Monday, April 30, 2018

1,506 ORANG BACA BERITA KETUA BAHAGIAN TUNGGAL TIDAK BERTANDING SEMULA

"Ketua Bahagian tunggal di Terengganu yang tidak bertanding semula" yang disiarkan pada 26 April muncul rating tertinggi untuk bulan April 2018 bagi blog todayterengganu dengan 1506 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan April 2018 adalah seperti berikut:-

1. Ketua Bahagian tunggal di Terengganu yang tidak bertanding semula (26 April) - 1506 hits
2. Zaitun calon wanita tepati ramalan todayterengganu pada 19 April 2017 (20 April)
3. Akhirnya Ahmad Said terima Mat Awang Tera sebagai calon Chukai (27 April)
4. Nawi tetap bekerja untuk BN jika tidak dicalonkan di Hulu Besut (6 April)
5. Ribuan hadiri majlis pelancaran markas BN cawangan Chukai (18 April)
6. SUK Terengganu tanding parlimen Kuala Terengganu (19 April)
7.Razif nafi senarai calon yang ditularkan dalam whatsapp (10 April)
8. Jangan fikir siapa jadi calon (9 April)
9.Terengganu mahu wujudkan kolej universiti Al Quran (11 April)
10. Macam mana BN pilih calon hentam PM? (23 April)

Sunday, April 29, 2018

PEMBANGKANG DIMINTA BERI PENJELASAN MENGENAI PENDIDIKAN PERCUMA

KEMAMAN 29 April (Bernama) -- Pembangkang sepatutnya memberi penjelasan yang lebih terperinci daripada sudut ekonomi sekiranya benar-benar mahu memberi pendidikan percuma dan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sehingga kini tiada hujah yang bernas daripada pihak pembangkang sebaliknya hanya menggunakan manifesto bagi menarik perhatian dan sokongan daripada rakyat.

"Sebenarnya banyak perkara yang tidak konsisten dikalangan parti pembangkang tentang pendidikan di negara kita, satu masa dia nak jadi populis dengan mengistiharkan akan memberikan pendidikan percuma daripada peringkat rendah sampailah peringkat tertinggi .

"Dalam bahagian pendidikan negara kita sudah percuma sehingga peringkat sekolah menengah dan peringkat tinggi, apa yang dikenakan dari segi bayaran adalah sebahagian kecil adalah dari kos sebenar sebab itu universiti awam kita adalah antara yang menerima bayaran terendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perayaan Hari Guru di Dewan Hayaati Ilmi, Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman disini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said, dan tiga calon UMNO Kemaman, Ir. Rosli Othman, Datuk Mohamed Awang Tera, dan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Tambah beliau lagi, pihak pembangkang perlu menunjukkan terlebih dahulu bagaimana cara untuk mereka membiayai segala kos pendidikan sekiranya GST dihapuskan.

"Jadi kalau mereka ingin berikan semuanya percuma mestilah ada sesuatu yang bermodal ekonomi. Di negara luar seperti German, dan Eropah pendidikan mereka percuma tetapi cukai yang dikenakan adalah sangat tinggi dari apa yang dikenakan di sini.

"Untuk memberi pendidikan percuma mesti dilihat dari segi apakah yang percuma dan juga hal lain yang berkaitan dengan kualiti pendidikan, untuk memberikan pendidikan yang baik ada kos yang diperlukan," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, April 28, 2018

PAKATAN HARAPAN TAK MAMPU RAMPAS TERENGGANU DAN NEGARA

KUALA NERUS, 28 April (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yakin gabungan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan bukan sahaja dilihat tidak mampu merampas Terengganu, malah juga Putrajaya.

Ahmad Razif berkata keyakinan itu diperkuatkan lagi apabila gabungan pembangkang yang menggunakan logo PKR itu dilihat menimbulkan kecelaruan pada hari penamaan calon, hari ini apabila ada calon yang gagal menyerahkan borang pencalonan.

"Kita dengar dan tengok persiapan PKR ni sedih juga. Ada (calon) yang tak boleh bertanding dan terpaksa memberi kemenangan percuma bila tak bawa pas calon. Sepatutnya kalau nak jadi calon, perkara macam tu dah kena tahu dan bersedia.

"Kalau perkara kecil macam tu pun tak boleh nak sediakan, macamana nak mentadbir negeri dan negara? Tengok calon Barisan Nasional (BN) tak ada seorang pun yang tersingkir sebab kita periksa betul-betul kelayakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Harapan, Seberang Takir di sini, hari ini.

Ahmad Razif turut menyelar tindakan PKR yang mencalonkan Naib Presidennya, Chua Tian Chang atau Tian Chua untuk bertanding kerusi Parlimen Batu.

