CHUKAI, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhasrat mahu menggunakan kaedah 'paperless' dalam Jentera Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus serta persidangan melibatkan Pergerakan Wanita UMNO di seluruh negara pada masa akan datang.
Beliau yang teruja melihat pelaksanaan sistem yang dirintis UMNO Bahagian Kemaman itu melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika mengedar buku mesyuarat kepada perwakilan, kagum dengan kesungguhan UMNO Bahagian itu melakukan transformasi.
"Saya ucapkan tahniah, tak sangka teknologi ini akan dirintis oleh UMNO Bahagian Kemaman di kawasan pantai timur. Saya harap teknologi ini juga akan dapat diguna oleh Jentera JR dan JR Plus kerana jika kita tidak guna, mungkin kita akan ketinggalan.
"Saya akan minta kerjasama Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk merintis sistem ini kerana ia sangat maju, canggih dan akan membantu pergerakan jentera dengan lebih strategik lagi agar hasrat kita menang di kesemua DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen Kemaman tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalannya Ahmad Shabery, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Shaheda Jusoh.
Sistem 'paperless' atau I-Book itu dibangunkan oleh UMNO Bahagian Kemaman dengan kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan dimulakan pada persidangan tahun lepas.
Melalui sistem itu, perwakilan boleh memperolehnya menerusi e-mel; memuat turun daripada aplikasi WhatsApp, laman web dan Facebook Umno Kemaman serta memuat turun melalui QR code yang diletakkan di belakang tag nama perwakilan atau di lokasi persidangan.
Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita berkata UMNO Bahagian Kemaman telah dapat menjimatkan RM80,000 apabila menggunakan sistem itu.
"Biasanya setiap tahun, kita keluarkan belanja sebanyak RM80,000 untuk kos buat buku persidangan tetapi sekarang kos itu sudah dapat dijimatkan," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment