Wednesday, January 31, 2018

"PAK ALI YANG SAYA KENALI" DIBACA 1448 ORANG

Blog ini mencatat sejarah menerima hits tertinggi 1448 hits bagi tahun ini dengan posting "Pak Ali yang saya kenali" yang disiarkan pada 10 Januari lalu. Pak Ali bukan MB. Pak Ali juga bukan ahli parlimen atau ADUN tetapi wira yang tak didendang ini bekerja untuk UMNO tanpa mengharapkan balasan menarik minat pembaca.

10 rating tertinggi bagi Januari 2018 adalah seperti berikut:-

1. Pak Ali yang saya kenali (10.1) - 1448 hits
2. Kehadiran 15,000 orang bukti Dato Seri Rahim mampu tawan DUN Chukai (28.1)
3. PM beramah mesra dengan Najib Razak (9.1)
4. Grup whatsapp KK bantu keluarga miskin (6.1)
5. Idris yakin BN di tangan Razif menang lebih besar (20.1)
6. Laili Omar direman kerana hina MB? (22.1)
7. Yang Dipertuan Muda lawat mangsa banjir Kemaman (5.1)
8. Capaian internet di PDM Terengganu mesti bersiapsiaga (14.1)
9. Grup KK sertai JKKK Bukit Mentok program pasca banjir (8.1)
10. Petugas media di Terengganu diminta sokong agenda TTB (25.1)

KELAB SAHABAT NAJIB 87 AKAN TERUS BANTU BN

KOTA KINABALU, 31 Jan (Bernama) -- Kelab Sahabat Najib 87 (N87) Malaysia akan terus membantu menawan hati pengundi bagi memastikan kemenangan semua kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bendahari N87 Malaysia Datuk Abdul Fattah Iskandar berkata semua anggota kelab itu di seluruh negara telah dimaklumkan untuk membantu BN memenangi PRU14.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan N87 Zon 2 (Penampang, Putatan dan Sepanggar) di sini malam tadi. Turut hadir, Pengerusi N87 Sabah Zahari Mohd Zinin dan Pengerusi N87 Sepanggar Datuk Jumat Idris yang juga Anggota Parlimen Sepanggar.

Abdul Fattah berkata kelab itu kini mempunyai kira-kira 3,000 anggota di seluruh negara yang kebanyakannya adalah orang lama dalam politik dan telah bersara.

Mengulas mengenai pelancaran N87 Zon 2, Abdul Fattah berkata ia adalah susulan pelancaran di Tawau dan Sandakan baru-baru ini.

"Setakat ini Sabah mempunyai kira-kira 300 orang anggota dan saya berharap semua anggota akan membantu BN memenangi PRU14 di kawasan masing-masing.

"Selepas ini kita akan melancarkan penubuhan kelab ini di beberapa lagi bahagian di Sabah," tambahnya.

Kelab berkenaan yang ditubuhkan pada 3 Mei 2016 bertujuan menghimpunkan semua bekas anggota Pergerakan Pemuda UMNO yang sezaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari tahun 1980 hingga 1993.

Tuesday, January 30, 2018

SISTEM PRU YANG SAMA ANGKAT MAHATHIR JADI PM SELAMA 22 TAHUN



KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Pertemuan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan duta dan wakil dari negara Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini dilihat sebagai cubaan mendapatkan sokongan pihak luar sekiranya keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti tidak memihak kepada pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana menteri berkata pertemuan itu diadakan kerana pembangkang kini berada dalam keadaan tersepit kerana tidak mempunyai peluang dalam negara ini dan terpaksa mendapatkan sokongan pihak luar.




"Mereka terpaksa menggunakan kuasa asing, mengadu kepada kuasa asing dengan harapan bahawa apa-apa keputusan yang bakal berlaku dalam PRU nanti boleh dianggap sebagai sesuatu yang boleh dipertikaikan.




Mereka mahu timbulkan kontroversi dan mereka mahu mainkan (sentimen) rakyat kononnya sistem (pilihan raya) kita ini tidak adil," kata presiden UMNO itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti berkenaan di sini hari ini.




Beliau mengulas pertemuan Dr Mahathir yang disertai beberapa lagi pemimpin pembangkang dengan 14 duta dan tiga wakil negara EU di ibu negara pada 26 Jan lalu.




Dalam pertemuan itu, pembangkang dilaporkan menggesa negara-negara Eropah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa untuk PRU14.




Najib seterusnya berkata Dr Mahathir perlu sedar bahawa sistem pilihan raya yang diamalkan negara ketika ini adalah sistem yang sama yang telah mengangkatnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun.




Justeru, beliau berkata adalah aneh untuk pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengkritik sistem pilihan raya negara apatah lagi ia hari ini telah diperkukuh menjadi lebih telus. "Kita ada polling agents (ejen pengundian), kita ada counting agents (ejen pengiraan undi) dan kita ada sistem dakwat dan sebagainya, jadi peluang untuk menipu boleh dikatakan tiada langsung. Macam mana mereka boleh kata bahawa PRU tidak adil.




"Soalnya kenapa selama 22 tahun dia (Dr Mahathir) tidak merungut sistem SPR pada masa itu... dan sistem itulah yang sama kita amalkan pada hari ini malah lebih baik daripada dulu," ujar perdana menteri.




Dalam pada itu, Najib mempersoal keupayaan PPBM untuk mengambil alih peranan UMNO dan Barisan Nasional mentadbir negara sedangkan parti yang baharu ditubuhkan itu dilihat berdepan konflik dalam pengurusannya.




"Kalau diambil dari segi prinsip perlembagaan parti, kalau kita mahu buat perlembagaan sendiri kita kena patuh kepada perlembagaan kita. Tetapi saya diberitahu bahawa di peringkat cawangan, di peringkat bahagian mereka (PPBM) tidak menjalankan mesyuarat tetapi di peringkat nasional ada perhimpunan.




"Kita tidak tahu daripada mana perwakilan itu datang dan bagaimana mereka pilih perwakilan ke perhimpunan di peringkat nasional itu," katanya.




-- BERNAMA

Monday, January 29, 2018

ISTIMEWA IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK SURIA HOT SPRING BENTONG

BENTONG, 29 Jan (Bernama) -- Sudah menjadi satu kemestian buat sesiapa sahaja yang singgah di Pahang untuk mencuba sajian 'Ikan Patin Masak Tempoyak', yang sinonim dengan negeri itu.

Kelembutan isi ikan yang segar dicampur pula dengan kuah tempoyak yang sedikit berlemak, menjadikan hidangan itu sangat istimewa sehingga ada yang sanggup memandu berjam-jam semata-mata untuk merasai keaslian masakan ikan eksotik itu.

Dari warung tepi jalan sehinggalah restoran bertaraf bintang, pasti hidangan itu tidak terlepas
daripada menjadi pilihan pengunjung.

Menyedari ramai yang 'memburu' hidangan itu, eRYA By SURIA Hot Spring Bentong turut tidak ketinggalan dalam menyediakan sajian itu yang kini menjadi hidangan identiti di Restoran Bunga Padi milik resort itu.

Pembantu Tukang Masak eRYA By SURIA Hot Spring Bentong, Mohd Fadzli Mohamad Suhaimi berkata, pihak resort mementingkan kualiti ikan patin bagi mengekalkan rasa segar dalam hidangan.

"Keenakan masakan ini bergantung kepada kesegaran ikan patin dan pihak resort hanya menggunakan ikan sangkar yang diambil dari Temerloh dan tidak berbau hanyir lumpur, " katanya.

"Kuahnya pula bergantung kepada rasa tempoyak dan kami menggunakan durian kampung yang didapati di sekitar kawasan resort, " tambahnya.

Fadzli berkata, kuahnya tidak terlalu pekat bagi memberi keseimbangan rasa dan untuk mereka yang pertama kali mahu mencuba, ia tidak terlalu 'sarat' dengan rasa tempoyak.

