Sunday, April 30, 2017

30 AHLI PPBM KELUAR PARTI

DUNGUN, 30 April (Bernama) -- Sebanyak 30 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Bandar Al Muktafi Billah Shah dekat Bukit Besi di sini termasuk Anggota Jawatankuasa Biro Penerangan PPBM Dungun Azmi Mohammad mengisytiharkan keluar dari parti itu dan kembali menyertai UMNO.

Mereka mengambil keputusan itu kerana mendapati PPBM tidak mampu membela nasib orang Melayu sepertimana yang dilakukan UMNO selama ini .



Mereka mengumumkan keputusan keluar parti itu dalam program "Selamat Tinggal PPBM- Sirih Pulang ke Gagang, UMNO Dulu, Kini dan Selamanya" di sini, malam tadi. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Din Adam.

Azmi berkata 20 hingga 30 lagi anggota PPBM Dungun dijangka turut berbuat demikian dalam masa terdekat.

Din berharap tindakan mereka itu akan memberi keinsafan kepada orang lain bahawa tiada parti lain yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan agama dan bangsa Melayu seperti yang dilakukan UMNO selama ini.



-- BERNAMA

RATING TERTINGGI BAGI BULAN APRIL 2017

SIAPA CALON PARLIMEN KUALA NERUS? mengungguli rating bagi bulan april 2017 dengan 610 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan tersebut ialah:

1. Siapa calon parlimen Kuala Nerus? (13 april)
2. Kekalkah Razif di DUN Seberang Takir? (11 april)
3. Siapa calon Teluk Pasu? (13 april)
4. Toh Puan Zaitun calon tunggal wanita di Terengganu? ( 19 april)
5. BN tak perlu tanding di Rhu Rendang? (24 april)
6. Latif Awang kekal di Pengkalan Berangan? (17 april)
7.Tawan DUN Tepoh dan parlimen Kuala nerus untuk sewa beli PPR Bukit Nanas (16 april)
8.PPR Bukit Nanas projek sulung Datuk Rahim di Terengganu? (16 april)
9.TBW berjaya perkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan (1 april)
10. Alor Limbat jadi rebutan (20 april)

Saturday, April 29, 2017

TERENGGANU BERJAYA KURANGKAN GEJALA REMPIT

KUALA NERUS, 29 April (Bernama) – Terengganu berjaya mengurangkan gejala rempit setelah melancarkan pelbagai program membabitkan golongan itu termasuk sukan permotoran di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini sejak tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kemudahan yang disediakan di litar itu juga telah dimanfaatkan sepenuhnya termasuk surau yang kini dipenuhi golongan muda sebelum memulakan perlumbaan.

"Litar ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk memastikan Terengganu hebat dalam sukan permotoran tetapi ia juga bagi membendung gejala tidak sihat seperti samseng jalanan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Bukan senang untuk mencapai sifar rempit namun hampir 95 peratus kita dapat mengatasinya dan ini merupakan kejayaan yang besar jika dapat diatasi untuk jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terengganu Drag Battle 2017,di sini, malam tadi yang menghimpunkan lebih 2,000 peminat sukan permotoran.

Litar yang menelan belanja RM12.6 juta yang mula dibina pada tahun lalu itu telah mendapat pengiktirafan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan dilengkapi dengan litar Cub Prix sepanjang 1.35 kilometer, sprint test sepanjang 0.95 km, drift dan tiga kategori Grand Stand.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata susulan pembinaan litar tersebut, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada golongan muda untuk menerokai sukan permotoran dan berharap ada dalam kalangan rakyat negeri ini mampu menempa nama sehingga di persada antarabangsa.

"Insya-Allah dengan adanya litar baharu ini, kita boleh adakan kejohanan permotoran bertaraf negeri dan antarabangsa dengan boleh memuatkan sehingga 25,000 penonton pada satu masa.

"Anak Terengganu ini bukan calang-calang orangnya kita berjaya mengungguli sukan hoki menerusi Terengganu Hoki Team, begitu juga sukan basikal,memanah dan silat. Jadi dengan adanya lapangan ini tidak mustahil kita mampu melahirkan jaguh dalam sukan permotoran," katanya.

Menurutnya mugkin suatu hari nanti akan muncul pasukan dalam sukan permotoran dalam kalangan anak Terengganu, sebagai contoh Mohammad Harith Farhan Baharin yang mewakili negara dalam Asia Road Racing Championship (ARRC).

Selain itu Terengganu juga mempuyai pelumba cilik Qabil Irfan Azlan,5, yang digelar ‘ Valentino Rossi Junior’ dan dinobat sebagai ikon anak muda permotoran.

-- BERNAMA

Friday, April 28, 2017

GLC DAN SWASTA DIMINTA SEMARAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Kerajaan negeri meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta membantu menyemarakkan sektor pelancongan di Terengganu dengan menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang memaksimumkan penggunakan sumber sedia ada.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri mahu lebih banyak tumpuan dan promosi pelancongan terhadap kawasan sekitar pusat bandar selaras identiti Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Pesisir Air.

"Bermula dari Dataran Shahbandar, Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam dan Pulau Duyung, saya mahu lebih banyak pencahayaan dibuat pada waktu malam dan boleh juga kaji kemungkinan menggunakan tenaga solar sebagai sumber alternatif untuk tujuan itu.

"Mana-mana syarikat atau GLC dialu-alukan menaja pencahayaan di lokasi strategik yang mereka gemari dan secara tidak langsung, itu juga satu promosi untuk syarikat dan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Duyung di sini hari ini.

Seramai 60 peniaga kecil terlibat dalam festival itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di mana keunikan festival tersebut ialah perniagaan dijalankan di atas jeti.

Selain itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin mempromosi dan memartabatkan seni warisan Terengganu sebagai daya tarikan pelancong ke negeri itu.

Menurutnya, usaha pemilik Galeri Seni Duyung sangat dihargai kerana penganjuran begitu banyak aktiviti sepanjang tiga hari memberi peluang dan banyak manfaat kepada rakyat terutama golongan usahawan dan penggiat seni tempatan.

"Sehubungan itu, saya mahu festival ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar datang ke sini melihat keunikan festival ini," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, April 27, 2017

CINTA NATUNA


Oleh: Ruslan Abdul Rahman.

Teni binti Abdul Manan, berusia 50an, dahulunya gadis Kepulauan Natuna (Indonesia) kini menetap di Chukai Kemaman berasa amat bahagia bersuamikan orang Kemaman.
Kira-kira lebih 30 tahun yang lalu datang ke Chukai Kemaman, menaiki bot nelayan dari Terengganu untuk mencari penghidupan baru.
Biarpun terpaksa mengharungi badai gelombang di tengah lautan, dia yang baru berusia 15 tahun waktu itu nekad bahawa di hujung sana ada negeri lain yang boleh memberi suatu sinar baru bagi kehidupannya yang sunyi di pulau yang bersetentangan bandar Chukai Kemaman di tengah-tengah Laut China Selatan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Namun, pulau tempat asalnya itu, Seluan (antara pulau yang terdapat dalam gugusan Natuna) adalah di bawah jajahan takluk Indonesia, meskipun hatinya begitu mencintai Malaysia dan sebuah negeri yang bernama Terengganu.
Kini cintanya kepada Terengganu, Malaysia menjadi kenyataan apabila bersuamikan Kamaruzan awal 50 an, orang Kemaman Terengganu.
Cintanya kepada Kamaruzan adalah cintanya juga kepada Terengganu, malah beliau sebelum ini beberapa kali sanggup 48 jam bertarung dengan gelombang di lautan demi kasih sayangnya pada Kamaruzan lelaki Kemaman yang berjaya mencuri hatinya.
Zuriat pertama yang dilahirkan hasil percintaan suci Teni-Kamaruzan diberi nama Deby Marindo (kini menetap di Selangor).
Deby yang kini telah berusia lewat 20an dilahirkan di kampung halaman ibunya Teni di Pulau Seluan, Natuna.
Ini kerana sebaik sahaja mengandung tiga bulan, Teni menjadi terlalu rindu kepada orang tuanya di pulau Seluang, Natuna.
Beliau pada tahun 1986 sewaktu mengandung tiga bulan bersama ibubapa yang menaiki bot nelayan ke Chukai Kemaman pulang ke Seluan menumpang bot nelayan Kemaman yang pergi ke sana, dengan harapan suaminya datang mengambilnya kembali setelah pulang untuk melawat kampung asalnya.
(Sebelum itu ayah dan ibu yang rindukan anaknya Teni itu sanggup datang ke Chukai, juga dengan menumpang bot nelayan).
Akhirnya dia melahirkan anak sulung, yang dinamakan Deby itu tanpa suami di sini. Dua tahun kepulangannya semula ke Pulau Seluan Natuna, itu tanpa khabar berita tentang suaminya.
“Bagi Teni, Teni fikir sebenarnya sudah berpisah, tiada harapan lagi dan biarlah Teni kembali bersendiri bersama anak hasil perkahwinan sahnya dengan Kamaruzan,” katanya mengenang peristiwa pilu dalam hidupnya yang lalu itu.
Tanpa di duga, suatu hari dia menerima sepucuk surat yang disampaikan oleh seorang nelayan Kemaman yang datang ke pulau itu yang kebetulan kawan suaminya dengan disertakan lukisan wajah berairmata, yakni orang dalam kesedihan dan derita.
Lalu dia berpesan kepada kawan suaminya itu, bahawa dia juga masih mencintai dan mengingati suaminya dan menunggu biarpun berapa lama sekalipun.
Kawan kepada suaminya itu kembali ke Kemaman membawa khabar itu kepada Kamaruzan, suami Teni yang berada di Chukai Kemaman.
Lantas Kamaruzan mengambil keputusan nekad menaiki bot nelayan dari Kemaman itu terus ke pulau Seluan, Natuna untuk membawa pulang kembali Teni ke Chukai Kemaman, termasuklah anak mereka, Deby Marindo yang dilahirkan oleh Teni di pulau itu.
Teni yang pernah bekerja di Kampung Air, Kemaman kini bersama Kamaruzan dan anak serta cucunya begitu bahagia sekali.
Teni ketika ditemubual Pengarang yang membongkarkan hubungan Kepulauan Natuna dengan nelayan Kemaman ini menyatakan, baginya Natuna dan Terengganu adalah sebahagian dari sejarah kehidupannya.


Kisah ini penulis abadikan bagi menggambarkan betapa eratnya hubungan penduduk Chukai, Kemaman, khususnya nelayan dengan kepulauan itu.
Hubungan dua tempat yang berlainan pemerintah itu adalah suatu kenyataan bukannya fantasi.

Wednesday, April 26, 2017

SATU LAGI "SUCCESS STORY" ANAK TERENGGANU


KUALA LUMPUR: Pesilat Siti Rahmah Mohamed Nasir,30, merupakan satu lagi "success story" anak Terengganu apabila mencatat sejarah sebagai anak Terengganu pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.


Beliau dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan manakala atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaam pada majlis Anugerah Sukan Negara 2016 (ASN 2016) di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.


Abdul Latif, 20, melakar sejarah sebagai atlet kelainan upaya pertama dipilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000 masing-masing kepada Abdul Latif dan Siti Rahmah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pemilihannya diputuskan Jawatankuasa Pemilihan ASN 2016 berdasarkan kejayaan cemerlang atlet dari Perlis itu meraih pingat emas, sambil tiga kali memperbaiki rekod dunia dan juga rekod baharu Sukan Paralimpik.

Pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lepas, Abdul Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya iaitu 7.35 meter yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada 2015 manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol pada Sukan Paralimpik London 2012.

Di Rio, atlet dari Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Arau itu kali pertama mengatasi rekod dunia lamanya dengan catatan 7.47m pada percubaan kedua, diikuti 7.54m pada percubaan berikutnya sebelum memperbaikinya pada lompatan kelima pada jarak 7.60m.

Sementara itu, Siti Rahmah adalah pesilat berpengalaman dan sentiasa mempamerkan prestasi yang konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Pesilat dari Terengganu itu berjaya mencipta hatrik kemenangan dalam Kejuaraan Silat Dunia selepas memenangi edisi ke-17 di Bali, Indonesia, pada Disember tahun lepas.

Sepanjang tahun lepas, Siti Rahmah turut memenangi pingat emas di Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belanda dan Kejuaraan Silat Asia Tenggara di sini.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Siti Rahmah yang mengharumkan nama negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Beliau meraikan kemenangan Siti Rahmah yang diiringi ibunya di sebuah hotel di sini pada jam 11.50 malam tadi yang turut dihadiri oleh Presiden PESAKA, Tan Sri Ali Rustam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.



"Saya bangga dengan kejayaan berganda anak Terengganu. Minggu lepas "the pocket rocketman "Zulhasni Awang mengharumkan nama Terengganu di Hong Kong. Malam ini pula Siti Rahmah mencatat sejarah sebagai anak Terengganu pertama yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sejak anugerah itu diwujudkan 51 tahun lalu pada tahun 1966," kata Razif yang memotong kek meraikan kemenangan Siti Rahmah yang merupakan anak pemain bolasepak Terengganu, Mohamed Nasir Jalil.

Tuesday, April 25, 2017

MAMPUKAH BN TAWAN SEMULA PARLIMEN MARANG?




MARANG: Parlimen Marang bukan kerusi mutlak PAS kerana pada tahun 2004 calon BN, Datuk Haji Rahman Bakar mengalahkan calon PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Haji Rahman yang dilantik timbalan menteri sumber manusia selepas menjadi menjadi "the giant killer" menang dengan majoriti 163 undi. Haji Rahman mendapat 28,076 undi manakala Haji Hadi mendapat 27,913 undi.

Tetapi BN tewas kepada Haji Hadi pada tahun 2008 apabila Haji Rahman Bakar tidak terpilih sebagai calon BN. Jika beliau diberi peluang bertanding, mungkin beliau menang sekali lagi. Jika beliau menang sekali lagi ini bermakna memang sah beliau sahaja yang mampu menumbangkan Haji Hadi.

Keputusan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menggugurkan Haji Rahman Bakar yang juga Ketua Umno Bahagian Marang sebagai calon menyebabkan BN tewas. Adakah penyokong Haji Rahman sabotaj calon BN? Ini yang dipersoalkan oleh orang ramai.


Pada PRU 2008, Haji Hadi Awang mendapat 33,435 undi manakala calon BN, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir mendapat 30,688 undi. Haji Hadi menang dengan majoriti 2,747 undi. Dr Ramzi yang juga setiausaha politik Idris kalah teruk.

Ekoran Haji Rahman yang tidak jadi YB lagi, maka beliau kalah bertanding ketua bahagian di tangan Exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Pengkalan Berangan, Haji Yahya Khatib Mohamad.

Mampukah BN tawan semula parlimen Marang dari tangan Presiden PAS? Haji Hadi sudah menjadi ahli parlimen Marang selama lima penggal dari 1990 hingga sekarang (kecuali 2004-2008). Menjadi ahli parlimen PAS amat mudah. Tak perlu turun padang jumpa rakyat, tanya masalah rakyat. Hanya pandai berpidato di parimen sahaja.

Menjadi ahli parlimen BN lebih sukar. Tak turun padang rakyat marah. Tak ada rumah dalam kawasan rakyat marah kalau ahli parlimen balik kawasan tidur di hotel. Tak bawa balik projek pembangunan rakyat marah. Adakah pengundi Marang tak mahu pembangunan atau lebih seronok menghantar Haji Hadi supaya berpidato di parlimen semata mata?

Siapakah yang mampu menewaskan Haji Hadi pada PRU akan datang? Empat nama telah disebut sebut sebagai calon parlimen iaitu ADUN Pengkalan Berangan, Abd Latif Awang; bekas ketua pemuda, Saiful Bahari Datuk Baharudin, Ketua wanita, Toh Puan Zaitun Mohd Amin dan Pengarah BTN Terengganu, Mohd Yuseri.

Mampukah mereka menewaskan Haji Hadi? Jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PAN maka kemungkinan calon BN mampu buat kejutan.

Pada PRU 2013, Haji Hadi menang dengan majoriti 5,124 undi mengalahkan Ketua Umno Bahagian Marang, haji yahya khatib mohamad yang mendapat 37,860 undi. Haji Hadi mendapat 42,984 undi. BN mampu buat kejutan jika benar pengundi pembangkang berpecah dua, menyokong PAS dan PAN.


Monday, April 24, 2017

BN TAK PERLU TANDING DI RHU RENDANG?

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang telah menang di DUN Rhu Rendang sebanyak lapan penggal sejak tahun 1982. Kali terakhir BN menang di situ pada tahun 1978 melalui Tengku Zahid Tengku Muda.

Rhu Rendang sudah menjadi kubu kuat PAS. Maka pada hemat saya tak perlulah BN meletakkan calon di situ kerana kalau letak pun BN tetap kalah. Dalam suasana Umno mahu bekerjasama dengan PAS lebih baik BN beri laluan kepada PAS untuk berhadapan dengan calon dari Parti Amanah Negara (PAN).

BN tak bertanding pada PRK DUN Chempaka selepas kematian Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana menghormati Mursyidul Am PAS tersebut. Jadi apa salahnya BN menghormati Presiden PAS dengan memberi laluan kepada PAS untuk menentang calon PAN. Pada masa yang sama PAS juga perlu beri laluan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berhadapan dengan calon Bersatu. Jadi PAS tak  perlu kacau parlimen Pekan jika BN beri laluan kepada Presiden PAS di Rhu Rendang.

Cadangan ini mungkin diterima jika berdasarkan keputusan BN tak bertanding dalam PRK Dun Chempaka. Namun demikian jika BN tetap mahu bertanding di DUN Rhu Rendang maka empat nama disebut sebut sebagai calon BN untuk menentang Haji Hadi.

Mereka ialah timbalan ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan dan tiga orang ahli jawatankuasa Umno Bahagian iaitu Anuar Yahya, Mazlan Sulung dan Hasmadi Gaza.

 BN tak pernah hilang deposit di DUN Rhu Redang tetapi apabila calonnya tahu bahawa dia akan kalah maka peruntukan yang diberikan kepada calon itu mungkin tidak digunakan sepenuhnya. Suasana yang sama pernah berlaku pada calon Parti Semnagat 46 di Terengganu pada tahun 1990 yang beli kereta Mercedes selepas kalah bertanding kerana calon tersebut tidak gunakan peruntukan yang diberikan oleh parti sepenuhnya. Calon tersebut berkata buat apa aku guna semua peruntukan parti kerana aku tahu aku tetap kalah.

Sunday, April 23, 2017

PM RASMI SATU LAGI PROJEK TULANGIS MAJU






MELAKA : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu menyampaikan kunci kepada 10 penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di Mukim Bemban, Jasin dekat sini yang merupakan satu usaha kerajaan Persekutuan membantu penduduk khususnya golongan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40.


Projek PPR Tehel melibatkan pembinaan sebanyak 500 unit rumah bernilai keseluruhan RM80 juta merupakan antara lima program perumahan kerajaan Persekutuan daripada keseluruhan 62,556 unit rumah yang akan dibangunkan di negeri Melaka dalam tempoh lima tahun.


Majlis penyerahan kunci tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhamad; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta timbalan beliau, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tulangis Maju, Datuk Rahim Husin.

Minggu lepas PM rasmi pecah tanah projek Tulangis Maju di Bukit Nenas, Kuala Nerus, Terengganu manakala Jumaat lalu PM rasmi projek PPR Kg Tehel di Melaka.

Saturday, April 22, 2017

LEBIH TUJUH DEKAD UMNO MEWARNAI POLITIK NEGARA


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


11 Mei 2017 bakal menyaksikan UMNO akan menyambut  ulang tahun yang Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Baru-baru ini dikhabarkan juga bahawa ulang tahun kali ini akan mencatat sejarah sebagai acara sambutan ulang tahun terbesar dalam sejarah parti.Dan dijangkakan seramai 200 ribu ahli UMNO akan mengambil bahagian dalam perayaan kali ini.

Tidak salah untuk menyambut  ulang tahun secara besar-besaran, apatah lagi , sejak penubuhan parti keramat ini, UMNO sentiasa memainkan peranan penting  dalam pemerintahan negara dan telah melalui pelbagai ranjau dan duri. Namun perlu diigatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya jangan lalai dan hilang fokus perjuangan  apabila meraikan sesuatu itu dengan begitu gah.

Beberapa tahun yang lalu, Najib Tun Razak pernah mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya sentiasa bermuhasabah diri dan melakukan usaha untuk penambahbaikkan  agar parti UMNO akan terus relevan. Inilah nasihat yang sebaik-baiknya bagi ahli-ahli UMNO dan juga para pemimpinnya.

Bahkan beliau pernah menjelaskan lagi bahawa  kesetiaan ahli-ahli Umno yang digabung  dengan kemahiran mengikuti peredaran zaman dan keupayaan intelektual merupakan  elemen  utama untuk memastikan parti keramat ini lebih unggul dan gagah pada masa hadapan.

Penulis juga tertarik dengan kenyataan Presiden UMNO dalam menegaskan betapa pentingnya sifat kesederhanaan untuk terus memenangi hati rakyat Malaysia. Daam temubual yang disiarkan oleh salah satu stesen televisyen pada tahun lepas, Najib menegaskan bahawa selain mengamalkan dasar yang sederhana, UMNO terus  mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, dan akan terus  membawa pembangunan dan  perubahan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Jika nasihat dan saranan ini terus dipraktikkan oleh ahli-ahli UMNO, maka UMNO akan sentiasa relevan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.Namun begitu, apa yang lebih penting ialah ahli ahli UMNO mestilah bersedia untuk  bekerja dengan lebih kuat lagi.


Itu sebabnya  cabaran terhadap kemimpinan UMNO dan Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya akan datang jangan dianggap mudah. Biarpun pihak pembangkang tidak sehebat mana dengan pelbagai masalah yang melanda, namun ahli-ahli UMNO jangan lalai dengan kelemahan yang ada pada pihak pembangkang. Ini disebakan kuasa yang ada pada rakyat boleh mengubah segalanya.

Statistik menunjukkan bahawa 198 daripada 222 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-11 merosot kepada 140 kerusi pada 2008 dan menurun kepada 134 kerusi pada 2013 sebelum tinggal 132 kerusi pada masa ini selepas Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal , Ahli parlimen Semporna meninggalkan parti itu.

Jika cabaran ini tidak disahut maka jangan terkejut jika angka kerusi Parlimen BN akan terus merosot. Itu sebabnya, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan berulang kali betapa pentingnya UMNO sebagai sebuah parti yang menunjangi kerajaan perlu sentiasa berusaha dan menjelaskan kepada rakyat , bahawa agenda utama kerajaan pimpinan BN ialah untuk terus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Dan salah satu cara untuk menyampaikan usaha ini ialah dengan menguasai ruang siber. Ini bukanlah satu isu baru dan Zahid Hamidi telah mengingatkan kepada semua anggota sayap UMNO supaya menggunakan dengan bijak dan sebaik baiknya ruang siber untuk melawan dan menangkis serangan fitnah dan tohmahan daripada musuh UMNO.

