Friday, August 31, 2018

DUA WAU PUYUH GERGASI MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN




TUMPAT, 31 Ogos ( Bernama) – Dua wau puyuh ‘gergasi’ yang berbentuk bendera Jalur Gemilang yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Sireh, Kota Bharu menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-61 hari ini di Pantai Geting, di sini.

Sebuah wau bersaiz panjang 3.96 meter dan lebar juga 3.96 meter manakala sebuah lagi 5.49 meter panjang dan lebar juga 5.49 meter, rangkanya diperbuat menggunakan buluh betung dan batang pinang mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Wau yang masing-masing seberat 10 kilogram dan 20 kilogram itu memerlukan seramai 26 orang untuk menaikkan wau itu ke udara dengan mengambil masa kira-kira 15 minit dan hanya bertahan di udara tidak sampai seminit disebabkan cuaca yang kurang baik.

Selain dua wau gergasi berkenaan yang menjadi tumpuan kira-kira 2,000 penonton, terdapat kira-kira 40 wau puyuh yang bersaiz sederhana berjaya dinaikkan.

Ketua Kelab Gabungan Wau Kampung Sireh, Mohd Nafaqis Razlan, 28, berkata wau ‘gergasi’ yang dihasilkan itu berbentuk bendera Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan.

Beliau berkata penyertaan turut melibatkan peminat wau dari beberapa kampung di Kota Bharu dan Pasir Mas yang sama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

-- BERNAMA

Thursday, August 30, 2018

"DATUK" TIPU AHLI PERNIAGAAN RM490,000



KUANTAN, 30 Ogos (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan kerugian RM490,000 selepas diperdayakan seorang lelaki bergelar 'Datuk' dalam urusan jual beli tanah untuk projek penternakan udang, sejak lima tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa suspek memberitahu boleh membantunya mendapatkan tanah di Sungai Buah Beras di Rompin bagi tujuan tersebut.

"Suspek telah mengajak mangsa menandatangani surat akuan pada 20 Okt 2013 dan menunjukkan surat permohonan tanah kerajaan bagi projek penternakan udang itu.

"Mangsa diminta membayar RM300,000 yang akan dipulangkan jika permohonannya gagal, namun sekitar 2014 dan 2015, mangsa dimaklumkan tanah itu telah diberikan kepada orang lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya menjanjikan tanah di Mukim Penor di sini, kepada mangsa sebagai ganti dan memintanya memasukkan wang tambahan RM190,000 ke dalam akaun anak lelaki suspek.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa suspek tidak dapat dihubungi walaupun telah mencuba berkali-kali untuk bertanyakan status permohonannya, menyebabkan dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang suri rumah kerugian RM8,000 yang kononnya sebagai bayaran untuk mendapatkan hadiah berbentuk wang tunai daripada rakan lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

Katanya mangsa yang berusia 54 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini dan menerima salinan resit yang dikatakan sebagai bukti penghantaran pada 17 Ogos lepas.

“Tiga hari kemudian, mangsa menerima panggilan yang didakwa daripada wakil syarikat penghantaran meminta bayaran RM2,000 sebagai caj perkhidmatan.

"Mangsa kemudiannya diminta menjelaskan RM6,000 kononnya bayaran denda kerana penghantaran wang tunai boleh dikatakan sebagai wang seludup yang dijelaskannya pada Jumaat lepas," katanya.

Beliau berkata berasa diri ditipu selepas tidak menerima hadiah tersebut mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

-- BERNAMA

Wednesday, August 29, 2018

ORANG SARAWAK INGIN MENABUR BAKTI DI SERI SETIA



PETALING JAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Pengalaman dilahirkan dan membesar di kawasan pedalaman menjadikan calon PAS, Dr Halimah Ali bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mudah memahami denyut nadi golongan orang susah.

Beliau yang dilahirkan dan dibesarkan di Marudi, Miri, Sarawak, berkata ini adalah kelebihan dirinya untuk memperbaiki kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dan miskin bandar di sekitar kawasan DUN itu.

"Pengalaman menduduki kawasan pedalaman (Marudi) selama 17 tahun menjadikan saya mudah memahami kehendak mereka (golongan orang susah) dan ia bukan perkara baharu untuk diri saya kerana saya boleh merasai denyut nadi orang susah," katanya ketika ditemui pada sesi 'walkabout' di Pasar Malam Lembah Subang, di sini hari ini.

Dr Halimah berkata selama 10 hari kempen dijalankan beliau mendapati infrastruktur dan keadaan di sekitar kawasan golongan berpendapatan rendah agak daif.

Sementara itu, Dr Halimah yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor berkata tiada cabaran baharu dihadapinya sepanjang tempoh berkempen setakat ini tetapi mengalami sedikit kesukaran untuk menarik pengundi daripada kaum Cina.

Tuesday, August 28, 2018

DUA LESBIAN DITANGGUH HUKUMAN SEBAT



KUALA TERENGGANU: Dua wanita Islam yang disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis tidak akan menjalani hukuman sebatan syariah hari ini.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu Nurul Huda Abdul Rahman berkata hukuman itu dilapor ditangguhkan ke 3 September depan susulan isu teknikal, lapor The Malaysian Insight.

Katanya, terdapat isu antara pihak yang menjalankan hukuman dan lebih baik ia ditangguhkan dulu.

Beliau juga menasihatkan kedua-dua wanita itu, yang hadir bersama anggota keluarga, untuk tiba pada jam 10 pagi minggu depan sebelum hukuman dijalankan.

Dua wanita itu disabitkan bersalah kerana cuba melakukan hubungan seks dalam kereta pada April lalu.

Wanita 32 dan 22 tahun itu mengaku bersama atas kesalahan musahaqah, yang turut melarang seks lesbian.

Mereka turut didenda RM3,300 setiap seorang.

Kes itu timbul di tengah-tengah perdebatan awam berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Monday, August 27, 2018

PEMANSUHAN BRIM TAK JEJAS PELUANG PH MENANGI PRK SERI SETIA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kata Calon PH Halimey Abu Bakar.

Beliau yakin pengundi di kawasan itu hanya mahukan DUN itu terus ditadbir oleh kerajaan PH.

"Sepanjang tempoh berkempen ada rakyat Seri Setia yang kita temui akui tidak kisah dengan isu pemansuhan berkenaan, sebaliknya mereka hanya mahukan kemenangan PH.

"Rakyat di sini lebih suka bercerita tentang Inisiatif Peduli Rakyat (IPS) dan tidak sedikit pun menyentuh isu pemansuhan BR1M, Janji 100 Hari PH atau isu lain," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dimansuhkan sepenuhnya selain melabel inisiatif itu sebagai satu bentuk rasuah dan tidak diagihkan secara saksama kepada kumpulan yang sepatutnya.

Sunday, August 26, 2018

JANGAN SEBAR MAKLUMAT PALSU MENGENAI SST

GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini memberi amaran kepada pembekal barangan pengguna supaya tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bulan hadapan.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya menyedari terdapat segelintir pembekal barangan telah mengeluarkan surat pekeliling kepada peruncit tentang kenaikan harga barang selepas pelaksanaan SST.

"Kami sedang memerhati pembekal-pembekal ini dan kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perlu," katanya selepas merasmikan Karnival "I Love Malaysia" anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Pusat Membeli-belah Sunshine Square di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian sedang mengikuti perkembangan isu ini dan mereka yang melanggar undang-undang telah dikenal pasti untuk diambil tindakan.

"Saya jangka perkara ini berlaku selepas pertemuan pembekal dengan pihak kastam sebelum ini di mana kini mereka telah mengambil langkah awal tanpa sedari bahawa mereka telah melanggar undang-undang," katanya.

Saturday, August 25, 2018

KERJASAMA PAS- UMNO SEBAHAGIAN KONSEP GAGASAN SEJAHTERA

ALOR SETAR, 25 Ogos (Bernama) -- Jalinan kerjasama antara PAS dengan UMNO dilihat sebagai sebahagian daripada konsep Gagasan Sejahtera, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Beliau berkata konsep yang diamalkan PAS adalah dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak yang menyokong gagasan Islam atau untuk perkara baik dan yang mempunyai kepentingan untuk rakyat.

"Prinsip asal PAS senang sahaja iaitu kita boleh tolong mana-mana pihak untuk kebaikan rakyat. Pendapat yang tegas juga akan dilontarkan sekiranya perkara itu buruk, kita tidak akan sokong atau bersetuju.

"Konsep ini juga boleh dilihat dalam persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana kita bukan cakap pasal penyelewengan dan asyik salahkan orang sahaja tetapi kita bagi cadangan dan penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen PAS Kedah di sini, hari ini.

Ahmad Shamsuri, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian ketika diminta mengulas adakah kerjasama yang dijalinkan PAS dengan UMNO adalah sebahagian daripada konsep Gagasan Sejahtera.

Sementara itu, beliau berkata konsep Gagasan Sejahtera itu dilihat telah mencapai sasaran apabila ahli PAS dapat menerimanya selain mengamalkan politik yang matang

Friday, August 24, 2018

HALIMEY CADANG WUJUDKAN "RUMAH NGAJI"

PETALING JAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar bercadang mewujudkan 'Rumah Ngaji' di setiap blok kediaman pangsapuri, sekiranya dipilih pada PRK itu 8 Sept depan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menyemarakkan lagi budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

"Ini juga adalah berdasarkan prinsip 'Fastabiqul Khairat' dianjurkan Islam yang membawa maksud berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan.

"Dengan itu, saya dengan penuh insaf dan sedaya-upaya akan melaksanakan prinsip Islam sebagai cara hidup dalam perjuangan saya sebagai pemimpin masyarakat di DUN Seri Setia ini," katanya dalam sidang media hariannya di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya bakal berdepan calon PAS iaitu bekas anggota Exco kerajaan Selangor Dr Halimah Ali pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, 2 Ogos lepas.

Selain itu, Halimey berkata pihaknya juga bercadang untuk memperluas lagi program kesedaran terhadap cara hidup dan nilai Islam agar tidak hanya di masjid dan surau, selain menyasarkan penyertaan golonga belia sebagai langkah membentuk mereka ke arah memiliki sifat kerohanian yang murni.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mendabik dada dengan menyatakan hanya mereka sahaja yang berhak bercakap mengenai Islam termasuk sepanjang kempen PRK itu berlangsung.

Katanya ia kerana sudah ada agensi tertentu yang mempunyai autoriti untuk mengendalikan hal-hal berkaitan agama, selain kerajaan negeri yang diterajui PH yang terdiri daripada parti gabungan pelbagai bangsa telah membuktikan mereka berjaya menepati konsep fastabiqul khairat dalam setiap urusan pentadbirannya.

-- BERNAMA

Thursday, August 23, 2018

MELACUR MELALUI WECHAT DI KEMAMAN DITAHAN PEJABAT AGAMA



KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan bagi perkhidmatan seks yang ditawarkan kepada lelaki hidung belang mengaku terpaksa melacur demi menjelaskan hutang yang mencecah hampir RM50,000.

Malah, wanita berusia 33 tahun itu turut mengaku menjadikan aplikasi WeChat sebagai tempat mempromosikan perkhidmatannya dengan bayaran antara RM250 hingga RM800 untuk khidmat seks bagi satu malam.