Menariknya di Suria Hot Spring Bentong, sajian itu hanya akan disediakan mengikut permintaan bagi memastikannya dihidangkan panas kepada pengunjung.

Ditambah pula dengan gabungan nasi putih, ulam-ulaman dan air jus markisa, ia pasti membuka selera sesiapa sahaja.

Dengan hanya RM25 semangkuk, pengunjung boleh menikmati sajian itu, yang pasti memberi kelainan rasa dengan taburan daun kesum dan aroma bunga kantan yang menyelerakan.

Beliau berkata bagi tetamu yang datang secara berkumpulan dan ingin menikmati menu istimewa itu, pihak resort boleh menyediakan hidangan itu mengikut kuantiti yang diperlukan.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat dan membuat tempahan dengan menghubungi Suria Hot Spring Resort di talian 09-2210200 atau layari laman sesawang www.eryabysuria.com.

-- BERNAMA

Sunday, January 28, 2018

"GEMPUR TUMPUAN EMPAT P" AKAN DILANCAR SEGERA

DUNGUN, 27 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu bertekad memberi tumpuan sepenuhnya untuk merampas kembali empat kawasan parlimen yang kini diwakili pembangkang, dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program 'Gempur Tumpuan Empat P' akan dilancarkan dalam tempoh masa terdekat.

"Kita akan lancarkan program itu bermula di Parlimen Kuala Terengganu, diikuti Parlimen Kuala Nerus, Parlimen Marang dan akhir sekali Parlimen Dungun.

Jadi keempat-empat parlimen itu kita akan memberi tumpuan sepenuhnya kerana kita yakin dan nampak potensi serta peluang mendapatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen amat cerah sekali. Kita juga tidak akan mengabaikan kawasan yang telah kita menangi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Semarak Kasih Kepimpinan UMNO DUN Bukit Besi di sini yang turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah, Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Rosli Daud dan Ketua Bahagian UMNO Dungun Datuk Din Adam.

Ketika ini BN menguasai empat parlimen iaitu Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala empat lagi (Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun) milik pembangkang.

Ahmad Razif berkata, anggota UMNO dan BN akan bekerja keras dengan menggunakan konsep perpaduan dan bersepadu melibatkan semua jentera yang akan digandingkan serta mendapat bantuan daripada UMNO dan BN pusat.

"Hari ini kita mendapat bantuan daripada Prof Dr Ibrahim Abu Shah, yang merupakan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia, telah datang ke sini dan secara tidak langsung kita mendapat bantuan daripada UMNO pusat untuk memastikan Bukit Besi memperolehi majoriti yang lebih besar bagi membantu memenangi Parlimen Dungun," katanya.

Mengenai DUN Bukit Besi, Ahmad Razif yang turut melancarkan jentera Jalinan Rakyat (JR), beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya momentum pergerakan parti dan sambutan masyarakat sangat baik.

"Bila kita melihat kepada kekuatan dan program-program yang dijalankan, saya yakin bahawa Bukit Besi kita akan memperolehi majoriti yang lebih baik kerana di sini tidak mempunyai isu yang berbangkit," katanya.

-- BERNAMA

KEHADIRAN 15,000 ORANG BUKTI DATUK SERI RAHIM MAMPU TAWAN DUN CHUKAI




KEMAMAN: Sabtu lalu majlis perkahwinan anak Ketua Pegawai Eksekutif Tulangis Maju Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin, Mohd Hakimi Ikmal, 24, dengan penyanyi Mentor Melania 2017, Balqis, 19, di Dewan Seri Amar di sini amat meriah.

Kira kira 15,000 orang terdiri dari pelbagai kaum  menghadiri majlis sambut menantu itu yang  mungkin mencatat kehadiran yang teramai di Terengganu.

Pemerhati politik berpendapat jika Datuk Seri Rahim yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman itu dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Chukai, beliau akan menang besar. Beliau adalah satu-satunya calon yang mampu merampas kembali kerusi DUN tersebut dari tangan PAS yang mana calon BN kalah dengan majoriti 2,400 undi pada tahun 2013.

Malah ADUN Chukai, Hanafiah Mat yang turut hadiri majlis tersebut mengakui berdasarkan kehadiran ini jika Datuk Seri Rahim jadi calon, BN berjaya rampas kerusi DUN Chukai.

Dalam sidang akhbar,  Balqis berkata beliau dan pasangannya bersedia jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

Bagi Balqis  dan suaminya, Mohd Hakimi Ikmal , kehadiran cahaya mata akan menambahkan lagi rezeki sebagaimana keputusan yang diambil mereka untuk mendirikan rumahtangga pada umur yang masih muda.

"Tak salah kahwin muda sebab ia akan murahkan rezeki kita dan kalau ada anak, lagi rezeki bertambah.

"Jadi Balqis dan suami tak merancang, kalau ada rezeki untuk timang cahaya mata awal, kami bersedia dan kalau ada anak sekalipun nanti, ia tak akan jejaskan tumpuan Balqis pada karier," kata Balqis pada majlis resepsi bagi pihak lelaki itu yang diadakan di Dewan Seri Amar, Chukai, di sini.

Balqis atau nama sebenarnya, Nor Balqis Ahmad Tajudin diijabkabulkan dengan Hakimi yang juga seorang ahli perniagaan dalam satu majlis yang cuma dihadiri keluarga dan rakan terdekat pada 30 November lalu di The Regency Waterfront Kuala Terengganu.

Kata Balqis lagi, keputusan untuk berkahwin awal juga agar hubungan mereka lebih manis dipandang kerana mereka berdua yang berasal dari Kemaman telah mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun lalu.

Suami Balqis juga jenis yang sangat memahami kerjaya seni Balqis, dia tak halang karier selagi tak melebihi batas," katanya.

Malah, menurutnya, sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada suami tersayang itu juga dia akan melebarkan lagi karier seninya dengan terjun ke bidang lakonan pula pada bulan depan.

Tambah Balqis, dia akan berlakon dalam drama rantaian untuk TV3 yang akan menjalani penggambaran pada Februari ini.

Dalam pada itu, selepas hampir dua bulan bergelar isteri, Balqis berkata, tugas sebagai suri rumah termasuk memasak dilakukan sendiri bagi mengeratkan lagi ikatan suami isteri yang baharu terbina.

"Banyak perubahan yang Balqis rasa selepas nikah, ia jadikan Balqis lebih matang. Walaupun selepas ini Balqis akan lebih sibuk dengan karier seni, namun keutamaan tetap pada suami," katanya.

Balqis juga meluahkan rasa terharu apabila majlis resepsi itu dibanjiri kira-kira 15,000 tetamu termasuk peminat yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihatnya dan suami berada di atas pelamin.

"Sebenarnya perasaan Balqis bercampur baur, Balqis rasa bertuah, gembira dan bersyukur kerana ramai yang hadir termasuk peminat.

"Tapi Balqis juga sedikit kecewa dan terkilan kerana ayah Balqis baru meninggal dunia pada 11 Januari lalu, arwah ayah nak sangat berada di sisi Balqis pada hari bersejarah ini tapi tak sempat," katanya sebak.

Sementara itu, bapa mertua Balqis, Datuk Seri  Rahim Hussin  berkata, pihaknya tidak menghalang Balqis meneruskan karier seninya namun ada batas yang perlu dijaga kerana Balqis sudah bergelar seorang isteri dan pada masa akan datang akan jadi seorang ibu.

"Saya sebenarnya sudah anggap Balqis seperti anak sebab saya dengan arwah ayah Balqis adalah kawan baik, saya pun tak sangka anak saya berkenan pada Balqis dan saya terima pilihan anak seadanya," katanya.

Mohamed Rahim turut meluahkan rasa gembira dengan kehadiran kira-kira 15,000 tetamu pada majlis berkenaan yang dianggap sangat ramai biarpun cuaca hujan.

Lebih menggembirakan, katanya, kehadiran ramai tetamu kaum Cina menyerikan lagi majlis itu dan menyerlahkan semangat 1Malaysia kerana sejak dahulu keluarga beliau rapat dengan masyarakat Cina seperti saudara mara sendiri.

