Saturday, March 31, 2018

SEMUA CALON BN TERENGGANU LEPASI SARINGAN SPRM

KUALA NERUS, 29 Mac (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengesahkan semua senarai nama calon yang dipilih telah melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata senarai nama calon yang akan bertanding pada pilihanraya umum ke 14 (PRU14) di Terengganu telah pun dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Setakat ini, semua nama calon yang dihantar Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah lulus saringan SPRM...tiada masalah. Cuma senarai calonnya (muktamad) kena tunggu pengumuman Presiden," katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi BN negeri turut memaklumkan bahawa manifesto BN Terengganu telah siap dan sedia untuk diumumkan.

"Kita tunggu selepas majlis pengumuman manifesto BN peringkat pusat, kemudian barulah kita mengumum manifesto untuk negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mahabbah IKIM FM & Universiti Sultan Zainal Abidin 2018: 'Untukmu Al Aqsa dan Rohingya' di perkarangan masjid universiti di sini.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan manifesto BN Terengganu untuk pilihanraya umum kali ini namun memberi jaminan ia tetap memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat merangkumi semua aspek.

Pada PRU13, BN Terengganu menyenaraikan 18 perkara dalam manifestonya antaranya membina 10,000 unit rumah mampu milik, memberi peluang kepada rakyat memiliki tapak rumah atau tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

BN Terengganu juga berjanji untuk membina tiga lagi sekolah menengah Imtiaz, masing-masing di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.

Sekolah Menengah Imtiaz ditubuhkan hasil kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Ahmad Razif berkata kesemua perkara dalam manifesto PRU13 telah pun dilaksanakan BN Terengganu.

Thursday, March 29, 2018

UNIT KHAS UNTUK SELESAIKAN BUDAYA SABOTAJ CALON

KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) -- UMNO Bahagian Kuala Terengganu menubuhkan satu unit khas di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu bagi memastikan tiada budaya sabotaj atau pengkhianatan (peteh keting) terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata ini kerana isu peteh keting dalam kalangan anggota UMNO pada PRU lepas, dikenal pasti antara punca Parlimen Kuala Terengganu jatuh ke tangan pembangkang.

"Justeru, unit ini yang terdiri dalam kalangan jentera parti, ditubuhkan khusus bagi memantau sebarang pengkhianatan atau sabotaj terhadap calon BN yang dilakukan anggota UMNO sendiri, tidak berulang pada PRU kali ini.

"Seperti pada PRU lepas, kita mendapat maklum balas ada calon diboikot secara senyap-senyap apabila pengundi dihasut supaya jangan undi calon dipilih dan akhirnya kita kalah.

"Bukan itu sahaja, selepas PRU pihak didapati melakukan sabotaj itu tidak dikenakan sebarang tindakan malah tetap menikmati manfaat apa yang UMNO berikan (kepada anggota parti)," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama J3K Parlimen Kuala Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata unit itu yang identiti mereka dirahsiakan, akan digerakkan sebaik sahaja calon BN bagi Parlimen kawasan berkenaan diumumkan pucuk pimpinan parti.

Mereka juga bakal diberikan pelbagai peralatan seperti alat perakam video bagi memastikan bukti pengkhianatan yang dilakukan dapat dirakam, katanya.

"Ia juga sebagai satu amaran dan peringatan kepada pihak yang cuba menjatuhkan calon-calon yang dipilih di mana tindakan tegas dikenakan terhadap mereka jika didapati bersalah daripada bukti yang kita dapat.

"Jika mereka tidak mahu sokong BN dan UMNO tidak perlu berada dalam parti. Kita, parti yang mengikut kata ketua. Jika ketua dah umumkan calon, kita kena sokong sebab parti, bukan sebab individu, sebab kita nak menangkan parti," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, March 28, 2018

TABUNG HAJI SEDIA GUNA SISTEM HAJI PINTAR

BALING, 25 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bersedia dengan sebarang proses naik taraf termasuk penggunaan Sistem Haji Pintar yang akan digunakan kerajaan Arab Saudi bermula tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata satu pasukan khas sememangnya sudah diwujudkan untuk melakukan semua persediaan yang diperlukan bagi tujuan itu.

"Kita sentiasa mengalu-alukan dan menyokong sebarang usaha dalam menaik taraf kemudahan jemaah haji oleh Arab Saudi dan bagi penggunaan sistem Haji Pintar, kita sudah tahu serta melakukan pelbagai persediaan bagi melancarkan urusan ketika di Malaysia dan Arab Saudi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata antara elemen sistem itu ialah melaksanakan pemeriksaan pasport menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) berbanding secara manual yang diamalkan ketika ini.

"Sistem ini bakal mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dari dua jam, malah ada hingga 18 jam seperti sekarang kepada 30 minit," katanya

Monday, March 12, 2018

RISDA BELANJA RM11.2 JUTA SEWA LORI LUAR

KUALA LUMPUR: Risda Fleet Sdn Bhd (RFSB) telah membelanjakan sebanyak RM11.2 juta setahun untuk membayar sewa lori luar (vendor) di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, RFSB memiliki 250 orang vendor yang berdaftar dan bernaung di bawahnya.

"Ini membuktikan wujudnya peluang perniagaan dan pekerjaan di kawasan luar bandar," katanya di majlis anugerah vendor terbaik RFSB bagi tahun 2018 di ibu pejabat RISDA di sini petang tadi.

Katanya, majlis itu diadakan sebagai reward dan tanda terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh vendor vendor dalam pelbagai segmen perkhidmatan kepada RFSB.

"Peranan vendor amat penting bagi menjamin sistem penyampaian RISDA berada pada tahap efisyen supaya segala bentuk bantuan kerajaan seperti baja dan benih sampai kepada rakyat yang memerlukan," katanya lagi.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi RFSB, Datuk Zaim Abu Hassan, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dan Pengerusi NARSCO Berhad, Datuk Zamri Yaakob.

Datuk Zahidi percaya RFSB merupakan salah satu daripada syarikat terbaik di bawah RISDA yang telah memberikan perkhidmatan berkualiti.

"Saya difahamkan selain berpeluang menjadi vendor pengangkutan dan pembekal, RFSB turut menyediakan peluang perniagaan untuk menjadi usahawan dalam perkhidmatan bengkel baik pulih kenderaan, jualan tayar dan minyak pelincir," katanya lagi.

Katanya, dalam lawatan ke Indonesia pada Disember 2017, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah bersetuju melantik RFSB sebagai pembekal tayar kepada semua agensi di bawah KKLW di mana RFSB telah mempunyai jaringan perniagaan tayar dengan syarikat GTRadial di Indonesia.

Beliau berkata RFSB adalah di antara syarikat terbaik di bawah KKLW bagi kategori modal di bawah RM5 juta.

"Penganugerahan ini telah diterima oelh RFSB selama empat tahun berturut turut yang turut menaiktarafkan RFSB sebagai sebuah syraikat kategori Gred A pada tahun 2017," jelasnya lagi.

Syarikat Deraputra Enterprise di Kota Kinabalu memenangi anugerah vendor lori rigid kargo terbaik 2018 manakala Syarikat Y & C Transport, Keningau memenangi anugeraj vendor lori treler kargo terbaik 2018.

Syarikat Mnan Resources Sdn Bhd Kuantan memenangi anugerah vendor loti  treler tangki terbaik 2018 dan Syarikat Kesen Engineering (Segamat) Sdn Bhd memenangi anugeraj vendor alat ganti dan servis terbaik 2018. Hadiah Vendor of The year 2018 dimenangi oleh FELDA Transport & Services Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Semua pemenang menerima hadiah baucer pakej pelancongan Narsco Travel & Tours bernilai RM1,500 bagi setiap kategori, serta baucer tunai pakej pelancongan bernilai RM3,000 bagi anugerah vendor of the year, plak serta sijil penghargaan.

Sunday, March 11, 2018

KKMM AKAN AMBIL TINDAKAN BERITA PALSU MENGENAI 1MDB

SIK, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus menyiarkan berita palsu terutamanya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menimbulkan fitnah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari berkata sehubungan itu, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang memantau perkara berkenaan.

"Dalam usaha kerajaan menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, kita dapati beberapa isu turut disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara.

"Terbaru, dalam usaha mencemar dan menjatuhkan kredibiliti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian yang telah menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan sebuah kapal layar mewah oleh pihak berkuasa negara tetangga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri merangkap anggota Dewan Undangan Negeri Belantik Datuk Mohd Tajudin Abdullah serta Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Jailani berkata portal yang telah dikenal pasti itu adalah Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan yang terbaru MSNBC menyiarkan berita palsu mengenai 1MDB sejak minggu lepas.

"Kementerian melalui SKMM memantau perkara ini dan menasihatkan portal-portal ini berhenti menyiarkan berita-berita palsu terutamanya berhubung kes 1MDB yang telah dibuktikan hasil siasatan-siasatan bahawa dakwaan penyalahgunaan dan kehilangan wang tersebut tidak benar,"katanya.

Beliau berkata semua sedia maklum bahawa kes 1MDB telah pun disiasat pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai anggota Parlimen pihak pembangkang dengan akhirnya mendapati dakwaan penyalahgunaan wang itu adalah tidak benar sama sekali.

"Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha akhir beragenda politik yang cuba memfitnah dan mencemar nama baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita menjelang PRU14 (pilihan raya umum ke-14) tidak lama lagi,"katanya.

Pada pelancaran program itu, seramai 30 penduduk kampung dari Mukim Sok di daerah ini menerima bantuan berupa barangan keperluan harian sumbangan Telekom Malaysia (TM).

Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut menyumbang 10 unit peralatan siaran digital ASTRO NJOi berserta televisyen kepada penduduk kurang berkemampuan dari kampung di bawah mukim berkenaan.

-- BERNAMA

Saturday, March 10, 2018

TABLOID MINGGUAN RONTOG EDISI KOTA BELUD DILANCAR

KOTA BELUD, 10 Mac (Bernama) --Penduduk Kota Belud bakal mendapat informasi terkini tentang perkembangan semasa dan pembangunan dibawa kerajaan di Sabah khususnya di daerah itu menerusi penerbitan Tabloid Mingguan Rontog Edisi Khas Kota Belud.

Tabloid diasaskan Musli Oli selaku ketua pengarang tabloid berkenaan telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, hari ini.

Salleh berkata Tabloid Mingguan Rontog itu diharap akan dapat memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan benar kepada masyarakat setempat sekali gus menjelaskan segala isu semasa berhubung pembangunan dan pembaharuan dilakukan kerajaan selama ini.

"Penerbitan Tabloid Mingguan Rontog ini amat bertepatan dalam memastikan masyarakat setempat khususnya di Kota Belud mendapat maklumat tepat tentang segala usaha dilakukan kerajaan bagi mengelak masyarakat daripada terus terpengaruh dengan maklumat tidak tepat disebarkan melalui media sosial.

"Dengan adanya penerbitan tabloid ini juga akan dapat melahirkan masyarakat lebih matang, bijak serta berilmu dalam mempertimbang serta menilai kesahihan sesuatu berita sama ada ia benar atau palsu," katanya berucap melancarkan tabloid mingguan itu, di sini.

Salleh berkata kerajaan telah membawa banyak kemajuan di Kota Belud yang jelas merubah landskap pembangunan di daerah itu termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian serta kemudahan prasarana jalan raya demi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

Mengambil contoh pembinaan jaringan jalan raya di Kota Belud, Salleh berkata, banyak kawasan baharu diwujudkan selain turut memberi peluang kepada masyarakat membangunkan perniagaan, menyediakan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.

"Dahulu, ada (penduduk Kota Belud) yang kerja di Kota Kinabalu tinggal di Kota Kinabalu, tetapi sekarang mereka yang kerja di Kota Kinabalu boleh tinggal di Kota Belud kerana jaringan jalan raya memudahkan perjalanan mereka. Lebuhraya Pan Borneo kelak akan memacu lagi pembangunan," katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata, tabloid berkenaan akan dapat membantu memberi penerangan terhadap semua pembangunan dalam konteks sebenar dilakukan kerajaan sekali gus menangkis segala berita-berita tidak sahih terhadap kerajaan yang tular di media sosial.

Sebanyak 2,000 naskah berita akan diterbitkan setiap minggu dan tabloid itu akan diedarkan secara percuma kepada masyarakat setempat.

-- BERNAMA

TIDAK MASUK AKAL HAPUSKAN GST

KUALA NERUS, 10 Mac (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan manifesto Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak munasabah dan mengarut.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, GST telah terbukti berkesan dalam membantu meningkatkan ekonomi negara dan ia turut dilaksanakan oleh banyak negara di seluruh dunia termasuk Singapura dan Arab Saudi.

Justeru katanya dikhuatiri jika GST tidak lagi dilaksanakan, rakyat tidak lagi dapat menikmati pembangunan seperti yang dikecapi hari ini dan juga segala bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan ketika ini.

"Mengarutlah kalau nak hapuskan GST kerana sekarang GST telah terbukti baik dan telah dilaksanakan oleh banyak negara.

"Amat pelik kalau GST telah dilaksanakan, tiba-tiba hendak dihapuskan pula. Itu perkara yang tidak masuk akal," katanya.

Friday, March 9, 2018

MB BIDAS KENYATAAN KANAK KANAK DI TERENGGANU BANTUT

SETIU, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman membidas kenyataan Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah yang mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin terhadap masalah kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran akibat kekurangan zat makanan.

Beliau berkata dakwaan itu merupakan tuduhan liar dan berniat memfitnah kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang banyak membawa kemajuan kepada negeri ini.

Ahmad Razif menarik perhatian bahawa kes kurang zat makanan (KZM) yang berlaku di negeri ini adalah disebabkan dua faktor iaitu kelahiran cacat yang merencat pertumbuhan fizikal iaitu sebanyak 10-20 peratus seperti "cerebral palsy", congenital anomalies" dan lain-lain.

"Selain itu sikap ibu bapa dan keluarga yang kurang cakna atau kurang mahir tentang keperluan permakanan kanak-kanak juga faktor berlakunya isu KZM di negeri ini, bukan kerana kurang cakna kerajaan atau kemiskinan," katanya.

Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan peserta Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar 2018 di Lembah Bidong, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.

KERAJAAN SUDAH LAKSANAKAN JAMINAN KESELAMATAN MAKANAN

CYBERJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Janji pakatan pembangkang dalam manifesto yang dilancarkan semalam untuk menjamin keperluan makanan rakyat, sudah lama menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ranking Malaysia dalam keselamatan makanan di Asia Tenggara adalah antara yang terbaik iaitu kedua selepas Singapura.

"Keselamatan makanan bukan hanya menghasilkan lebih banyak beras tetapi menjamin makanan boleh diperoleh pada kadar mengikut kemampuan rakyat Malaysia di mana-mana lokasi di seluruh negara," katanya, dengan memberikan contoh beras boleh dibeli di Kuala Lumpur dan juga di Kapit, Sarawak atau di mana-mana ceruk di negara ini.

Mengulas manifesto pakatan pembangkang selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini, Ahmad Shabery berkata selain tiada perkara baharu yang diketengahkan berkaitan pertanian dan industri makanan, manifesto berkenaan juga berisiko mengancam kehidupan pesawah.

Merujuk kepada janji pembangkang untuk menghapuskan pengimport tunggal bagi beras, Ahmad Shabery berkata perkara itu boleh dibahaskan kerana sekiranya import beras dibebaskan, sesiapa sahaja boleh mengimport beras dan menjual mengikut harga yang ditetapkan sendiri.

Thursday, March 8, 2018

47 SEKOLAH ADA STPM TERIMA RM5,000


KUALA NERUS, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu menyumbang RM5,000 masing-masing kepada 47 sekolah yang mempunyai pelajar Tingkatan Enam di negeri ini bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri juga memberi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan peruntukan RM4 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi tujuan sama.

"Kerajaan negeri membuat pelaburan besar terhadap pendidikan kerana menyedari modal insan adalah sangat penting...kerajaan negeri mahu menyediakan lebih banyak peruntukan bagi memastikan kejayaan lebih besar diraih pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anuerah Kecemerlangan Pelajar STPM negeri Terengganu 2017 dan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di sini. Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin.

Pada majlis itu, seramai 100 pelajar cemerlang STPM 2017 masing-masing menerima sebuah komputer riba dan tablet serta wang tunai RM500 selain RM1,500 lagi apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat unviersiti.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri kecewa dengan pihak yang menyebarkan berita negatif terhadap pemberian bantuan 'one off' sebanyak RM1,500 kepada imam dan bilal di negeri ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutup Ekspo Terengganu 2018 baru-baru ini.

"Memang tidak patut dan tidak wajar perkara itu dilakukan. Dalam soal ini, janganlah dilakukan kerana ia memberi pandangan tidak baik kepada imam dan bilal.

"Saya telah menasihatkan Pejabat Hal Ewah Agama Terngganu (JHEAT) untuk ambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, March 7, 2018

BN MESTI MENANG DI CHUKAI






CHUKAI: Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata BN mesti menang di DUN Chukai jika mahu kerajaan mengangkat daerah Kemaman sebagai daerah yang terhebat di Terengganu.

Katanya, Kemaman pernah jadi fixed deposit BN Terengganu kini tercemar apabila DUN Chukai tewas pada PRU lalu sedangkan tiga DUN lain, Kemasik, Kijal dan Air Putih kekal di tangan BN.

Sehubungan dengan itu beliau minta pengundi Cina sebagai penentu kemenangan DUN Chukai kembali menyokong BN.

"Saya mahu semua pengundi Cina kembali menyokong BN jika mahu tuntutan masyarakat Cina didengar oleh kerajaan," katanya di majlis ramah mesra dengan masyarakat Cina di sini malam tadi.

Kira kira 5,000 orang  dari 23 NGO masyarakat Cina Kemaman  hadiri majlis tersebut yang turut dsertai oleh masyarakat Melayu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mahu rakyat Terengganu yang berbilang kaum hidup seperti zaman dahulu di mana orang Melayu bebas bergaul dengan orang Cina.

"Saya kesal sejak akhir akhir ini politik songsang telah memecahbelahkan solidariti di antara orang Melayu dengan orang Cina," tegasnya.

Beliau mahu orang Cina sekarang hidup seperti orang Cina Terengganu zaman dahulu yang pakai kain pelikat dan berbaju kebaya. Malah dahulu ada orang Cina yang pandai baca tulisan jawi.

Ahmad Razif berharap kehadiran ramai masyarakat Cina malam tadi dapat memberi tanda yang baik kepada BN bahawa BN dapat menawan semula kerusi DUN Chukai.

Katanya, bila tiba pilihanraya, jangan persoal siapa jadi calon kerana yang penting BN mesti menang di DUN Chukai.

Beliau juga mahu menarik lebih ramai pelancong dari negara China datang ke Terengganu supaya mereka dapat membeli belah di Terengganu.



Tuesday, March 6, 2018

KOMPUTER RIBA UNTUK 100 PELAJAR CEMERLANG STPM

KUALA TERENGGANU, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan mengagihkan hadiah khas iaitu komputer riba dan tablet kepada semua 100 pelajar Tingkatan Enam di Terengganu yang memperoleh keputusan 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata satu majlis istimewa akan diadakan untuk mereka pada Khamis ini.

"Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) terlalu gembira dengan keputusan yang sangat cemerlang ini kerana Terengganu juga berjaya mencapai minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) terbaik setakat ini iaitu 2.91 mengatasi PNGK peringkat kebangsaan iaitu 2.76.

"Sehubungan itu, seramai 23 pelajar terbaik yang memperoleh 4A akan diberi satu unit notebook manakala 77 pelajar lagi yang memperoleh 4A (kombinasi A dan A-) pula akan diberi satu unit tablet setiap seorang pada majlis itu," katanya dalam sidang media pengumuman keputusan STPM 2017 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, ketua-ketua sektor di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta Pegawai Pendidikan Daerah seluruh negeri.

Pada tahun lalu juga, pencapaian pelajar di kawasan luar bandar merekodkan keputusan cemerlang iaitu PNGK 2.92 mengatasi pelajar kawasan bandar, iaitu PNGK 2.89.

A. Latiff berkata lebih menggembirakan apabila keputusan STPM itu mengatasi sasaran empat peratus yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini.

"Di Terengganu, sasaran kita ialah 10-10-5-4 untuk setiap peperiksaan awam negara iaitu 10 peratus calon cemerlang bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga, lima peratus calon cemerlang untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan empat peratus calon cemerlang bagi STPM.

"Alhamdullillah, jumlah calon cemerlang bagi STPM 2017 ialah 4.16 peratus, sudah melepasi sasaran yang kerajaan negeri tetapkan...tahun ini kita sasarkan jumlah itu meningkat kepada lima peratus pula," katanya.

-- BERNAMA

Monday, March 5, 2018

EKSPO TERENGGANU AKAN DIADAKAN DI SEMUA DAERAH


KUALA NERUS, 5 Mac (Bernama) -- Kejayaan kerajaan negeri menganjurkan Ekspo Terengganu 2018 memberi inspirasi untuk diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini bermula bulan depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ekspo tersebut bakal mengetengahkan keunikan daerah masing-masing mengikut acuan kawasan berkenaan.

"Saya telah memberitahu anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya bersedia kerana Ekspo Terengganu 2018 bukan permulaan dan pengakhiran, kita akan turun ke daerah-daerah dan buat ekspo sebegini tetapi dalam skala kecil.

"Kalau ada masa lagi, mungkin juga kita akan turun sehingga ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)...kita akan turun dan buat dalam tempoh tiga hari dua malam, jadi selepas ini akan ada lapan lagi ekspo sebegini yang memfokuskan apa yang akan dan sedang berlaku di daerah terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media pada majlis penutup Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Seramai 621,338 pengunjung telah datang ke ekspo yang berlangsung selama lapan hari bermula 25 Feb lepas dan ia turut mencatatkan sejarah menjadi antara penganjuran ekspo yang terbesar di Pantai Timur.

Tambah Ahmad Razif, ekspo berskala kecil tersebut bakal mempunyai hala tuju tersendiri yang mana mereka memfokuskan kepada suara rakyat.

"Apa juga komen daripada rakyat akan kita gunakan untuk merealisasikan pembangunan yang telah dicadangkan," katanya.

Ekspo Terengganu 2018 yang menutup tirainya semalam telah menerima pelbagai maklum balas positif daripada rakyat dan pujian banyak pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-- BERNAMA

Sunday, March 4, 2018

18,000 PELUANG PEKERJAAN DIWUJUDKAN DI TOK BALI SUPPLY BASE

PASIR PUTEH, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 18,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi pembangunan projek Tok Bali Supply Base (TBSB) di Tok Bali di sini bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia membabitkan 3,000 pekerjaan secara langsung di TBSB manakala bakinya menerusi pembangunan sektor pelancongan seperti hotel dan restoran.

"Projek berkenaan mempunyai 40 penyedia perkhidmatan dan syarikat itu berhasrat menambah sehingga 120 penyedia perkhidmatan dalam beberapa tahun akan datang, selain menjangkakan 600 kapal akan berlabuh tahun ini berbanding 309 kapal pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai projek berkenaan pejabat Tok Bali Supply Base (TBSB) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Tok Bali Supply Base (TBSB) Sdn Bhd yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat.

Tok Bali Supply Base menyediakan kemudahan prasarana bagi menyokong industri petroleum luar pantai di kawasan utara Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) berkata dalam pada itu, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) juga akan membangunkan 80 hektar tanah di sekitar kawasan Tok Bali sebagai kawasan industri.

"ECER telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri dan agensi tersebut memperuntukkan RM200 juta bagi pembangunan projek itu.

TBSB juga akan membangunkan kawasan seluas 80 hektar sebagai taman daerah kira-kira tujuh kilometer dari tempat mereka beroperasi," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, March 3, 2018

PM RAIKAN 111 PASANGAN PENGANTIN PROGRAM PERKAHWINAN PERDANA TTB

KUALA NERUS, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan 111 pasangan pengantin yang terlibat dalam Program Perkahwinan Perdana TTB dalam majlis resepsi yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Majlis resepsi itu diadakan bersempena majlis penutupan Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini sejak 25 Feb lalu dan berakhir pukul 6 petang esok.

Ketibaan Perdana Menteri pada 12.30 tengah hari disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isterinya Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Najib turut mengambil peluang menepung tawar pasangan pengantin yang juga atlet angkat berat Terengganu, Azmer Abdul Rahman, 26, dan pasangannya Norasyikin Nabila Rahimi, 18, juga atlet angkat berat negeri ini.