Bagaimanapun, kegiatan wanita terbabit terbongkar selepas ditahan ketika dipercayai sedang menawarkan perkhidmatannya dalam serbuan di sebuah apartmen di Kemaman antara jam 1.15 hingga 1.50 pagi semalam.

Sumber berkata, wanita yang masih bujang itu mengaku baru empat bulan aktif dalam dunia pelacuran dan hanya bergerak secara individu.

Katanya, sebelum ditahan, wanita terbabit mengaku sudah menerima seramai lima pelanggan dan pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa jenis minyak pelincir dan tiga kondom yang sudah digunakan di dalam tong sampah berhampiran katil.

“Malah, kita turut menemui tiga kondom yang belum digunakan dan disorokkan di dalam kasut.

“Wanita terbabit mengaku meletakkan harga mencecah RM250 untuk sekali ‘main’ dan ada juga pelanggannya sanggup membayar RM800 dan ke atas untuk mendapatkan khidmatnya dalam tempoh satu malam.

“Malah, dia turut mendakwa mampu meraih pendapatan mencecah sehingga RM5,000 sebulan walaupun ia hanya dijadikan sebagai kerja sampingan sahaja,” katanya.

Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Azam Awi, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

Wednesday, August 22, 2018

TERENGGANU BERHARAP PUTRAJAYA PERTIMBANG SEMULA ECRL



MARANG, 22 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu berharap bahawa kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia akan menjejaskan perkembangan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar yang mengetahui mengenai pembatalan itu menerusi media massa berkata ketika ini proses awal seperti membina laluan, stesen, terowong, jambatan telahpun dilakukan termasuk proses pengambilalihan tanah.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Kampung Rhu Muda, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek usahasama dengan kerajaan China dan akan cuba mencari jalan penyelesaian tanpa perlu membayar pampasan yang tinggi kepada pihak yang terlibat dalam projek berkenaan.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum itu mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Tuesday, August 21, 2018

PETANI MUDA RAIH RM10,000 SEBULAN



SETIU, 19 Ogos (Bernama) -- Demi impian menjadi petani moden berjaya, seorang pemuda sanggup berulang alik sejauh 40 kilometer sehari bagi memastikan tanaman yang diusahakan membuahkan hasil yang berkualiti tinggi.

Mohd Hafizuddin Mohd Zaky, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Apih Zaky, mula berjinak dalam bidang pertanian sejak bangku sekolah lagi apabila beliau sering membantu ibu bapanya bercucuk tanam sewaktu masa lapang.

Peserta program Usahawan Graduation Terengganu menerusi bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ini bermula dengan tanaman kontan di tanah berkeluasan dua ekar yang disewa bersama keluarga pada 2008.

“Semasa mengusahakan tanaman di tanah yang disewa di Kampung Banggol saya dan keluarga mampu meraih sekitar RM3,000 sebulan, namun kini pendapatan saya mencecah RM10,000 setelah mendapat bimbingan YPU dan mengusahakan tanah milik kerajaan negeri dengan hanya dikenakan bayaran pajakan RM2,000 setahun.

“Setakat ini hanya lapan daripada 20 hektar tanah yang baharu diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai. Saya mengusahakan tanaman seperti kacang panjang, petola serta terung sebelum dipasarkan di Pasar Tani Bandar Permaisuri, Pasar Borong Kuala Terengganu dan Pasar Basah Kampung Lampu, Besut,” katanya kepada Bernama di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.

Mohd Hafizuddin yang juga anak ketiga daripada empat beradik ini mula mengikuti pelbagai program keusahawanan sejak menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mengambil keputusan mengusahakan tanaman secara persendirian setelah tiga tahun menamatkan pengajian.

Beliau pernah bekerja sebagai pengurus di sebuah premis makanan segera di Kuala Lumpur selama tiga tahun dan menyumbang dari segi modal, manakala tanaman diuruskan ibunya Norizam Abllah,48, bersama ayahnya Mohd Zaky Abdullah, 53, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja serta menumpukan sepenuhnya pada bidang pertanian.

Bagi menampung kos perusahaan yang baharu dijalankan, beliau menerima dana sebanyak RM30,000 daripada Koperasi Sahabat serta sumbangan Jabatan Pertanian iaitu mesin pam air dan sistem paip yang juga bernilai RM 30,000 untuk digunakan bagi menyiram tanamannya.

Berkongsi pengalaman getir sebagai seorang petani, beliau berkata pernah mengalami kerugian apabila tanaman yang ditanam kesemuanya musnah akibat serangan haiwan perosak seperti serangga dan babi hutan.

“Saya mengambil inisiatif untuk membuat pagar mengelilingi kebun dan menggunakan racun serangga bagi mengelakkan tanaman rosak…Saya juga pernah bermalam di dangau (pondok kecil) yang dibina di kebun bagi mengawasi serangan babi yang masuk pada waktu malam,” katanya.

Mohd Hafizuddin berkata beliau turut menanam 400 anak pokok lada bagi menguji keadaan tanah sama ada sesuai dengan tanaman yang ingin dikomersialkan dan sekiranya anak pokok yang ditanam mati beliau akan mencuba jenis tanaman berbeza yang mungkin bersesuaian dengan tanah di kawasan tersebut.

Selain mengusahakan tanaman sayuran kampung, beliau turut menjalankan perniagaan biji benih kacang panjang dan bendi yang diproses sendiri selama 65 hari serta dibekalkan kepada syarikat Green World Genetics (GWG).

Katanya biji benih mendapat permintaan yang tinggi daripada GWG kerana beliau perlu membekalkan kira-kira tiga tan biji benih kacang panjang dan bendi.

“Setakat ini biji benih saya hanya dipasarkan kepada satu pembekal sahaja di samping digunakan untuk tanam sendiri,” katanya.

Beliau menyimpan impian untuk membuka pusat pengumpulan hasil sendiri di Bandar Permaisuri pada masa akan dating, sekali gus menjadi pembekal utama kepada petani kecil di kawasan tersebut.

“Insya-Allah saya nak kembangkan lagi pasaran tanaman kampung yang diusahakan ini dan saya juga ingin tanam tembikai pada satu bahagian di kebun ini…Saya yakin dengan sokongan dan bantuan daripada keluarga, saya mampu mengembangkan pasaran sedia ada kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA

Monday, August 20, 2018

LIMA PULAU PERANGINAN SESUAI UNTUK TERNAK LEBAH KELULUT

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos (Bernama) -- Lima pulau peranginan di Terengganu berpotensi untuk dibangunkan industri penternakan lebah kelulut, sekali gus menjadikannya satu produk ekopelancongan.

Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut (SIG) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata Pulau Bidong, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol antara kluster pulau peranginan yang dikenal pasti mempunyai prospek besar bagi penternakan kelulut di negeri ini.

Penemuan itu berdasar kerja-kerja pemetaan kelulut oleh 22 penyelidik daripada pelbagai bidang di beberapa pulau sekitar perairan Terengganu bagi merekod spesies kelulut pulau dan mengenal pasti kesesuaian untuk diternak, baru-baru ini.

“Di Pulau Tenggol kita telah menemui dua spesies unik yang salah satunya ialah Tetrogonula Laeviceps dan satu lagi kita masih dalam proses penentuan spesies.

Sekarang ini kita sedang kaji keupayaan spesies kelulut pulau untuk kita ternak dan dapatkan hasil kerana ia berbeza dengan spesies di tanah besar,” katanya kepada Bernama.

Shamsul Bahri berkata UMT bersedia untuk berkongi kepakaran dengan masyarakat pulau dan pengusaha chalet di pulau-pulau untuk membangunkan industri ternakan kelulut sebagai satu produk ekopelancongan.

“Pengurusan ternakan kelulut sangat mudah kerana ia tidak bersengat, jadi tak perlu takut-takut untuk ternak. Lagi satu ia juga tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan hasil iaitu lebih kurang sebulan.

Untuk pulau yang mempunyai penduduk, ia boleh dibangunkan sebagai salah satu sumber menjana pendapatan mereka dan untuk resort atau chalet boleh jadi tarikan pelancongan,” katanya.

Sunday, August 19, 2018

MCA LEBIH RASIS DARI DAP CABAR LIM GUANG ENG HENTIKAN KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA



KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Chew Mei Fun menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak menggunakan sentimen perkauman menjelang pilihan raya kecil (PRK) Balakong dan sebaliknya mencabar beliau menghentikan Kongres Bumiputera.

"Jika beliau (Lim) betul-betul peduli tentang perpaduan, saya harap beliau boleh melarang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) daripada mengadakan Kongres Bumiputera. Ini yang saya fikir beliau harus lakukan," kata Chew kepada pemberita di bilik operasi kempen MCA di Balakong hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 yang akan diadakan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 1 September depan.

Kementerian berkenaan semalam mengumumkan KBN 2018 akan menjadi sebahagian usaha kerajaan untuk merumuskan agenda pemerkasaan bumiputera yang baru.

Chew berkata demikian sebagai membalas kenyataan Lim semalam yang berkata bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) berpegang kepada perpaduan kerana gabungan itu menggunakan logo HARAPAN dalam PRK.

Lim membandingkan perkara itu dengan MCA yang menggunakan logo parti sendiri bagi PRK Balakong yang menurutnya hanya mewakili kepentingan kaum tertentu.

Pemimpin MCA itu menegaskan bahawa partinya sudah bekerjasama dengan rakyat pelbagai kaum sejak ditubuhkan.

"Saya ingin menegaskan bahawa meskipun MCA hanya terdiri daripada anggota Cina, kami kekal dengan pendekatan pelbagai kaum dan budaya sejak ditubuhkan pada 1949.


"Kami sudah bekerjasama dengan kaum lain sekian lama," katanya ketika melancarkan manifesto MCA Balakong pagi tadi.

Chew menambah Lim sebagai anggota parlimen dan menteri kewangan seharusnya menumpukan untuk membangunkan negara dan menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat dan bukannya memainkan isu perkauman.

"Tanggungjawabnya sebagai menteri adalah menjadikan kehidupan rakyat lebih baik, manifesto HARAPAN menjanjikan perkara itu. Bagaimanapun, kos hidup akan terus meningkat kerana nilai ringgit terus jatuh ketika ini," katanya.

Ulasan saya, BN tak perlu membantu kempen calon MCA di PRK Balakong kerana nampaknya MCA lebih rasis dari DAP. Kerajaan PH mahu mengadakan Kongres Ekonomi Bumiputera tetapi MCA cabar Lim Guan Eng hentikan kongres tersebut. 

Ini bermakna MCA yang lebih rasis dari DAP.

Saturday, August 18, 2018

FESTIVAL MEK DAN AWANG GANTI FESTIVAL PERANAKAN TERENGGANU



KUALA TERENGGANU, 18 Ogos (Bernama) -- Festival Peranakan Terengganu, iaitu acara pelancongan tahunan yang mempamerkan kebudayaan dan tradisi masyarakat Cina di negeri ini akan dijenamakan semula sebagai Festival Mek dan Awang mulai tahun depan.

Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata penjenamaan semula itu menggambarkan hubungan erat bukan sahaja sesama komuniti malah dengan masyarakat Melayu iaitu kaum majoriti di negeri ini.

"Panggilan mesra “Mek dan Awang” bagi masyarakat Cina di negeri Terengganu menggambarkan jalinan erat yang wujud melangkaui sempadan perbezaan kaum.

"Memandangkan keunikan nama ”Mek dan Awang” itu sendiri yang memberi pengertian identiti negeri Terengganu, dan setelah berbincang dengan pihak penganjur, saya dengan ini mencadangkan nama Festival Peranakan Terengganu dijenamakan semula sebagai ”Festival Mek Awang Terengganu” bermula tahun hadapan," katanya pada perasmian Festival Peranakan Terengganu 2018 di Kampung Tiong, dekat sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukhairi Abdullah.

Turut hadir, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Datuk Low Wan Cheong.

Wan Sukhairi ketika sidang media berkata penjenamaan semula festival itu adalah bersempena kejayaan penganjurannya selepas diadakan pada pertama kali tahun 2014 di Kampung Cina, di sini.

Ia diharap dapat meningkatkan lagi jumlah pengunjung terutama di kalangan masyarakat Melayu ke festival berkenaan di samping mengetengahkan keunikan produk kaum Peranakan Terengganu sebagai salah satu tarikan pelancongan negeri ini selain kluster pantai dan pulau.

"Ia satu keunikan dan hubungan mesra kerana di negeri ini kata ganti nama Mek bagi wanita dan Awang bagi kaum lelaki digunakan oleh kedua-dua kaum Melayu dan Cina," katanya.

Festival yang berlangsung selama enam hari bermula semalam hingga 22 Ogos ini diadakan di Kampung Tiong (bersebelahan Kampung Cina) dijangka dapat menarik kira-kira 120,000 orang pengunjung.

Antara pengisian festival seperti kesenian jalanan masyarakat Peranakan, pesta dan demonstrasi masakan serta makanan tradisional, karnival jualan dan pertunjukan Mek dan Awang.

-- BERNAMA

Friday, August 17, 2018

DASAR PERUMAHAN NEGARA DIJANGKA DILANCARKAN BULAN HADAPAN

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Dasar Perumahan Negara yang dijangka dilancarkan pada September, bertujuan untuk menyediakan perumahan mampu milik yang murah dan selesa bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata dasar itu yang sedang dikaji semula dan kini di peringkat akhir kajian, akan menangani definisi rumah mampu milik, harga semasa rumah, konsep bangunan masa depan dan kemudahan yang kementerian bercadang untuk memperkenalkan dalam skim perumahan awam dan swasta.

"Kami akan mematuhi nasihat Bank Negara mengenai lingkungan harga rumah untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40. Saya akan membuat pengumuman mengenainya pada akhir September,” kata beliau.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas menerima “mock-cheque” bernilai RM250,000 daripada presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Ir Soam Heng Choon untuk Tabung Harapan.

Turut hadir bekas presiden REHDA Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor.

Thursday, August 16, 2018

RM4,900 YANG HILANG DIPULANGKAN SEMULA KEPADA OMAR



KOTA BHARU, 16 Ogos (Bernama) -- Pembantu am yang wang miliknya sebanyak RM4,900 yang gagal didepositkan ketika berurusan di mesin deposit tunai sebuah bank di sini baru-baru ini, bersyukur apabila wang itu dikembalikan semula kepadanya semalam oleh lelaki yang mengambil wang itu.

Omar Mohd Nor, 45, berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu menghubunginya pada pukul 12 tengah hari semalam setelah rayuannya disiarkan pihak media.

Lelaki itu berbuat demikian selepas perkara itu disiarkan akhbar dan tular di media sosial selain wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bank itu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Omar dari kampung Kedai Buloh di sini, berkata kejadian berlaku pada 10.20 pagi 6 Ogos lepas ketika beliau cuba memasukkan sejumlah RM5,000 ke akaunnya bagaimanapun sekeping wang kertas bernilai RM100 gagal diproses.

Selepas mengambil wang RM100 itu dan menyangka RM4,900 lagi sudah selesai dideposit, beliau beredar tanpa menyedari proses transaksi itu belum selesai kerana kealpaannya tidak meneruskan arahan berikutnya yang tertera pada skrin mesin deposit berkenaan, katanya.

Beliau menyedari wang itu gagal didepositnya selepas memeriksa akaunnya pada keesokan hari dan pihak bank juga mengesahkan tiada sejumlah wang itu didepositkan dan mengesyaki wang itu mungkin diambil oleh individu yang berada di belakangnya ketika beratur untuk menggunakan mesin itu.

-- BERNAMA

Wednesday, August 15, 2018

TERENGGANU PERHEBAT PROGRAM PERKAHWINAN IBU DAN BAPA TUNGGAL




KUALA TERENGGANU, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan terus memperhebatkan program perkahwinan melibatkan ibu dan bapa tunggal di seluruh negeri bagi membolehkan 43,269 orang golongan itu membina kehidupan berkeluarga yang lebih baik.

Menerusi program yang dimulakan pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan insentif RM1,000 untuk golongan ibu dan bapa tunggal yang ingin kembali menjalani kehidupan berumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata setakat Jun tahun ini, 35,426 ibu tunggal dan 7,843 bapa tunggal di negeri ini telah berdaftar dengan program itu.

"Jumlah ini sebenarnya tidaklah terlalu ramai jika dibandingkan nisbah penduduk Terengganu keseluruhannya. Namun kerajaan negeri akan terus menyediakan pelbagai insentif kepada mereka untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negeri ini.

Program insentif perkahwinan ibu tunggal dan bapa tunggal sebanyak RM1,000 seorang ini misalnya adalah satu sumbangan permulaan yang baik daripada kerajaan negeri untuk membantu mereka memulakan kehidupan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan cek sagu hati perkahwinan kepada 117 ibu dan bapa tunggal di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) , Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Ketika ini, 311 ibu dan bapa tunggal telah menerima insentif sebanyak RM1,000 seorang itu.

Hanafiah berkata kebanyakan ibu dan bapa tunggal di Terengganu adalah mereka yang kematian pasangan masing-masing dan hanya sebahagian kecil sahaja yang bercerai.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku perbuatan tidak bertanggungjawab yang memperalatkan ibu atau bapa tunggal ini semata-mata untuk mendapatkan wang insentif itu, Hanafi berkata hanya satu kes dilaporkan kepada YPKT setakat ini.

"Ia hanya kes terpencil di mana berlaku perceraian setelah pasangan mereka menerima wang ini...mungkin memang setakat itu sahaja jodoh mereka. Apa pun, kerajaan negeri akan sentiasa melaksanakan pelbagai program pasca perkahwinan kepada mereka agar perkahwinan itu kekal ke akhir hayat," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, August 14, 2018

PERKARA 27 FASA 2 ENAKMEN 1999 BUKAN SAHAJA BOLEH LANTIK WANITA MALAH ORANG CINA SEBAGAI ADUN DILANTIK



KUALA TERENGGANU, 14 Ogos (Bernama) -- Terengganu bakal melantik seorang pemimpin wanita yang setaraf Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mewakili kepentingan golongan itu dalam persidangan DUN negeri ini.

Yang Dipertua DUN Yahaya Ali berkata ia adalah sebahagian penambahbaikan yang dibuat oleh pentabiran kerajaan negeri PAS memandangkan kini tiada ADUN wanita untuk menyuarakan permasalahan dan kepentingan golongan itu di Terengganu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi sebelum proses pelantikan itu berlaku dan beliau berharap ia dapat diselesaikan sebelum persidangan DUN akan datang, yang dijadual pada November.

"Pelantikan pemimpin wanita ini adalah seperti lantikan senator di Parlimen di mana mereka tidak bertanggungjawab terhadap rakyat di kawasan yang diwakili. Mereka juga diberi ruang untuk menyertai sesi perbahasan dan sesi soal jawab dalam persidangan DUN.

"Pemimpin wanita dilantik ini bagaimanapun tidak layak mengundi sepertimana 32 ADUN Terengganu yang lain. Selain elaun, ada beberapa keistimewaan yang akan mereka nikmati sebagai ADUN dilantik… ia masih dalam perbincangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus khas bagi ADUN Terengganu di sini,hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata pelantikan ADUN itu sudah termaktub dalam Perkara 27, Fasal 2, Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu yang diluluskan ketika era pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004.

"Pelantikan ini perlu mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan seterusnya dikemukakan pada persidangan DUN akan datang selewatnya pada November.

"Selain pelantikan wakil wanita, ada lagi beberapa penambahbaikan yang akan dibuat untuk memastikan DUN Terengganu dapat menjalankan fungsinya sebagai badan legislatif yang berwibawa demi kepentingan rakyat negeri ini," katanya.

Kursus khas itu bertujuan memberi pendedahan kepada semua ADUN terhadap peranan mereka sepanjang persidangan dewan, pengetahuan tentang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan protokol untuk istiadat istana.

Ulasan saya, saya telah ulas isu ini dalam blog ini pada 18 Julai lalu http://todayterengganu.blogspot.com/2018/07/terengganu-boleh-laksanakan-enam-orang.html. Maka saya bersetuju penuh dengan kenyataan Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali.

Malah saya menulis bahawa : ketika PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 sidang DUN Terengganu telah meluluskan enakmen perlantikan enam orang ADUN. Maka sudah sampai masanya bagi MB melaksanakan enam orang ADUN dilantik itu untuk mewakili kaum cina, kaum india, orang asli, wanita, veteran dan wakil NGO



Monday, August 13, 2018

DR NUR ILLYANI BERHAK BERSUARA KATA SYED SADDIQ



KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini tampil mempertahankan doktor perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berikutan ‘surat terbuka’ yang ditulisnya kepada aktivis sosial, Marina Mahathir, baru-baru ini.

Syed Saddiq berkata, beliau sendiri akan bangkit bersuara dan menentang sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada doktor perubatan tersebut sekiranya ada.

“Kalau ada tindakan disiplin terhadap pegawai perubatan tersebut, saya sendiri akan bersuara dan menentangnya.

“Tetapi setakat ini saya dimaklumkan tidak ada sebarang tindakan disiplin diambil keatasnya, cuma sekadar aduan,” katanya dalam sidang media Majlis Kepimpinan Majlis Belia Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan tindakan doktor berkenaan menulis 'surat terbuka' di Facebooknya pada 6 Ogos lalu mengenai pandangannya terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antara lain Dr Nur Ilyani menulis : "Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang".

"Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

"Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka.

"Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?" tulisnya.

Pandangan doktor itu menerima kritikan sesetengah pihak, antaranya Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang mengingatkan beliau agar memenuhi ikrar sebagai seorang pengamal perubatan.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan prinsip kementerian itu tidak mendiskriminasi hak mana-mana golongan termasuk LGBT.


Selain itu, PAS semalam turut menggesa kerajaan khususnya KKM supaya tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib atau pentadbiran ke atas Dr Nur Ilyani.

Sebuah petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata doktor berkenaan berhak menyuarakan pandangannya mengenai isu itu kerana Malaysia mendukung hak kebebasan bersuara.

“Bagi saya setiap pihak berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, kalau kita bersetuju kita boleh bersetuju tetapi jika kita tidak bersetuju kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Tetapi, saya tidak setuju sama sekali kalau tindakan disiplin diambil ke atasnya.

“Kerana beliau berhak memberikan pandangannya dan itu pandangan peribadi beliau dan pada masa yang sama jika tindakan diambil ke atasnya, maksudnya kita sedang menyekat suara dan pandangan beliau,”tegas Syed Saddiq.


Sunday, August 12, 2018

JENTERA PAS DARI SELURUH NEGARA AKAN BERKAMPUNG DI DUN SERI SETIA

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos (Bernama) – Mesyuarat jentera pilihan raya PAS akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju serta strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Selangor .

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bukan sahaja PAS Terengganu malah PAS seluruh negara akan menghantar jentera masing-masing ke Seri Setia.

"Berapa jumlah, bagaimana cara, itu akan diputuskan dalam mesyuarat jentera parti dalam sehari dua ini," katanya.

Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, ditemui pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat negeri di sini, hari ini.

Barisan Nasional memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong pada 8 Sept.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Baharuddin daripada PKR meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Saturday, August 11, 2018

UMT LAKSANA PROJEK TERNAKAN KELULUT BERSAMA GOLONGAN ASNAF



KUALA NERUS, 11 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulutnya (SIG) mengambil inisiatif melaksanakan projek ternakan kelulut bersama golongan asnaf bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Peringkat awal Projek Ternakan Kelulut Translational (PTKT) yang juga projek perintis yang dijalankan di kawasan Masjid Kampung Gemuruh dekat sini itu melibatkan lima peserta.

Pengarah Projek Prof Madya Shamsul Bahri Abd Razak berkata ia antara usaha universiti bagi membantu komuniti setempat melalui penjanaan ekonomi yang tidak melibatkan kos tinggi atau proses penjagaan yang rumit.

"Ia selaras dengan hasrat universiti yang mahukan komuniti kampus menyumbang lebih banyak bakti kepada masyarakat melalui pemindahan ilmu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan bantuan PTKT daripada Syarikat Ecobee kepada UMT di lokasi projek hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan, ia melibatkan 15 koloni kelulut yang dipantau anggota SIG yang akan memberi khidmat nasihat dan bimbingan selama dua tahun dalam semua aspek.

Shamsul Bahri berkata memandangkan ternakan kelulut mampu memberi hasil dalam masa singkat dan senang dipasarkan, projek PTKT dicadang diperluas ke sekolah dan pusat tahfiz bagi mendorong mereka menjana pendapatan sendiri.

Peserta projek, Bahadi Mat Dong, 53, dari Kampung Gemuru, berkata beliau sudah lama berminat untuk menternak kelulut kerana ramai yang menyatakan ia mampu memberi pulangan lumayan.

Seorang lagi peserta, Abdullah Salleh, 70, turut bersyukur kerana diberi peluang mendapatkan pendapatan sampingan.

"Pada usia ini pakcik memang dah tak larat nak kerja lain. Jadi bila terpilih rasa gembira sangat. Lagipun ia dibuat dalam kawasan masjid, mudahlah nak jaga dan jenguk selalu koloni kelulut itu," katanya.

-- BERNAMA

Friday, August 10, 2018

KERAJAAN PAS JAGA KEHARMONIAN TANPA KIRA IDEOLOGI POLITIK




KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) – Pentadbiran Kerajaan Negeri PAS Terengganu akan terus mengekalkan prinsip menjaga keharmonian tanpa mengira latar belakang ideologi politik, kaum mahu pun agama agar segala perancangan memajukan negeri ini berjalan lancar.

Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri berkata prinsip politik matang akan terus dilaksanakan bagi memastikan segala perubahan dan perancangan yang ingin dibawa PAS ke Terengganu termasuk melaksanakan 20 janji manifesto Pilihan Raya Umum 2014 (PRU) dapat dilaksanakan.

"Apa yang hendak dilaksanakan ini tidak akan berjaya sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati ekoran berlaku ketidakadilan terhadap mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Sesi Dialog Bersama Media Terengganu di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, bagaimanapun berkata tidak mudah untuk mengamalkan politik matang terutama melibatkan penduduk kampung.

Justeru katanya, beliau mahu pemimpin negeri, terutama exco-exco, anggota Majlis Komuniti dan Keselamatan (MPKK) memainkan peranan masing-masing dan menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat khususnya dalam melaksanakan janji manifesto yang akan dilakukan secara berperingkat.

“Bagi melaksanakan janji manifesto, dua jawatankuasa telah ditubuhkan dan setakat ini satu daripada manifesto iaitu melaksanakan pemberian tanah kepada rakyat sedang dilaksanakan,” katanya.

Kira-kira 150 pengamal media Terengganu dari pelbagai agensi dari BERNAMA, Kumpulan New Straits Times, Sinar Harian, Harakah dan agensi berita Kerajaan Negeri, Urusetia Penerangan Darul Iman hadir pada majlis itu.

-- BERNAMA

Thursday, August 9, 2018

KHAIRY MAHU PEROMPAK GST DIBAWA KE MAHKAMAH

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah ‘dirompak’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Khairy berkata tuduhan yang dibuat oleh Lim semalam di Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan merupakan tuduhan yang serius dan memerlukan bukti kukuh.

“Semalam di Parlimen saya tanya beliau (Guan Eng), adakah siasatan akan dibuat terhadap isu ini?

“Guan Eng menjawab kementeriannya akan melakukan siasatan dalaman bagi menyiasat perkara berkenaan,” katanya.

Lim perlu membuat siasatan terbuka dan bukan siasatan dalaman di peringkat kementeriannya, katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pada 2 petang.

“Kami di BN juga hendak membersihkan nama kerajaan yang lepas, sekiranya berlaku ‘rompakan’ maka bawalah mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Wednesday, August 8, 2018

MAHFUZ MINTA ORANG RAMAI BANTU MANGSA GEMPA BUMI LOMBOK

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar hari ini meminta orang ramai untuk turut membantu mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.

Mahfuz, yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena berkata orang ramai boleh memberi sumbangan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi yang terlibat secara langsung memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa gempa bumi itu.

"Difahamkan, bantuan yang diperlukan ialah bekalan air bersih, makanan termasuk pek makanan untuk bayi dan pesakit, ubat-ubatan, pakaian, selimut, dan pek kebersihan diri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan bantuan khas Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim untuk Lombok di lobi Parlimen, hari ini.

Pada majlis itu, Mahfuz turut menyerahkan sumbangan peribadi berupa cek berjumlah RM10,000 kepada wakil pertubuhan itu.

Dalam pada itu, wakil pertubuhan itu Siti Fatyhah Sulaiman berkata setakat ini, pihaknya dapat mengumpul RM20,000 hasil sumbangan orang ramai.

"Kami akan ke Lombok pada Sabtu (11 Ogos) ini untuk menyalurkan sendiri bantuan menerusi kerjasama NGO di sana yang mana ini adalah fasa pertama bantuan. Kami akan terus mengumpul dana bagi membantu masyarakat di sana," katanya.

Siti Fatyhah berkata orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh membuat pembayaran menerusi akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim di 5641-0042-1083 atau melayari laman sesawang http://www.smuslim.com dan Facebook https://www.facebook.com/SerantauMuslim.

Ahad lepas, gempa bumi berukuran 7 pada skala Ritcher kira-kira 6.46 petang waktu tempatan menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia dan dilaporkan meragut 105 nyawa.

-- BERNAMA

Sunday, August 5, 2018

KERAJAAN SEDIAKAN RM200,000 BAIKI 152 RUMAH ROSAK AKIBAT RIBUT

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menampung kos baik pulih kesemua 152 rumah yang rosak akibat ribut dan angin kencang yang melanda Bandar Chukai, Kemaman malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kerja baik pulih kerosakan semua rumah terlibat bermula hari ini.

"Semua mangsa ribut di Kemaman ini telah menghubungi Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk memberikan butiran kerosakan yang mereka alami.

Insya-Allah bagi kerosakan kecil, ia akan siap hari ini namun bagi rumah yang mengalami kerosakan agak teruk mungkin mengambil masa sehingga dua hari untuk siap sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ribut dan angin kencang yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam itu menyebabkan kerosakan 152 rumah kediaman, empat kedai dan dua kereta akibat pokok tumbang.

Saturday, August 4, 2018

SULTAN MIZAN RASMI KTS HOSPITAL

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenaan berangkat merasmikan Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital yang beroperasi di bangunan baharu di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk di sini hari ini.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, anakanda-anakanda baginda berdua, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Datuk Mohamat Muda serta barisan kepimpinan negeri.

KTS adalah satu daripada empat buah hospital pakar kepunyaan Kumpulan Medic Iman (KMI) iaitu anak syarikat TDM Berhad (TDM), sebuah syarikat milik kerajaan Terengganu.

Hospital lapan tingkat yang mula beroperasi 28 Jan itu mempunyai 130 buah katil, lima dewan bedah, satu unit rawatan rapi.

Perkhidmatan yang ditawarkan KTS meliputi disiplin utama perubatan seperti perubatan umum, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Dermatologi, Makmal, Farmasi, dan Pengimejan Diagnostik seperti X ray dan Mammogram.

Terdahulu, Sultan Mizan dalam titah perasmiannya berharap kewujudan KTS bukan sekadar menawarkan pilihan kepada rakyat negeri itu bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan tetapi menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan khususnya bagi rakyat di negara ini.

"Dengan reka bentuk bangunan yang mengikut standard piawaian antarabangsa, KTS berupaya menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan di Malaysia.

"Beta dimaklumkan bahawa TDM Berhad melalui Kumpulan Medic Iman menawarkan penjagaan kesihatan pada kos yang berpatutan, ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta di bawah TDM (termasuk KTS)," titah baginda.

Selain KTS di Kuala Terengganu, TDM Berhad mempunyai tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre, (Pahang), Kelana Jaya Medical Centre (Selangor) dan Taman Desa Medical Centre (Lembah Klang).

-- BERNAMA

Wednesday, August 1, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JULAI 2018

Rating tertinggi bagi bulan Julai 2018 untuk blog ini ialah posting "Orang Air Putih tak layak jadi Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih" yang disiarkan pada 13 Julai dengan 459 hits.

10 rating tertinggi bagi blog todayterengganu untuk bulan Julai 2018 adalah seperti berikut:

1.Orang Air Putih tak layak jadi Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih? (13 Julai) - 459 hits.
2. Jangan cakap sombong dan kasar bla bertugas di kaunter utama (17 Julai)
3. Sekolah di Terengganu sudah lama pakai kasut hitam sejak 2015 (20 Julai)
4. 50,077 orang baca berita MB digesa pecat Pengarah YPK (1 Julai)
5. Semua calon BN dicadang buat akurjanji jika keluar UMNO kena letak jawatan (9 Julai)
6.Terengganu boleh laksanakan enam orang DUN dilantik (18 Julai)
7. Apa salahnya Mahdzir Khalid jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu? (14 Julai)
8.Zam ketinggalan zaman (21 Julai)
9. LSSPV jana pendapatan kepada EPIC sebanyak RM273 juta (16 Julai)
10. Kumpulan reformasi lawan kumpulan penyamun (27 Julai)