Resepsi yang bertemakan 'Megat Panji Alam' iaitu pahlawan terbilang Terengganu berkenaan menyaksikan Balqis dan Hakimi anggun mengenakan busana pengantin berona kuning dan paling istimewa pasangan mempelai dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan rakan Balqis sendiri, Usop Mentor dan Wany Hasrita.

Friday, January 26, 2018

PEMUDA AMERIKA SYARIKAT PILIHAN YUNA

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pada jam 7 petang hari ini, penyanyi antarabangsa Yuna telah sah menjadi isteri kepada Adam Yousof Mohamed Sinclair dengan hanya sekali lafaz.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, majlis yang diadakan di Puncak Rimba, Bentong ini disempurnakan oleh Ustaz Azmi dari Majlis Agama Bentong dan berwalikan bapa Yuna sendiri, Datuk Mat Zara'ai.

Yuna mulai berkenalan dengan Adam yang merupakan seorang pengarah pada tahun 2013 sebelum perhubungan mereka menjadi serius sehingga tali pertunangan diikat pada Ogos tahun lepas.

Majlis pernikahan kedua mempelai ini dihadiri oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-duanya dari Malaysia dan Amerika Syarikat.

--BERNAMA

Thursday, January 25, 2018

PETUGAS MEDIA DI TERENGGANU DIMINTA SOKONG AGENDA TTB

KUALA TERENGGANU, 25 Jan (Bernama) -- Petugas media di Terengganu diminta menyokong agenda Kerajaan Negeri melalui lapan prinsip dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) kerana ia adalah landasan tepat dalam membangunkan negeri ini menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata setakat ini, beliau berpuas hati dengan jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan petugas media dengan kedua-dua pihak saling memahami dan menyokong peranan dan tanggungjawab satu sama lain.

"Media sangat penting dalam menyalurkan maklumat tepat dan benar agar masyarakat dapat memahami sesuatu isu dengan sempurna supaya mereka tidak mudah dikelirukan dengan agenda pihak tidak bertanggungjawab.

"Dalam dunia teknologi tanpa sempadan, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi, sudah pasti cabarannya lebih sengit.

"Pelbagai maklumat tidak tepat akan disebarkan pihak yang mempunyai agenda tertentu, di sinilah kerajaan negeri berharap agar petugas media Terengganu terus bersama-sama memberi pendedahan sebenar supaya rakyat dapat menilai situasi yang betul hasil laporan yang disiarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Tabung Amanah Warisan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) dan makan malam bersama media bertema 'Kembali Ke Sekolah 2018' di sini, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles, Presiden KAWAT Wan Abdul Rahman Hayat dan lebih 170 petugas media di Terengganu.

Pada majlis itu juga, Ahmad Razif mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada KAWAT bagi tujuan pengurusan dan menyampaikan bantuan persekolahan kepada semua petugas media.

Sementara itu, Wan Abdul Rahman berkata KAWAT sentiasa berusaha bergerak seiring misi dan visi kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam membantu agenda pembangunan negara dan negeri khususnya.

"Kami sangat berterima kasih dengan kecaknaan Menteri Besar yang sentiasa peka dengan keperluan petugas media di negeri ini, terutama dalam menjaga kebajikan kami selama ini," katanya.

Beliau memberitahu tabung itu bertujuan menjaga kebajikan pengamal media yang menjadi anggota penerima manfaat tabung tersebut ketika ditimpa musibah agar dapat meringankan beban mereka.

Penyertaan adalah secara sukarela dengan yuran komitmen sebanyak RM50 manakala sumbangan bulanan hanya RM10 seorang.

-- BERNAMA

Wednesday, January 24, 2018

ANAK JATI TERENGGANU TERAJUI TUBE KEBANGSAAN


KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Amir Hakimin Che Razali dari Terengganu dilantik sebagai presiden pertama Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), yang menggabungkan 11 persatuan yang menyertai Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

Pelantikan itu dibuat hasil persetujuan kesemua 11 presiden persatuan itu pada mesyuarat yang diadakan semalam, katanya kepada Bernama hari ini.

Amir Hakimin, 27, yang juga Presiden Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (Patut) berkata penubuhan Tube Nasional penting bagi memudahkan proses pemantauan kemajuan anggota, pengurusan dan penyampaian bantuan kewangan untuk memastikan kejayaan usahawan belia.

Beliau berkata usahawan belia perlu melibatkan diri dalam ekonomi digital supaya selari dengan keperluan dan penerimaan pasaran semasa dunia selain mengekalkan ikatan antara alumni sejak Tube diperkenalkan SME Corp Malaysia pada 2014.

"Dalam perniagaan, hubungan erat antara rakan adalah penting dan penubuhan Tube Nasional membolehkan mereka mengekalkan hubungan dan menggalakkan perkongsian pengalaman antara peserta baharu dan alumni TUBE.

Beliau berkata seramai 1,516 usahawan belia Terengganu adalah antara 30,000 orang yang memohon menyertai Tube di seluruh negara tahun ini.

"Pada masa ini, seramai 4,433 usahawaan sudah pun menyertai Tube di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, Amir Hakimin berkata perkembangan positif itu menunjukkan golongan belia kini cenderung memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama berbanding pekerjaan 'makan gaji'.

"Selain pulangan yang lumayan, bidang keusahawanan juga menawarkan waktu fleksibel kepada mereka untuk berniaga mengikut keselesaan mereka. Perkara ini penting kerana peluang pekerjaan di sektor awam atau swasta secara relatifnya semakin mengecil dan berkurangan berbanding jumlah graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Kita juga mahu mereka meletakkan usaha dan minat dalam bidang perniagaan, sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain yang selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya golongan belia mengubah minda menjadi usahawan," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, January 23, 2018

JANGAN ASYIK BUAT LIVE VIDEO

KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar tidak terlalu obses untuk memuat naik 'live video' dalam media sosial apabila melihat berlaku kebakaran sehingga terlupa membuat panggilan kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata tindakan sedemikian bukan sahaja melambatkan penyampaian maklumat untuk menyelamat tetapi juga boleh mengundang kecelakaan yang tidak diingini.

"Apabila masyarakat lambat menghubungi talian kecemasan ketika kebakaran hanya kerana ingin memuat naik video secara langsung di Facebook, kemungkinan api akan merebak lebih besar.

"Jika mendapat panggilan awal mungkin pihak bomba boleh terus memadam kebakaran daripada merebak, berbanding mengawal kebakaran apabila api semakin marak sebelum memadamkannya," kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Bomba di sini hari ini.

Beliau berkata panggilan awal kecemasan akan dapat membantu mengelak kebakaran menjadi semakin marak, selain dapat menyelamatkan mangsa

Monday, January 22, 2018

LAILI OMAR DIREMAN KERANA HINA MB?

KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Bernama) -- Seorang kontraktor wanita berumur 45 tahun ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kenyataan terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menerusi media sosial.

Perintah tahanan reman dibenarkankan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Kuala Terengganu Noradila Abd Latif.

Kontraktor berkenaan, yang diwakili peguam Che Muhammad Amir, disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana meninggalkan komen jelik dalam laman Facebook Gabungan Anak Terengganu baru-baru ini.

Wanita berkenaan juga disiasat kerana membuat komen yang tidak baik terhadap Ahmad Razif menerusi satu kumpulan peribadi WhatsApp.

Sebanyak 30 laporan polis dibuat terhadap wanita berkenaan berikutan dua kenyataan itu.

Sunday, January 21, 2018

POLIKLINIK AKAN DIBINA DI LIMA KEM TENTERA

KUALA NERUS, 21 Jan (Bernama) -- Poliklinik akan dibangunkan di lima kem tentera dalam usaha meningkatkan mutu kesihatan dan rawatan untuk anggota tentera, keluarga mereka dan juga veteran, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata poliklinik yang perkhidmatannya menyamai sebuah hospital daerah itu masing-masing akan dibangunkan di kem tentera di Sungai Petani, Kedah; Seberang Takir dan Kuala Nerus, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

"Sebelum ini di kem ada pusat kesihatan dan pergigian...bila ada poliklinik ini kelak rawatan yang akan diberikan adalah lebih khusus di mana ada mesin dialisis dan sebagainya yang perkhidmatannya menyamai sebuah hospital daerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan jamuan petang Veteran Bersama Panglima Angkatan Tentera bagi Zon Timur, di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 500 anggota veteran Zon Timur itu turut dihadiri Panglima Medan Barat Tentera Darat Left Jen Datuk Azizan Md Delin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Mejar Jeneral Datuk Mohamd Khir Abdullah.

Saturday, January 20, 2018

52 PROGRAM CTU MANFAATKAN 163,000 PENGGUNA

HULU TERENGGANU, 20 Jan (Bernama) -- Sebanyak 52 Program 'Menghubung Menyatu' (CTU), yang bakal memanfaatkan 163,000 pengguna dan penduduk terutama di kawasan luar bandar, dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata pelaksanaan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu telah memanfaatkan hampir 403,000 orang selepas 78 program CTU diadakan sehingga kini.

"Sepanjang program CTU, sebanyak 38 menara telekomunikasi dibina di seluruh negara dan insya-Allah, kemudahan itu akan dibina di beberapa tempat lain dalam masa terdekat.

"Di Hulu Terengganu sahaja, sebanyak dua program CTU diadakan di Kampung Basung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan hari ini di Kampung Landas di DUN Ajil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program CTU di Kuala Berang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu turut menyampaikan sumbangan KKMM sebanyak RM10,000 masing-masing kepada 40 pemilik rumah daif di seluruh daerah Hulu Terengganu.

"Bagi program membaik pulih rumah itu, kami bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia. Mereka yang dipilih terdiri daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan," katanya.

Selain itu, sumbangan wang tunai dan barangan keperluan turut diberikan kepada 200 anak yatim dan ibu tunggal bagi meringankan beban mereka.

-- BERNAMA

IDRIS YAKIN BN DI TANGAN RAZIF MENANG LEBIH BESAR

BESUT, 20 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu mempunyai kekuatan tersendiri dalam memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata keistimewaan BN yang tidak dimiliki parti lain adalah bantuan untuk rakyat disalurkan secara berterusan dan tidak secara bermusim malah setiap janji yang dilafazkan pasti ditunaikan demi kebajikan rakyat.

Idris yang juga anggota Parlimen Besut memberikan contoh bahawa di Besut program Rumah Komuniti untuk golongan rakyat miskin telah dilaksanakan secara berterusan dan janji untuk membina 200 unit rumah itu telah tercapai.

"Begitu juga dengan aspek pendidikan di Besut, apa yang kita (BN) janjikan pasti dilaksanakan dengan pembinaan banyak institusi pengajian tinggi seperti Kolej Komuniti dan Politeknik - pada dasarnya rakyat lebih tahu apa perubahan positif yang dibawa BN kepada mereka selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Marang semalam yang menaruh keyakinan tinggi dapat memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Terengganu pada PRU14.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi yakin BN Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan dapat mencatatkan kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA

Friday, January 19, 2018

BERNAMA BERI JAMINAN BUAT LIPUTAN TERBAIK SEPANJANG PRU14

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Agensi berita negara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberi jaminan komitmen liputan terbaik dan penyampaian maklumat yang tepat, cepat dan objektif sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berlangsung.

Pengurus Besarnya Datuk Zulkefli Salleh berkata Bernama bersedia memainkan peranan penting dalam memberi input dan maklumat yang tepat kepada pengundi supaya mereka boleh membuat keputusan dan pilihan yang tepat pada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos itu.

"Dalam masa kempen nanti tentu ada bermacam-macam maklumat sehingga menyukarkan masyarakat untuk menilai mana yang benar dan tepat.

"Sebagai agensi berita, Bernama akan beri liputan terbaik kepada orang ramai dari segi menyampaikan berita dan maklumat yang cepat, tepat dan objektif melalui pengalaman pemberitaan lebih 50 tahun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2018 dan sesi 'Town Hall' bersama warga kerja Bernama di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.

Menurut Zulkefli, untuk mendapatkan perhatian masyarakat, pemberitaan Bernama haruslah lebih bersifat objektif dan tepat.

"Namun paling penting ia perlu cepat kerana dalam era digital, berita sampai kepada khalayak dengan cepat, kalau lambat masyarakat mungkin cenderung percaya kepada berita-berita kurang tepat yang disebarkan oleh pihak-pihak yang ada agenda tertentu dalam media sosial," katanya.

Zulkefli berkata berita Bernama disalurkan kepada pelanggan yang terdiri daripada akhbar, stesen televisyen serta radio tempatan.

"Selain itu, orang ramai boleh mengikuti berita Bernama melalui pelbagai saluran, antaranya menerusi laman web www.bernama.com, stesen televisyen Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio," katanya.

Terdahulu, ketika sesi town hall Zulkefli turut memperkenalkan slogan baharu pertubuhan itu iaitu 'Pastikan Benar' dan 'Semuanya Tentang Anda'.

-- BERNAMA

Thursday, January 18, 2018

TERENGGANU NEGERI PERTAMA GUNAKAN MYBAS ELEKTRIK


KUALA TERENGGANU, 18 Jan (Bernama) -- Terengganu menjadi negeri pertama yang menggunakan myBAS elektrik menerusi skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata operasi bas di Kuala Terengganu itu dijangka bermula April, merangkumi tujuh laluan utama dan satu laluan pengantara dengan jumlah keseluruhan jarak 235.9 kilometer.

"Langkah ini seiring dengan komitmen Malaysia untuk menurunkan kadar pelepasan karbon ke alam sekitar hingga 45 peratus pada 2030, dengan inisiatif penggunaan kenderaan cekap tenaga,? katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kontrak Pengendali Perkhidmatan dan Pra-Pelancaran myBas Kuala Terengganu antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan MARA Liner Sdn Bhd.

SPAD diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azharuddin Mat Sah manakala MARA Liner Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Operasinya Zahrail Affenday Mohamed dan majlis disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya program myBAS Kuala Terengganu melibatkan keseluruhan 30 bas, namun sebagai permulaan sebanyak 11 bas akan disediakan termasuk empat bas elektrik

TERENGGANU TAK LEPAS TANGAN ATASI MASALAH PENGANGGURAN


KUALA TERENGGANU, 18 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu sentiasa peka dan tidak pernah 'lepas tangan' dalam mengatasi masalah pengangguran dengan melakukan pelbagai inisiatif.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata dakwaan pemimpin PAS baru-baru ini, seolah-olah pimpinan kerajaan negeri menjadi punca masalah tersebut adalah tidak adil kerana ia turut melibatkan beberapa faktor lain termasuk kejatuhan harga besi dan minyak di pasaran dunia.

"Disebabkan kejatuhan harga dua komoditi utama dunia itu, semakin ramai pekerja Terengganu terutama di Kemaman diberhentikan kerana kilang yang terlibat dengan dua industri tersebut tidak lagi beroperasi.

"Ia menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi lebih tinggi daripada kadar nasional untuk tahun 2015 (4.0 peratus berbanding 3.2 peratus) dan pada tahun 2016 (4.2 peratus berbanding 3.4 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai siaran video oleh seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada PAS melalui laman Facebook baru-baru ini yang mendakwa kadar pengangguran di negeri ini adalah yang tertinggi di Semenanjung pada tahun 2016 dan ia berbeza dengan era pemerintahan PAS.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim berkata harga besi yang merudum ketika itu telah menyebabkan penutupan sepenuhnya kilang besi Perwaja di Kemaman pada tahun 2015.

"Ribuan pekerja telah diberhentikan dan proses pemberhentian pekerja ini sudah bermula sejak tahun 2012 lagi.

