Tuesday, August 1, 2017

KEDAI COKLAT DISERANG PADA HARI PELANCARAN ZON BEBAS CUKAI TASIK KENYIR

HULU TERENGGANU, 1 Ogos (Bernama) -- Kedai coklat diserang orang ramai selepas majlis pelancaran jualan zon bebas cukai Tasik Kenyir. Dalam masa yang singkat semua kedai yang menjual coklat kehabisan bekalan.

Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Hulu Terengganu hari ini memulakan operasi fasa pertamanya di Pengkalan Gawi dengan pembukaan tujuh lot kedai, empat kiosk pelbagai barang serta lima unit kedai makan.

Ia sebagai permulaan jualan barang bebas cukai sebelum fasa seterusnya di Pulau Bayas dan Pulau Poh beroperasi sepenuhnya akhir tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ketika ini terdapat dua operator jualan yang beroperasi iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd yang menjual pinggan mangkuk, coklat, barang kulit, wangian dan cenderamata.

"Satu lagi operator ialah Onine Alliance (M) Sdn Bhd yang menjual produk makanan timur tengah, makanan Terengganu dan barang cenderamata berkaitan Tasik Kenyir. Insya-Allah dijangka operator jualan akan bertambah dari semasa ke semasa, "katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi di sini Selasa.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman.

Pada 14 Dis 2015 permohonan pewartaan Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai diluluskan secara bersyarat oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Serentak dengan itu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dilantik sebagai Pihak Berkuasa Zon (PBZ).

Pewartaan rasmi Zon Bebas Tasik Kenyir dibuat pada 27 Jan 2017 yang melibatkan kawasan seluas 65,650 hektar merangkumi kawasan badan air (tasik), 339 buah pulau dan Pengkalan Gawi.

Ahmad Razif berkata penjualan yang bermula hari ini melibatkan aktiviti peruncitan yang tidak termasuk barang berduti tinggi seperti produk petroleum, kenderaan, produk minuman alkohol dan rokok termasuk tembakau.

"Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir ini akan saling melengkapi tarikan pelancongan sedia ada seperti Kenyir Island Hopping (KlH), Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) dan kerajaan negeri fokus untuk terus menjadikan Tasik Kenyir sebuah destinasi premium dan 'destinasi wajib lawat' di Terengganu, "katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata Tasik Kenyir bukan sahaja menjadi hab pelancongan dan pertanian tetapi berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi pantai timur.

"Kalau kita lihat daripada jumlah pengunjung pada Januari hingga Jun 2017 adalah seramai 269,512 orang berbanding 247,089 pada tempoh yang sama pada tahun 2016 dan menunjukkan peningkatan sebanyak 8.32 peratus.

"Kita percaya operasi jualan ini akan menyemarakkan lagi pelancongan Terengganu yang secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat dan rakyat negeri ini amnya," katanya.

Kehilangan hasil hampir RM1.2 bilion setahun akibat kejatuhan harga petroleum yang merupakan hasil utamanya, sejak dua tahun lalu, mendorong Terengganu menjana pendapatan alternatif dari industri pelancongan.

Petroleum sebelum ini menyumbang 85 peratus kepada pendapatan tahunan negeri.

Sehubungan itu, untuk menampung pendapatan negeri yang menurun, tarikan pelancongan Tasik Kenyir akan dimanfaatkan sepenuhnya, kata Ahmad Razif.

Oleh itu Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir bakal mencipta sejarah menjadi lokasi percutian yang lengkap dengan pakej menikmati alam semulajadi bersama peluang membeli belah.

"Kita perlu bekerja keras menjana sumber pendapatan alternatif untuk negeri iaitu melalui pelancongan dan Tasik Kenyir adalah salah satu aset berharga yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya," katanya
.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment