Wednesday, February 28, 2018

BN YAKIN KEKAL PERINTAH TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 28 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan mengekalkan pentadbirannya di negeri ini meskipun pembangkang dilihat lebih agresif mendekati pengundi ketika ini.

Ketua Penerangan BN Terengganu Wan Hakim Wan Mokhtar berkata BN telah menyusun strategi tersendiri tanpa perlu mengikut apa yang dilakukan pihak lawan untuk memenangi PRU14 nanti.

"Kami benar-benar yakin akan memenangi PRU nanti dan kekal mentadbir negeri ini sebab kita dah susun dan ada strategi-strategi kita yang hanya menunggu waktu sesuai untuk dilancarkan."

"Biarlah orang lain nak buat apa pun, kita bukan parti yang akan ikut rentak parti lain, kita bukan macam tu," katanya dalam sidang media sempena Konvensyen BN Terengganu 2018.

Konvensyen dua hari itu akan dirasmikan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di sini, esok.

Wan Hakim yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih itu berkata BN Terengganu juga sudah mempunyai maklumat lengkap dan data terkini jumlah pengundi yang dijangka akan memilih BN pada PRU nanti.

"Dalam pilihan raya jumlah pengundi membawa segala makna...kita ada data lengkap dan boleh tahu berapa ramai pengundi yang akan undi kita nanti.

Di media sosial juga kita dah jalankan kajian bahawa kita akan menang berbanding pihak pembangkang," katanya.

-- BERNAMA

8,648 ORANG BACA KISAH CIKGU KAMAL DALAM KENANGAN

Posting "Cikgu Kamal Shah Dalam Kenangan" yang disiarkan dalam blog ini pada 18 Februari lalu mencatat sejarah sebagai posting tertinggi blog Today Terengganu sejak diterbitkan lebih dua tahun lalu.

Ia mencapai hits sebanyak 8,648 orang yang mengalahkan empat kisah dalam kenangan yang lain iaitu Khalid Awang Dalam Kenangan (1,551 hits- 25 November 2017);  Pak Ali Yang Saya Kenali (1,468 hits - 10 Januari 2018); Haji Yahya Dalam Kenangan (1,215 hits- 5 Oktober 2017) dan Ustaz Zul Dalam Kenangan (438 hits - 28 Disember 2017).

10 posting tertinggi bagi bulan Februari 2018 adalah seperti berikut:-

1. Cikgu Kamal Shah Dalam Kenangan (18.2.2018) -  8,648 hits
2. Datuk Aziz mampu tawan DUN Sura? (13.2.2018) - 1,673 hits
3. Miera Yusof dilantik ikon askar wataniah (3.2.2018) - 1,205 hits
4. 6 JKKK bersatu di Cameron Highlands (12.2.2018)
5. Undang undang tangani berita palsu untuk elak ketegangan kaum (16.2.2018)
6. PAS dibidas kitar semula isu Taman Ilmu (19.2.2018)
7. Jalan KTCC-LTSM tidak libatkan tanah penduduk (2.2.2018)
8. Tidak mustahil BN menang 32 kerusi (21.2.2018)
9. Dividen KWSP tinggi tiada kaitan dengan pilihanraya (11.2.2018)
10. "Terengganu molek doh" istimewa untuk rakyat Terengganu (26.2.2018)

Tuesday, February 27, 2018

"SEGALANYA WANITA" TEMA MAHA 2018

SERDANG, 27 Feb (Bernama) -- Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang akan diadakan pada November depan bakal mengetengahkan peranan wanita dalam sektor pertanian sebagai paksi pameran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian memutuskan 'Segalanya Wanita' sebagai tema penganjuran pameran dwitahunan berkaitan pertanian itu selaras dengan agenda kerajaan bahawa 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

"Sebahagian besar acara yang akan diadakan adalah berkaitan peranan wanita dalam dunia pertanian serta bagaimana perubahan dunia pertanian membawa wanita menjadi pemain penting dalam industri agromakanan," katanya pada sidang media selepas melancarkan semula MAEPS Bistro di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata beberapa ikon wanita akan ditampilkan bagi melonjakkan MAHA sebagai satu penganjuran lain daripada yang lain.

Beliau berkata semua acara yang sinonim dengan MAHA yang menjadi tarikan utama sebelum ini akan tetap diadakan seperti biasa.

Monday, February 26, 2018

"TERENGGANU MOLEK DOH" ISTIMEWA UNTUK RAKYAT TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 26 Feb (Bernama) -- 'Terengganu Molek Doh' - Bukan sekadar tema biasa tetapi suatu yang amat istimewa bakal dinikmati rakyat sepanjang Ekspo Terengganu 2018 bermula semalam hingga 3 Mac.

Slogan tersebut telah bergema di seluruh pelusuk negeri itu termasuk majlis rasmi kerajaan negeri dan turut menjadi siulan anak muda dari Kemaman hinggalah ke Besut.

Namun, ramai yang tidak menyedari, slogan itu sebenarnya idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman setelah melihat perkembangan semasa akhir-akhir ini.

Malah, penggunaan 'hashtag' (tanda pagar), #TerengganuMolekDoh, juga kini dilihat semakin banyak dipakai netizen di laman sosial termasuk Facebook, Instagram dan aplikasi Whatsapp.

Ahmad Razif berkata Terengganu Molek Doh juga dipilih sebagai slogan khas untuk Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam menghadapi pilihanraya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

"Terengganu Molek Doh bukanlah bermaksud rakyat negeri ini perlu berpuas hati dengan apa yang ada, tetapi ia adalah tanda kesyukuran yang perlu dizahirkan agar Allah menambahkan lagi nikmat kepada kita.

"Ia adalah sebagai tanda syukur kita yang telah mengecap nikmat keamanan dan kemakmuran yang ada selama ini. Sudah pastilah nikmat itu antara lainnya diperoleh hasil kecemerlangan pentadbiran BN di Terengganu selama ini," katanya.

Beliau berkata Terengganu Molek Doh juga adalah simbolik betapa bertuahnya rakyat Terengganu kerana tidak semua negeri berjaya menyalurkan pelbagai dana bantuan kepada rakyatnya seperti yang dilakukan Terengganu.

"Setiap negeri ada mekanisme tertentu untuk memastikan kebajikan rakyat mereka terbela, namun saya cukup yakin hanya rakyat Terengganu paling istimewa kerana bantuan merangkumi semua aspek dan tidak mempunyai batas usia, apatah lagi perbezaan bangsa.

"Di sini, rakyat yang layak akan menerima dana hari raya untuk Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Masuk sahaja musim persekolahan, keluarga yang susah akan dibantu melalui bantuan pakaian persekolahan.

"Kecemerlangan pendidikan juga diberi pengiktirafan tertinggi. Anak-anak kita yang cemerlang dalam semua peperiksaan utama negara diraikan dan diberikan insentif wang selain Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Itu belum lagi bantuan yang kita beri untuk perumahan, pesakit kronik, bantuan ibu tunggal dan usahawan," katanya.

Jika selama ini Terengganu dilihat mampu memberi 'kemewahan' kepada rakyatnya melalui pelbagai dana kerana sumber kewangan yang sangat banyak hasil royalti minyak, Ahmad Razif berjaya membuktikan anggapan itu salah dan tidak tepat sama sekali.

"Saya mengambil alih kepimpinan negeri dalam keadaan politik yang tidak berapa stabil, disusuli kegawatan ekonomi dan penurunan harga minyak sangat memberi kesan besar kepada kewangan negeri.

"Namun, apa pilihan yang saya ada? Jalan sahaja ke depan untuk menghadapi segala onak dan duri atau berpatah balik ke belakang.

"Demi amanah kepimpinan ini, saya harungi juga segala ujian itu dan kepimpinan negeri bersama-sama memastikan bantuan untuk rakyat tetap disalurkan seperti sedia ada walaupun terdapat kekangan dari segi kewangan.

"Sejak itu, kita menggalakkan konsep kerjasama strategik dengan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan mana-mana syarikat korporat atau individu untuk membantu melalui penubuhan tabung agar bantuan tetap dinikmati dan lebih banyak kisah kejayaan mampu kita genggami," katanya.

Justeru, penganjuran ekspo selama tujuh hari itu adalah sangat bertepatan dengan tema Terengganu Molek Doh kerana 1001 kisah kejayaan pentadbiran kerajaan akan dipamerkan kepada orang ramai.

"Mungkin selama ini, ada yang terlepas pandang kisah-kisah kejayaan yang berjaya rakyat Terengganu lakarkan bukan sahaja di peringkat negeri atau peringkat kebangsaan, malah kejayaan dicapai adalah yang paling cemerlang di peringkat dunia.

"Itu yang berlaku kepada rakyat Terengganu yang membanting tulang, bekerja keras memerah keringat dan idea untuk muncul yang terbaik dalam bidang sukan, pendidikan, perniagaan dan kerja-kerja amal kebajikan," katanya.

Mengimbas semula idea asal penganjuran ekspo itu, Ahmad Razif berkata ia bermula sejak tiga bulan lalu setelah beliau memikirkan perlu ada platform yang boleh merapatkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan rakyat.

"Platform yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak agar saling memahami dan saling melengkapi antara satu sama lain ke arah masa depan yang lebih baik.

"Hanya dengan hadir ke ekspo ini, rakyat akan menilai prestasi dan fahami hala tuju BN dalam mentadbir Terengganu, seterusnya menjadi titik permulaan untuk rakyat bersama-sama menyokong ke arah Terengganu yang lebih maju mengikut acuan kita sendiri," katanya.





-- BERNAMA

Saturday, February 24, 2018

CALON TEMPATAN PENENTU KEMENANGAN CALON BN

TEMERLOH, 24 Feb (Bernama) --'Keakraban 'childhood friends' atau rakan sejak kecil yang terjalin antara calon bertanding dan penduduk setempat menjadi kekuatan UMNO untuk merampas semula Parlimen Temerloh dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin selaku ketua Bahagian UMNO Temerloh berkata calon anak setempat merupakan faktor penentu kemenangan, selepas rakyat serik berhadapan wakil rakyat luar selama lima tahun.

"Pengundi mahukan anak tempatan... mereka yang boleh ditemui pada bila-bila masa, atau jika tidak sekalipun, ada kaum keluarga dan rumahnya di Temerloh yang boleh dituju jika ada perkara mendesak. Inilah peranan 'childhood friends'.

"Ramai sahabat saya yang lahir di Temerloh, sama-sama berenang di sungai, menangkap ikan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke luar tapi masih pulang ke Temerloh untuk berbakti kerana bagi kami inilah dunia kami," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya penduduk sudah melalui waktu sukar hampir lima tahun dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dikatakan masih ada penduduk di Temerloh tidak mengenali wakil rakyat mereka kerana beliau bukan penduduk setempat serta tidak kerap turun padang.

Mohd Sharkar berkata walaupun begitu, UMNO Bahagian Temerloh tidak mahu alpa dengan kekurangan pihak lawan sebaliknya terus melaksanakan tugas seperti bakal berhadapan dengan lawan yang kuat bagi mendapatkan kemenangan selesa.

Pada PRU13, Parlimen Temerloh dimenangi PAS menerusi Nasrudin Hassan manakala daripada tiga kerusi DUN, hanya satu sahaja diperoleh Barisan Nasional (BN) iaitu Lanchang menerusi Mohd Sharkar. DUN Mentakab dimenangi Tengku Zulpuri Shah Raja Puri daripada DAP dan Kuala Semantan dipegang Syed Hamid Syed Mohamed yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Pahang yang kemudiannya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada 9 Sept 2015.

Mohd Sharkar berkata perjalanan untuk memastikan kemenangan 4-0 di P088 sebenarnya telah lama dilakukan, bagi memastikan 'berita duka' pada 2013 tidak berulang.

Katanya, jika dihitung permulaan baharu UMNO Temerloh bermula pada pemilihan parti 2013 yang menyaksikan perubahan besar kepimpinan parti termasuk kekalahan bekas timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu.

"Selepas itu kami wujudkan tiga penyelaras untuk kawasan yang tewas lalu iaitu Mentakab di bawah Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus (naib ketua), Semantan (Datuk Nor Azmi Mat Ludin, timbalan ketua) manakala saya menjaga Lanchang dan Temerloh secara keseluruhannya," katanya.

Katanya, pelbagai program kebajikan dilaksanakan meliputi pembangunan selepas bencana seperti kebakaran, ribut dan banjir, pendidikan serta keagamaan tanpa meminggirkan sesuatu kaum atau agama, dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai contoh, Mohd Sharkar yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang merujuk kepada pembinaan semula rumah mangsa ribut dan kebakaran yang dilakukan tanpa pemilik rumah mengeluarkan belanja bagi meringankan beban mereka.

UMNO Bahagian Temerloh juga menurutnya sentiasa mengadakan program pendidikan supaya golongan muda menyedari hanya pendidikan yang dapat mengubah nasib keluarga dan membolehkan 'mereka terbang lebih tinggi' walaupun berasal dari kampung.

Berhubung dengan ura-ura bakal berlaku pertembungan tiga penjuru di Temerloh - dengan PAS dan Amanah menunjukkan minat - yang dikatakan bakal memberi kelebihan kepada BN, katanya perkara itu tidak menjadikan UMNO membuat kerja secara sambil lewa.

"Kita bekerja seolah-olah kita akan berhadapan dengan satu lawan satu. Tidak rugi bekerja kuat kerana akhirnya semuanya akan kembali kepada rakyat... kita tambat semula hati rakyat supaya mereka yakin dengan BN yang telah banyak melakukan pelbagai program untuk kesenangan rakyat.

"Malangnya disebabkan terpengaruh pada tahun 2013, berlaku perubahan dan apabila sudah tahu sikap sebenar wakil rakyat yang dipilih ketika itu, mahu atau tidak mereka perlu menunggu sehingga lima tahun untuk menukar semula," katanya.

Mohd Sharkar menambah pihaknya kini juga semakin agresif menggunakan media sosial untuk berhubung dengan pengundi, khususnya pengundi muda dan hasilnya sangat positif berdasarkan reaksi yang diterima.

Beliau juga berharap orang Temerloh akan menilai setiap baik buruk keputusan yang akan dilakukan pada PRU14 manakala orang UMNO sendiri perlu bersikap berlapang dada dengan nama yang 'diperkenankan' sebagai calon.

"Kita mengenal pasti 20 nama yang sesuai diketengahkan sebagai calon tapi kekosongan hanya empat. Sudah tentu ada pertimbangan sewajarnya (oleh pucuk pimpinan BN) dan jika tidak terpilih, sama-sama bekerja untuk menang. Ini untuk parti dan rakyat, bukan untuk kapasiti peribadi," katanya.

Apa pun, Mohd Sharkar mengakui bahawa janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terjun ke dalam kolam ikan di Kampung Chempaka, Lanchang semasa hadir majlis ramah mesra di situ baru-baru ini, menjadi pembakar semangat UMNO Temerloh untuk menang.

Najib pada majlis itu sebanyak dua kali menyatakan kesanggupan beliau untuk terjun ke dalam kolam estet ikan yang diusahakan penduduk jika BN berjaya menyapu bersih semua kerusi di P088.

-- BERNAMA

Friday, February 23, 2018

RISDA LAKSANAKAN SEKOLAH TUISYEN RAKYAT DI PERLIS

PADANG BESAR, 23 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperuntuk RM37,500 bagi melaksana program Sekolah Tuisyen Rakyat@KKLW di tiga sekolah di Perlis tahun ini.

Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata tuisyen itu diadakan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman di Beseri, SMK Tengku Budriah di Arau dan SMK Abi di Kangar.

"Tuisyen rakyat ini diadakan untuk membantu anak-anak pekebun kecil memperoleh keputusan SPM yang cemerlang dengan harapan mereka dapat mengubah kehidupan keluarga masing-masing kelak," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program Pembangunan Modal Insan dan Seminar Motivasi Pelajar Tuisyen Rakyat@KKLW Risda Perlis 2018 di SMK Tengku Suleiman di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan peruntukan tahunan Risda sebanyak RM38,400 kepada Pemaju Masyarakat Risda (PMR) Perlis manakala Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) negeri pula menerima RM23,460.

Tenaga Kerja Pekebun Kecil (TKPK) Perlis diberi sebanyak RM15,000 manakala Kelab Aktiviti Usahawan Risda (RISEC) negeri menerima RM20,000.

Tahun lepas, Risda menyalurkan peruntukan lebih RM150 juta kepada masyarakat pekebun kecil di seluruh negara dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan membantu mereka meningkatkan hasil tanaman, kata Zahidi.

-- BERNAMA

MAHATHIR DAHULU PUN UMUM PROJEK JUGA DEKAT PRU

LANGKAWI, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan pengumuman projek-projek pembangunan di Langkawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Beliau menegaskan bekas perdana menteri itu turut berbuat perkara sama termasuk setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) semasa menerajui tampuk pemerintahan negara.

"Kalau Tun Mahathir kata ini janji (pilihan raya) untuk orang Langkawi, saya ingat masa dia jadi perdana menteri dulupun dia buat macam itu juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

Mahdzir berkata apabila ada bajet sudah tentu Najib selaku perdana menteri akan umumkan projek untuk manfaat rakyat.

"Sebenarnya kerajaan dari dulu sampai sekarang ini (apabila) hendak membuat (laksana) sesuatu (projek) tidak menunggu pilihan raya. Bila sahaja ada peruntukan (terus) kerajaan akan buat - tak timbul soal ini kira dah dekat dengan (pilihan raya umum), (baru) nak umum," katanya.

Mahdzir yang juga menteri pendidikan dalam rangka lawatan kerja sehari di pulau peranginan ini berkata tahap pembangunan yang dicapai di Langkawi masa kini tidak mungkin akan dapat dikecapi sekiranya setiap projek pembangunan kerajaan dilaksanakan hanya apabila dekat pilihan raya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementeriannya sedang dalam proses mengenal pasti dua buah sekolah di sini untuk menjadi perintis bagi memulakan transaksi tanpa tunai.

Katanya proses transaksi tanpa tunai itu untuk menerapkan kesedaran tentang Revolusi Perindustrian Peringkat Keempat (IR 4.0) dalam kalangan pelajar dan pendidik.

Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan RM2.5 juta untuk sekolah-sekolah seliaan kementerian di daerah ini, lebih 400 unit katil untuk asrama Kolej Vokasional, penambahbaikan kuarters guru dan peruntukan bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

-- BERNAMA

Thursday, February 22, 2018

RM40 JUTA UNTUK JADIKAN KIAMSAM BANDAR PERIKANAN

LABUAN, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM40 juta untuk menjadikan Kiamsam bandar perikanan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk petempatan nelayan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata usaha itu adalah kesinambungan fasa pertama bernilai RM10 juta yang siap dan beroperasi tahun lepas.

Keseluruhan projek dijangka siap dalam masa dua tahun dengan pembangunan fasa kedua ini dijadualkan bermula pada suku kedua tahun ini, katanya pada pelancaran Blueprint Bandar Perikanan dan Majlis Ramah Mesra Rakyat di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan peruntukan yang diluluskan itu, RM15 juta adalah untuk penempatan semula nelayan.

"Pembangunan fasa kedua ini turut merangkumi penyediaan kemudahan pendaratan tambahan bagi menampung keperluan pengusaha," katanya yang menjangka projek tersebut membawa manfaat ekonomi kepada hampir 3,000 penduduk dan 500 pengusaha tempatan selain membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan.

Wednesday, February 21, 2018

TIDAK MUSTAHIL BN MENANG 32 KERUSI

MARANG, 20 Feb (Bernama) -- UMNO Terengganu yakin Barisan Nasional (BN) dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) dengan majoriti dua pertiga berdasarkan beberapa faktor termasuk kesiapsiagaan yang telah dilakukan oleh jentera parti di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada beberapa kajian terperinci yang dilakukan pelajar universiti terhadap pengundi di negeri ini.

"Dalam PRU tahun 2004, kita dapat menang 28 kerusi berbanding pembangkang (empat kerusi) sedangkan sebelum itu kita hanya menang empat kerusi sahaja pada PRU tahun 1999.

"Kita berkeyakinan penuh dalam PRU14 ini akan berpihak kepada kita dan kita sasar akan dapat lebih daripada dua pertiga majoriti...sekarang kita menang (menguasai) 17 kerusi, tidak mustahil akan menang kesemua 32 kerusi pada PRU14 nanti," katanya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Pemantapan dan Pengukuhan (2P) Wanita UMNO Terengganu di sini hari ini.

Seramai 580 wakil Wanita UMNO Terengganu dari lapan bahagian hadir ke program itu yang bertujuan memberi penerangan dan kefahaman tentang isu-isu semasa untuk menangkis tohmahan pembangkang.

-- BERNAMA

Tuesday, February 20, 2018

RM11 JUTA NAIK TARAF 17 FLAT KOS RENDAH DI TERENGGANU


KUALA TERENGGANU, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan RM11 juta menerusi Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) bagi menaik taraf dan mengindahkan 17 kawasan perumahan flat kos rendah dan sederhana rendah di Terengganu bagi tahun 2014 hingga 2017.

Timbalan Menterinya Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, peruntukan itu bagi kawasan flat yang berusia lebih 10 tahun itu merangkumi pembaikan pagar, bumbung, mengecat bangunan, naik taraf atau ganti lif yang rosak dan pendawaian elektrik yang baharu.

Beliau berkata antara kawasan yang telah menerima peruntukan tersebut Flat Seri Kolam, Wisma Air Jernih, Kondo Rakyat, Wisma Ria dan Wisma Ladang di Kuala Terengganu yang bertujuan memberi lebih keselesaan kepada penghuni yang kemudahannya telah uzur dan rosak serta boleh mengancam keselamatan.

"Mana-mana pengurusan flat yang masih lagi belum mengemukakan permohonan boleh berbuat demikian menerusi Badan Pengurusan Bersama flat masing-masing dan majukan permohonan kepada Datuk Bandar atau Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kelulusan KPKT," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek yang telah siap menerusi TP1M kepada badan pengurusan Flat Seri Kolam di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeriDatuk Mohd Jidin Shafee.

Halimah berkata sebanyak RM1.8 juta peruntukan diluluskan oleh KPKT bagi permhonan baik pulih dan naik taraf kawasan Flat Seri Kolam bagi tahun 2016 hingga 2017 merangkumi gantian pagar, tukar bumbung, cat semula bangunan dan pendawaian elektrik baharu.

Selain itu, katanya KPKT turut meluluskan peruntukan RM200,000 bagi membina gelanggang futsal di kawasan flat enam blok yang mempunyai 1,500 orang penghuni itu.

Halimah berharap penghuni menjaga dengan sebaiknya kemudahan bagi menjamin jangka hayat yang lebih panjang.

"Ia merupakan harta bersama penduduk yang berada dalam komuniti, jadi setiap penghuni bertanggungjawab menjaga harta itu bersama bagi mengelak vandalisme yang merosakkan harta awam kerana untuk mendapatkan peruntukan baik pulih bukan senang," katanya.

-- BERNAMA

Monday, February 19, 2018

PAS DIBIDAS KITAR SEMULA ISU TAMAN ILMU

BESUT, 18 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh membidas PAS yang mencari sokongan rakyat negeri ini dengan 'mengitar semula' isu projek Taman Ilmu di sini.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan Anggota Parlimen Besut berkata dakwaan PAS kononnya kerajaan negeri Terengganu tidak berusaha menyelamatkan projek itu adalah fitnah semata-mata.

"Sudah, cukuplah ... jangan pandai-pandai membuat komen mengenai Taman Ilmu yang dibangunkan untuk pendidikan masa depan rakyat Terengganu.

"Adakah PAS tahu yang kami sedang berusaha untuk memastikan fungsi Taman Ilmu selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai pusat pendidikan," katanya ketika merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut di sini, hari ini.

Idris menjelaskan Taman Ilmu kini digunakan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) sebagai asrama kepada para pelajarnya di Kampus Tembila sejak setahun lepas.

Selain itu, kampus Universiti P Ramlee, yang dinaik taraf daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), juga bakal dibuka di Taman Ilmu pada Mac ini, katanya.

-- BERNAMA

Sunday, February 18, 2018

CIKGU KAMAL SHAH DALAM KENANGAN


Semalam jam 7.36 pagi saya menerima berita kematian dua pupu saya Cikgu Mohd Kamal Mohd Shah, 57 tahun, dari adiknya yang bekerja di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Radzi. Sepatutnya saya bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 8 pagi tapi saya tangguhkannya kerana arwah amat rapat dengan saya sejak kecil.

Saya ajak  kawan Radzi, Mus Kamal, ahli grup whatsapp Sahabat Serumpun  pergi ke rumah arwah di Gong Pak Jin, Kuala Nerus. Arwah pun ahli Sahabat Serumpun yang mana saya adminnya. Saya sempat melihat wajah arwah Kamal buat kali terakhir. Tapi saya tak dapat menunggu majlis pengkebumiannya selepas solat zohor kerana saya mahu terus balik ke Kuala Lumpur.

Arwah rapat dengan saya kerana kami berkawan sejak kecil. Apatah lagi ketika itu saya duduk di Banggol Peradong manakala Kamal duduk di Paloh, Kuala Terengganu yang menyebabkan saya selalu pergi ke rumahnya.

Apabila bapa sepupu Cikgu Mohd Shah ditukarkan ke Dungun, saya turut pergi ke Dungun menemui Cikgu Kamal yang melayani saya. Beza umur kami dua tahun. Tak sangka pula arwah yang pergi terlebih dahulu daripada saya.

Kami amat rapat dari kecil. Pada tahun 1976 ketika menunggu keputusan MCE, pernah kami naik bas dari Paloh ke Mengabang Telipot rumah nenek arwah. Dalam bas kami berbual panjang dan kami tak sedar bas akhir itu terus balik ke Kuala Terengganu tanpa berhenti di Mengabang Telipot. Kami turun semula di Paloh sambil ketawa.

Banyak kenangan manis saya bersama arwah. Beliau adalah guru sains dan matematik di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun. Bila ke Dungun saya tidur  di rumah bujangnya di kuarters guru. Wartawan terkenal Ayob Mamat pernah belajar di sekolah tersebut dan Cikgu Kamal pernah mengajarnya.

Pada tahun 1990an beliau minta tolong saya adjust nak sambung belajar di UMS Kota Kinabalu. Saya temui Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Aziz Shamsuddin melalui Datuk Zaharin Mohd Yassin maka arwah dan isteri Cikgu Zawiah dapat belajar di UMS sehingga dapat Master dalam bidang Teknologi Maklumat (IT). Lama juga arwah dan keluarga duduk di Kota Kinabalu.

Selepas mengajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, arwah tukar kariernya bekerja di Yayasan Terengganu sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam. Masa itu Datin Haslina isteri bekas pegawai kanan SPRM, Datuk Bahari mohon anaknya masuk Sekolah Imtiaz. Saya minta arwah uruskan sehingga anak Datin Haslina berjaya belajar di Imtiaz Kemaman.

Tiga tahun lepas arwah menyuarakan kepada saya sudah jemu bekerja di Yayasan Terengganu. Saya dengan arwah Abdullah Farmasi dalam proses buka kilang cat di Bangi sedang menunggu funder Azlan yang sedang menunggu komisennya dari FELDA. Saya senaraikan arwah sebagai bakal CEO kilang cat Eptex.

Tapi manusia cuma merancang, Allah yang menentukan. Azlan sudah bersedia kongsi bisnes tersebut dengan Abdullah tiba tiba Abdullah  sebagai pencipta formula cat itu meninggal. Impian arwah Kamal untuk jadi CEO kilang tersebut terbantut.

Sabtu lepas kami merancang untuk pergi ke Pasir Akar, Besut majlis perkahwinan anak saudara Datuk Seri Rahim Husin tapi arwah Kamal kata dia sesak nafas maka kami tak jadi pergi ke Besut. Emak isteri arwah Cikgu Zawiah  iaitu Che Da Aishah berjiran dengan emak Datuk Seri Rahim.

Pada malam tersebut arwah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan arwah meninggal pada pagi semalam tepat jam 6.45 pagi. Kali terakhir saya menemui arwah di rumahnya di Gong Pak Jin pada petang 8 Februari lalu. Kebetulan saya ada miting di Kuala Terengganu. Arwah baru keluar dari Hospital kerana diserang jantung buat kali kedua.

Arwah baru menerima cucu kedua bulan lepas dan dua orang cucunya tak sempat mengenali datuknya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

Friday, February 16, 2018

UNDANG UNDANG TANGANI BERITA PALSU UNTUK ELAK KETEGANGAN KAUM

BERA, 16 Feb (Bernama) -- Cadangan memperkenalkan undang-undang menangani berita palsu bukan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat tetapi bertujuan mengekang penyebaran fitnah melampau yang boleh menimbulkan ketegangan kaum, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah kata beliau, berbeza dengan dakwaan pembangkang, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang lebih terbuka dan ini dibuktikan menerusi pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) .

"Kita tak pernah akan sekat kebebasan rakyat, yang banyak sekat kebebasan rakyat ini adalah zaman Tun Dr Mahathir Mohamad...beliau wujudkan pelbagai akta termasuk ISA.

"Tetapi zaman Datuk Seri Najib, beliau telah buktikan kerajaan liberal dari segi kebebasan sebab itu kita hapuskan ISA dan pinda AUKU untuk beri kebebasan kepada pelajar," katanya kepada pemberita hari ini.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera ditemui selepas menyampaikan angpau kepada 238 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan baru-baru ini bahawa cadangan memperkenalkan undang-undang tersebut bertujuan menyekat rakyat daripada mengkritik kerajaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata bekas perdana menteri itu juga tidak perlu gusar sekiranya beliau tidak membuat kenyataan palsu.

"Bagi saya senang sahaja, bagi orang yang tidak membuat cerita bohong atau berita palsu, mereka tidak perlu takut dengan undang-undang ini," katanya.

Ismail Sabri sebelum itu turut meluangkan masa mengunjungi kediaman Ketua MCA Bera Datuk Wai Chee Cheng bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

-- BERNAMA

Wednesday, February 14, 2018

USAHAWAN MAKANAN SEJUK BEKU HARGAI BANTUAN KERAJAAN

DUNGUN, 13 Feb (Bernama) -- Maz Frozen Food, syarikat pengeluar makanan sejuk beku yang beroperasi di pusat inkubator industri desa di Pulau Serai, Dungun, menghargai bantuan dan bimbingan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan terhadap perniagaan itu sejak mula beroperasi lebih setahun lepas.

Pemiliknya, Saiful Nizam Mazuki berkata bantuan geran daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) Terengganu berjumlah RM190,000 yang diterima pada Ogos tahun lalu, berjaya meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan sejuk beku (karipap dan kuih ropa) keluaran syarikat berkenaan.

"Sebelum ini, kami hanya mampu menghasilkan 1,000 karipap setiap hari, namun setelah menggunakan mesin sumbangan SME Corp, jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 5,000 karipap setiap hari dan kapasiti maksimum menggunakan pengeluaran mesin tersebut ialah 10,000.

"Purata jualan bulanan dua produk sejuk beku kami pada tahun lepas adalah antara RM20,000 dan RM25,000. Kami sasarkan jumlah itu meningkat sedikit pada tahun ini berikutan penggunaan mesin berteknologi canggih ini dapat meningkatkan jumlah pengeluaran," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima lawatan daripada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan diiringi Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Rozali Salleh.

Lawatan kerja itu bertujuan meninjau perkembangan usahawan muda di Terengganu serta bantuan perniagaan yang disalurkan agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) setakat ini.

Pada masa ini, produk makanan sejuk beku keluaran kilangnya menembusi pasaran di beberapa pasar raya sekitar Terengganu dan menggunakan sistem pengedaran ejen.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam perniagaan itu, Saiful Nizam berkata beliau hanya membantu ibunya membuat pelbagai jenis kuih untuk jualan secara sambilan apabila mempunyai masa terluang ketika berada di rumah.

"Sebelum itu, saya buat macam-macam kerja untuk menambah pendapatan dengan kerja terakhir saya dalam bidang petroleum dan gas, namun berhenti kerja untuk membantu ibu saya yang tidak menang tangan mengambil tempahan kuih-muih.

"Sejak itu, saya mula serius mempelajari selok-belok perniagaan dengan mengikuti pelbagai kursus kemahiran daripada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan keusahawanan," katanya.

Memulakan operasi pengeluaran makanan sejuk beku di kilang inkubator itu juga bukanlah suatu perkara mudah kerana Saiful Nizam perlu memulakan perniagaan menggunakan modal diberikan keluarganya sebanyak RM100,000.

"Selepas perniagaan mula menunjukkan rekod cemerlang, saya mula memohon geran daripada SME Corp Terengganu serta serius memohon status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kini dalam proses memohon skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.

"Saya juga berterima kasih kepada YPU yang sentiasa mempelawa usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) seperti saya menyertai pelbagai program dan ekspo jualan yang diadakan di pelbagai lokasi selama ini.

"Kejayaan kecil syarikat kami ini diharap dapat mendorong lebih ramai golongan belia di luar sana turut menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka selaras dengan hasrat kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, February 13, 2018

DATUK AZIZ MAMPU TAWAN DUN SURA?






DUNGUN:  Kerusi DUN Sura dimenangi calon PAS, Wan Hassan Mohd Ramli pada tahun 1999 mengalahkan calon BN, Zaabar Datuk Haji Mohd Adib. Namun demikian calon BN, Ahmad Kamal Abdullah berjaya merampas kembali kerusi tersebut pada pilihanraya umum 2004 mengalahkan Wan Hassan.

Pada tahun 2008 sekali lagi BN tewas kepada calon PAS, Wan Hassan yang mengalahkan calon BN, Mohd Rosli Harun dengan majoriti 1,000 undi. Pada tahun 2013, Wan Hassan berpindah ke parlimen Dungun dan tempatnya diambilalih oleh Wan Hapandi Wan Nik mengalahkan calon BN, Zakariah Ali dengan majoriti 2,957 undi.

Mampukah calon BN merampas kembali kerusi DUN Sura yang sudah ditawan PAS selama dua penggal? Ada yang mengatakan untuk menang BN kena letak calon berpendidikan agama tetapi ada pula  yang mengatakan BN kena letak calon yang rajin turun padang sejak tahun 2013,

Menurut tinjauan blog Today Terengganu, salah seorang calon yang mampu menawan kembali kerusi DUN Sura ialah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Dungun iaitu Datuk Abdul Aziz Ismail. Beliau yang berusia 45 tahun adalah anak jati Kuala Dungun yang mendapat pendidikan rendah dan menengah di Dungun.

Datuk Aziz adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya adalah bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Dungun (2004-2008). Pada tahun 2008 beliau dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Dungun sepenggal tapi tewas dalam pertandingan  ketua pemuda bahagian pada tahun 2013.

Beliau aktif dalam NGO seperti KRT Rukun Tetangga, JKKK, RELA. Hobinya ialah menembak dan bermain golf. Beliau juga adalah ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan ahli Lembaga Pelawat Hospital Dungun.

Sebagai Pengerusi Gerak Gempur Umno Bahagian Dungun, beliau dilihat mampu merampas kembali kerusi DUN Sura. Oleh itu beliau yang juga bapa kepada lima orang anak ini wajar diberi perhatian oleh pucuk pimpinan Umno sebagai salah seorang calon DUN Sura yang mampu menang.

Salah satu program yang Datuk Aziz anjurkan yang mendapat sambutan golongan muda ialah gerak gempur bermotorsikal yang mana ia menggambarkan kebangkitan  pengundi muda untuk menawan kembali DUN Sura terutamanya kepada pengundi baharu.

Monday, February 12, 2018

ENAM JKKK BERSATU DI CAMERON HIGHLANDS




CAMERON HIGHLANDS: Jarang enam buah Jawatan Kuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) bergabung dalam satu komuniti. Impian ini menjadi kenyataan apabila mereka dibawa ke Cameron Highlands minggu lepas selama dua malam.

Ia dianjurkan oleh Komuniti 1 Malaysia Mukim Teluk Kalong, Kemaman di mana Komuniti 1 Malaysia terletak di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.Komuniti 1 Malaysia dipengerusikan oleh Penghulu Mukim Teluk Kalong,Zazarin Abdul Ghani.

Enam JKKK yang terlibat ialah JKKK Teluk Kalong (Haji Rajik Sidek), JKKK Taman Bukit Kuang (Othman Awang), JKKK Kampung Bukit Kuang (Haji Mohd Taha Ali), JKKK RAKR Bukit Kuang (Sabri Ali),  JKKK Taman Rakyat Bestasi Bukit Kuang 2 (Mohd Fadzli Yunus) dan JKKK Pengkalan Cicar Bukit Kuang (Wahid Embong).

Seramai 60 orang dari enam buah JKKK ini bermukim di Cameron Highlands selama dua malam untuk menggabungkan semua pemimpin bersama komuniti. Tujuan ia diadakan adalah untuk bersatu menjelang pilihanraya bagi memudahkan kerja menundukkan parti lawan.

Selain mementingkan kerja berpasukan ia juga mengajar komuniti untuk belajar cara cara pertanian. Program pemukiman di Cameron Highlands merupakan program Komuniti 1 Malaysia Mukim Teluk Kalong yang kedua bagi tahun 2018.


Sunday, February 11, 2018

DIVIDEN KWSP TINGGI TIADA KAITAN DENGAN PILIHANRAYA

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertinggi sejak sekian lama tiada kaitan dengan pilihan raya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata tindakan pembangkang yang segera menggunakan isu itu dengan mengaitkan kadar pembayaran KWSP sebagai 'dividen tahun pilihan raya' juga sudah dijangka.

"Sebenarnya, pembayaran dividen KWSP ini meningkat secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bukan hanya pada tahun ini. "Pada 2014 dan 2015, KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi berbanding 2013, yang juga merupakan tahun pilihan raya. Jadi ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya," jelas Salleh menerusi catatan di laman blog beliau, malam ini.

Beliau berkata sekiranya KWSP mengumumkan dividen yang sangat rendah tahun ini, pembangkang akan menggunakan perkara itu sebagai bukti bahawa ekonomi sedang dalam keadaan buruk dan negara akan bankrap.

"Mantra 'Malaysia akan bankrap' dicanangkan selama bertahun-tahun tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah pertumbuhan ekonomi bertambah kukuh. Mengikut laporan ekonomi negara-negara lain, Malaysia dinilai antara terbaik di rantau ini," katanya.

Salleh berkata ahli ekonomi asing juga meramalkan pertumbuhan yang tinggi untuk Malaysia.

"Rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara untuk bercuti juga meningkat setiap tahun berdasarkan statistik dikumpulkan. Lebih 26 juta pelancong asing juga datang ke Malaysia pada 2016 dan ini dijangka meningkat kepada 30 juta menjelang 2020.

"Ini bukan petanda negara dalam masalah," tegasnya.

-- BERNAMA

Saturday, February 10, 2018

TERENGGANU AKAN PASARKAN PRODUK IBU TUNGGAL PADA TMM2020

KUALA NERUS, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri mahu golongan ibu tunggal di Terengganu menghasilkan pelbagai produk jahitan yang boleh dipasarkan untuk jualan dalam dan luar negara bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata usaha itu akan diselaras oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memandangkan bidang jahitan berpotensi tinggi dalam menawarkan pendapatan lumayan kepada golongan tersebut.

"Mungkin boleh buka sebuah kilang untuk menghasilkan produk jahitan dan ia akan dipasarkan dengan jenama khas yang mewakili golongan ibu tunggal di Terengganu melalui persatuan di setiap daerah."

"Ia juga akan dijadikan produk tarikan pelancong untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, yang mana Terengganu akan mempromosikan produk keluaran ibu tunggal sebagai antara produk istimewa kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian bangunan baharu untuk ibu tunggal di Parlimen Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar Toh Puan Seri Halina Zakaria, Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Tunggal Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan wakil Kelab Ibu Tunggal Kuala Nerus Ajizah Othman

PEMBANGKANG SABAH BUKAN MAHU BELA RAKYAT

KINABATANGAN, 10 Feb (Bernama) -- Parti pembangkang di Sabah berjuang dengan berpaksikan emosi dan bukannya untuk membela hak rakyat negeri ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Pemimpin parti pembangkang di negeri ini hanya mengamalkan emosi... tidak (dipilih) jadi calon dan tidak dilayan (seperti diinginkan) bertindak keluar parti.

"Mereka tidak memahami perjuangan rakyat Sabah, bagaimana untuk mereka memperjuangkan hak-hak Sabah daripada kerajaan pusat," katanya.

Salleh yang juga bendahari UMNO berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut di Dataran Terbuka Tongod dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.

Salleh berkata berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri ini telah terbukti mampu menyuarakan hak rakyat Sabah kepada kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya Najib juga menghormati dan telah menunjukkan komitmen dalam memberi perhatian terhadap hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata Najib juga telah memberikan komitmen bahawa kalau ada hak Sabah yang terambil secara tidak sengaja oleh pihak kerajaan persekutuan akan dikembalikan kepada negeri itu.

Dalam pada itu, Salleh berkata penting untuk mengekalkan kerajaan BN sedia ada yang mampu menentukan kesinambungan kestabilan negara, menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat dan perancangan masa depan.