"Perancangan kerajaan negeri ialah sebuah lagi kilang besi di Kemaman iaitu Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) akan mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan Perwaja Steel ini, bagaimanapun ESSB turut terjejas dan terpaksa menangguhkan operasi mereka disebabkan harga pasaran besi yang jatuh merudum pada tahun 2015," katanya.

Menurut beliau dalam masa yang sama, kejatuhan harga minyak telah memperlahankan aktiviti teroka cari gali minyak serta aktiviti-aktiviti huluan dan ia memberi impak yang negatif kepada kegiatan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Ekoran situasi itu, jumlah pekerja yang diberhentikan semakin ramai sekali gus menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi tinggi daripada biasa.

Wan Abdul Hakim yang juga ADUN Air Putih berkata bagaimanapun, situasi itu dijangka kembali pulih seperti biasa sejajar dengan peningkatan harga besi dunia yang semakin stabil ketika ini.

"Eastern Steel akan mula beroperasi sepenuhnya pada Mei ini dan pengambilan pekerja akan dibuat tidak lama lagi.

"Satu syarikat gergasi dari China yang mengeluarkan bitumen pula akan mengambil alih aset-aset Perwaja Steel dan akan menawarkan ribuan pekerjaan baharu di Kemaman," katanya.

Bagaimanapun, Wan Abdul Hakim berkata setiap indikator serta statistik mengenai perkara itu perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan hanya dari satu sudut semata-mata.

"Ini kerana pada tahun 2016, Pendapatan Pertengahan Isi rumah (Median Household Income) menunjukkan Terengganu bersama Negeri Sembilan telah melonjak mengatasi tahap kebangsaan 2014 berbanding tujuh negeri lain.

"Ini menunjukkan ekonomi rakyat dari sudut pendapatan telah meningkat di negeri Terengganu dari tahun 2014 iaitu RM3,777 melonjak kepada RM4,694 pada tahun 2016 walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi ketika itu," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, January 16, 2018

KETUA UMNO BAHAGIAN BUKAN ISLAM DILANTIK SENATOR

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Penampang Datuk John Ambrose ,66, dan Naib Presiden Gerakan Datuk Teo Kok Chee, 71, hari ini mengangkat sumpah sebagai senator bagi tempoh tiga tahun di Dewan Negara, di sini hari ini.

Kedua-dua mereka yang dilantik buat kali pertama mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Ketika ditemui pemberita selepas upacara berkenaan, Ambrose berkata pelantikan tersebut memberi peluang kepadanya memperbaiki taraf kehidupan rakyat terutamanya di Penampang, Sabah dari segi kesihatan dan keselamatan.

"Kami ingin meminta hospital yang lengkap dan meminta menaik taraf balai polis kepada ibu pejabat polis untuk tujuan keselamatan. Saya juga mahu membawa lebih banyuak pembangunan di Penampang supaya peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada belia," katanya.

Katanya, beliau juga akan pastikan pengundi kaum Kadazan, Dusun, Murut and Rungus di kawasannya akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Monday, January 15, 2018

PROJEK PEMBANGUNAN SEBERANG TAKIR SIAP TAHUN 2020



KUALA NERUS, 15 Jan (Bernama) -- Seluruh projek pembangunan di kawasan Seberang Takir termasuk Projek Aquapolitan di Kampung Seberang Pok Abu bagi membantu menaik taraf hidup nelayan di sini akan siap selewat-lewatnya tahun 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, untuk projek Aquapolitan yang merangkumi pembinaan masjid baharu dan 200 unit rumah teres bagi golongan nelayan telah dijalankan dan dijangka siap tahun depan.

"Masjid bernilai kira-kira RM22 juta dan menempatkan 1,500 jemaah dalam satu-satu masa itu dijangka siap pada Ogos tahun depan dan apabila siap nanti ia akan menjadi satu lagi mercu tanda Seberang Takir di samping jambatan 'drawbridge' yang kini sedang dibina di kawasan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

"Semua pembinaan ini akan memberi impak pembangunan yang pesat kepada Bandaraya Kuala Terengganu yang secara tidak langsung meningkatkan sektor pelancongan dan membantu meningkatkan ekonomi rakyat dan peniaga tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak binaan masjid dan rumah nelayan di Kampung Tanjung Harapan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata bagi melengkapkan lagi pembangunan prasarana di situ sebuah asrama bagi menempatkan atlet akan dibina di kawasan itu dalam masa terdekat.

"Pembinaan semula bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak juga akan dijalankan dan kini kami dalam tempoh melantik kontraktor bagi kerja-kerja pembinaan semula bumbung berkenaan.

"Selain itu, reka bentuk bumbung juga telah diubah daripada reka bentuk asal ..sebelum bina baru kami akan perkemas dulu struktur bumbung...bagi lebih kukuh..selepas itu baru bina bumbung dengan kos kira-kira RM100 juta," katanya.

Dalam pada itu bagi menyelesaikan masalah pemilikan kediaman dalam kalangan rakyat negeri ini, kerajaan negeri juga akan melancarkan projek pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik (RMM) bernilai RM40,000 setiap unit dan 10,000 unit rumah RMM bernilai RM68,000 seunit.

"Bagi rumah yang berharga RM40,000 seunit, kerajaan negeri akan menanggung subsidi separuh daripada harga rumah, manakala rakyat hanya perlu membayar separuh lagi menerusi ansuran bulanan tanpa faedah.

"Bagi RMM berharga RM68,000 pula, kami sasar ia akan dibina sekurang-kurangnya 300 unit di setiap DUN dan jenis rumah bergantung kepada kedudukan tanah, jika di bandar mungkin akan dibuat rumah bertingkat dan di kawasan luar bandar mungkin akan dibuat jenis teres," katanya.




-- BERNAMA

Sunday, January 14, 2018

CAPAIAN INTERNET DI PDM TERENGGANU MESTI BERSIAP SIAGA

KUALA BERANG, 13 Jan (Bernama) -- Semua liputan dan capaian Internet di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di negeri Terengganu harus berada dalam keadaan siap siaga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata pihaknya telah lama memulakan penaiktarafan secara berperingkat agar tahap capaian perkhidmatan berkenaan berada dalam keadaan yang terbaik menjelang PRU ke-14 kelak.

"Hal ini penting kerana kita tidak mahu berlaku sebarang masalah komunikasi ketika berlangsungnya PRU nanti...kita tidak mahu bila gendang PRU dipalu, tahap liputan masih di tahap yang kurang memuaskan.

"Sebanyak 566 PDM di Terengganu telah saya pastikan dan arahkan agar tahap capaian Internet berada pada tahap terbaik begitu juga 8,245 PDM di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Tautan Budi Komuniti Orang Asli Sungai Berua, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan A. Latif Awang serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin

WAKIL RAKYAT TAK TERPILIH CALON DINASIHAT TIDAK KECIL HATI



KANGAR, 14 Jan (Bernama) -- Mana-mana wakil rakyat yang tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dinasihatkan supaya tidak berkecil hati sebaliknya terus membantu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.




Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata mereka yang sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), perlu bekerjasama dan membantu jentera parti supaya BN menang dengan penuh bergaya.




Jika tidak dipilih semula sebagai calon, mereka hendaklah tetap meneruskan perjuangan membela kepentingan rakyat, malah berjuang habis-habisan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencapai kemenangan pada PRU nanti, katanya kepada ditemui pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan BN Perlis di sini Sabtu malam.




"Senarai calon sudah pun saya hantar kepada presiden parti dan biarlah dia menentukan siapakah yang layak untuk bertanding di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN dan saya juga ada berikan sekali muka-muka baru untuk diketengahkan termasuk orang lama," katanya.




Shahidan juga mengingatkan mana-mana calon yang dipilih supaya tidak mengenepikan rakyat yang telah memilih dan mengundi mereka sebagai wakil rakyat malah perlu bekerja keras dan menunaikan janji yang telah dibuat kerana BN adalah sebuah parti yang sentiasa menepati janji.




Dalam pada itu, Shahidan berkata BN yakin akan memenangi semula kerusi DUN Sanglang dan Indera Kayangan dan mempertahankan 13 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen di negeri ini.




-- BERNAMA

Saturday, January 13, 2018

PH GAGAL PILIH BAKAL PM TERBAIK

ARAU, 13 Jan (Bernama) -- Kecelaruan dalam kalangan kepimpinan parti pembangkang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal menentukan siapakah bakal perdana menteri yang terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata situasi itu sekali gus menunjukkan hasrat untuk PH mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tidak akan terlaksana.

"Jika nak bentuk kerajaan, mereka perlu ada sokongan yang kuat dan padu serta kepercayaan daripada rakyat."

"Kepimpinan mereka juga (PH) hendaklah sepakat sesama mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 250 pelajar cemerlang Parlimen Arau dekat sini hari ini.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata kerajaan sekarang adalah berjiwa rakyat dan rakyat kini sudah bijak menilai.

"Jika dilihat pembahagian kerusi PH antara sesama parti mereka sudah jelas menunjukkan mereka sendiri tidak mahu dia (Mahathir) menjadi Perdana Menteri," katanya.

-- BERNAMA

TERENGGANU MOLEK DAH TIADA SEBAB TUKAR KERAJAAN

KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Rakyat Terengganu diingat mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi sepanjang tempoh ditabdir PAS dari 1999 hingga 2004, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata kesilapan itu perlu dihindari dengan memastikan ia tidak berulang lagi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Antara kezaliman dilakukan PAS ketika itu ialah menghalau kanak-kanak tadika Kemas, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada rakyat yang dikenal pasti penyokong UMNO dipotong dan penggunaan wang zakat untuk pembiayaan pengajian anak-anak Exco PAS.

"Terengganu kini berada di landasan yang betul, tiada sebab untuk tukar (kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional) kerana ada banyak lagi agenda pembangunan untuk membantu rakyat yang perlu diteruskan.

"Beri peluang kepada kerajaan sedia ada meneruskan perjuangan kerana tiada lagi kerajaan yang sebaik Barisan Nasional (BN) berbanding parti-parti yang lain (untuk memerintah)," kata Ahmad Razif.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang yakin PAS dapat merampas semula Terengganu pada PRU14.

Ditanya berhubung langkah Parti Amanah Negara akan bertanding di tiga kerusi Parlimen di Terengganu, Ahmad Razif berkata BN Terengganu tidak gentar untuk berdepan mana-mana lawan pada PRU14.

"Bagi kita (BN) tak ada masalah, satu lawan satu atau 10 lawan satu, tiada masalah...jentera kita Insya-Allah sudah siap sedia dan paling penting kita nak tunaikan semua janji-janji kita kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif merasmikan Karnival Jom Sihat anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu dengan kerjasama Kelab Lions Kuala Terengganu di sini, hari ini.

-- BERNAMA

Friday, January 12, 2018

NGO DISERU BERI SUMBANGAN KEPADA TABUNG DARUL IMAN


KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri menyeru lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulur sumbangan kepada Tabung Darul Iman (TDI) yang memerlukan hampir RM6 juta dana luaran untuk terus beroperasi setiap tahun.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebelum ini, tabung itu yang bertujuan meringankan penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera, terutamanya yang berdepan musibah dan penyakit kritikal hanya memerlukan RM500,000 sebulan atau RM6 juta sahaja setahun.

"Namun jumlah penerima manfaat tabung ini semakin meningkat setiap tahun dan ketika ini, antara RM800,000 hingga RM1 juta diperlukan setiap bulan iaitu RM12 juta setahun.

"Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM3 juta manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga menyumbang RM3 juta...jadi kita perlukan lagi RM6 juta sumbangan daripada pihak luar untuk terus membantu rakyat yang kesusahan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Sihat anjuran Terengganu Chinese Chamber Commerce & Industries dengan kerjasama Kelab Lions Kuala Terengganu di sini hari ini.

TDI yang ditubuhkan pada Januari 2016 merupakan gabungan tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan bertujuan memudahkan urusan mengurus serta menyelaras bantuan dengan lebih sistematik dan efisyen tanpa sebarang pertindihan antara ketiga-tiga tabung tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri telah melakukan pelbagai alternatif untuk mencari dana tambahan kepada TDI termasuk mengalakkan mana-mana kakitangan kerajaan membuat pemotongan gaji untuk tabung tersebut.

"Selain itu, kita juga meminta mana-mana syarikat berkaitan seperti kilang lampin pakai buang, kilang yang membuat peralatan perubatan untuk bersama membantu dalam menyediakan dana berbentuk barangan kepada tabung ini.

"Malah, orang ramai yang mempunyai barang perubatan seperti tongkat atau kerusi roda yang masih dalam keadaan elok juga boleh turut menyumbang kepada TDI ini agar lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaatnya," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, January 11, 2018

AYAH MAUT SELEPAS CUBA MENYELAMATKAN ANAK BONGSU



KUALA TERENGGANU 11 Jan (Bernama) -- Pengorbanan bapa membawa ke liang lahad.

Tragedi kebakaran sebuah rumah jenis kembar dua tingkat (semi D) di Kuala Ibai, dekat sini pagi tadi mengorbankan Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, selepas cuba menyelamatkan anak lelaki bongsunya, Muhammad Aqil Harith, 3, dalam kebakaran tersebut.

Ibu mangsa, Tengku Maznah Tengku Sulong, 73, berkata beliau yang duduk berdekatan pada mulanya tidak menyedari kejadian tersebut yang dikatakan berlaku pada kira-kira 8.30 pagi.

Katanya beliau hanya menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan oleh seorang cucunya bahawa mangsa pengsan selepas selamatkan Muhammad Aqil.

"Anak saudara arwah yang paling besar beritahu saya 'Acik' (mangsa) pengsan dan bila saya pergi tengok arwah dah habis umur (meninggal dunia).

"Anak lelaki arwah yang paling kecil duduk atas dada arwah iaitu semasa arwah lari keluar dia memeluk anaknya sebelum arwah jatuh dan terus tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui media di kediamannya di sini.

Difahamkan ketika kejadian arwah hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya manakala isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 38, yang sedang mengandung empat bulan sudah keluar bekerja dan tiga lagi anaknya sudah ke sekolah.

Menurutnya lagi arwah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, petang ini.

Sementara itu, anak saudara arwah Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, berkata beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan berdekatan, melihat asap tebal tetapi beranggapan bahawa ada orang membakar sampah.

"Bila saya masuk dalam rumah tempat saya kerja saya dengar cermin tingkap pecah dan asap keluar.

"Saya terus keluar pergi tengok dan melihat arwah yang dalam keadaan pucat sudah terbaring dengan anaknya...saya cuba sedarkan arwah berulang kali tetapi gagal. Saya difahamkan arwah disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba untuk memberi rawatan kecemasan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan 8.45 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api marak membakar kediaman ketika pasukan penyelamat tiba.

"Kami mengambil 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan dianggarkan kebakaran tersebut melibatkan kemusnahan 50 peratus rumah itu, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Menurut Azlimin lagi kebakaran tersebut hanya melibatkan ruangan bawah rumah berkenaan, tetapi kesan bahang panas kebakaran tersebut sampai ke tingkat atas rumah, katanya.

-- BERNAMA



Wednesday, January 10, 2018

PAK ALI YANG SAYA KENALI

KEMAMAN: Bekas Ketua Umno Cawangan Pasir Gajah yang paling lama, Pak Ali Ismail, 92, telah meninggal dunia semalam. Beliau bukan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman tetapi beliau adalah ketua cawangan yang tidak mementingkan diri sendiri yang patut jadi contoh tauladan kepada semua ahli Umno.

Ketika pemimpin cawangan lain berebut mengejar projek dan balak, Pak Ali tetap dengan rumah yang menumpang di tanah kerajaan. Beliau adalah contoh pemimpin Umno yang tidak kayakan diri sendiri sedangkan sekarang ini ramai pemimpin Umno mengejar tender MPK dan sebagainya.

Yang paling lucu pada tahun 1995 ada orang yang mahu menentang Pak Ali sebagai ketua cawangan telah berkata akan lelong basikal buruk Pak Ali jika dia menang ketua cawangan. Pak Ali senyum dengan kempen lawannya itu yang ada kereta mewah.

 Di hari pemilihan Umno cawangan, Pak Ali jemput ketua bahagian Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad rasmikan mesyuarat agung cawangan.

Dalam ucapan perasmiannya Wan Mokhtar yang juga MB Terengganu berkata kampung Pasir Gajah terkenal dengan penduduk yang bersatu padu. Maka kekalkanlah pemimpin yang ada. Lawannya kalah teruk di tangan Pak Ali gara gara ucapan MB.

Pak Ali berasal dari Kuala Terengganu tetapi menetap di Pasir Gajah ketika bekerja di Machang Setaun di kawasan bijih besi pada tahun 50an. Oleh kerana dia jaga motor (sejenis mesin) di kawasan bijih besi itu maka dia dipanggil Pak Ali Motor.

Orang Pasir Gajah terkenal dengan pelbagai gelaran seperti Pak Lah TV (orang Pasir Gajah yang pertama memiliki televisyen), Man Bopeng, Pak Man Jawa, Zali Bugis dan pelbagai gelaran. Pada tahun 30an orang Jambi dari Batu Pahat datang ke pasir gajah diikuti oleh orang kelantan maka Pasir Gajah dari tahun 30an adalah gabungan orang Jambi dengan orang Kelantan.

Abdul Rahman dari Kelantan pernah duduk di Pasir Gajah dan kahwin dengan orang Paloh, Kuala Terengganu yang melahirkan Tan Sri Razali CEO Peremba. Tan Sri Razali selalu datang ke pasir gajah menemui saudara maranya. Saidi taukeh tahi getah di pasir gajah adalah anak buah Tan Sri Razali kerana datuk Saidi, Abdul Latif adalah saudara Abdul Rahman ayah Tan Sri Razali.

Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz orang jambi yang duduk di Parit Raja, Batu Pahat, Johor selalu datang ke Pasir Gajah menemui saudara maranya orang Jambi di pasir gajah.

Tan Sri Mohamad pernah beritahu saya dia tiada nama Tengku Mohamad kerana bila keturunannya lari dari jambi ke batu pahat buang nama Tengku takut dicari orang Belanda. Sebaliknya saudara mereka yang berhijrah dari batu pahat ke pasir gajah dibenarkan oleh Sultan Terengganu menggunakan nama Tengku semula. Sebab itu semua orang jambi di Pasir gajah ada nama Tengku kecuali anak perempuan mereka yang bernama tengku kahwin dengan orang biasa maka anaknya sudah hilang nama Tengku.

Masyarakat Jambi dan Kelantan di pasir gajah hidup dalam harmoni. Mereka boleh terima orang luar seperti Pak Ali sebagai pemimpin mereka. Pak Ali ketua cawangan yang paling lama. Beliau pernah jadi wakil calon ketika Dr Ramli Taib bertanding sebagai calon bagi DUN Air Putih pada tahun 1999.

Masa itu Pak Ali dah tahu BN akan kalah kerana gelombang anti Mahathir terlalu kuat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno.

"Awang, BN akan kalah kali ini," kata Pak Ali yang memanggil nama  saya Awang. Orang pasir gajah tidak panggil saya Zabidi kerana mereka panggil Awang. Kawan saya dari KL tanya mana rumah Zabidi. Orang kampung kata tak kenal. Bila dia sebut Zabidi yang kerja wartawan Watan baru mereka jawab rumah Awang.

Pak Ali pernah mendapat penghargaan jasamu dikenang dari Umno Bahagian Kemaman. Pak Ali adalah orang yang sederhana. Sepatutnya dia jadi ketua kampung tetapi dia beri laluan kepada Pak Mat Yahya sebagai ketua kampung kerana dia lebih suka menjaga Umno cawangan. Sewajarlah orang yang tidak pentingkan diri seperti Pak Ali menjadi contoh kepada anak anak muda dalam Umno sekarang. Al Fatihah buat Pak Ali.


Tuesday, January 9, 2018

PM BERAMAH MESRA DENGAN NAJIB RAZAK

PEKAN, 7 Jan (Bernama) -- Seorang murid Tahun Dua Sekolah Rendah Paloh Hinai di sini menarik perhatian ramai apabila namanya dipanggil ke pentas untuk menerima bantuan persekolahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, perdana menteri sendiri tergelak besar selepas nama murid itu, Mohd Najib Razak Jefree, 8, dari Taman Selasih, Paloh Hinai disebut bagi menerima bantuan berkenaan.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut beramah mesra dengan Mohd Najib, yang ditemani ibunya, Siti Norfaizah Sh Harun, 40, semasa menyampaikan bantuan itu di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah,

Mohd Najib ternyata gembira ketika ditanya perasaannya selepas menerima baju, beg dan kasut sekolah baharu daripada perdana menteri yang mempunyai nama yang sama sepertinya .

"Seronok dapat jumpa perdana menteri, perdana menteri baik," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Siti Norfaizah pula berkata nama Mohd Najib diberikan oleh suaminya, Jefree Wahab, 49, kerana kagum dan bangga dengan kepimpinan perdana menteri.

"Suami cakap, nama Mohd Najib itu adalah kenangan untuknya. Malah, saya sendiri tidak tahu suami beri nama anak Mohd Najib Razak sehingga tiga minggu selepas melahirkannya (Mohd Najib).

"Walaupun terkejut tetapi saya tetap gembira dan berharap dia menjadi anak yang berguna untuk bangsa dan negara," katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Paloh Hinai, selalu bercerita tentang dirinya menjadi usikan ramai.

"Memang kerap orang tanya dia hal kerajaan dan selalu juga dia bertanya tentang apa BR1M dan sebagainya. Saya menerangkan kepadanya serba sedikit dan dia tidak kisah atau ambil hati.

"Malah, kawan-kawannya di sekolah turut mengusik apabila ada rakan di sekolahnya bernama Rosmah," katanya.

-- BERNAMA

Monday, January 8, 2018

GRUP KK SERTAI JKKK PROGRAM PASCA BANJIR DI BUKIT MENTOK


KEMAMAN: Memberi bantuan kepada mangsa banjir adalah perkara lumrah sewaktu musim banjir tiba. Semua pihak berebut memberi bantuan termasuk anak syarikat kerajaan (GLC)  yang menganggapnya sebagai tanggungjawab sosial.

 Tetapi program pasca banjir membersih rumah dan sekolah yang dilanda banjir lebih menyulitkan.Bukan semua orang minat membantu mangsa banjir berbuat demikian.

Menyedari hakikat itu, grup whatsapp Kemaman Kita yang dinaungi oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin turut menyertai program gotong royong membersih Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini yang menjadi pusat pemindahan banjir seramai 850 orang minggu lepas.

Jumaat lalu Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Ismail anakanda Sultan Mizan Zainal Abdiin telah mencemar duli melawat mangsa banjir di sekolah tersebut diikuti esoknya ahli parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Ahad lalu JKKK Kampung Bukit Mentok mengajak orang ramai menyertai program pasca banjir. Menurut admin grup KK, Mat Dalam Awang, KK turut terpanggil untuk menyertai program gotong royong tersebut sebagai meringankan beban orang kampung apatahlah lagi ramai ahli KK duduk di kampung tersebut.

Oleh kerana hari Ahad adalah hari bekerja maka seramai 20 orang ahli grup KK yang dapat hadiri majlis gotong royong bersama orang kampung seramai 50 orang.

