Friday, June 28, 2019

WARGA EMAS AKTIF SUKAN LUNCUR UDARA

KUALA NERUS, 28 Jun (Bernama) -- Usia bukan penghalang bagi warga emas untuk bergiat aktif dalam aktviti lasak. Ini dibuktikan oleh Sim Meng Kwoon, 77, yang aktif dalam sukan paragliding (luncur udara) untuk kekal sihat dan cergas.

“Untuk sertai paragliding ini tubuh badan kita perlu sihat. Jadi saya memang sentiasa menjaga kesihatan untuk memastikan saya dapat terus melakukan paragliding ini,” katanya ketika ditemui Bernama pada acara Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019 di Bukit Maras, di sini, hari ini.

Sim dari Singapura adalah peserta tertua dalam acara itu dan berpengalaman lebih 100 kali meluncur di udara sejak 22 tahun lepas.

Sementara itu, peserta termuda, Pimnara Hannarongsak (perempuan), 11, yang berasal dari Krabi, Thailand berasa sangat teruja kerana ini merupakan pertama kali melakukan paragliding di Malaysia.

Pimnara berkata ini merupakan peluncurannya yang keempat sejak menceburi sukan paragliding setahun lepas.

“Pada mulanya memang takut sehingga saya perlu ditemani oleh pilot (peluncur profesional) untuk meluncur. Tetapi apabila berada di udara saya sangat teruja kerana merasa seperti burung yang bebas terbang ke sana sini,” katanya yang kini sudah berani meluncur seorang diri.

Sementara itu peserta lelaki dari Bangkok Thailand, Prasertpong Sornnuvatara, 52, berkata selain berasa teruja kerana dapat ‘terbang’ di udara, aktiviti paragliding juga memberinya peluang untuk mempunyai ramai kenalan dari serata dunia.

Beliau yang aktif dalam sukan luncur udara sejak 24 tahun lepas telah menjelajah ke pelbagai negara termasuk Malaysia dan Australia semata-mata untuk memenuhi minatnya itu.

“Kami sesama peluncur akan berkongsi tips untuk mengawal payung luncur ketika di udara selain memberi sokongan dan bantuan sekiranya ada di antara kami yang mempunyai masalah ketika hendak meluncur atau mendarat,” katanya.

Ini merupakan kali kedua beliau datang ke Terengganu untuk melakukan paragliding dan beliau sebelum ini pernah melakukan aktiviti itu di Bukit Bubus di Besut.

Sementara itu Setiausaha Persatuan Luncur Udara Terengganu (PLUT) Anuar Ngah berkata Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini disertai 67 peluncur dari lapan negara termasuk Thailand, Singapura, Perancis, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Acara itu memberi peluang kepada peserta untuk meluncur dari Bukit Maras yang berketinggian 329 meter dari paras laut sambil menghayati pemandangan indah Terengganu termasuk Pulau Kapas yang kelihatan jelas pada waktu siang.

“Ia juga bagi mempromosi Bukit Maras sebagai produk pelancongan berkonsepkan nature and adventure. Lokasinya juga sesuai dengan aktiviti paragliding kerana di sekitar bukit itu terdapat kawasan yang lapang dan luas untuk para peluncur mendarat,” katanya.

Acara anjuran PLUT dengan kerjasama Maras Hiking Community itu juga membuka peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman paragliding melalui bantuan peluncur profesional dengan bayaran hanya RM150.

-- BERNAMA

Thursday, June 27, 2019

RM160 NAIK HELIKOPTER DI KOTA BHARU

KOTA BHARU, 27 Jun (Bernama) -- Satu pengalaman baru bagi rakyat Kelantan apabila sebuah syarikat menawarkan peluang menaiki helikopter mengelilingi bandar Kota Bharu pada harga berpatutan.

Teruja dengan tawaran itu, Amin Zainal Rasid, 29, telah membawa anggota keluarganya menaiki helikopter yang terdiri daripada ibunya Azmah Azhar, 64, isterinya, Siti Ainshah Masri, 24, dan anaknya Muhammad Aydeen Amrullah, dua tahun.

"Saya ternampak status dalam laman sosial Facebook mengenai tawaran dari syarikat ini (AF Jets Sdn Bhd) menawarkan orang awam naik helikopter di Kota Bharu," katanya menceritakan kesenokan dan keterujaan keluarganya ketika ditemui Bernama di Padang Perdana di sini hari ini.

"Teruja dengan tawaran ini, saya terus membawa ahli keluarga termasuk ibu bersama-sama menikmati kegembiraan agak mencabar di udara secara eksklusif," kata Amin, yang juga seorang usahawan gajet.

Beliau berkata, usaha membuka peluang seperti itu disambut baik rakyat Kelantan memandangkan harga yang ditawarkan iaitu RM160 setiap penumpang adalah murah berbanding di negeri lain.

Menurut Amin, peluang itu sangat dinanti-nantikan kerana beliau sudah banyak kali membuat tinjauan dari segi harga untuk menaiki helikopter bersama keluarga, malah selepas mendarat, beliau dan anggota keluarganya tidak berasa puas menikmati keindahan pemandangan bandar dari udara di tempat sendiri.

"Rasanya selepas ini saya akan buat permintaan untuk melihat pemandangan lebih jauh, mungkin ke Machang dan kami sanggup bayar lebih daripada ini," katanya yang tinggal di Kampung Baung Bayam di sini.

Bagi Azmah, beliau agak gerun pada mulanya untuk menaiki helikopter tetapi menyatakan kegembiraannya sebaik melihat bandar Kota Bharu dari udara.

"Rasa dekat sangat kita dengan bandar, sebelum ini kalau naik kapal terbang biasa, kita lihat pemandangan tu jauh sangat, cumanya semasa membelok di udara, rasa gayat macam naik roller coaster.

"Semasa di udara, rasa mahu cepat turun, tetapi apabila sudah mendarat, rasa sekejap pula dan belum puas merasai pengalaman ini," katanya yang juga pesara guru.

Dalam pada itu, Pengasas AF Jets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar berkata pihaknya datang ke Kelantan sebagai menyokong usaha penganjuran Kelantan International Bike Week 2019 yang diadakan bermula hari ini hingga Sabtu ini.

"Sebelum ini program ini tak pernah ada kelainan, jadi kita buat kelainan dengan membawa tiga pesawat, dua helikopter jenis Robinson R44, Mosquito XE 285 dan kapal terbang jenis Long EZ yang dibawa untuk persembahan pembukaan.

"Kita bercadang selepas ini, sesuai dengan tema antarabangsa, kita boleh buat Kelantan Event Week dengan bawa kenderaan lain selain motosikal, kita boleh juga bawa kenderaan udara dan laut kerana semua itu ada peminatnya yang tersendiri untuk menarik lebih ramai pengunjung," katanya.

Menyentuh sambutan tempahan dan pendaftaran terbuka penumpang menaiki helikopter mengelilingi Kota Bharu, Amrul Nizar berkata ramai orang Kelantan teruja dan membuat tempahan di Facebook.

"Kami hanya adakan promosi dua minggu dan dalam tempoh itu, hampir 200 orang Kelantan buat tempahan, malah kami gembira kerana hari ini ramai yang datang secara pendaftaran terbuka.

"Kita pernah beri sokongan pada program di Kuala Lumpur dan Langkawi dengan tawaran harga lebih RM400 setiap penumpang, manakala di Shah Alam RM199," katanya yang mempunyai 13 kapal terbang dan helikopter secara keseluruhan.

Katanya, tawaran berkenaan diberikan kerana melihat kesungguhan orang Kelantan yang sangat menghargai pesawat udara.

"...bagi saya, jiwa dan minat orang Kelantan sangat unik kerana mereka menghargai kapal terbang dan helikopter.

"Jadi, dengan adanya aktiviti berkait dengan penerbangan, elok juga bawa kanak-kanak kerana dengan usia itu, mereka mudah ingat dan mungkin boleh berkerjaya dalam industri penerbangan apabila dewasa kelak," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, June 26, 2019

PUTRA SASAR TUBUH 191 BAHAGIAN



KUALA LUMPUR - Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) menyasarkan untuk berjaya menubuhkan 191 bahagiannya menjelang akhir bulan hadapan.


Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, sejak Putra menerima sijil kelulusan pada 8 Mei lalu, parti itu telah berjaya melantik sejumlah 124 ketua penaja bahagian di seluruh negara tidak termasuk Sarawak.

Jelasnya, kesemua ketua-ketua penaja tersebut kebanyakannya terdiri dalam kalangan tokoh akademik, pensyarah serta bekas pegawai tinggi polis dan tentera.

"Kami sasarkan mahu pastikan semua ketua penaja bahagian yang dilantik ini dengan 191 kesemuanya dapat sempurna dan mereka dapat menyerahkan juga pendaftaran kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada akhir Julai. Ini bagi peringkat memohon kebenaran untuk menubuhkan bahagian
.

"Selepas itu prosesnya, ROS akan keluarkan surat melulus untuk bahagian berkenaan mengadakan mesyuarat, ini yang kita mahu selesai pada hujung bulan Julai," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Putra di Rumah Bakti Dato' Harun, Hulu Kelang di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, fasa kedua pula adalah melibatkan proses penubuhan cawangan dan seterusnya Putra menjangkakan dapat mengadakan majlis pelancaran parti itu pada 1 September depan.

"Proses penubuhan cawangan akan berjalan serentak tetapi fasa kedua adalah pada awal Ogos. Kita berharap semua bahagian dapat menubuhkan sekurang-kurangnya 10 cawangan.

"Kalau kita dapat sempurnakan penubuhan bahagian setidak-tidaknya 80 peratus termasuk 30 peratus cawangan mengikut pusat daerah mengundi (PDM) di setiap bahagian, sasaran kita pelancaran parti Putra akan diadakan pada 1 September sempena dengan tarikh sambutan Maal Hijrah serta sehari selepas hari kebangsaan," katanya.

Monday, June 17, 2019

WAN AZIZAH TAK AKAN LEPASKAN JAWATAN TPM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penegasan Dr Wan Azizah itu sekali gus menolak gesaan supaya beliau melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Anwar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri yang baharu dan seterusnya mengambil alih kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Saya ingat tidak berbangkit sebab kita dah janji sebelum ini bahawa Perdana Menteri adalah Tun Dr Mahathir (Mohamad), dan saya adalah Timbalan Perdana Menteri.

"Masa saudara Anwar ambil sebagai presiden parti (PKR) pun tidak ada perbedaan, jadi saya dah katakan bila Anwar jadi PM, saya akan ‘step down’ (berundur), so tiada isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertahanan Siber Persatuan Antikeganasan dan Profesional Keselamatan Antarabangsa 2019 (IACSP) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah mengulas gesaan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Shaid Rosli yang mendesak Dr Wan Azizah meletak jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Dr Mahathir dan Anwar berlaku dalam tempoh berbaki setahun lagi.

Beliau berkata beliau tetap berpegang pada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyetujui Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika mengambil alih kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa peralihan kuasa akan berlaku seperti mana dijanjikan oleh Dr Mahathir iaitu memberi laluan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri selepas dua tahun pembentukan kerajaan PH.

-- BERNAMA

Sunday, June 16, 2019

DRAWBRIDGE DITUTUP MULAI MALAM TADI

KUALA TERENGGANU, 16 Jun (Bernama) -- Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di sini yang dibuka untuk percubaan pada 2 Jun lepas, akan ditutup semula tepat 12 tengah malam ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya berkata laluan jambatan itu akan ditutup dengan kon dan semua kenderaan tidak lagi dibenarkan melaluinya.

“Apabila ditutup nanti kita akan tengok balik apa yang boleh dinaik taraf untuk keselesaan pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat ini tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum ditetapkan lagi.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu merupakan yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Setelah tamat pengujian sistem, jambatan angkat akan ditutup semula mulai tengah malam ini bagi tujuan pentauliahan komponen lain projek itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata nama rasmi jambatan itu baharu itu akan diumumkan ketika ia dibuka secara rasmi kelak.

-- BERNAMA

Friday, June 14, 2019

AKHIRNYA HAZIQ DITAHAN



KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku sebagai individu dalam video lucah dengan mengaitkan seorang menteri Kabinet, dijadual berlepas ke Manila, berdasarkan tiket penerbangannya, sebelum ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Haziq Abdullah, 27, ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, petang tadi.

Huzir berkata Haziq Abdullah, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditahan pada jam kira-kira 6 petang oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan polis.

“Haziq Abdullah disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menjual buku-buku berkaitan lucah dan sebagainya, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, membuat pengakuan bahawa dia adalah lelaki dalam aksi seks itu bersama seorang yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam video itu dan menyifatkan sebagai satu tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu juga menegaskan siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

-- BERNAMA

Thursday, June 13, 2019

TIADA LESEN MEMANDU KESALAHAN UTAMA OP HARI RAYA

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Tiada lesen memandu merupakan kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya di ibu negara sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019, dilaksanakan sejak 29 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Zamakhshari Hanipah berkata sebanyak 2,405 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan, termasuklah 44 peratus atau 1,056 saman atas kesalahan tiada lesen memandu.

"Sebanyak 21 daripada 1,176 kenderaan yang diperiksa dalam tempoh itu telah disita atas pelbagai kesalahan…. malah setakat pukul 10 malam ini sahaja, sebanyak 12 kenderaan disita dan 270 saman dikeluarkan.

“Selain itu, 15 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen, kerana tidak mempunyai pasport serta dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita pada operasi bersepadu HRA 2019 di Stesen Transit Aliran Ringan Bangsar di sini.

Operasi yang bermula 8 malam itu disertai 70 anggota JPJ Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

-- BERNAMA

Wednesday, June 12, 2019

MB TAK AKAN TARIK DIRI BERTANDING NAIB PRESIDEN PAS

KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak akan menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden PAS walaupun dirinya hanyalah calon 'underdog' berbanding tiga penyandang lain.

Beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya PAS pusat berkata keputusannya untuk terus bertanding adalah bagi menghormati pencalonan yang telah dibuat oleh aqnggota akar umbi.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 yang akan berlangsung di Pahang pada 21 hinga 23 Jun ini menyaksikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, Ahmad Samsuri yang merupakan calon baharu akan mencabar tiga penyandang iaitu Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata beliau melepaskan jawatannya dan bertanding jawatan anggota jawatankuasa pusat kali ini.

Ahmad Samsuri dan Muhammad Khalil ditemui pemberita pada majlis meraikan kejayaan pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam di sini hari ini.

Pasukan tersebut memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan bertaraf antarabangsa 11th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2019) yang berlangsung di Palace Culture, Romania pada 16 hingga 18 Mei lalu.

-- BERNAMA

Monday, June 10, 2019

DR AHMAD SAMSURI TAWAR DIRI TANDING NAIB PRESIDEN PAS


KUANTAN, 9 Jun (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-65.

Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata keputusan itu dibuat selepas tiada calon lain yang menyatakan hasrat untuk bertanding selepas tempoh pencalonan ditutup kira-kira tiga minggu lepas.

Bagi jawatan Naib Presiden, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan akan bertanding menentang tiga penyandang iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

"Seramai 29 calon yang layak telah menyatakan kesediaan untuk bertanding bagi mengisi 18 jawatan Anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat manakala bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, seramai 16 calon bertanding bagi mengisi 12 jawatan AJK,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dan timbalannya Andansura Rabu.

Mohd Fuad berkata bagi Dewan Muslimat PAS Pusat, semua jawatan tertinggi juga dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang manakala 17 calon akan bertanding bagi mengisi 12 jawatan AJK dewan tersebut.

Beliau memaklumkan Dewan Pemuda PAS Pusat juga bakal diterajui oleh ketua baharu yang menang tanpa bertanding, namun namanya hanya akan diumumkan kemudian, memandangkan penyandangnya Muhammad Khalil Abdul Hadi bertanding bagi jawatan AJK PAS Pusat.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua calon yang bertanding diberikan masa sehingga Rabu ini jika mereka berhasrat menarik diri, dengan berbuat demikian secara bertulis kepada jawatankuasa pemilihan.

Berhubung pembentangan usul, Takiyuddin berkata mesyuarat khas akan berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada Jumaat ini (14 Jun) bagi memperhalusi semua usul yang ingin dibawa oleh perwakilan.

Beliau berkata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosly Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man serta Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan turut dijangka menghadiri muktamar tahun ini.

"Kita menjangkakan tidak kurang 1,200 perwakilan akan menghadiri muktamar tahun ini dan Presiden dijadualkan menyampaikan amanat kepada semua perwakilan secara tertutup pada malam 20 Jun sebelum perasmian muktamar pada keesokannya," katanya.

Abdul Hadi juga dijadualkan merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 21 Jun ini, yang dijangka dihadiri 300 anggota.

Muktamar PAS ke-65 menyaksikan Dewan Muslimat PAS membuka tirai persidangan pada 15 Jun ini di Pusat Konvensyen Bukit Gambang di sini, diikuti Dewan Pemuda PAS pada 19 dan 20 Jun di tempat sama.

Selain itu, Dewan Ulama PAS Pusat bersidang di Wisma Belia Indera Mahkota di sini pada 20 Jun manakala persidangan utama berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA di sini selama tiga hari bermula 21 Jun ini.

-- BERNAMA

Saturday, June 1, 2019

BERSELFIE DI DRAWBRIDGE DENGAN NAIK BOT

KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) -- Orang ramai yang pastinya teruja menantikan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ dibuka esok boleh menggunakan perkhidmatan ‘Payang Water Taxi’ untuk berswafoto berlatar belakangkan ikonik baharu Terengganu itu.

Zakaria Dagang, Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd yang mengendalikan Payang Water Taxi, berkata penumpang boleh menikmati pakej ‘Selfie di Drawbridge’ dari atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu dengan tambang hanya RM5.

“Pada bulan Ramadan ini pun kawasan pesisir pantai yang berdekatan dengan drawbridge dipenuhi penduduk tempatan yang berbuka puasa berlatarbelakangkan jambatan angkat itu dan pemandangan ini sangat menarik.

Jadi kami jadikan jambatan itu sebagai punca rezeki kami. InsyaAllah selepas ini apabila jambatan itu dibuka sepenuhnya akan lebih ramai lagi orang yang datang dan kita akan beri perkhidmatan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Pakej terbaharu itu bermula sejak April lepas dengan menggunakan dua buah bot berkapasiti 42 penumpang dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Sekarang ini sebagai percubaan ia beroperasi setiap Jumaat dan Sabtu dari pukul 5.00 hingga 6.30 petang. Dan selama satu jam setengah itu trip kami memang penuh dengan penumpang,” katanya.

Selain itu, Payang Water Taxi yang beroperasi sejak Julai 2018 turut menawarkan beberapa pakej pelayaran menyusuri Sungai Terengganu dan penumpang berpeluang bergambar di kawasan menarik di sepanjang sungai itu dengan tawaran harga bermula RM5.00 hingga RM10.

Terdapat dua laluan disediakan Payang Water Taxi iaitu Laluan A bermula di Jeti Pulau Warisan menyusuri beberapa tempat antaranya Duyong Marina & Resort, Jeti Seberang Takir dan Jambatan Angkat.

Laluan B pula akan membawa penumpang ke Masjid Kristal, Pulau Pasir, Duyong Marina & Resort, Jambatan Angkat dan Persisir Payang.

Pengunjung turut dibawa menikmati kari kepala ikan Pakej Payang Water Taxi ke Warung Santai D’River di Kampung Pasir Tinggi di sini dengan bayaran RM68 seorang.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu akan dibuka untuk percubaan esok sehingga 17 Jun.

-- BERNAMA