun berlaku lambakan buah berkenaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pihaknya bersedia dengan strategi pemasaran yang berkesan dan permintaan yang tinggi daripada dalam dan luar negara.

"Ramai yang bimbang (berlaku lambakan) bila kita galakkan orang tanam durian, sekarang dah ada 1.5 juta pokok durian dan 500,000 daripadanya adalah jenis Musang King" tak lama lagi pokok ini akan berbuah, ada yang risau akan berlaku lambakan yang akan menyebabkan harganya jatuh.

"Kekuatan durian Musang King tidak bergantung kepada aspek pengeluarannya, tetapi bergantung kepada pasarannya," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Shabery yang baharu sahaja pulang daripada Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, China, berkata potensi pasaran untuk buah itu amat besar terutamanya di negara itu.