"Ia adalah program JKKK maka grup KK menyertai program pasca banjir ini atas undangan JKKK Kampung Bukit Mentok. Terima kasih kepada semua ahli KK yang sudi bergotong royong bersama penduduk kampung," kata Mat Dalam kepada Today Terengganu.

Saturday, January 6, 2018

GRUP WHATSAPP KEMAMAN KITA BANTU KELUARGA MISKIN



KEMAMAN: Grup whatsapp Kemaman Kita (KK) yang dinaungi oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Mohd Rahim Husin semalam membantu sebuah keluarga miskin di Kuala Kemaman.

Grup whatsapp yang mempunyai 256 orang ahli itu diwakili adminnya, Mat Dalam Awang menyampaikan sumbangan kepada Asiah Mohamad dalam bentuk wang tunai, beras, gandum dan barang makanan yang lain.

Ia bermula Khamis lalu apabila anak Asiah muntah di sekolah. Guru pelajar itu menyiasat punca pelajarnya yang bersekolah dalam darjah tiga itu muntah. Rupa-rupanya pelajar itu tidak makan apa apa dari pagi kerana di rumahnya tiada beras dan lain lain makanan. Seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) melaporkan hal itu kepada admin KK dan admin terus ambil inisiatif menghantar barang barang makanan dan wang sumbangan penaung Grup KK.

Admin Grup KK disertai 20 orang ahlinya mengunjungi rumah Asiah dan turut sama ialah Ketua Umno Cawangan Kuala Kemaman, Wan Ali Wan Embong. Wan Ali memuji tindakan yang diambil oleh Grup KK yang perihatin dengan keadaan keluarga miskin di dalam qariahnya.


Friday, January 5, 2018

YANG DIPERTUAN MUDA LAWAT MANGSA BANJIR KEMAMAN

KEMAMAN, 5 Jan (Bernama) -- "Saya tak jenero (lena) tidur nak jumpa baginda hari ini, tidur pun sampai termimpi-mimpi muka anakanda baginda Sultan Mizan," kata Osman Mamat, 66, seorang daripada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, di sini.

Beliau dan penghuni PPS itu hari ini bertuah kerana menerima kehadiran Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bersama adindanya, Tengku Muhammad Mua'az.

Osman yang juga pesakit strok dan tidak mampu berjalan berkata kepada Bernama, kehadiran kedua-dua putera Sultan Terengganu itu merupakan satu penghormatan bagi beliau apabila dapat melihat baginda secara berhadapan.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'z mencemar duli ke pusat itu bagi menyampaikan sumbangan kepada 200 ketua keluarga mangsa banjir yang menghuni pusat itu sejak semalam.

Selain itu, baginda berdua juga dijangkakan menunaikan solat Jumaat di Masjid Meraga Beris, Kijal sebelum bergerak ke pusat pemindahan yang lain di daerah itu

Thursday, January 4, 2018

MB AKUI DILAYANG KAD MERAH

SEREMBAN, 3 Jan (Bernama) -- Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui bahawa beliau telah digantung seumur hidup daripada menyertai mana-mana kejohanan bola sepak di negeri ini akibat dilayangkan kad merah dalam final liga tempatan, 40 tahun dahulu.

Pada 1977, Mohamad, yang ketika itu mewakili Negeri Sembilan Malays telah mengasari G. Torairaju, pemain kebangsaan ketika itu yang bermain untuk Negeri Sembilan Indian di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), terlebih dahulu dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

"Kemudian saya membantah, saya sepak bola kat dia (pengadil) dan terkena dia dan dia tunjuk kad merah dan saya rampas kad dari tangan pengadil dan baling lalu tersangkut di atas pokok masa itu di padang NS. Saya ingat lagi keputusan seri 1-1.

"Itu perlawanan saya yang terakhir secara rasmi tapi main-main biasa itu adalah...masa itu final NS Malays lawan NS Indian, masa itu liga tempatan cukup hebat dan Torairaju masa itu main untuk Malaysia dan saya kata: "I want to retire Torairaju from football," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita mengenai tular kisah hidupnya yang dilayangkan kad merah oleh pengadil di media sosial baru-baru ini

Wednesday, January 3, 2018

MCA BERKERAS MAHU PERTAHAN BANDAR TUN RAZAK

KUALA LUMPUR: Hasrat calon Umno bertanding kerusi Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) kemungkinan besar tidak tercapai apabila MCA berkeras mahu mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Kali ke-14 (PRU 14) tidak lama lagi.

Ini dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pembantu khas kepada Pengerusi MCA BTR, Dato' Chew Yin Keen.

"Saya tanya Datuk Seri (Tiong Lai) seat ini (Parlimen BTR) milik siapa. Jawan Datuk Seri, still belong to MCA, " katanya yang enggan namanya disiarkan.

Pembantu wanita itu berkata beliau terpaksa memberanikan diri berjumpa sendiri Menteri Pengangkutan itu kerana rimas banyak sangat cakap-cakap mengenai kedudukan parlimen BTR.

"Waktu itu Datuk Seri hendak meninggalkan majlis. Saya terus ke keretanya dan tanya pada beliau kerusi parlimen BTR milik siapa," katanya.

Pembantu itu memberitahu lagi ketika beliau berjumpa Datuk Seri Liow mahu pulang selepas selesai menyempurnakan satu majlis kemasyarakatan di BTR yang berlangsung pada pertengahan November tahun lepas.

Baru-baru ini Pengerusi Veteran Umno BTR, Datuk Mohd. Alias Abdul dalam satu majlis khas di Pusat Belia Antarabangsa mahukan kerusi BTR diberikan kepada calon Umno.

Beliau menegaskan sudah sampai masanya calon Umno diberi peluang bertanding memandangkan pengundi Melayu di bantar tersebut mengatasi pengundi kaum Cina dan India iaitu 58.6 peratus.

Lagipun kata Datuk Mohd. Alias sudah dua penggal wakil kaum Cina kalah iaitu pada PRU 12 dan 13.

Kini katanya tibalah masa calon Umno disokong oleh MCA menerusi kesepakatan yang sedia terjalin antara komponen BN itu sejak dulu hinggalah sekarang.

Pembantu khas itu ketika ditanya apakah keyakinan MCA bahawa calon mereka nanti bakal membawa kemenangan kepada BN beliau berkata setiap kali gambar Datuk Chew ditunjukkan kepada orang ramai mereka semua berkata kalau inilah calonnya mereka akan sokong.

"Semua orang cakap macam itu. Mereka sebenarnya tidak tahu siapa yang akan bertanding tetapi mereka suka apabila tengok gambar Datuk Chew dan terus kata orang ini kalau bertanding mesti boleh menang," katanya.

Beliau seterusnya berkata pada hakikatnya beliau tidak tahu siapakah calon MCA yang akan bertanding di BTR ini.

Sebaliknya beliau meminta pihak media bertanya sendiri kepada Presiden MCA atau Datuk Chew sendiri.

Mengakhiri perbualan, pembantu itu berkeyakinan penuh bahawa calon MCA akan dipertaruhkan di BTR kerana kerusi ini merupakan kerusi tradisi parti tersebut.

Monday, January 1, 2018

20,631 MURID TAHUN SATU MULAKAN PERSEKOLAHAN DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 1 Jan (Bernama) -- Seramai 20,631 murid Tahun Satu memulakan hari pertama sesi persekolahan 2018 di 352 sekolah rendah seluruh Terengganu hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata daripada jumlah itu, seramai 10,370 ialah murid perempuan dan 10,261 murid lelaki.

"Bagi pelajar Tingkatan Satu pula,seramai 19,759 telah mendaftar di 150 sekolah menengah seluruh Terengganu pagi ini.

"Alhamdulillah hari pertama persekolahan hari ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kawasan yang dilanda hujan sejak malam tadi," katanya .

Ketika ini terdapat 489 guru berkhidmat bagi prasekolah, 11,632 guru di sekolah rendah dan 10,462 guru di sekolah menengah di seluruh Terengganu.

-- BERNAMA