Usia 71 tahun merupakan satu usia yang kaya dengan pengalaman dan kematangan dalam menangani pelbagai isu. Dan dengan berbekalkan segala kematangan dan pengalaman itu, maka UMNO mesti terus membuktikan kepada rakyat Malaysia  bahawa parti keramat ini merupakan sebagai sebuah parti yang terus relevan , utuh dan gagah dalam menunjangi kerajaan hari ini.

Thursday, April 20, 2017

ALOR LIMBAT JADI REBUTAN

MARANG: DUN Alor Limbat menjadi popular pada Oktober 2015 apabila bekas ADUN, Alias Abdullah
ditembak pada jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Misteri kematian beliau masih belum terjawab kerana sudah dua tahun kes itu berlalu tanpa sebarang penangkapan.

Polis Terengganu tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat itu pada Oktober 2015.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata siasatan dan risikan diteruskan bagi mencari petunjuk baharu walaupun kes bunuh itu berlaku hampir dua tahun lalu memandangkan ia dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi.

"Memang siasatan ini mengambil masa yang agak lama," katanya kepada pemberita.

Rosli berkata polis juga masih menyiasat kes pembunuhan sepupu Alias, Mat Jusoh Ali, 56, atau dikenali dengan panggilan Cikgu Zaki, yang ditembak dua bulan sebelum itu iaitu pada 9 Ogos.

Pada tahun 2013, calon BN  arwah Alias Abdullah tewas kepada calon PAS, Ariffin Deraman. Ariffin yang mendapat 10,844 undi menang dengan majoriti 645 undi. Alias memungut 10,199 undi manakala calon Bebas Ja'afar Jambol mendapat 74 undi.


Siapakah calon yang layak bertanding di Alor Limbat? Jika Alias masih hidup sudah tentu namanya masih popular di kalangan pengundi Alor Limbat. Sekurang-kurangnya empat nama dispekulasikan sebagai calon
iaitu Pengarah BTN Terengganu, Mohd Yuseri Isa; bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Saiful Bahari Datuk Baharuddin; Ngah Bidin dan Mohd Yusof Ali.

Kerusi Alor Limbat pernah menjadi milik BN selama dua penggal melalui Alias Abdullah seorang peguam yang terkenal. Oleh itu tidak mustahil BN mampu merampas kembali kerusi Alor Limbat melalui salah seorang daripada empat calon ini. 

Jika mereka bertiga yang tidak terpilih sebagai calon bekerja kuat membantu calon tidak mustahil BN menang semula di Alor Limbat.

Wednesday, April 19, 2017

TOH PUAN ZAITUN CALON WANITA TUNGGAL DI TERENGGANU?

MARANG: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pernah menyebut bahawa BN Terengganu mungkin meletakkan seorang calon wanita pada PRU akan datang.

Nampaknya kemungkinan itu akan menjadi kenyataan kali ini kerana seorang calon wanita disebut sebut akan bertanding di DUN Bukit Payong. Sudah lama BN Terengganu tidak meletakkan calon wanita. Kali terakhir pada tahun 1969 di zaman Perikatan apabila Sharifah Azah Apple kalah kepada calon PAS.

Sejak itu BN Terengganu tak pernah meletakkan calon wanita. Tambahan pula Pengerusi BN Terengganu ketika itu seorang ulama maka BN kurang berminat meletakkan wanita sebagai calon. Hasrat Datuk Seri Idris Jusoh untuk meletakkan calon wanita Nordiana Shafie (ketua puteri Terengganu) pada PRU2004 di DUN Ladang tidak jadi kenyataan apabila Nordiana menolak tawaran tersebut. Beliau tak yakin menang maka tempatnya digantikan oleh Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang berjaya merampas kerusi Ladang dari tangan PAS.

Nordiana bertanding pada PRU 2008 di Batu Buruk tetapi kalah kepada calon PAS, Syed Azman Syed Nawawi dengan majoriti 1,161 undi. Pada PRU2013 BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said tidak meletakkan calon wanita tetapi PAS mencatat sejarah meletakkan calon wanita pertama di Terengganu tetapi tewas di DUN Kuala Besut.


Calon BN, Dr. A. Rahman Mokhtar (BN) yang mendapat 8,809 undi menang dengan majoriti 2,434 undi manakala calon PAS, Nafisah Ismail mengutip  6,375 undi.


Jika benar Toh Puan Zaitun Mohd Amin bakal diletakkan di Bukit Payong beliau mampu menawan DUN Bukit Payong. Beliau adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Marang dan isteri kepada bekas ADUN Pengkalan Berangan, Datuk Muda Mamat. Karektor Zaitun yang lebih peramah dari Muda merupakan satu kelebihan kepada BN untuk merampas kembali DUN Bukit Payong.

Pada tahun 2013, calon PAS, Mohd Nor Hamzah menang dengan majoriti 613 undi mengalahkan calon BN, Zaidi Muda. Mohd Nor mendapat 9,342 undi manakala Zaidi memungut 8,729 undi.

Empat nama lain yang disebut sebut sebagai calon Bukit Payong ialah Adnan Mat Amin, Abdillah Abu Bakar, Muhammad Noor Endut dan Amlisani Abdul Latif.

Amlisani adalah pegawai khas MB yang menjaga perantau Terengganu di Lembah Kelang. Beliau adalah orang kuat MB yang bertungkus lumus mengumpulkan anak Terengganu di Wilayah Persekutuan dan Selangor dan beliau mampu menawan Bukit Payong dari tangan PAS.

Tuesday, April 18, 2017

TIDAK MUSTAHIL TAWAN DUN LADANG



Kuala Terengganu – Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas melihat sokongan yang diberikan rakyat terhadap beberapa program yang dijalankan pihak kerajaan kebelakangan ini.


“Saya lihat satu transformasi telah berlaku apabila setiap program yang kita jalankan dan mendapat sambutan di luar dugaan. Dan bila saya datang ke DUN Ladang ini, saya nampak satu semangat yang berbeza walaupun ada yang terpaksa menunggu sehingga dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zon 1 sempena Program MB Turun Padang di Dewan Sivik Pasir Panjang, di sini semalam.


Program Transformasi Orang Muda (TOM) yang dilancarkan kerajaan Terengganu sejak Februari tahun lalu berjaya memikat golongan muda untuk terus bersama menyokong aspirasi kerajaan.

Menteri Besar berkata program yang menekankan aspek pendidikan dan peluang pekerjaan nyata disambut baik dan golongan muda mula memahami usaha kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

"Hari ini saya meluangkan masa bersama golongan muda di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang dan mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana banyak sediakan program untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan dan kemajuan negara," katanya.

Ahmad Razif berkata, rata-rata rakyat terutamanya golongan muda sudah sedar akan permainan pembangkang yang hanya tahu bercakap tetapi gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Alhamdulillah, mereka gembira dengan program Transformasi Orang Muda (TOM) yang kita buat ini kerana meraka merasakan apa yang kita laksanakan memenuhi citarasa orang muda,” katanya.

Dalam masa yang sama, kepimpinan DUN Ladang turut melancarkan slogan ‘Wi Gok Skali’ yang bermaksud DUN Ladang dikembalikan kepada Barisan Nasional.

Ulasan saya, tidak mustahil DUN Ladang dapat ditawan semula kerana kerusi itu sebelum ini adalah milik BN melalui Datuk Abu Bakar Daud dan Datuk Roslan Awang Chik.

Sudah dua penggal PAS menang di Ladang melalui Tengku Hassan Tengku Omar bekas pegawai kewangan negeri. Jika PAS menang pada PRU 2004, Tengku Hassan yang jadi Setiausaha Kerajaan terengganu tetapi beliau dibersarakan selepas BN merampas kerajaan negeri pada PRU tersebut.

Pada tahun 2008 beliau bertanding di Ladang mengalahkan calon BN, Datuk Wan Hisham Wan Salleh Exco Kerajaan negeri dengan majoriti 31 undi. Tengku Hassan dapat 6,723 undi manakala Wan Hisham mendapat 6,692 undi.

Pada tahun 2013 Tengku Hassan menambah majoritinya dari 31 undi kepada 924 undi. Beliau mengalahkan adik Wan Hisham, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendapat 8, 142 undi. Tengku Hassan mendapat 9,066 undi.

MB yakin BN mampu tawan Ladang kali ini. Siapakah yang layak jadi calon BN? Mereka ialah Datuk Sabri Alwi seorang ahli perniagaan yang dikenali dengan panggilan Mat Kerok. Beliau adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang.

Selain itu, Badrol Hisham seorang ahli perniagaan juga naib ketua Umno bahagian. Seorang lagi ialah Asmadi seorang peguam yang juga Ketua penerangan Umno Bahagian. Jika mereka yang tidak terpilih sebagai calon bekerja kuat memenangkan calon maka Ladang mampu ditawan semula oleh BN.



Monday, April 17, 2017

LATIF AWANG KEKAL DI PENGKALAN BERANGAN?



MARANG: Kerusi DUN yang paling selamat di parlimen Marang ialah Pengkalan Berangan. Kerusi itu disandang oleh Ketua Umno Bahagian Marang, Abdul Latif Awang.

Abdul Latiff Awang yang kini dilantik Exco Kerajaan negeri mendapat 11,677 undi manakala Sulaiman Sulong (Pas) mendapat 9,829 undi. BN menang dengan majoriti 1,848 undi.

Nasib Abdul Latif belum pasti sama ada kekal di situ atau berpindah ke parlimen Marang menentang Datuk Seri Haji Hadi Awang. Sebagai ketua bahagian, beliau paling afdal untuk berhadapan dengan Presiden PAS itu.

Jika beliau beralih kerusi, maka siapakah yang layak menggantikannya? Tiga nama yang turut berangan menjadi calon BN bagi Pengkalan Berangan ialah Jasmira Othman, Nasir Mamat dan Abdul Karim Wahab.

Jasmira seorang peguam syariah adalah Ketua Pemuda Umno bahagian Marang. Jika Khairy Jamaludin mahu lebih ramai calon dari pemuda, mungkin Jasmira termasuk dalam senarai ketua pemuda Umno Malaysia itu.

Manakala Nasir pula adalah Bendahari Umno Bahagian Marang. Memilih beliau sebagai calon lebih mudah buat kerja kerana beliau sudah dikenali sejak abangnya menjadi wakil rakyat Pengkalan Berangan,  Datuk Muda Mamat (1986-1999).

Calon ketiga Karim Wahab adalah Hakim Mahkamah Syariah Tinggi Wilayah Persekutuan. Memilih beliau sebagai calon satu risiko kerana pengundi Pengkalan Berangan belum mengenali beliau. Tambahan pula pembawaan seorang hakim yang terlalu serius mungkin sukar menjadi wakil rakyat yang baik untuk bergaul dengan rakyat.

Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa jadi calon andainya Abdul Latif berpindah kawasan. Jangan kerana berebut jadi calon kerusi tunggal BN di Marang ini terlepas ke tangan pembangkang. Siapa yang dipilih jadi calon maka tiga orang yang tidak terpilih hendaklah berganding bahu memenangkan calon tersebut.



Sunday, April 16, 2017

PPR BUKIT NANAS: PROJEK SULUNG DATO RAHIM DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar penduduk DUN Tepoh memberi kemenangan kepada BN pada PRU akan datang jika mereka mahu rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas diduduki secara sewa beli.

"Pastikan BN menang di parlimen Kuala Nerus dan di DUN Tepoh kita akan tunai permintaan Menteri Besar," katanya ketika menjawab permintaan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang membuat permintaan itu dalam ucapan alu-aluannya.

"Boleh?" tanya Najib.
"Boleh," kata 20,000 orang hadirin yang menghadiri majlis pecah tanah sebanyak 500 unit rumah PPR yang bernilai RM84 juta yang dijangka siap pada tahun 2019.

Projek tersebut dilaksanakan oleh kontraktor berwibawa kumpulan Tulangis Maju Sdn Bhd milik Datuk Mohamed Rahim Husin bekas Naib ketua Umno Bahagian kemaman. Beliau dikenali umum apabila bertanding jawatan ketua pemuda Umno bahagian kemaman pada tahun 1993 mencabar penyandang jawatan, Nazri Salleh dan ADUN Kijal, Ahmad Said.

Ahmad said menang dalam pertandingan tiga penjuru itu. Pada tahun 1995, Rahim menang ahli jawatankuasa bahagian tetapi tewas pada tahun 1998. Pada tahun 2000, beliau mencadangkan kepada Ahmad Said untuk membawa pulang Ahmad Shabery Cheek dalam pertandingan berakit menentang kumpulan pemangku ketua bahagian, Datuk Abu Bakar Ali.

Ahmad Said menentang Abu Bakar ali manakala Ahmad Shabery menentang Nazri Salleh dan Rahim menentang Haji Shahbudin Maidin bagi jawatan naib ketua bahagian. Pasukan Ahmad said menang besar  tiga jawatan utama dan 19 ahli jawatankuasa bahagian. hanya tuan kecil tuan tengah yang menang dari pasukan Abu bakar ali dalam pertandingan ahli jawatankuasa bahagian.

Pada tahun 2008 Rahim tewas mempertahankan jawatan naib ketua bahagian di tangan setiausaha politik menteri besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dalam pertandingan yang ada penipuan kertas undi tetapi Rahim redha dengan kekalahan tersebut.

Dalam politik Rahim Husin ada pasang surutnya. Ada kalah ada menang. begitu juga dalam bisnesnya. Ada jatuh ada bangun. Di zaman Datuk Seri Idris Jusoh beliau menyertai rakannya dalam syarikat Bakti Insani Sdn Bhd

Beliau lobi dengan Idris untuk bina Pusat Sains di Chendering. Bakti Insani berjaya merebut tender tersebut tetapi dia tak sangka partnernya yang solat berjemaah tidak tinggal gelap mata dengan wang pendahuluan projek yang akhirnya projek tersebut terbengkalai.

Rahim bukannya mudah putus asa. Selepas itu beliau menubuhkan Tulangis Maju Sdn Bhd yang fokus kepada projek PPR. Sudah banyak beliau bina rumah PPR di Gua Musang, Kota Bharu, Sandakan, Kota Belud, Baling, Pontian, Alor Star, Melaka.

Semalam PM melancarkan projek sulung Rahim di negeri kelahirannya Terengganu. Beliau terkilan sebagai anak Kemaman  (dilahirkan di besut tetapi sudah 40 tahun menetap di Kemaman maka dianggap beliau orang Kemaman) sepatutnya projek PPR dibina di daerah Kemaman tetapi sayangnya ahli parlimen kemaman tidak minta projek PPR di bawah kementerian Tan Sri Noh Omar.

Di Kemaman Rahim menubuhkan grup whatsapp Kemamang Kite yang menimbulkan cemburu di kalangan ahli politik Kemaman. Majlis pecah tanah projek PPR semalam di Kuala Nerus oleh PM sudah tentu memberi tamparan hebat kepada ahli politik Kemaman yang tidak pandai membawa balik peruntukan pusat untuk rakyat Kemaman.

Sebaliknya menteri besar selaku ketua Umno bahagian Kuala Nerus bertindak bijak memohon peruntukan pusat sebanyak RM84 juta untuk membina 500 unit rumah PPR di bahagiannya. Syabas Ahmad Razif!








TAWAN DUN TEPOH DAN PARLIMEN KUALA NERUS UNTUK SEWA BELI PPR BUKIT NANAS

KUALA NERUS, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai visi besar dan perancangan rapi bagi negara serta rakyat untuk dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai agenda tersebut, namun memerlukan mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum akan datang dalam merealisasikannya.

"Kami (kerajaan BN) perlu mandat daripada rakyat, tidak lama lagi (pilihan raya umum), sama ada tahun ini atau tahun depan. Kalau ikut suasana di Kuala Nerus ini, nak buat cepat, namun kami kena lihat kepercayaan rakyat...kalau pilih BN, banyak lagi transformasi yang akan kami lakukan," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh di sini, semalam
.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Lebih 20,000 penduduk sekitar kawasan parlimen itu hadir memeriahkan majlis pecah tanah projek PPR melibatkan 500 unit rumah.

Najib, dalam lawatan keduanya ke Terengganu pada tahun ini, berkata kerajaan BN terbukti berjaya melaksanakan pelbagai agenda bagi kepentingan rakyat termasuk projek PPR.

Beliau berkata bagi setiap unit PPR yang dibina, nilai subsidi disediakan kerajaan berjumlah antara RM115,000 hingga RM158,000 seunit bergantung kepada lokasi.

"Kalau pembangkang bangkitkan isu GST, kita kutip hasil dan inilah (PPR) antara projek yang mana kita guna duit GST itu untuk kembalikan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata pembangkang hanya pandai menyerang kerajaan dengan melempar pelbagai tohmahan dan fitnah untuk menjadikan rakyat benci kepada pemerintah.

Justeru, Najib mengingatkan rakyat supaya tidak membuat penilaian dengan emosi, sebaliknya melihat kepada keupayaan dan kejayaan kerajaan, dalam memikul tanggungjawab mentadbir negara ini.

BERNAMA

Friday, April 14, 2017

PPR BUKIT NANAS DITUNGGU TUNGGU 7,000 PENDUDUK TEPOH

KUALA NERUS, 14 April (Bernama) -- Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh di sini yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini, memang ditunggu-tunggu penduduk 10 buah kampung di kawasan itu.

Pegawai Pembangunan Kuala Nerus Datuk Basir Ismail berkata setiap kali beliau turun padang ke kampung berkenaan untuk bermesyuarat dan bertemu orang kampung, mereka sentiasa bertanya bila projek itu akan dilaksanakan.

"Apabila mengetahui perdana menteri akan merasmikannya esok... ia bagaikan isyarat bahawa rakyat akan menikmati kemudahan perumahan seperti yang dirancang kerajaan sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini berhubung lawatan Najib ke Tepoh.



Perdana menteri akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Terengganu bermula esok.

Basir berkata lawatan yang julung kalinya oleh pemimpin nombor satu negara itu ke Tepoh memang ditunggu-tunggu oleh kira-kira 7,000 penduduk terbabit dan mereka mula bergotong-royong membersih kawasan sejak minggu lalu.

"Projek PPR ini mempunyai enam buah blok bangunan setinggi empat tingkat dengan 500 unit rumah. Turut disediakan ialah pusat perniagaan komersial yang memberi peluang kepada penduduk setempat berniaga.

"Setakat ini, sebanyak 7,000 permohonan telah diterima daripada seluruh Parlimen Kuala Nerus dan ia akan diteliti sebaiknya bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak mendapatnya," katanya.

Basir berkata sebagai individu yang sentiasa bersama masyarakat setempat, beliau amat memahami kehendak mereka yang mahu tinggal di rumah sendiri dan kesediaan kerajaan negeri dan persekutuan mengadakan projek PPR tersebut adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

Katanya projek PPR itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan pemaju telah mendapat kelulusan pelan untuk melaksanakan projek itu.

Menurutnya projek itu menjadi keutamaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdasarkan keperluan penduduk.

Pada 23 Mei tahun lepas, Najib merasmikan Projek Akuapolitan Kuala Nerus khusus untuk manfaat golongan nelayan.

Projek yang dijangka siap pada 2020 itu menempatkan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan dan restoran yang mampu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup nelayan yang berdepan kekurangan hasil laut dan masalah "permainan harga oleh orang tengah".

Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk projek itu bagi melakukan transformasi dan mengubah nasib nelayan di kawasan itu.

-- BERNAMA

Thursday, April 13, 2017

SIAPA CALON TELUK PASU?

KUALA NERUS: Tulisan saya "Kekalkah Razif di DUN Seberang Takir" menimbulkan kemarahan kepada para penyokong fanatik Razif. Dalam tulisan itu saya masih mengatakan Razif adalah pilihan pertama dan bukannya beliau tidak disenaraikan sebagai calon.

Sebaliknya jika PM mahu beliau jadi menteri, maka dua nama bakal menggantikan beliau. Oleh itu tidak timbul saya diupah oleh mana mana pihak untuk menonjolkan orang lain sebagai calon kerana ia berdasarkan kajian agensi agensi kerajaan yang terlibat dalam pemilihan calon.

Kali ini saya memilih DUN Teluk Pasu yang dirampas PAS pada PRU 13. Beberapa nama disebut sebagai calon iaitu Pegawai pembangunan DUN (PPD)  Teluk Pasu, Cikgu Mansor; Pengarah ATRA, Ustaz Omar dan adik bekas ADUN Teluk pasu iaitu Kipayatullah Mohd Said.

Mampukah mereka merampas DUN Teluk Pasu dari calon PAS, Ridzuan Hashim yang menang dengan majoriti 109 undi. Jika BN bekerja kuat mereka boleh menang asalkan tidak ada peteh keting sesama mereka.


Datuk Abdul Rahin Mohd. Said(BN) mendapat 8,989 undi manakala Ridzuan Hashim (Pas) mendapat 9,098undi.



Cikgu Mansor Salleh popular di kalangan orang kampung. Sebagai PPD, beliau bergaul dengan semua lapisan masyarakat. Tetapi tidak semestinya PPD menjadi calon. Ustaz Omar pun ada kelebihannya. Dengan ATRA beliau dikenali umum.

Manakala Kipayatullah adalah adik Datuk Rahin yang tewas kepada Ridzuan. Beliau adalah pegawai pendidikan daerah Setiu. Satu lagi nama yang tidak boleh ditolak ialah seorang peguam, Anuar Mohamad yang kini dilantik sebagai Bendahari Umno perhubungan Terengganu.

Beliau juga bendahari Umno bahagian Kuala Nerus seorang anak jati Bukit petiti yang merendah diri. terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa untuk merampas kembali DUN Teluk Pasu dari tangan PAS. Jika Anuar dipilih sebagai calon, tiga nama lain perlu berikrar untuk bekerja kuat untuk mempastikan Anuar menang. Bila BN menang dapatlah BN memberi ganjaran yang setimpal kepada mereka bertiga yang tak dapat jadi calon.

 Hj Ruzman bin Ismail turut disebut juga bakal calon DUN Teluk Pasu.Beliau adalah ahli jawatankuasa bahagian dan pengerusi penerangan DUN Teluk Pasu serta ahli majlis MBKT. Beliau adalah orang kanan bekas ADUN Teluk Pasu, Datuk Rahin Mohd Said. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda sains dari Universiti Malaya.

Seorang lagi  Mohamad bin Said  jurukur orang Kesom. Beliau juga popular di kalangan orang kampung.

Insya Allah jika mereka berlima bersatu, tak mustahil BN menang di Teluk Pasu.







Tuesday, April 11, 2017

KEKALKAH RAZIF DI DUN SEBERANG TAKIR?



KUALA NERUS: Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sudah menjadi ADUN Seberang Takir selama dua penggal sejak PRU2008. DUN Seberang Takir merupakan DUN yang paling selamat dalam parlimen Kuala Nerus.

Datuk Abdul Rashid Ngah tak pernah tewas di DUN Seberang Takir selama tujuh penggal dari tahun 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999. Ketika kerajaan BN tumbang di Terengganu pada tahun 1999, Seberang Takir tetap menang bersama tiga DUN lain, Telemong, Ajil dan Kemasik.

