Thursday, August 8, 2019

NAJIB ARAH BLOGGER SERANG AHMAD HUSNI

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan seorang blogger supaya menyerang beliau bersama anaknya, sekitar hujung 2016, susulan ucapan beliau berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.

Saksi ke-56 pendakwaan itu berkata serangan berkenaan bermula dengan blogger, Raja Petra Kamaruddin didakwa membocorkan minit mesyuarat Majlis Ekonomi yang dihadiri oleh anaknya, Khalid Ahmad Husni, di catatan Facebook yang mendakwa Ahmad Husni marah dengan Najib apabila anaknya tidak mendapat projek konsesi lebuhraya bernilai RM2.7 bilion.

Pendedahan itu dibuat oleh Ahmad Husni dalam testimoni beliau semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-50 perbicaraan Najib, yang berhadapan dengan tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Antara lain Ahmad Husni berkata Najib juga berada di belakang tuduhan gangguan seksual yang dihadapinya pada 2016.

Muhammad Shafee: Bila anda dapat idea bahawa Najib ada di belakang tuduhan gangguan seksual terhadap anda

Ahmad Husni: Selepas bercakap di Parlimen pada 2016 (merujuk kepada insiden semasa persidangan Dewan Rakyat semasa beliau menuntut penjelasan berhubung pelaburan USD1 bilion (RM4.17 bilion) unit dalam Aabar Investment PJS Ltd).

Muhammad Shafee: Kemudian Najib tampil dengan idea ini

Ahmad Husni: Ia bukan sekadar idea, saya tahu.

"Selepas insiden itu, saya berada di rumah sebelum setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh datang dan berjumpa dengan saya sekitar pukul 10 malam. Shukry beritahu saya sukar untuk jumpa rumah saya, tapi oleh kerana arahan Najib, dia tetap perlu datang dan jumpa saya.

"Saya diberitahu Shukry bahawa Najib hendak bertemu dengan saya malam itu, tapi saya beritahu yang saya sangat letih.. dia beritahu saya bahawa Najib telah menghubungi Raja Petra (Kamaruddin) dan esok dia (Raja Petra) akan serang saya," katanya.

Semasa ditanya oleh Muhammad Shafee sekiranya beliau berjumpa dengan Najib untuk mengesahkan kebenaran perkara itu, Husni menjawab “Tidak”, dan menambah ada stu lagi insiden berhubung dengan serangan itu.

"Catatan Facebook oleh Raja Petra kemudiannya dilaporkan oleh Utusan yang merujuk kepada seorang bekas menteri terbabit dalam skandal. Saya hantar mesej kepada Najib, tanya dia “Apa ini”.

Beliau berkata Najib menjawab “Bincang dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan kemudiannya keesokkan harinya serangan itu terhenti.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya menceritakan pertemuannya dengan Nazri di Hotel Shangri-La.

"Nazri beritahu saya apa jua yang berlaku kepada Najib bukan dalam kawalan mereka, kerana kita hanya mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal,” katanya.

Ahmad Husni juga tidak bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee yang menyarankan bahawa ekoran serangan itu, beliau sedih dan marah dengan Najib.

"Saya tidak marah. Saya hidup untuk Umno, malah setiap hari saya berdoa agar tuhan bukakan pintu hati Najib untuk melihat kebenaran. Saya tidak pernah marah dengan Najib kerana dia hanya manusia biasa,” katanya dan menambah susulan tulisan Raja Petra, anaknya diberhentikan oleh syarikat berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok pada pukul 10 pagi.

-- BERNAMA

Wednesday, August 7, 2019

RAKYAT MALAYSIA DISERU BANTU PROF DR AB RAHIM ISMAIL

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM400,000 sumbangan diperlukan bagi menampung kos rawatan dan membawa pulang bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ab Rahim Ismail, (gambar) 62, yang masih koma di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki sejak 15 Julai lepas.

Perkongsian maklumat ini dibuat Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, iaitu ayah kepada bayi yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di laman Facebook peribadinya yang turut menyertakan poster berkaitan maklumat sumbangan itu, lewat hari ini.

“Sumbangan ikhlas untuk Prof Dr Ust Ab Rahim Ismail, Mantan pensyarah UKM & UIAM. Untuk makluman, Prof Ab Rahim sekarang sedang koma di Turki. Usaha untuk membawanya pulang sedang giat dilakukan.

“Perbelanjaan untuk membawa pulang dan baki kos rawatan yang sedang berjalan di sana sekarang adalah sebanyak RM400,000.

“Saya harap, kita semua dapat membantu seorang sedikit dalam usaha membawa Prof Ab Rahim yang ketika ini diuji supaya dapat pulang dan dirawat di Malaysia.

“Saya bantu berkongsi hantaran Facebook ini sebab dahulu ramai orang telah membantu menjayakan proses rawatan Ainul Mardhiah. Kini, giliran saya pula berbakti sekadar kemampuan saya kepada orang yang memerlukan.

“Anda boleh share post ini ya! Terima kasih tuan puan semua. Insha-Allah, perbuatan baik kita pada hari ini, Allah akan memberi ganjaran yang setimpal kepada kita, jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak. #Sila Share,” tulis Safiuddin.

Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan menantu pensyarah itu, Muhamad Fikri Aziz, 33, Ab Rahim terbang ke Turki bagi menghadiri jemputan khas satu majlis konvokesyen di sana dan selepas urusan rasmi berkaitan majlis itu tamat, Ab Rahim makan angin di sekitar Denizle.

Menurutnya, ketika bersiar-siar, Ab Rahim tiba-tiba terkena serangan jantung dan rebah sehingga kepalanya terhentak di atas lantai yang menyebabkan kecederaan di bahagian otaknya.

Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank di nombor akaun 512268522574 milik Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah.

Sebarang pertanyaan mengenai sumbangan ini boleh berhubung dengan Muhamad Fikri di talian 016-6190395 atau Nadhila Ab Rahim di talian 012-3516317.

-- BERNAMA