Monday, August 28, 2017

AKADEMI TDM SASAR JADI AKADEMI PERTANIAN PERTAMA DI PANTAI TIMUR




SETIU, 28 Ogos (Bernama) -- Akademi TDM, yang dimiliki oleh TDM Berhad iaitu syarikat milik kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadi akademi pertanian pertama di pantai timur dalam tempoh 10 tahun lagi.


Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda berkata ia satu transformasi yang dilakukan bagi menjadikan TDM antara syarikat perladangan terbaik di negara ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya kini mengadakan kerjasama dengan lima buah institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian untuk berkongsi kemahiran, ilmu dan kepakaran kepada pelatih akademi berkenaan.

"Lima institusi itu ialah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Pengurusan Perladangan Antarabangsa (IIPM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

"Dengan kerjasama itu juga kita berharap sasaran untuk melahirkan golongan korporat dan teknokrat serta pemimpin masa hadapan negara khususnya dalam bidang pertanian akan tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian akademi itu dan Pusat Timbang Komuniti oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di akademi berkenaan, di sini, hari ini.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara akademi dan lima institusi pengajian itu juga ditandatangani pada majlis itu dan disaksikan oleh Ahmad Razif.

Mohamat berkata, akademi itu dinaik taraf daripada pusat latihan TDM sebelum ini dan menyediakan kursus teknikal, pengurusan dan penjagaan kesihatan kepada para pelatih.

"Seramai 400 daripada 3,100 pekerja TDM telah mendapat manfaat daripada kursus yang kita jalankan sejak pengambilan pertama Februari lepas.

"Penubuhan akademi ini juga adalah satu usaha bagi TDM untuk mencapai permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion menjelang tahun 2020, dengan pengagihan dividen tahunan RM100 juta dan keuntungan sebelum cukai RM200 juta menjelang 2022," katanya.

-- BERNAMA






No comments:

Post a Comment