Rashid Ngah bersara pada tahun 2004 dan beliau beri peluang kepada adik iparnya Haji Shafian Ali bertanding. Haji Shafian  menang sepenggal sahaja apabila Razif pula dipilih sebagai calon pada PRU 2008. Abangnya Azmi digugurkan sebagai calon parlimen Kuala Nerus pada PRU tersebut. Untuk memujuk Azmi supaya tidak sabotaj calon BN, maka adiknya Razif dipilih bertanding di DUN Seberang Takir.

Razif pernah bertanding untuk jawatan pemuda bahagian tetapi beliau tewas. Selepas beliau jadi Exco baru beliau menang bertanding kerusi ketua bahagian pada tahun 2013 mengalahkan penyandang Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dan Datuk Rahin Mohd Said.

Selepas PRU 2008 yang menyaksikan krisis istana dengan menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Razif adalah ADUN pertama yang menyokong Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar baharu. Sebagai balasannya beliau dilantik sebagai Exco kanan oleh Ahmad Said.

Pada tahun 2014, beliau dilantik menteri besar baharu menggantikan Ahmad Said yang berjanji dengan Perdana Menteri untuk jadi menteri besar selama satu tahun sahaja kerana prestasi BN merosot 17-15 dalam PRU pada tahun 2013.

Sudah tiga tahun Razif menjadi menteri besar, beliau telah membuat pelbagai perubahan melalui Terengganu Transformasi Baharu (TTB). Kekalkah beliau sebagai menteri besar pada PRU akan datang? Nampaknya krisis beliau dengan istana sudah berakhir maka kemungkinan besar beliau kekal bertanding di Seberang Takir.

Namun demikian jika beliau ditarik bertanding kerusi parlimen, siapakah yang layak menggantikan beliau? Dua nama disebut sebut sebagai calon Seberang takir iaiatu bekas YB, Haji Shafian Ali dan pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Haji Shafian sebagai bekas ADUN sudah dikenali umum. Maka meletakkan beliau sebagai calon di kubu kuat BN itu tidak menjadi masalah. Cuma yang dipersoal sejauh mana beliau boleh menambah majoriti BN.

Pada PRU 2013, Razif Abd Rahman yang mendapat 7,731 undi menang dengan majoriti 1,510 undi mengalahkan dua calon dari PAS, Zakaria Dagang yang mendapat 6,221 undi dan calon PKR, Ahmad Nazri Mohd Yusof yang mendapat 73 undi.

Dapatkah Haji Shafian menambah majoriti? Manakala calon kedua ialah pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi.

Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad dilahirkan pada 23 Jun 1964 di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Ren. Keb. Seberang Takir dan seterusnya di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri. Pada tahun 1982 beliau telah memasuki Matrikulasi I dan II di Universiti Sains Malaysia. Pada Tahun 1984 beliau mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral dan menamatkan pengajiannya pada Tahun 1988.

Setelah tamat pengajian, beliau sempat bertugas di SEDC Kuala Terengganu selama 6 bulan di bahagian geologi dan carigali dan terlibat dengan penemuan emas di Rusila pada Tahun 1989. Setelah itu, beliau menyambung pelajarannya di University of Queensland, Brisbane, Australia pada Tahun 1989 hingga 1993 dan menerima Ph.D dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan pada Tahun 1994. Pada Tahun 1994 dan 1995 beliau berkhitmat sebagai pensyarah di Kampus Cawangan Kejuruteraan USM di Tronoh, Perak (yang kini telah diambilalih oleh Universiti Teknologi Petronas, UTP).

Pada November, 1995, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai pensyarah universiti dan memulakan syarikat latihannya sendiri iaitu MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. Beliau adalah Pengasas kepada kursus Motivasi Alihan Pelajar yang telah melahirkan lebih daripada 100,000 pelajar dan menjalankan kursus hampir setiap minggu sehingga ke hari ini. Beliau juga merupakan seorang 'Public Speaker' dan motivator yang sering diundang oleh pihak radio dan televisyen antaranya ialah TV1, TV3, TV9, NTV7, TV Bernama, Astro Awani, Astro Oasis dan TV Al-Hijrah.

Jika beliau dipilih sebagai calon menggantikan Razif, pengundi Seberang Takir bertuah kerana calonnya sudah dikenali di seluruh negara melalui kaca tv.








Monday, April 10, 2017

SIAPA CALON PARLIMEN KUALA NERUS?

KUALA NERUS: Kerusi parlimen Kuala Nerus dimenangi calon PAS, Datuk Dr Khairudin Aman Razali pada PRU13. Beliau menang dengan majoriti 610 undi mengalahkan ketua Umno bahagian Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Dr khairudin mendapat 33,861 undi manakala nasir mendapat 33,25i undi. Siapakah yang akan mewakili BN pada PRU ke14? Empat nama disebut sebut sebagai calon BN bagi parlimen Kuala Nerus.

Dua muka baru ialah Timbalan naib Canselor Unisza, Prof Dr Nik Wan Nik Omar dan Datuk Dr Ahmad Sabri Yusoff. Jika salah seorang dari mereka terpilih sebagai calon, ia menepati kehendak Menteri besar yang mahu lebih ramai cerdik pandai dikemukakan sebagai calon BN di Terengganu pada PRU akan datang.

Mampukah mereka mengalahkan Dr Khairuddin? Prof Dr Nik Wan adalah orang yang berpengaruh dalam parlimen Kuala Nerus. Tidak sombong dan suka menolong orang. Beliau berasal dari keluarga msikin di Pulau Duyung tetapi sekarang menetap di Teluk Ketapang.

Dr Ahmas Sabri, 58, pula Timbalan Pengerusi Yayasan Buku Negara mempunyai dua Phd dalam bidang pengurusan  (Universiti Kuala Lumpur) dan pentadbiran perniagaan (Universiti Utara Malaysia). Beliau pernah bekerja di Maybank dan anak syarikat FELCRA.

Selain dari dua nama itu, turut disebut sebagai calon parlimen ialah Datuk Seri Razif Abdul Rahman yang mungkin ditarik ke pusat untuk menjadi menteri penuh menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu bersara dari politik. Namun demikian jika beliau kekal di DUN Seberang Takir ini bermakna beliau kekal sebagai menteri besar selepas PRU14 jika BN berjaya mengekalkan kuasa.

Nama abang beliau Azmi Abdul Rahman turut disebut sebagai calon parlimen. beliau adalah bekas ahli parlimen Kuala nerus 2004 hingga 2008. Beliau hanya sepenggal menjadi ahli parlimen kerana menteri besar ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh kurang senang dengan kritikan Azmi terhadap Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam yang tidak memberi manafaat kepada penduduk Kuala Nerus.


Ketika itu pihak istana mahu ADUN Bukit Tunggal, Nasir Ibrahim Fikri menggantikan Idris sebagai menteri besar. Idris yang diberitahu oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad badawi telah memindahkan Nasir bertanding kerusi parlimen pada tahun 2008. Tetapi perancangan Idris untuk mengekalkan jawatan menteri besar tidak berjaya apabila pihak istana memilih ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar yang baharu.


Berbalik kepada Azmi, jika Azmi terpilih sebagai calon parlimen Kuala Nerus tidak mungkin adiknya Razif kekal di DUN Seberang Takir. Takkan nak ambil dua beradik sebagai calon. Dua beradik pernah terpilih sebagai calon di DUN Johor tidak lama dahulu tetapi mereka berdua berada di kawasan parlimen yang berlainan.  Abd Aziz Sapian jadi ADUN Nusa Jaya dua penggal (2004 dan 2008) dalam parlimen Gelang Patah manakala abangnya Osman Sapian ADUN Kempas dua penggal juga (2004 dan 2008) dalam parlimen Pulai. Azmi dan Razif pula dalam satu kawasan parlimen maka Azmi terpaksa berkorban untuk adiknya kekal sebagai menteri besar kali ini.



Sunday, April 9, 2017

FESTIVAL SENI DUYONG TAMPILKAN KESENIAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Pelbagai aktiviti kesenian warisan rakyat Terengganu akan ditampilkan ketika Festival Seni Duyong (DAF) selama tiga hari bermula 28 April ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, festival itu akan memberi fokus kepada kesenian Terengganu dan diolah dengan pelbagai kelainan bagi menarik minat generasi muda.

"Festival itu akan memberi sepenuh peluang kepada usahawan seni negeri ini, menggabungkan generasi baharu dan lama bagi menghasilkan aktiviti kesenian yang diberi nafas baharu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pra pelancaran di sini.

Saturday, April 8, 2017

SEMUA YB KENA TURUN PADANG TERANGKAN TN50



BESUT, 8 April (Bernama) -- Kesemua wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan di Terengganu perlu memperhebat aktiviti turun padang untuk menjelaskan aspirasi pelan induk Transformasi Nasional 2050 (TN50) kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata ia bagi memastikan dasar kerajaan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dapat difahami dan dihayati terus oleh rakyat.

Beliau berkata semua idea, harapan dan saranan daripada rakyat terutama golongan muda perlu diberi perhatian dan disimpan sebagai rujukan bagi membuat perancangan serta pembangunan yang lebih tepat kepada golongan sasar.

"Inilah keistimewaan TN50 kerana rakyat berpeluang menyuarakan pendapat dan kemahuan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Konvoi TN50 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil yang dihadiri lebih 150 anggota Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam tadi.

Ghazali berkata: "Melalui pendekatan turun padang TN50 ini, kita faham apa aspirasi rakyat dan tahu kehendak mereka. Jika mereka mahukan pertanian, laksanakan projek pertanian di tempat mereka. Jika mereka nelayan, laksanakan projek berkaitan industri akuakultur untuk mereka.

"Janganlah kita buat kilang elektronik pula. Sebab itu aktiviti turun padang perlu diperhebatkan lagi supaya lebih banyak input diperoleh kerajaan untuk merancang pelan tindakan yang perlu," katanya.

Ghazali berkata semua cadangan yang dikemukakan dalam sesi soal jawab TN50 itu akan dimaklumkan kepada Unit Perancang Ekonomi agar mendapat perhatian jabatan dan agensi yang bertanggungjawab.

"Sudah pasti semua idea ini akan diperincikan oleh wakil rakyat masing-masing seterusnya akan direalisasikan mengikut keperluan dan kesesuaian masa, lokasi serta keupayaan kewangan," katanya.

Antara topik yang dibangkitkan peserta program itu adalah pengangguran, pusat pendidikan, keusahawanan dan kebajikan rakyat di kawasan DUN Ajil serta persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA











Friday, April 7, 2017

TERENGGANU LANCAR JAGUNG MANIS YANG LEBIH BERKUALITI








SETIU, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terenggganu memperuntukkan RM150,000 bagi pembangunan tanaman jagung manis atau 'Jagung Manis Terengganu' melibatkan kawasan tanaman seluas 39 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata projek yang melibatkan 81 petani itu dijangka mampu mengeluarkan jagung jenis baharu itu sehingga 1.56 juta tongkol tahun ini.

"Bagi menjamin mutu dan kualiti jagung manis dwiwarna itu, Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran benih jagung tersebut untuk dibekalkan kepada petani.

"Sasaran kita ialah pengusaha yang berpotensi terlibat dalam projek pembangunan jagung manis dwiwarna itu seperti usahawan, penanam jagung sedia ada, belia dan petani berkelompok," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tanaman Jagung Manis Negeri Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.

Beliau berkata, melalui penanaman jagung manis jenis baharu itu permintaan terhadapnya dijangka akan meningkat dan membolehkan lebih ramai petani termasuk golongan belia menceburi projek berkenaan.

Muhammad Pehimi berkata, jagung tersebut lebih berkualiti daripada yang sedia ada, malah dijangka harganya juga akan meningkat 20 peratus lebih tinggi daripada jagung manis sedia ada di pasaran.

"Sebagai contoh, jika jagung biasa harga ladang dijual 80 sen setongkol tetapi jagung ini dijual lebih 20 peratus menjadikannya RM1 setongkol sekali gus akan memberi keuntungan kepada petani melalui peningkatan pendapatan jualan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi pengeluaran jagung manis biasa pada tahun lepas, Terengganu menghasilkan 11.62 juta tongkol jagung bernilai RM9.3 juta melibatkan 559 petani dengan keluasan kawasan tanaman jagung 331.8 hektar.

Benih Jagung Manis Terengganu, merupakan satu-satunya benih yang tidak terdapat di tempat lain malah pokoknya lebih lasak dan boleh dituai dalam tempoh 68 hari serta ditanam dalam empat musim bergantung kepada cuaca, katanya.

-- BERNAMA






Thursday, April 6, 2017

BUDAK UMUR 9 TAHUN REKA CERITA KONONNYA DICULIK

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menggunakan helah kononnya dia diculik bagi menutup perbuatannya mencuri wang tabung masjid di Wakaf Mempelam di sini, semalam.

Kisah penculikan tersebut tular di media sosial namun setelah disiasat didapati dakwaan kanak-kanak itu palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu hanya mereka cerita kerana bimbang dimarahi ibunya selepas didapati mencuri wang sebuah masjid serta takut pihak masjid berjumpa ibunya.

Katanya ibu kanak-kanak itu telah membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga setelah dimaklumkan anaknya bahawa dia nyaris diculik pada kira-kira 2.10 petang semasa dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam.

Setelah disiasat, polis mendapati sebelum itu, murid tersebut ditangkap oleh pihak Masjid Wakaf Mempelam kerana didakwa mencuri wang masjid yang mana beliau menafikan berbuat demikian.

Wan Abd Aziz berkata lanjutan pengakuan tersebut ibunya telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum itu.

-- BERNAMA

Wednesday, April 5, 2017

TERENGGANU NEGERI KETUJUH TANDATANGANI IKRAR BEBAS RASUAH







KUALA TERENGGANU, 5 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang permohonan dari mana-mana negeri yang diperintah pembangkang untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata walaupun ikrar itu hanyalah inisiatif untuk kerajaan negeri menunjukkan komitmen mereka memerangi rasuah, pihaknya sangat menggalakkan agar semua kerajaan negeri melaksanakannya.

"Ini hanya inisiatif kerajaan negeri masing-masing. SPRM tak pernah minta untuk semua negeri melakukannya. Kerajaan negeri datang kepada kita dan mohon saya hadir menyaksikan majlis tersebut.

"Kalau ada permohonan (dari negeri diperintah pembangkang), insya-Allah kita akan pergi. Memang kita galakkan semua negeri tersebut mengangkat ikrar ini untuk tunjuk keikhlasan dan ketulusan mereka membanteras rasuah, ia bergantung kepada kepimpinan tertinggi dalam negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan sembilan exco melafaz serta menandatangani ikrar itu di sini Rabu.



Terengganu adalah negeri ketujuh yang melafaz serta menandatangani IBR selepas Sarawak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri tidak sesekali akan berkompromi dan bertolak ansur dengan mana-mana salah laku membabitkan rasuah dalam kalangan pemimpin atau penjawat awam di negeri ini.

"Ini bersesuaian dengan prinsip keempat yang perlu diterjemahkan dalam Transformasi Terengganu Baharu iaitu Prinsip Integriti - bersih luaran dan dalaman.

"Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM apabila diperlukan. Setakat ini, Terengganu tidak ada apa-apa, alhamdulillah," katanya.

-- BERNAMA