Katanya tiga faktor itu penting bagi memastikan keamanan negara, keharmonian rakyat dan ekonomi serta dalam melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Friday, February 9, 2018

UNIVERSITI P RAMLEE AKAN DILANCARKAN DI TAMAN ILMU PADA 15 MAC

KUALA NERUS, 9 Feb (Bernama) -- Kampus induk Universiti P. Ramlee (UPR), yang dinaik taraf daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), akan dilancarkan di Taman Ilmu, Tembila, Besut pada 15 Mac ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kampus UPR itu dibangunkan bersama oleh kerajaan negeri Terengganu, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Beliau berkata kewujudan kampus itu juga akan menyeimbangkan pusat-pusat pengajian tinggi yang ada di beberapa daerah lain di Terengganu seperti Universiti Teknologi MARA di Dungun, Bukit Besi dan Kuala Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Nerus dan Besut dan Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Program Profesor Bersama Masyarakat di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata dua blok asrama di Taman Ilmu sudah digunakan dan sebahagiannya akan diambil alih oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menempatkan enam fakultinya

NAJIB TETAP BERADAB WALAUPUN DISERANG DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil pendekatan yang budiman terhadap serangan-serangan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan tetap beradab walaupun berdepan dengan taktik-taktik kotor, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, beliau berkata Dr Mahathir telah melakukan serangan peribadi, penghinaan dan fitnah terhadap perdana menteri yang melampaui batas politik, bahkan melampaui kesopanan dan kesusilaan asas manusia sedangkan Islam menganggap fitnah sebagai jenayah yang berat.

Katanya adalah perkara biasa untuk mempunyai perbezaan pendapat dalam politik, dan ia juga perkara biasa untuk menyatakan secara jelas perbezaan itu.

"Itulah landasan demokrasi dan kebebasan bersuara adalah sebahagian daripada demokrasi. Tetapi apa yang Dr Mahathir lakukan tidak boleh dipanggil demokrasi atau kebebasan bersuara," katanya menerusi catatan di laman blog beliau, hari ini.

Salleh berkata negara mempunyai undang-undang terhadap jenayah fitnah dan mengutuk seseorang adalah jenayah tetapi Dr Mahathir nampaknya tidak menghormati undang-undang.

"Dia (Dr Mahathir) membuat kenyataan yang menghina dan menuduh Najib bermacam-macam. Ini sangat tidak bertanggungjawab bagi seseorang yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia dan ini menunjukkan teladan yang buruk untuk golongan belia," katanya.

Menurut Salleh, orang Melayu mempunyai apa yang disebut adab.

"Kita mesti mengawal diri kita daripada sampai ke tahap politik kotor di mana fitnah dan segalanya menjadi budaya politik baharu di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, February 7, 2018

RAHMAN DAHLAN SANGKAL KENYATAAN MYDIN

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Jualan pasar raya besar tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penanda aras bagi prestasi jualan runcit dan seterusnya memaparkan keadaan ekonomi Malaysia serta rakyatnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau turut mempertahankan kenyataannya itu dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahagian jualan pasar raya besar hanyalah sebanyak 8.0 peratus.

Kenyataannya itu sebagai menyangkal dakwaan Pengarah Urusan rangkaian pasaraya dan emporium Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin bahawa rakyat negara ini tidak mempunyai wang mencukupi bagi perbelanjaan barangan keperluan biarpun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

"Perdagangan runcit di Malaysia telah mencatat pertumbuhan kukuh baik dari segi nilai mahu pun jumlahnya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi nilai, perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan dua angka untuk tiga suku berturut-turut pada 2017 manakala dari segi jumlah, ia meningkat masing-masing kepada 7.8 peratus, 11.5 peratus dan 10.4 peratus bagi suku pertama, kedua dan ketiga 2017.

Tuesday, February 6, 2018

12 KERTAS SIASATAN DIBUKA TERHADAP KONTRAKTOR

KUALA TERENGGANU, 6 Feb (Bernama) -- Dua belas kertas siasatan telah dibuka terhadap kontraktor yang melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Terengganu, Annis Othman berkata antara kesalahan yang dilakukan kontraktor ialah tidak berdaftar dengan CIDB dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29 iaitu denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000.

"Terdapat juga kontraktor yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34(1) iaitu gagal mengisytihar projek kepada CIDB dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 34(10) iaitu denda tidak melebihi RM50,000.

Kesemua 12 kontraktor tersebut telah menjelaskan kompaun keseluruhan sebanyak RM210,000," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Sihat 3.0 dan pelancaran program sukarelawan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Plus di sini hari ini.

Kospen Plus bertujuan meningkatkan tahap kesedaran di kalangan kakitangan awam, badan berkanun dan syarikat swasta untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan masalah obesiti

Monday, February 5, 2018

GESAAN MAHATHIR TAK KENA PADA TEMPATNYA

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat Malaysia menunjuk perasaan di jalanan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat bagi mengelak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan, adalah tidak kena pada tempatnya.

Salleh berkata Najib bukan seorang diktator dan tidak akan melakukan perkara sedemikian dan perdana menteri tidak akan mengisytiharkan darurat hanya kerana ingin kekal berkuasa dengan mengelak PRU-14 daripada diadakan.

"Bahkan, apa yang lebih nyata Dr Mahathir mahu memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri dalam 1993 tetapi gagal. Najib bukanlah seorang diktator dan akan mengambil tindakan seperti itu," katanya dalam catatan terkini di laman blognya sskeruak.blogspot.my, malam ini.

Tambahan pula, Salleh berkata faktor mengapa Dr Mahathir berkata Najib akan mengisytiharkan darurat kerana bekas Perdana Menteri itu menganggap Pakatan Harapan akan memenangi PRU-14.

"Jika tidak berlaku kepada Mahathir, Barisan Nasional dan bukannya Pakatan Harapan akan memenangi PRU-14. Maka kenapa perlu mengisytiharkan darurat untuk Najib kekal berkuasa dengan mengelakkan PRU-14,?" katanya.

Salleh berkata menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi Mara Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, "Najib tidak boleh mengisytiharkan darurat kerana beliau hanya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berbuat demikian dan Seri Paduka Baginda tidak semestinya mengikut nasihatnya."

-- BERNAMA

Sunday, February 4, 2018

MOA AKAN LANCAR APLIKASI MUDAH ALIH PASAR TANI MALAYSIA



PASIR SALAK, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bakal melancarkan aplikasi mudah alih 'Pasar Tani Malaysia' Mac depan dalam usaha memberi panduan kepada rakyat untuk mengetahui lokasi dan keistimewaan sesebuah pasar tani itu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pengguna aplikasi itu juga boleh memberi sebarang pandangan dan menentukan kedudukan pasar tani di seluruh negara.

"Aplikasi itu kini sedang dalam peringkat akhir pelaksanaan dan apabila siap sepenuhnya, akan mempunyai ciri-ciri seperti peta lokasi, waktu operasi, harga semasa barangan dan gambar keadaan persekitaran pasar tani tersebut.

"Selain itu, ia juga dapat menjenamakan pasar tani yang sebelum ini dilaksanakan secara tradisional, sekali gus memberi kelebihan kepada produk istimewa yang menjadi mercu tanda di sesebuah kawasan terbabit menerusi penjualan makanan," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pasar Tani Kekal Kampung Gajah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.






Mengenai Pasar Tani Kekal Kampung Gajah itu, Ahmad Shabery berkata dijangka pembinaan yang menelan kos dianggarkan kira-kira RM3.8 juta itu, akan bermula pada Mei ini dan dijangka siap pada Feb 2019 dengan dilengkapi kemudahan asas seperti tandas dan surau.

Ketika ini, Pasar Tani Kampung Gajah beroperasi pada setiap Jumaat mulai 4 petang hingga 11 malam.

Malah katanya pada hari ini, turut diadakan jualan harga runtuh dengan sokongan program Jualan Jimat Belanja Dapur 2018 yang dikendalikan pihak FAMA dengan menumpukan kepada barangan keperluan pengguna.






Sementara itu, Badruddin berkata pusat khidmat bergerak agensi kerajaan akan ditempatkan di Pasar Tani Kekal bermula Mac ini dalam usaha memberi perkhidmatan berterusan.

"Kita akan pastikan (lokasi itu) diletakkan pejabat pos, tabung haji serta pusat khidmat ADUN bergerak, bagi memudahkan urusan membayar bil dan memberi pelbagai perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Selain itu, Badruddin berkata program Jualan Jimat Belanja Dapur (JBD) yang diadakan pada tahun ini telah dimulakan sejak 2014 lagi bagi menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.

"Potongan harga lima hingga 20 peratus dan jualan murah seperti kobis, bawang besar, ayam dengan harga RM10 seekor kita tawarkan pada hari ini dan kesemua barangan keperluan ini rata-ratanya mendapat diskaun jauh lebih murah daripada harga biasa," katanya.

Beliau berkata melalui program JBD yang dijangka juga akan dilancarkan pada Mac depan ini, terdapat 27 barangan keperluan lain boleh didapati di 706 pasar tani, 429 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan 110 Agrobazar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) di seluruh negara.

-- BERNAMA

Saturday, February 3, 2018

MEIRA YUSOF DILANTIK IKON ASKAR WATANIAH



KUALA NERUS: Penyanyi Terengganu yang terkenal, Miera Yusof, 36, telah dilantik sebagai ikon askar wataniah bagi Regimen 512 Askar Wataniah yang berpengkalan di Terengganu.

Beliau yang berasal dari Kemaman diberi tugas menarik golongan muda di pantai timur untuk menyertai askar wataniah.

Beliau yang dikenali dengan lagu single terbaru "Ku Idam Cinta" mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melantiknya sebagai ikon askar wataniah.

Beliau akan sedaya upaya menjalankan tugas yang diberikan ATM untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai askar wataniah.

Sementara itu Bernama melaporkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai berkata rakyat sepatutnya sudah boleh menilai kewibawaan parti pembangkang yang masih bergelut memuktamadkan isu pengagihan kerusi di Terengganu bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU).

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata rakyat perlu sedar dengan perkembangan ini memandangkan pembangkang masih bertelagah sesama sendiri berhubung soal kerusi sedangkan mereka masih belum memegang tampuk negeri.

"Inilah yang rakyat perlu sedar di mana belum pun apa-apa lagi, mereka bertelagah sesama sendiri. Jadi saya harap rakyat dapat membuat penilaian dengan gelagat mereka itu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan karnival tentera bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini yang turut dihadiri Panglima Briged ke-8 Infantri Brig Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi dan Pegawai Daerah Kuala Nerus Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil.

Tambah Ahmad Razif, setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) yang berjaya membuktikan kesefahaman dan kesungguhan dalam membantu rakyat serta membangunkan negara.

Friday, February 2, 2018

JALAN KTCC-LTSM TIDAK LIBATKAN TANAH PENDUDUK

KUALA NERUS, 1 Feb (Bernama) -- Projek pembinaan dan naik taraf jalan pantai menghubungkan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan kos RM60 juta tidak melibatkan tanah penduduk, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata laluan asal yang terkena tanah penduduk telah dialih ke laluan baharu di pesisir pantai.

"Projek jalan itu nanti tidak akan melibatkan pengambilan tanah penduduk kerana sebahagiannya dibina di atas kawasan pantai yang ditambak...benteng-benteng akan dibina bagi melindungi laluan ini daripada hakisan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah jalan pantai yang menghubungkan KTCC dan LTSM di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Katanya projek biayaan kerajaan persekutuan sepanjang 6.8km membabitkan dua pakej itu akan diperindahkan dengan landskap yang pasti memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk terutamanya dari segi pelancongan.

Ahmad Razif berkata pakej pertama membabitkan laluan sepanjang 3.8 km dari Jalan Ketapang Pantai sehingga ke Muara Utara di KTCC dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini manakala fasa kedua sepanjang tiga kilometer laluan baharu yang kini dalam proses reka bentuk dijangka siap pada April 2019.

KTCC adalah antara projek infra rakyat yang dilaksanakan kerajaan persekutuan melalui ECERDC dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu untuk melonjakkan lagi sektor ekonomi di negeri itu.

Sementara itu, Jebasingam dalam ucapannya berkata apabila siap kelak, jalan baharu ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Kuala Terengganu dan memendekkan tempoh perjalanan dari pusat bandar ke LTSM kepada hanya 15 minit berbanding 25 minit ketika ini.

"KTCC telah berjaya menarik lebih RM4.5 bilion pelaburan swasta bagi projek pembangunan bercampur yang merangkumi sebuah hotel, pangsapuri, kompleks beli-belah dan taman tema di kawasan seluas 30.7 ekar (12.28 hektar) .

"Kerja-kerja pembinaan bagi keseluruhan projek dijangka siap menjelang tahun 2024 dan lebih 5,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk penduduk tempatan," katanya dan menurutnya kemasukan pelaburan swasta yang semakin meningkat telah memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata bersempena sambutan ulang tahun ke-10 ECERDC pada tahun ini, pihaknya akan melancarkan Pelan Induk ECER 2.0 yang menggariskan strategi utama untuk melonjakkan lagi pertumbuhan sektor ekonomi di Terengganu.

-- BERNAMA

PEMBANGKANG MAHU BERI GAMBARAN BURUK TERHADAP SPR

BERA, 2 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan gesaan pakatan pembangkang agar badan asing dipanggil bagi memantau perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-14 bertujuan memberi gambaran buruk terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya mereka mahu menunjukkan bahawa SPR tidak mampu mengendalikan perjalanan PRU kali ini walaupun selama ini agensi tersebut menguruskan pilihan raya tanpa sebarang masalah.

"Cadangan itu tidak lain semata-mata untuk menunjukkan bahawa SPR tidak boleh dipercayai sebagai sebuah badan bebas, telus dan berkecuali. Tetapi jika benar SPR tidak berlaku adil, mengapakah pembangkang berjaya menguasai Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor," katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada program Moh Ngeteh bersama kira kira 500 warga Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Majlis Daerah Bera dan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah di sini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyifatkan gesaan pembangkang tersebut sebagai usaha membawa masuk campur tangan asing dalam pentadbiran negara ini.