Friday, November 30, 2018

PULANGKAN SEMULA WANG PEMAJU DAPAT RATING TERTINGGI BAGI BULAN NOVEMBER 2018

Berita "Pulangkan semula wang pemaju RM1.5 juta jika enggan pindah" yang disiarkan pada 27 November lalu mendapat rating tertinggi untuk blog ini bagi bulan November 2018.

10 rating tertinggi bagi bulan November lalu ialah:-

1. Pulangkan semula wang pemaju RM1.5 juta jika enggan pindah (27.11)
2. Kenapa tak lantik enam orang sekaligus ADUN dilantik? (29.11)
3. Pemimpin PH bertelagah mengenai ICERD (9.11)
4. Dah dua tahun bawa pasangan berkhalwat ke kubur baru hari ini heboh (15.11)
5. Siapa ketuai Umno Terengganu masih rahsia (24.11)
6. Menyalahkan kerajaan lama seperti menyalahkan Rafidah beri saham MITI kepada menantunya (10.11)
7. Perhimpunan 8 Disember jadi majlis kesyukuran (23.11)
8. Terengganu fokus pelancongan eko rimba (19.11)
9. Shukry wajar dipecat Pengerusi Bank Rakyat walaupun terlambat (28.11)
10. Shuib disengat 170,000 ekor lebah selama 30 minit (6.11)


Thursday, November 29, 2018

KENAPA TAK LANTIK ENAM ORANG SEKALI GUS ADUN DILANTIK?



KUALA TERENGGANU, 29 Nov (Bernama) – Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu Zuraida Md Noor hari ini mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Anggota Dewan Undangan (ADUN) wanita pertama di negeri itu.

Pelantikan Zuraida yang dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 hari ini adalah selaras Fasal 27(2) Undang-Undang Kerajaan Terengganu.

Di bawah undang-undang yang diluluskan pada era pemerintaah kerajaan PAS pada tahun 1999-2004, menyatakan sekiranya tidak ada dalam DUN wakil daripada kaum wanita dan juga kaum bukan Islam, Dewan boleh lantik seramai tidak lebih empat orang (bagi menjaga kepentingan golongan itu).

Ini membolehkan Zuraida dilantik sebagai ADUN tanpa melalui proses pilihan raya dan tidak memegang sebarang kawasan DUN.

Terdahulu, usul pelantikan Zuraida dikemukakan oleh ADUN Paka Satiful Bahri Mamat hari ini dan diterima sebulat suara oleh semua anggota dewan sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN, Yahaya Ali pada persidangan yang berakhir hari ini.

Ulasan saya, saya pernah menulis hal ini dalam blog ini pada 18 Julai lalu lihat http://todayterengganu.blogspot.com/2018/07/terengganu-boleh-laksanakan-enam-orang.html. Sebab itu saya hairan kenapa tak lantik enam orang sekaligus ADUN dilantik yang juga boleh ambil tokoh Cina, veteran dan pemuda serta wakil NGO.

Pada 14 Ogos dalam blog ini saya mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali yang menyebut kemungkinan ADUN wanita akan dilantik. Lihat http://todayterengganu.blogspot.com/2018/08/perkara-27-fasa-2-enakmen-1999-bukan.html.

Alang alang nak lantik ADUN, maka lantiklah lima orang lagi biar cukup kuota ADUN dilantik. Biar semua ada suara dalam Dewan Undangan Negeri iaitu wakil wanita, wakil veteran, wakil pemuda, wakil bukan Islam, wakil NGO dan wakil profesional.

Wednesday, November 28, 2018

TERENGGANU KENAL PASTI INDUSTRI BAHARU TARIK PELABUR


KUALA TERENGGANU, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan mengenal pasti kawasan-kawasan industri baharu yang boleh menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kawasan yang berdekatan dengan jaringan hubungan seperti lebuh raya dan perkhidmatan logistik diberi keutamaan untuk dibangunkan kerana ia antara tarikan kepada para pelabur.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan meneruskan hubungan baik dengan agensi-agensi pelaburan seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan sektor industri seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dan Dewan Perniagaan India Muslim Terengganu.

Tuesday, November 27, 2018

PULANGKAN SEMULA WANG PEMAJU RM1.5 JUTA JIKA ENGGAN PINDAH

SUBANG JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kuil Sri Maha Mariamman dekat USJ 25 di sini, yang menjadi tumpuan ekoran insiden kekecohan sejak awal pagi Isnin, tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian dicapai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Katanya, satu perbincangan telah diadakan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi ini dan beliau (Dr Mahathir) telah menyatakan kebimbangan mengenai insiden kekecohan itu.

"Perdana Menteri juga telah menyatakan kepada saya yang beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada sidang media selepas melakukan lawatan dan berjumpa dengan komuniti kuil berkenaan.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan anggota Exco Selangor, V. Ganabatirau.

Waytha Moorthy, yang menjaga portfolio perpaduan nasional, turut memberi jaminan bahawa keluhan pelbagai pihak mengenai penempatan semula lokasi kuil didakwa berusia 147 tahun itu akan dibawa lagi kepada perhatian Dr Mahathir.

Waytha Moorthy berkata beliau juga akan berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk mencari penyelesaian isu perpindaan kuil itu.

Kejadian yang bermula awal pagi Isnin dan awal pagi ini melibatkan pergaduhan dua kumpulan dan terdapat perusuh yang membakar 23 kenderaan serta merosakkan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta mencederakan seorang anggota bomba.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan telah menahan 21 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut.

-- BERNAMA

Monday, November 26, 2018

SHUKRY WAJAR DIPECAT PENGERUSI BANK RAKYAT WALAUPUN TERLAMBAT



KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini mengumumkan penyingkiran Shukry Mohd Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) berkuat kuasa serta merta.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata tindakan ini dibuat selaras dengan Seksyen 5 dan subperenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202) berikutan keterlibatan Shukry dalam Laporan Asal Audit 1MDB.

Semalam, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 22 Nov 2016 mengarahkan Ambrin Buang, yang merupakan ketua audit negara ketika itu, meminda laporan audit 1MDB.

Madinah turut mendedahkan Shukry selaku setiausaha sulit Najib, ketika itu turut mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho dalam laporan itu dikeluarkan.

"Sehubungan dengan itu, apa-apa keputusan yang memberi implikasi kepada Bank Rakyat yang telah dibuat sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Bank Rakyat akan disemak semula dan dibatalkan sekiranya menjejaskan kepentingan bank," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan akan mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat yang baharu sebaik sahaja proses pelantikan dimuktamadkan, menurut kenyataan itu.

Ulasan saya, sepatutnya Mel lalu selepas PH menang dah buang Shukry Mohd Salleh sebagai Pengerusi Bank Rakyat. Dah enam bulan baru pecat. Sudah terlambat.

Masa beliau jadi ketua setiausaha sulit bekas PM, bukan main sombong Shukry. Hantar surat nak jumpa PM tak dijawabnya. Dia kata surat itu diserah kepada Datuk Amhari ketua unit ekonomi JPM. Bila call beliau tak pernah dapat. P.A Amhari suruh call pegawai unit tersebut, seorang wanita (lupa namanya). Sampai ke sudah kami tak dapat jawapan surat tersebut.

Ada kawan call Shukry nak minta surat sokongan dari JPM. Secara terang Shukri minta RM5,000 dari kawan saya. Berkali kali Shukry call kawan saya jadi tak nak surat tersebut. Elok benar beliau dipecat kerana beliau bukan orang yang ada integriti. Mujur beliau tak lama jadi Pengerusi Bank Rakyat kalau tidak habis duit Bank Rakyat disapunya.

Sunday, November 25, 2018

RAKYAT TERENGGANU DIKECUALIKAN BAYAR CUKAI PINTU MULAI 2019





KUALA TERENGGANU, 25 Nov (Bernama) -- Rakyat Terengganu tidak perlu membayar cukai taksiran atau cukai pintu bagi semua premis kediaman di negeri ini tahun hadapan.

Malah, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua cukai tertunggak juga akan dihapuskan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Namun, pengecualian ini tidak terpakai untuk premis perniagaan, syarikat perniagaan masih perlu membayar cukai taksiran seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan pengecualian itu untuk tahun 2019 dan akan melihat kesannya sebelum mengambil keputusan sama ada ia diteruskan atau sebaliknya pada 2020.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan kepada semua 32 kawasan DUN tanpa mengira sama ada ia dimenangi PAS atau pembangkang, antaranya peruntukan RM1 juta untuk program Hari Keluarga Peringkat DUN dan program perpaduan nasional.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 negeri, Kerajaan Terengganu juga memperuntukkan RM97.9 juta untuk agenda pembangunan kualiti modal insan yang menjadi antara teras dalam pendidikan negeri.

-- BERNAMA





Saturday, November 24, 2018

SIAPA KETUAI UMNO TERENGGANU PADA 1 JANUARI 2019 MASIH RAHSIA



JERTEH : Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan beliau enggan terus menjadi pengerusi badan perhubungan parti itu untuk Terengganu.

Kata bekas menteri terbabit mulai tahun depan jawatan pengerusi Umno Terengganu akan disandang oleh orang lain yang terdiri daripada anak tempatan.

Mahdzir ialah anggota parlimen Padang Terap, Kedah.

Beliau memenangi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan yang diadakan beberapa bulan lalu.

Selain Madhzir, dua lagi naib presiden Umno ialah Mohamed Khaled Nordin dan Ismail Sabri Yaakob.

Pemilihan itu dibuat selepas Umno gagal mendapat mandat untuk terus menjadi kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pada PRU ke-14 itu Umno hanya berjaya mengekalkan kuasa di Perlis dan Pahang, manakala PAS pula mempertahankan Kelantan selain mengambil alih pentadbiran Terengganu.


Mohamed Khaled ialah bekas menteri besar Johor namun diberi tanggungjawab menjadi pengerusi perhubungan Umno Perlis oleh presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri pula diberi kepercayaan mengetuai Umno Selangor.

Dipetik Sinar Online Mahdzir berkata nama pengganti beliau akan diketahui ramai tidak lama lagi.

"Nama pengganti akan diumumkan dalam masa terdekat selepas surat pelantikan ditandatangani presiden parti," katanya.

Terdahulu Mahdzir mempengerusikan untuk kali terakhir mesyuarat Umno Terengganu di Kem Seri Keluang di Jertih.

Untuk rekod pada awal Ogos lalu Mahdzir pernah menyatakan hasratnya melepaskan jawatan berkenaan.

Kata Mahdzir tugas mengetuai Umno Terengganu lebih sesuai dipikul oleh orang tempatan yang lebih memahami suasana setempat.

“Saya tidak berhasrat jadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu negeri untuk tempoh yang lama.

"Saya cadang (serahkan jawatan) dalam masa terdekat ini, kita boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya dipetik Utusan Online.

Untuk rekod Umno Terengganu pernah bergolak dengan masalah dalaman membabitkan beberapa pemimpin parti terbabit.

Friday, November 23, 2018

PERHIMPUNAN 8 DISEMBER JADI MAJLIS KESYUKURAN





KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perkasa mendesak supaya parti politik yang menyertai perhimpunan aman kesyukuran Icerd pada 8 Disember ini supaya tidak membawa lambang parti masing-masing.

Presidennya, Ibrahim Ali berkata, jika perkara itu berlaku maka niat asal menolak Icerd, tidak sampai.

“Kalau boleh, parti-parti politik yang turut terlibat dalam mempertahankan negara menyanggah atau tentang Icerd ini. Jangan besarkan parti berbanding isu dihadapi bersama.

“Kepada parti politik, selain NGO saya percaya perhimpunan tanpa bawa mana-mana lambang parti politik, saya rasa lebih baik kerana betul-betul perpaduan ummah di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

“Sebab kalau kita besarkan agenda politik, bendera politik dalam perhimpunan maka ia beri persepsi itu agenda politik masing-masing yang nak raih mileage terhadap satu-satu isu.

“Akhirnya matlamat tak tercapai jadi saya harap kita berhimpun atas nama umat Islam, Bumiputeta atau rakyat Malaysia,” kata Ibrahim Ali selepas perhimpunan membantah Icerd, hari ini.

Katanya lagi, jika perhimpunan kesyukuran itu mempunyai niat politik, maka Perkasa tidak akan turut serta kerana matlamat asal telah disalah gunakan.

Penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata biarpun kerajaan sudah mengesahkan secara rasmi untuk tidak menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), himpunan pada 8 Disember ini tetap akan diteruskan.

Aminuddin berkata himpunan tersebut bukan lagi berbentuk bantahan sebaliknya ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Pihaknya yakin kehadiran orang ramai tetap tinggi kerana ia merupakan program bagi meraikan kemenangan rakyat menyekat Icerd.

Pada 17 November lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata parti Islam itu dan Umno akan mengadakan perhimpunan anti-Icerd tersebut.

Katanya, perhimpunan itu telah mendapat restu Jawatankuasa Pusat PAS.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir majlis "Himpunan Perpaduan Ummah" itu mengesahkan Umno akan menyertai perhimpunan pada 8 Disember ini.

Thursday, November 22, 2018

BEBERAPA PULAU DI SETIU DAN SETIU WETLAND JADI TARIKAN PELANCONGAN



SETIU, 22 Nov (Bernama) -- Pemain industri pelancongan di Terengganu disaran menyediakan pakej yang menggabungkan percutian ke pulau dan lawatan ke Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetland.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata ia bertujuan menarik pelancong tempatan dan luar negara bagi merasai pengalaman berbeza memandangkan kedua-dua kawasan itu mempunyai kelebihan tersendiri.

"Beberapa pulau di Setiu sering menjadi tarikan pelancong luar negara dan kita berharap perkara yang sama berlaku di Setiu Wetland. Kita (Kerajaan Negeri) berhasrat menjadikan gabungan dua kawasan ini sebagai tarikan baharu, melonjakkan industri pelancongan dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja beliau ke Setiu Wetland di sini hari ini.

Setiu mempunyai beberapa buah pulau yang sentiasa menerima kunjungan pelancong setiap tahun antaranya Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.

Setiu Wetland bukan sahaja tanah bencah semulajadi yang terluas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tetapi juga direkodkan mempunyai kepelbagaian ekosistem merangkumi air tawar, air payau, laut serta laguna yang mengunjur kira-kira 14 kilometer dengan pasir pantai.

Selain itu, di tanah bencah itu juga terdapat populasi tuntung laut dan tuntung sungai yang sangat terancam selain menjadi habitat bagi 29 spesies mamalia, 112 spesies burung serta 28 spesies reptilia.

-- BERNAMA

Wednesday, November 21, 2018

TINDAKAN MEROBOHKAN KEDIAMAN PUSAKA IKUT SALURAN YANG BETUL



KUALA TERENGGANU – “Bukan kita tidak bersimpati, tetapi perkara ini telah melalui proses rundingan yang terlalu lama dan pemilik rumah seharusnya akur dengan keputusan yang telah dibuat,” kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, tindakan kerajaan merobohkan kediaman pusaka di Kampung Tanjung, hari ini adalah mengikut saluran yang betul setelah arahan diberikan sebelum ini gagal dipatuhi.


“Pihak yang mendakwa bahawa mereka adalah tuan tanah itu pada saya tidak benar kerana apabila dilihat daripada aspek perundangan, tindakan kerajaan negeri tidak salah kerana ia adalah tanah kerajaan.

“Tambahan pula, notis peringatan dan arahan supaya mengosongkan kediaman diberikan sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Dalam pada itu. Ahmad Samsuri berkata, kadar pampasan diberikan adalah ihsan daripada kerajaan setelah mengambil kira yang menduduki kawasan itu sebelum ini.

“Ia mengambil kira mereka yang menduduki tempat itu sebelum ini, tetapi daripada aspek perundangan tiada hujah yang kuat dari orang yang mendakwa, Jadi, proses (roboh kediaman) terpaksa diteruskan hari ini,” katanya.

Tuesday, November 20, 2018

ARMADA SELANGOR TUNTUT P. WAYTHA MOORTHY LETAK JAWATAN



KUALA LUMPUR : Sebelum ini. usaha ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ditentang Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jika perkara itu menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.


Terbaru, Armada Selangor menyatakan pendirian sama dengan menyifatkan tiada keperluan untuk meratifikasi dokumen berkenaan kerana Malaysia sudah memiliki Perlembagaan Persekutuan yang merupakan acuan paling sesuai dan berkesan dalam memupuk perpaduan.


Ketuanya, Adhif Syan Abdullah sedar bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya berniat membawa isu ICERD ke meja rundingan bagi mendengar pandangan semua pihak berkepentingan.

“Perdana Menteri jelas menyatakan ICERD mustahil ditandatangani, namun perbincangan mengenainya dibolehkan. Walau bagaimanapun, isu ini telah mengundang reaksi marah orang Melayu dan ini petunjuk jelas bahawa ratifikasi ICERD tidak akan terjadi.

“Maka usaha ratifikasi ini hendaklah dihentikan dan menteri bertanggungjawab wajar memfokuskan kepada perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adhif Syan menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam selepas video wawancara dengan sebuah stesen televisyen di Belanda 10 tahun lalu yang berbaur perkauman tular.

Tegasnya, Armada Selangor turut menuntut agar Waytha Moorthy meletakkan jawatan serta-merta kerana kredibilitinya sebelum ini sudah hilang dan ini memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan.


Monday, November 19, 2018

TERENGGANU FOKUS PELANCONGAN EKO RIMBA



KUALA BERANG, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang merancakkan lagi program pelancongan berasaskan eko rimba bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Terengganu akan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara taman tersebut bagi memastikan ia lebih tersusun serta terjaga.

Beliau berkata Terengganu mempunyai enam taman eko rimba yang menjadi fokus dan produk pelancongan utama negeri dikawal selia Jabatan Perhutanan Negeri, terdiri daripada Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Tembakah dan Lata Belantan, Besut; Air Terjun Chemerong dan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun; serta Air Terjun Menderu, Kertih.

"Saya dimaklumkan peruntukan diterima jabatan untuk mengurus dan menyelenggara setiap taman sekitar RM20,000 setahun dan ia agak kecil. Jadi saya meminta pihak jabatan kemukakan perancangan dan InsyaAllah kita akan tambah peruntukan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hutan Lipur Sekayu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Terengganu Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata produk pelancongan berasaskan eko rimba di negeri ini mempunyai prospek pelancongan yang cerah dan dibuktikan melalui peningkatan kehadiran pelancong di enam kawasan berkenaan.

"Jumlah kedatangan pengunjung di Hutan Lipur Sekayu dari Mac hingga Oktober tahun ini, ialah 40,000 orang berbanding 21,000 pengunjung bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kita yakin dengan peningkatan promosi dan program pemuliharaan persekitaran seperti taman orkid dan herba di hutan lipur yang akan dilaksanakan nanti pasti meningkatkan lagi minat pelancong berkunjung ke sini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata pihaknya juga sedang menyiapkan Pelan Rancangan Pembangunan Hutan Lipur yang akan siap dan dibentangkan pada tahun hadapan.

Beliau berkata pelan itu nanti akan menyediakan rancangan pembangunan lebih menyeluruh, tersusun dan sistematik bagi melonjakkan pelancongan eko rimba.

-- BERNAMA

Sunday, November 18, 2018

EPIC BAWA PELAJAR MISKIN MAKAN KFC DAN MAIN BOLING

KEMAMAN: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) sekali lagi melibatkan diri dengan program CSR yang diwujudkan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamad Nor, bersempena dengan musim persekolahan 2019, EPIC Berhad sekali lagi menganjurkan program "Back To School" yang merupakan salah satu tanggungjawan sosial EPIC.

"Saban tahun program ini diwujudkan untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa pada hari ini dan kami memberi fokus kepada mereka yang kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan dalam bandar dan luar bandar," kata beliau.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Abdul Adzim Abdul Hamid, Pengurus Besar  Perancangan Korporat, Komunikasi, Pembangunan dan Projek Khas EPIC.

Katanya lagi, kami mengharapkan dengan program ini, pelajar yang kurang berkemampuan dapat merasai sendiri keseronokan membeli peralatan sekolah seperti pelajar lain yang mempunyai ibubapa yang berkemampuan.

"Tahun ini kami memilih dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Jaya dan Sekolah Kebangsaan Seri Meraga," katanya lagi.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya Exco Kerajaan Negeri, Haji Hanafiah Mat mencadangkan EPIC supaya memilih empat sekolah mengikut empat DUN dalam parlimen Kemaman.

Namun demikian beliau mengucapkan syabas kepada EPIC yang berusaha meneruskan CSR kepada para pelajar yang tidak berkemampuan.

"Usaha murni EPIC wajar diteruskan oleh semua syarikat GLC di Terengganu," katanya.

40 pelajar dari dua sekolah tersebut menerima pakaian sekolah, kasut sekolah, alat alat tulis dan beg sekolah. Mereka di sebelah pagi membeli barang barang di Yellow Town. Selepas itu mereka dibawa makan KFC di restoran KFC di Yellow Town.

Di sebelah petang mereka dibawa ke Mesra Mall, Kerteh di mana mereka dibawa bermain boling sebelum majlis perasmian penutup yang diadakan di situ.

Friday, November 16, 2018

KES MENANG TAPI DR STRERAM BELUM TENTU JADI CALON PRK RANTAU



SHAH ALAM: Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mahu parti berkenaan meletakkan calon wanita di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan yang bakal diadakan.

Zuraida yang juga bekas Ketua Wanita PKR berkata, beliau telahpun mempunyai dua orang calon wanita dari negeri itu yang difikirkan layak dan akan membawa nama-nama berkenaan kepada barisan kepimpinan untuk dipertimbangkan.

Beliau menambah parti berkenaan bagaimanapun belum membuat sebarang perbincangan berkaitan PRK berkenaan.

"Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) PRU-14 lepas kita (PKR) tidak mempunyai calon wanita di Negeri Sembilan dan PRK DUN Rantau ini saya cadangkan agar diletakkan seorang calon wanita.

"Rakyat Negeri Sembilan dilihat khusus mahukan calon yang lahir di sana dan dua nama yang saya ada ini merupakan anak tempatan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2018 di Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN itu pada PRU14 sebagai batal dan tidak sah. Mohamad menang kerusi DUN itu tanpa bertanding pada 28 April lalu selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk pusat penamaan kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.


Dalam petisyennya Dr Streram menamakan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram juga mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

- Bernama

Thursday, November 15, 2018

DAH DUA TAHUN BAWA PASANGAN KHALWAT KE KUBUR BARU HEBOH HARI INI



SUNGAI PETANI: Kumpulan antikhalwat Skuad Badar mempertikaikan tindakan pihak yang mempersoalkan kaedah tarbiah mereka dengan membawa pasangan ditangkap khalwat ke kubur.

Pengerusinya Azhaar Mohamad berkata operasi cegah maksiat dan khalwat itu telah dijalankan selama dua tahun di Sungai Petani tanpa sebarang bantahan, lapor sebuah portal.

Malah, katanya, pasukan polis daerah Kuala Muda turut meminta kerjasama mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah moral di sekitar kawasan itu, kata Azhaar.

“Kegiatan ini bukan hari ini baru dilakukan, bukan baru hari ini saya letak di Facebook. Kenapa hari ini baru dipertikaikan?

“Jika kami bersalah, kenapa pihak polis tak panggil kami?” beliau dipetik sebagai berkata hari ini.

The Malaysian Insider (TMI) melaporkan Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa semalam berkata operasi kumpulan ini secara polis moral “tidak sah” kerana tidak mendapat keizinan pihak berkuasa agama atau penguat kuasa persekutuan.

Anggota parlimen Sungai Petani Johari Abdul pula dilaporkan berkata tindakan Skuad Badar itu “keterlaluan”.

Sementara itu, Azhaar mengakui laporan polis yang dibuat sebelum memulakan operasi bukanlah satu “kebenaran”.

Bagaimanapun, katanya mereka tidak ditegah menjalankan operasi tersebut dan menasihati agar tidak melanggar undang-undang, katanya.

Skuad Badar dilapor menjalankan aktiviti sukarela mencari pasangan Islam yang tiada ikatan sah bermadu kasih di hotel-hotel sekitar Sungai Petani.

Pasangan kemudian dibawa ke tanah perkuburan di Masjid Padang Temusu bagi sesi tarbiah kerana percaya kaedah itu berkesan.

Azhaar juga berkata mereka mendapat kebenaran daripada ibu bapa suspek yang ditahan atas kesalahan syariah

Mengulas itu pendaftaran kumpulan, Azhaar yang turut dikenali sebagai Ayah Ad berkata mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan kerenah birokrasi.

“Kali pertama (hantar borang) ditolak, tanpa sebarang sebab.

“Apabila kami hantar kali kedua, ROS kata perlu melalui polis, polis kata perlu melalui pejabat agama, tanya pejabat agama pula mereka kata melalui polis.

“Saya beranggapan, kami sudah berdaftar tetapi mereka yang tidak lulus,” beliau dipetik sebagai berkata.

Wednesday, November 14, 2018

TERENGGANU AKAN WUJUDKAN PERKAMPUNGAN PULIHKAN PENAGIH DADAH

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Sebuah 'perkampungan' bagi memulihkan masalah ketagihan dadah secara holistik di kalangan penagih dadah tegar akan diwujudkan di negeri ini oleh kerajaan negeri pada tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Mohd Nor Hamzah berkata pusat itu akan dibangunkan dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan jabatan berkaitan dengan pengambilan pertama kira-kira 50 orang.

Pusat yang lokasinya belum ditentukan itu akan menggunakan gabungan 11 modul yang dibangunkan UniSZA dikenali sebagai i-TGM, sebagai satu inisiatif kerajaan negeri membasmi permasalahan dadah yang kini dilihat serius.

"Ia merangkumi teknik perubatan moden, psikologi, spiritual dan 'job placement'. Kaedah i-TGM ini telah digunakan oleh UniSZA di Pusat Komuni Saadah, Kuala Nerus yang kini membantu kira-kira 17 penagih dadah tegar di daerah itu setiap hari untuk menjalani rawatan pemulihan.

Tuesday, November 13, 2018

EPIC TERUSKAN PROGRAM TAHUNAN KEMBALI KE SEKOLAH






KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meneruskan tradisi Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) mengadakan program Kembali Ke Sekolah  untuk 80 murid dari empat sekolah dari Parlimen Marang, di pasaraya Mydin di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Ditanya dalam sidang akhbar selepas program EPIC,  sama ada kerajaan negeri akan meneruskan pemberian yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu seperti bantuan pakaian sekolah untuk keluarga kurang kemampuan, Ahmad Samsuri berkata ia akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan.

"Begitu juga dengan insentif dalam bidang pendidikan, ia akan disentuh dalam Belanjawan 2019 nanti," katanya sambil memaklumkan hasil royalti minyak dan gas akan turut dimasukkan ke dalam bajet itu sebagai hasil terimaan negeri.

Terdahulu, Samsuri sempat menemani murid yang menerima bantuan EPIC itu memilih peralatan alat tulis mereka di pasaraya itu.

Setiap mereka menerima bantuan RM565 yang diberi dalam beberapa bentuk sumbangan antaranya baucar pakaian sekolah bernilai RM200, baucar kasut RM100 dan pembelian alat tulis RM80.- Bernama

Monday, November 12, 2018

RINA JANJI TIADA LAGI CAMPURTANGAN POLITIK DALAM KPLB

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Dalam usahanya memastikan setiap kelompok masyarakat menikmati pembangunan, kerajaan Pakatan Harapan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menggariskan perancangan bagi menggerakkan perubahan komuniti di kawasan luar bandar.

Antaranya, Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar adalah perancangan KPLB yang merangkumi perancangan jangka masa pendek dan sederhana untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia bakal menjadi sebahagian daripada pelan strategik KPLB dan hala tuju kementerian serta jabatan dan agensi di bawahnya.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, 45, mengulas pelantikannya dan fokus utama beliau dalam menerajui kementerian yang sebelum ini didominasi sepenuhnya menteri lelaki, bermula Tun Abdul Razak Hussein (1959-1969) sebagai menteri pertama kementerian itu. 

Berikut adalah transkrip antara petikan soalan semasa temu bual Bernama bersama Rina:

1. PLB adalah sebuah kementerian yang mempunyai portfolio luas, apakah fokus utama Datuk Seri dalam masa terdekat ini?

RINA: Pembangunan luar bandar adalah tumpuan kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi negara dapat dinikmati secara inklusif oleh rakyat di segenap lapisan, oleh yang demikian, kerajaan telah merangka pelbagai usaha melalui KPLB yang beraspirasi untuk terus memajukan lagi kawasan luar bandar. 

Kita bermatlamat mahu menjadikan kawasan luar bandar kondusif untuk didiami dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan seperti dinikmati penduduk di bandar. Kemajuan yang sedang kita perkatakan ini menjangkau penyediaan infrastruktur asas, merangkumi penjanaan pendapatan tinggi melalui penglibatan swasta, aktiviti ekonomi mampan, keusahawanan dan mencipta peluang pekerjaan.

Namun dalam masa sama, aspirasi murni masyarakat luar bandar seperti pegangan teguh kepada kepercayaan agama dan kaya dengan budaya akan terus dikekalkan.

2. Apakah cabaran utama yang Datuk Seri jangka dihadapi oleh kementerian dalam meneruskan misi dan visi sebagai kementerian yang bertanggungjawab membangun dan memperkasakan kehidupan masyarakat di luar bandar?

RINA: Antara cabaran dan kekangan utama kementerian ialah dari segi ekonomi, keusahawan dan pemasaran hasil tani komuniti desa. Justeru, apabila memperkatakan tentang pembangunan desa, perindustrian dilihat sebagai penyelesaian tepat dalam mengatasi permasalahan kemiskinan dan kemunduran. 

Perindustrian luar bandar yang dibangunkan adalah berdasarkan ciri-ciri yang sesuai dengan persekitaran dan lebih menjurus kepada penjanaan modal insan, menggunakan teknologi baharu dan memenuhi keperluan jangka masa panjang. Agensi awam dan swasta masing-masing sebenarnya mempunyai peranan utama dalam mengukuhkan pengurusan desa. Sekiranya desa-desa berpotensi ini tidak dibangunkan, kawasan desa tidak akan mempunyai nilai ekonomi yang boleh menjana hasil dan pendapatan, malahan akan menjadi liabiliti kepada negara.

Justeru, kementerian kini sedang merangka satu inisiatif yang dapat menyumbang kepada tahap kemampanan kampung dan penambahbaikan keadaan fizikal, sosial dan ekonomi desa serta memberi impak positif kepada penduduk luar bandar.

3. Apakah penambahbaikan yang ingin dilakukan Datuk Seri dalam kementerian yang selama ini diterajui oleh menteri-menteri daripada parti yang berlainan dasar dan pendekatan?

RINA: Kita tidak selalunya mendapat apa yang kita inginkan. Apabila saya mula menjalankan tugas, saya menerima dengan hati terbuka apa jua kelebihan dan kekurangan dalam KPLB. Sebagai contoh, terdapat beberapa masalah koordinasi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Kos perbelanjaan dalam belanjawan telah meningkat di samping berlaku pertindihan fungsi yang menyebabkan ketidakcekapan dalam operasi. Terdapat juga beberapa kes di mana kerajaan negeri menolak implementasi projek yang dirancang oleh kerajaan pusat disebabkan konflik kepentingan. 

Sejajar dengan visi perdana menteri, kita tidak boleh ada lagi ketidakcekapan sebegini wujud di dalam kementerian. Disebabkan inilah, saya banyak berkunjung ke kawasan luar bandar untuk meninjau sendiri dan menilai apa yang benar-benar diperlukan rakyat, dan memastikan amanah rakyat dijalankan sewajarnya. 

Daripada segi sumber manusia, saya merasakan KPLB mempunyai ramai kakitangan yang terlatih serta mengetahui bagaimana hendak mewujudkan suasana yang sejahtera untuk komuniti desa. Tetapi masalah yang dihadapi pentadbiran lama adalah terlalu banyak campur tangan politik sehingga apa yang telah dipelajari kakitangan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik serta membataskan mereka untuk menunjukkan kepakaran masing-masing. 

Apa yang saya perlu lakukan adalah memberi suasana sihat serta ruang yang cukup agar mereka dapat menzahirkan ilmu dan kemahiran mereka yang sebenar.

4. Boleh Datuk Seri terangkan dengan lebih lanjut Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dirangka kementerian?

RINA: Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar merupakan perancangan KPLB yang merangkumi perancangan jangka masa pendek dan sederhana untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia bakal menjadi sebahagian daripada pelan strategik KPLB dan juga sebagai hala tuju KPLB serta agensi di bawah KPLB.

Pelan ini menggariskan enam teras strategik sebagai sandaran untuk pelaksanaan secara agresif, mencakupi pelbagai bidang seperti prasarana, ekonomi, keusahawanan, modal insan, pemerkasaan wanita dan sistem penyampaian. 

Secara keseluruhannya, terdapat 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah keenam-enam teras ini termasuklah lapan program keutamaan. 

Pelan ini turut mengambil kira cadangan keutamaan dan penekanan baharu kerajaan PH yang telah digariskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Dalam masa sama pelan ini disesuaikan dengan struktur baharu KPLB di mana beberapa agensi seperti JAKOA, FELCRA dan RISDA tidak lagi berada bawah KPLB, di samping penambahan satu agensi baharu iaitu PERDA atau Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang. 

Tema ‘Luar Bandar Sejahtera’ dipilih bagi mencapai aspirasi kawasan luar bandar sebagai kawasan yang kondusif untuk tempat tinggal, menjana pendapatan dan membina kehidupan. Pembangunan ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur tetapi juga ekonomi dan modal insan yang akan memacu pertumbuhan kawasan luar bandar melalui pembangunan luar bandar yang inklusif, ia akan menaik taraf dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan akan memenuhi keperluan sosioekonomi, fizikal, rohani dan sahsiah.

5. Boleh Datuk Seri terangkan mengenai promosi Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDesa) ?

RINA: Dalam usaha membangunkan usahawan tekno dan inovasi bumiputera luar bandar, KPLB akan mengadakan satu program utama pada 15 hingga 18 Nov ini iaitu Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDesa) bertempat di MITC, Melaka dengan penyertaan seramai 407 usahawan yang terdiri daripada pelbagai kluster perniagaan. 

Program julung kali diadakan ini bertujuan supaya usahawan desa didedahkan kepada kemajuan inovasi dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti perusahaan mereka.

Ia juga menjadi satu platform kepada usahawan desa untuk meninjau dengan lebih dekat pelbagai peralatan dan mesin terkini bagi meningkatkan jumlah pengeluaran selain menambah baik kualiti produk dan perkhidmatan dalam kalangan usahawan desa. Ekspo ini turut memberi peluang untuk usahawan mempromosikan produk masing-masing kepada pengunjung. 

Antara pengisian program INOTEKDesa ialah 'pocket talks' dan 'business matching' untuk mengadakan perbincangan secara terus bersama penyedia serta pembekal peralatan dan peluang sesama usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Sebagai pelengkap sepanjang empat hari program, turut dipakejkan adalah gerai-gerai pameran yang mempromosikan maklumat pembiayaan usahawan desa serta maklumat latihan atau bengkel keusahawanan untuk masyarakat luar bandar. 

-- BERNAMA

Sunday, November 11, 2018

TERENGGANU TAWAR PROGRAM KHAS UNTUK PELAJAR AGAMA DI TATIUC

KEMAMAN, 11 Nov (Bernama) -- Bermula tahun depan, kerajaan Terengganu akan menawarkan tempat kepada pelajar tahfiz, madrasah dan sekolah pondok yang mahu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Universiti Tati (Tatiuc) agar mereka boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional dan teknikal di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan mengumumkan peruntukan khas untuk program itu dalam pembentangan Bajet 2019 di persidangan Dewan Undangan Negeri pada 25 Nov depan.

"Terdapat 146 institusi pendidikan seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan madrasah di Terengganu, namun hanya 80 sahaja yang sudah berdaftar (dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu), manakala bakinya masih dalam proses untuk pendaftaran,"katanya lagi.

Saturday, November 10, 2018

MENYALAHKAN KERAJAAN LAMA SEPERTI MENYALAHKAN RAFIDAH BERI SAHAM MITI KEPADA MENANTUNYA



KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu “kurangkan bercakap, lebihkan bekerja” dalam usaha meletakkan semula negara di landasan yang tepat, kata Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi tempoh 1987 hingga 2008 berkata kerajaan perlu menumpukan tadbir urus negara dan bergerak dengan menggalas tanggungjawab besar dalam membangunkan negara.

Tokoh wanita ini turut senada dengan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan perlu menghentikan tindakan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara selama 61 tahun lepas.

Daim mahu kerajaan hari ini mula menumpukan kepada usaha menunaikan janji mereka kepada rakyat yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita teruskan mentadbir urus kerajaan, namun apabila masalah yang dibuat kerajaan terdahulu timbul, kita perlu memberitahu kepada rakyat, siapa yang melakukannya. Bagaimanapun, rakyat juga perlu tahu siapakah sebenarnya yang perlu dipersalahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peranan yang boleh disumbangkan beliau sebaik sahaja menyertai Parti Bersatu, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafidah menyatakan akan memberi komitmennya kepada kerajaan PH menerusi keanggotaannya dalam parti itu.

Rafidah, yang kini Pengerusi AirAsia X Bhd, menekankan bahawa hasratnya untuk bersama-sama Bersatu bukan didorong faktor “orang lain turut menyertainya”.

“Saya menyertainya bukan untuk rancangan atau agenda peribadi... bukan budaya saya. Bagi saya, ia adalah penyertaan sokongan, saya telah melaksanakannya semasa membantu PH memenangi PRU14,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perdagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata pihaknya melahirkan kelegaan atas nasihat yang dibuat Daim.

“Komen (Tun) Daim adalah bijak, penuh kewarasan dan bertanggungjawab, selari dengan tugas beliau sebagai penasihat kerajaan.

“Budaya mengutuk, mengata dan mengumpat perkara lama tidak mengguntungkan kerajaan yang baharu, lebih-lebih lagi dengan konsep keterbukaan yang diamalkan di dalam Parlimen, ditambah apabila setiap orang yang memiliki telefon pintar dapat mengakses pendebatan anggota parlimen,” katanya.

Moehamad Izat berkata, walaupun setiap maklumat diperkatakan adalah betul, rakyat sudah mula muak dan jemu dengan kata-kata yang tiada perubahan.

“Kita juga melihat pertandingan di dalam empat parti di dalam Pakatan Harapan yang kita kurang faham. Datang berpasukan, berjuang berlawan-lawan, tetapi yang mana satu boleh dijadikan amalan?,” katanya.

Apa yang penting, menurut bekas Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia itu adalah jelas bahawa Malaysia mahukan kebaikan dan kemajuan malah Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang masih diperlukan untuk mengelakkan perpecahan.

Penasihat Korporat Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata rakyat sudah mula jemu dengan tindakan menyalahkan banyak pemimpin terdahulu yang amat mengecewakan.

"Kita perlu mengkaji dan menyemak semula, melaksanakan pembaharuan serta bangkit dengan pantas di semua peringkat pembangunan sosio-ekonomi dan politik, manakala kerajaan perlu merancang untuk era masa kini, dan masa depan perlu diberikan teras yang kukuh,” katanya.

Ramon, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, menjelaskan Daim merupakan antara beberapa pemimpin ulung yang boleh memberitahu kerajaan mengenai apa yang perlu dilaksanakan dan didengar.

“Golongan yang merasakan mereka sahaja yang betul dan pelampau perlu diasingkan untuk kita bergerak maju sebagai Malaysia baharu yang lebih bersatu dan progresif,” katanya.

Friday, November 9, 2018

PEMIMPIN PH BERTELAGAH MENGENAI ICERD

KODIANG, 9 Nov (Bernama) -- Tiada keperluan untuk negara menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Ini kerana ia tidak bersesuaian dengan situasi 'unik’ di negara ini, kata Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah.

“...dan kalau kita faham bahawa tujuan ICERD ialah untuk memberi kesamarataan bagi masyarakat minoriti. Tapi dalam negara kita ini, kita mempunyai satu keadaan yang agak unik, (di mana) pihak agak terpinggir daripada arus pembangunan perdana adalah masyarakat majoriti, jadi tak sama dengan asas wujudnya ICERD itu.

"Jadi kita tidak perlulah nak meminjam satu dasar dari negara asing yang tidak mengambil kira persekitaran yang wujud dalam negara kita," katanya selepas menyerahkan bantuan kepada 110 pelajar sekitar parlimen Jerlun yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Sehubungan itu beliau berharap agar kerajaan menilai sedalam-dalamnya perkara itu bagi mengelak daripada melanggar perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan selama ini.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum masing-masing dengan kepentingan tertentu.

-- BERNAMA

Thursday, November 8, 2018

MUNAFIK 2 KUTIP RM37.7 JUTA JUALAN TIKET TERTINGGI TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Semua sektor perlu memberikan input bagi memberi dorongan kepada industri filem tempatan di Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perlu ada gabungan buah fikiran berbeza untuk memajukan lagi industri itu.

Bagaimanapun, katanya terdapat isu dan masalah di semua peringkat yang perlu ditangani.

“Inilah cabarannya dan kita perlu tanganinya,” katanya dalam catatan di Twitter beliau hari ini, sebagai respons terhadap cadangan seorang pengguna Isk Aziz @iskaziz untuk meningkatkan lagi industri filem tempatan yang akhir-akhir ini mencatatkan siri kejayaan “box-office’

Isz berkata: “Dalam memberikan galakan, sekiranya kerajaan berhasrat memberi perhatian lebih serius terhadap industri filem, dengan itu ia perlu diselia oleh mereka yang berpengalaman dan berorientasikan perniagaan”. Gobind Singh bersetuju dengan pendapat Isz berhubung perkara itu.

Menurut laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), antara filem yang mencatatkan jualan tiket tertinggi setakat ini pada tahun ini ialah Munafik 2 (RM37,738,463.83), Hantu Kak Limah (RM36,231,126.77) dan KL Special Force (RM12,216,321).

-- BERNAMA

Wednesday, November 7, 2018

BERI PANDANGAN UNTUK SELESAIKAN ISU SUBSIDI PETROL BERSASAR

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) – Jangan sekadar memberi kritikan ‘kosong’ tentang pelaksanaan mekanisme baharu subsidi petrol bersasar, sebaliknya salurkanlah teguran serta pandangan ke arah penyelesaian isu terbabit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kritikan membina itu mungkin dapat membantu kerajaan yang kini sedang berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mencari kaedah paling sesuai merangka mekanisme subsidi bersasar terbaik supaya pemberiannya kelak akan lebih lancar kepada golongan terlibat.

“Kritikan dan teguran (daripada mana-mana pihak) boleh tetapi adalah lebih baik beri juga kaedah penyelesaiannya (mekanisme subsidi petrol bersasar).

“Berilah kami dua ke tiga bulan untuk mewujudkan mekanisme tersebut. Kami harap pengusaha stesen minyak, syarikat petrol dan persatuan pengguna boleh salurkan maklumat kepada kerajaan dalam isu ini kerana ia penting supaya penyaluran subsidi lebih telus,” katanya dalam satu sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke kilang coklat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, di Seksyen 15, di sini hari ini.

Tambah beliau, mekanisme baharu subsidi petrol bersasar itu dijangka dapat dilaksanakan seawal April depan dan jika ia memberi impak positif, kerajaan mungkin akan menggunakan kaedah sama ke atas barangan lain bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lepas, kerajaan akan memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,300cc dan ke bawah atau pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Melalui mekanisme itu, subsidi petrol RON95 ditetapkan sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan seramai empat juta pemilik kenderaan dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga sedang menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat termasuk pemain industri makanan dalam meneroka kaedah baharu menurunkan harga barang bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata setakat ini, beberapa syarikat menyatakan kesediaan mereka untuk berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan harga terutamanya makanan dengan kerajaan memandangkan 30 peratus perbelanjaan rakyat adalah ke atas jenis barangan berkenaan.

“Banyak syarikat menunjukkan minat dan mahu bantu kerajaan dalam menentukan harga barang yang munasabah kepada rakyat. Kita sedang kenal pasti dan akan adakan rundingan lanjut selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, November 6, 2018

SHUIB DISENGAT 170,000 EKOR LEBAH SELAMA 30 MINIT



MELAKA : Menahan kesakitan selama 30 minit akibat disengat puluhan ekor lebah amat berbaloi bagi selebriti ter­kenal, Shuib Sepahtu serta Pab­lo Amirul untuk mencatatkan nama mereka dalam Malaysia Book of Records semalam.


Dengan 340,000 ekor lebah menghurung tubuh mereka, kedua-duanya berjaya mengharungi ‘Cabaran Orang Le­bah’ sekali gus mencatatkan rekod bagi Jumlah Terbesar Bilangan Lebah Pada Badan Manusia (Lelaki).


Cabaran itu dijayakan di Galeri Lebah Melaka, Ayer Keroh di sini yang turut dipantau dua pegawai daripada Malaysia Book of Records, sepasukan pegawai perubatan bersama ambulans serta disaksikan oleh orang ramai.

Shuib atau nama sebenar­nya, Shahmira Muhammad ketika ditemui bersyukur ke­rana tidak mengalami kece­deraan serius walaupun di­sengat puluhan ekor lebah.

Katanya, setiap daripada mereka perlu mengatasi jumlah 100,000 ekor lebah setiap seorang bagi meletakkan nama dalam rekod berkenaan dan mereka berjaya mencatatkan 170,000 ekor le­bah pada tubuh masing-masing.

“Perasaan sukar digambarkan. Pelbagai perasaan timbul dan ia seperti berada di dunia lain. Namun, syukur saya berjaya mengatasinya de­ngan sokongan pelbagai pihak termasuk isteri, keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Tambah Shuib, beliau me­­milih untuk melakukan cabaran itu kerana ia berkaitan dengan perniagaan madu lebah yang dijalankan di bawah syarikat Madu Tiga Sdn. Bhd. bersama dua lagi rakan kongsi, Badrul Hisham Sharif dan Nor Ashikin Ismar.

“Saya berhasrat meletakkan perusahaan madu ini ke satu tahap lain dan membantu mengkomersialkan madu yang mempunyai banyak manfaat kepada manusia,” ujarnya yang juga Pengarah Urusan Madu Tiga Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pablo Amirul yang hampir pitam selepas melakukan aksi berbahaya itu berbangga kerana berjaya meng­atasi cabaran dihurung kira-kira 170,000 ekor lebah pada badannya dan diiktiraf sebagai ‘Orang Lebah’.


Monday, November 5, 2018

NASIR TUBUH NGO BANTU KASTAM TANGANI AKTIVITI PENYELUDUPAN



KOTA BHARU, 5 Nov (Bernama) -- Bekas Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Datuk Mohd Nasir Yusoff akan menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu jabatan itu menangani aktiviti penyeludupan di negeri ini.

Mohd Nasir berkata NGO berkenaan akan dikenali sebagai Majlis Pencegahan Penyeludupan Sempadan merupakan agenda utama beliau selepas memulakan persaraannya bermula hari ini.

“Badan ini akan bekerjasama dengan agensi lain di sempadan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras.

“Ia juga akan memainkan peranan memberi penerangan kepada masyarakat di negeri ini tentang bahayanya aktiviti penyeludupan dan kesannya kepada ekonomi negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Paluan Berundur Pengarah JKDM Kelantan di pejabatnya di Padang Bongor di sini, hari ini.

Mohd Nasir bersara wajib hari ini selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam JKDM termasuk empat tahun sebagai Pengarah JKDM Kelantan.

Timbalan Pengarah JKDM Kelantan (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Muhamad Zubli Din kini memangku tugas sebagai Pengarah JKDM Kelantan.

Sementara itu, katanya JKDM Kelantan menunjukkan prestasi yang baik sepanjang beliau berkhidmat di negeri ini apabila berjaya meningkatkan penguatkuasaan, tangkapan dan kes rampasan selain kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kutipan cukai berkenaan bagi Kelantan sejak ia diperkenalkan kembali oleh kerajaan bermula 1 Sept lepas.

“Saya berterima kasih kepada semua anggota yang telah bertugas dengan jujur dan penuh integriti di lapangan sepanjang saya memegang jawatan pengarah,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, November 4, 2018

PEMIMPIN PH JANGAN GUNAKAN JAWATAN UNTUK KAYAKAN KELUARGA

KUALA KANGSAR, 4 Nov (Bernama) – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan kerajaan pada hari ini agar belajar daripada kesilapan pentadbiran terdahulu kerana rakyat sedia menolak pemimpin yang menyalah guna kuasa.

Sultan Nazrin bertitah rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk anggota keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

“Belajarlah daripada kesilapan mereka yang terdahulu. Amat hampalah rakyat, jika pilihan yang baharu, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena ulang tahun ke-62 keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Raja Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah budaya politik pasca 61 tahun merdeka menuntut kepada menu dan resepi baharu dalam persekitaran politik yang baharu.

Titah baginda, para pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera.

“Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan atau lebih Iban selain persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan.

“Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar,” titah baginda.

Baginda bertitah rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, pemimpin yang lebih amanah.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak – tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, kesaksamaan kaum, kesaksamaan agama, kesaksamaan wilayah,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan perkhidmatan persosial yang penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, pengangkutan awam yang meringankan tanggungan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik yang dilengkapi kemudahan rekreasi dan sosial.

“Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.

-- BERNAMA

Saturday, November 3, 2018

RM100 JUTA MAMPU RANCAKKAN IKS



TANAH MERAH, 3 Nov (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun Nasional) yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2019 diyakini mampu merancakkan pembangunan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negara.

Pengerusinya Datuk Seri Mohammad Suparadi Md Noor berkata IKS harus diperluas dan bantuan kerajaan diperlukan bagi membantu penggiat industri meningkatkan kualiti, kemahiran dan teknologi dalam bidang masing-masing.

IKS perlu menjadi sektor sokongan kepada pertumbuhan industri utama negara kerana negara bukan lagi sekadar negara pengguna, katanya kepada pemberita selapas Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut dilancarkan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Khalid Tik.

Mengulas lanjut, Mohammad Suparadi berkata pihaknya akan memastikan peruntukan tersebut disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan khususnya dari segi program latihan, pembiayaan dan juga teknologi.


528 ORANG BACA BERITA APABILA PEMANDU BAS JADI EXCO

Berita "Apabila pemandu bas jadi Exco" mendapat rating tertinggi bagi bulan Oktober 2018 bagi blog ini dengan 528 hits.

10 rating tertinggi bagi bulan Oktober lalu ialah:-

1. Apabila pemandu bas jadi Exco (9 oktober)
2. Rumah untuk remaja hamil tanpa nikah dilancar di Terengganu (29 oktober)
3. 40 ahli parlimen Umno akan sertai Bersatu bukan cakap cakap kosong (28 oktober)
4. Kes sudah selesai tapi media yang hebohkan (31 oktober)
5. Whatsapp Rifdzul seakan sudah tahu beliau akan pergi (29 oktober)
6. PM sudah suruh Anthony Loke ambil tindakan tapi tak ada kemajuan (21 oktober)
7. Rakyat semua kaum tanpa kuota Bumiputra layak mohon rumah PPR (12 oktober)
8. Lokman Noor Adam sudah tiada modal (1 oktober)
9. Zahid perlu bercuti panjang pegang jawatan Presiden Umno (18 oktober)
10. Pemergian Saleem anak Terengganu yang sukar dicari ganti (14 oktober)

Friday, November 2, 2018

MASIH ADA HARAPAN PROJEK ECRL




KUALA TERENGGANU, 2 Nov (Bernama) – Keputusan kerajaan menggantung projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dan bukannya membatalkannya, memberi gambaran masih ada harapan projek itu dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh berkata beliau amat berharap penggantungan itu tidak akan mengambil tempoh yang terlalu lama.

"Ini kerana proses pembinaan telah pun dimulakan, ada bukit yang sudah ditebuk dan ada binaan yang separa siap. Jika dibiarkan dalam tempoh lama, kita khuatir ia akan menjadi lokasi tumpuan kegiatan tidak berfaedah seperti tempat maksiat.

"Lebih membimbangkan jika berlaku kecurian di tempat binaan tersebut kerana ia terbiar tanpa sebarang pengawasan serta berisiko berlaku kerosakan serta runtuhan yang akhirnya menyebabkan pembaziran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan agar projek ECRL itu dapat diteruskan secepat mungkin kerana ia memberi banyak manfaat terhadap pembangunan Pantai Timur.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mencadangkan kerja pembinaan ECRL berjumlah RM81 billion digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula.

Sementara itu, seorang pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Mohd Zulkohir Mohd Zaiki, 22, berkata beliau berharap projek itu tidak ditangguhkan terlalu lama kerana ECRL mampu memberi impak positif kepada golongan peniaga sepertinya.

"Dengan adanya ECRL, ia dapat memudahkan penghantaran produk saya terus kepada pelanggan di sebelah kawasan pantai Barat dengan cepat dan selamat.

"Sebelum ini saya mengedar produk dengan menggunakan perkhidmatan Poslaju atau syarikat kurier, namun ia mengambil masa yang lama serta menyebabkan risiko kerosakan pada produk hingga kadang-kala saya kehilangan pelanggan," katanya.

Seorang pekerja swasta, Haziman Rosli, 48, pula berkata rakyat Terengganu tidak perlu melatah dengan penangguhan itu kerana berpendapat kerajaan pusat telah memikirkannya dengan terperinci.

"Mungkin dalam tempoh penangguhan itu, kerajaan akan menaik taraf kemudahan jalan raya di negeri ini, lagipun ia bukanlah satu keperluan yang mendesak untuk ECRL dilaksanakan ketika ini," katanya.

-- BERNAMA



Thursday, November 1, 2018

TERENGGANU MULAKAN OPERASI SEKOLAH RENDAH ISLAM TAHUN HADAPAN



KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Bernama) -- Enam Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) seliaan kerajaan Terengganu akan diwujudkan bagi memantapkan lagi pendidikan sekolah rendah anak-anak negeri ini mulai Januari tahun hadapan.

Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata buat permulaan, SRIDI akan beroperasi di bangunan sedia ada milik kerajaan negeri di enam lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun; Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Kuala Nerus), Kampung Raja (Besut) dan Losong (Kuala Terengganu).

"Permohonan kemasukan mula dibuka hari ini hingga 30 Nov, namun sesi temu duga akan dijalankan untuk memastikan murid yang berkualiti sahaja diterima masuk ke SRIDI.

"SRIDI di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah antara manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, selepas ini lebih banyak SRIDI akan dibuka secara berperingkat termasuk Sekolah Menengah Islam di kawasan Parlimen pula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran 2018 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di sini hari ini