Wednesday, August 2, 2017

MB LANCAR SKIM RTB TAPAK RUMAH

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu kini mengambil langkah alternatif dalam menyediakan kediaman kepada rakyatnya menerusi penyediaan tapak kediaman percuma berbanding program Rumah Mampu Milik (RMM) sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ini susulan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan negeri dalam melaksanakan RMM.

"Sebelum ini, kita banyak bantu rakyat dengan RMM yang kos pembinaannya RM140,000 seunit namun kita menjualnya kepada golongan yang layak hanya pada harga RM68,000 seunit (subsidi sebanyak RM72,000).

"Jadi sekarang kita terpaksa membuat transformasi. Kita ubah bagi memastikan hak rakyat tetap dijaga. (Setelah mendapat tanah), mereka boleh membuat pinjaman dari mana-mana pihak untuk membuat rumah sama ada dari kerajaan atau bank, mengikut kemampuan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah di sini hari ini yang melibatkan pengagihan 5,939 lot tapak kediaman.

No comments:

Post a Comment