Azmer, merupakan pemenang pingat perak acara angkat berat 130 kilogram (kg) Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang, manakala isterinya mewakili Terengganu pada Sukma 2018 yang akan berlangsung di sini.

Friday, March 2, 2018

PAKATAN HARAPAN GUNA BERITA PALSU UNTUK RAIH UNDI

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan didominasi DAP menggunakan berita palsu sebagai senjata politik mereka untuk meraih undi pada pilihan raya umum ke-14, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan ingat bagaimana Mahathir memulakan serangan berita palsu terhadap 1MDB, apabila menyatakan dengan salah bahawa 'RM42 bilion telah hilang', hanya untuk dibuktikan berulang kali bahawa kenyataan itu adalah salah," katanya menerusi catatan dalam blog sskeruak.blogspot.my hari ini.

Dalam keadaan mereka yang terdesak, Salleh berkata adalah menyedihkan untuk melihat bekas perdana menteri dan pembangkang kini tanpa berfikir panjang mengitar semula dakwaan tanpa bukti dan menyebarkan berita palsu secara tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pembangkang sekali lagi mengambil kesempatan berikutan dakwaan tanpa disahkan dan tanpa dibuktikan berhubung sebuah kapal mewah dinamakan 'The Equanimity.'

Antara lain, menteri itu berkata kapal itu dikatakan dimiliki Jho Low, dan pembeliannya dibuat menggunakan dana daripada 1MDB, iaitu satu lagi percubaan yang gagal untuk mengelirukan rakyat Malaysia dengan berita palsu.

"Hakikatnya adalah sumber tuduhan tu terkandung dalam tuntutan sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, yang sebenarnya telah ditangguhkan sejak Ogos 2017.

"Sehingga hari ini, selain dakwaan asas yang terkandung dalam tuntutan sivil itu, DoJ belum mengemukakan sebarang bukti kukuh bahawa Jho Low ialah pemilik sebenar kapal mewah itu ataupun ia dibeli menggunakan dana daripada 1MDB," katanya.

Tambahan pula, beliau berkata DoJ masih belum membuktikan mana-mana tuduhannya di mahkamah, walaupun hampir dua tahun berlalu sejak persidangan akhbarnya yang sensasi diadakan pada Julai 2016.

"Pembangkang gagal menyatakan bahawa dakwaan sumber dana dalam tuntutan sivil DoJ adalah daripada Aabar BVI, yang menurut DoJ, dikatakan mempunyai urusan perniagaan dengan Jho Low.

"Para pengarah Aabar BVI ialah Khadem Al Qubaisy dan Mohammed Al Badawy, bekas petugas kanan dalam kumpulan IPIC.

"1MDB berulang kali menjelaskan bahawa walaupun ia mempunyai urusan perniagaan dengan Aabar BVI, 1MDB tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Jho Low dan yang lebih penting, 1MDB bukanlah pihak dalam tuntutan sivil DoJ," kata Salleh.

-- BERNAMA

Thursday, March 1, 2018

PEMILIHAN CALON BN YANG PALING TELITI

DUNGUN, 1 Mac (Bernama) -- Pemilihan calon daripada Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti adalah yang paling teliti pernah dilakukan oleh pucuk pimpinan parti.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sehingga kini senarai calon masih lagi menjadi misteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang meneliti calon-calon berkenaan mengikut kriteria yang ditentukan parti.

"Perdana menteri (Najib) yang akan umumkan senarai calon-calon pada masa yang sesuai...sekarang PM dan timbalan perdana menteri (Ahmad Zahid) selaku pucuk pimpinan parti sedang meneliti nama-nama calon.

"Saya tidak pernah melihat PM (yang juga Presiden UMNO) membuat persiapan begitu teliti...ini kerana kita mengambil kira semua perkara termasuk sentimen di peringkat bahagian atau cawangan dan bagaimana penerimaan rakyat terhadap calon itu.

"Jadi kita berharap apabila diumumkan calon nanti maka sokonglah calon berkenaan sebagaimana ikrar kita, termasuklah tidak sabotaj calon bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14 nanti," katanya