"Kalau dah tahu calon tu ada bermasalah dengan kes mahkamah, kenapa calonkan juga? Rakyat sepatutnya boleh nilai sendiri hal ini," katanya.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain berkata penolakan pencalonan Tian Chua dibuat berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan 1948.

-- BERNAMA

Friday, April 27, 2018

AKHIRNYA AHMAD SAID TERIMA MOHAMAD AWANG TERA SEBAGAI CALON CHUKAI




CHUKAI: Akhirnya Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said menerima Datuk Mohamad Awang Tera sebagai calon BN bagi DUN Chukai.

Malam tadi berucap di majlis pertandingan Muay Thai di sini Ahmad yang juga calon BN bagi DUN Kijal berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Mohamad Awang Tera sebagai calon BN di Chukai.

"Saya menyeru kepada semua pengundi Chukai memilih beliau sebagai wakil rakyat Chukai," katanya dalam ucapan ringkas. Mohamad turut hadir di majlis tersebut.

Ahad lalu selepas pengumuman calon BN Terengganu di kediaman rasmi Menteri Besar, Ahmad Said telah meluahkan rasa kecewa kerana BN memilih Mohamad Awang Tera sebagai calon Chukai. Menurutnya beliau tidak layak bertanding kerana dikatakan sabotaj calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid pada PRU13.

Luahan bekas Menteri Besar Terengganu itu dalam Astro Awani telah menyebabkan video itu disebar secara meluas oleh para penyokong PAS. Ini menimbulkan tanda tanya kerana inilah kali pertama calon BN menyerang calon BN yang lain secara terbuka tetapi BN masih mengekalkan Ahmad Said sebagai calon Kijal.

Kami difahamkan selepas pengumuman calon, puak Umno Bahagian Kemaman telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan Mohamad Awang Tera digantikan oleh Ketua Pemuda Bahagian, Fikri Ibrahim atau Bulat.

Tetapi wakil Umno Bahagian Kemaman yang menghantar memorandum itu diusir oleh pegawai Perdana Menteri yang menegaskan tiada pertukaran sebarang calon sebelum hari penamaan calon. Terkejut dengan tindakan pegawai Perdana Menteri, Ahmad Said telah membuat u turn dengan menyokong dan menerima Mohamad sebagai calon BN bagi DUN Chukai.

Andainya Mohamad kalah di DUN Chukai, adakah Ahmad Said akan dipersalahkan kerana video Astro Awani adalah bukti kukuh Ahmad Said mensabotaj calon BN? Oleh itu sokongan Ahmad Said kepada Mohamad belum lagi terlambat jika benar penyokong Ahmad Said ikhlas menyokong calon BN. Jangan dibibir sokong tetapi di belakang buat yang bertentangan pula.

Oleh itu kita sokong puak Ahmad Said bersatu semula dengan puak  Mohamad Awang Tera demi merampas kembali kerusi BN bagi DUN Chukai. Selamat berjaya.

Thursday, April 26, 2018

KETUA BAHAGIAN TUNGGAL DI TERENGGANU YANG TIDAK BERTANDING SEMULA

KUALA BERANG: Umno Terengganu mempunyai lapan bahagian sahaja. Hanya Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari yang tidak dicalonkan semula dalam PRU akan datang.

Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad kekal di DUN Hulu Besut. Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie dipindahkan ke parlimen Setiu. Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kekal di DUN Seberang Takir manakala Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Sabri Alwi dicalonkan di DUN Ladang.

Ketua Umno Bahagian Marang. Latif Awang kekal di DUN Pengkalan Berangan dan Ketua Umno Bahagian Dungun, Din Adam dicalonkan di parlimen Dungun dan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dikekalkan di DUN Kijal.

Nama Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multi Media digugurkan di saat saat akhir sedangkan beliau sudah dipanggil oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk bertanding semula di parlimen Hulu Terengganu.

Sebaliknya Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang tewas mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dikekalkan di DUN Kuala Berang. Memang pelik ketua bahagian yang menang tidak bertanding tetapi yang kalah ketua bahagian dipilih sebagai calon.

Terengganu kehilangan seorang timbalan menteri yang berkaliber di Dewan Rakyat. Beliau berani berhadapan dengan pembangkang dalam Dewan Rakyat mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB.

Menurut sumber, beliau telah menemui Najib untuk mendapatkan penjelasan kenapa beliau digugurkan sebagai calon. Najib mengakui beliau telah meletakkan nama Jailani di parlimen Hulu Terengganu tetapi di saat saat akhir namanya digantikan oleh Datuk Rosol Wahid oleh orang lain.

Sepatutnya Rosol diletakkan di DUN Ajil menggantikan Dr Ghazali Taib yang pernah keluar dari Umno bersama Ahmad Said dan ADUN Bukit Besi, Rosli Daud. Pengkhianat seperti Ahmad Said, Dr Ghazali Taib dan Rosli Daud dikekalkan sebagai calon tetapi orang yang mempertahankan Najib seperti Jailani Johari diketepikan sebagai calon. Itulah balasan kepada orang yang setia kepada Najib.

Sebagai bekas pegawai kanan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM), Jailani memang seronok berada di KKMM kerana ia adalah bidang yang dikuasainya. Oleh itu tugas Jailani mempastikan Umno menang besar di Hulu Terengganu dan sewajarlah Jailani diberi jawatan Senator dan menteri penuh di KKMM. Hanya orang yang pakar mengenai bidang itu yang layak mengetuai kementerian tersebut.






Wednesday, April 25, 2018

BUKTIKAN KESETIAAN KEPADA PARTI WALAUPUN TIDAK TERCALON

PADANG TERAP, 25 April (Bernama) -- Individu yang tidak dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu membuktikan prinsip kesetiaan atau wala' mereka kepada parti.

Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata individu tersebut tidak perlu merajuk apabila tidak terpilih sebaliknya perlu bekerja keras untuk membantu jentera parti dan memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Masa ini, mereka perlu buktikan kesetiaan terhadap parti dengan membantu calon yang terpilih untuk mencapai kemenangan kerana kemenangan ini untuk semua anggota parti dan bukan semata-mata untuk calon tersebut.

Merajuk itu lumrah tetapi kena sedar tempat sedikit tetapi yang hendak bertanding itu ramai. Jadi, hormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perjumpaan Perdana Veteran UMNO, di sini hari ini.

Beliau berharap tiada individu yang cuba untuk melakukan sabotaj dan khianat kepada parti pada pilihan raya umum kali ini hingga menyebabkan kesukaran kepada calon BN yang bertanding.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membeli calon Pakatan Harapan adalah kerana dia tidak yakin dengan calon-calonnya sendiri.

"Dia (Dr Mahathir) memang dari dulu suka buat kenyataan awal. Dia tidak yakin dengan calon sendiri dan tahu mereka ini tiada di hati pengundi sebab itu buat tuduhan sana sini pada pihak lawan hanya untuk tutup kelemahan mereka," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, April 24, 2018

BN TIDAK ANAK TIRIKAN PARLIMEN KUALA TERENGGANU WALAUPUN KALAH

KUALA TERENGGANU, 24 April (Bernama) -- Meskipun dikuasai pembangkang selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), BN sebagai kerajaan yang memerintah negeri ini, tidak sesekali 'menganaktirikan' bandar raya pesisir pantai itu daripada arus pembangunan.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata tidak mahu terus bernostalgia dengan kekalahan itu, kerajaan BN tetap gigih membawa satu persatu pembangunan ke Parlimen itu selaras dengan slogan kerajaan BN di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman - Transformasi Terengganu Baharu.

Satu demi satu projek berimpak tinggi berjaya dibawa masuk termasuk projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC), jambatan angkat atau 'drawbridge' yang akan membuka beribu peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya golongan muda.

Katanya Pusat Transformasi Bandar (UTC) diwujudkan di Paya Bunga Square, pada Jun 2016 yang memberi faedah kepada kira-kira 600,000 penduduk tempatan menerusi perkhidmatan yang disediakan oleh 29 agensi persekutuan, 20 badan kerajaan dan dua agensi swasta.

Selain itu, kira-kira 2,000 unit rumah di bawah projek perumahan rakyat (PPR) telah dibina oleh kerajaan negeri di beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu seperti PPR Padang Hiliran dan Cherong Binjai

Monday, April 23, 2018

MACAM MANA BN PILIH CALON HENTAM PM?



KUALA LUMPUR: Umno Bandar Tun Razak berhadapan masalah memilih calon-calon berpotensi untuk kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu.

Pilihan pertama, Datuk Rizalman Mokhtar tiba-tiba ditahan dalam skandal dadah. Bagaimanapun, polis membebaskan beliau daripada pertuduhan dadah selepas mendapat laporan kimia.

Manakala itu, percubaan pucuk pimpinan Umno yang lebih tinggi meletakkan Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil juga mendapat maklum balas tidak bagus daripada bahagian parti di situ mengenai kebimbangan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Sekarang, calon berpotensi mutakhir, peguam muda Adnan Abu Seman pula dipersoalkan berhubung kenyataan beliau pada masa lalu bahawa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak perlu meletak jawatan.



"Kalau beliau tiada keupayaan untuk urus tadbir dan bawa lebih banyak kemudaratan kepada parti, menyebabkan parti berada dalam keadaan lebih sukar.

"Mungkin sudah sampai masa kena pertimbang kedudukan dia sebagai presiden dalam parti," kata Adnan dipetik sebagai berkata pada Oktober 2016 dalam program Ruang Bicara di Bernama TV.

Beliau berkata ia perlu dilakukan melalui peralihan kuasa, sama seperti ketika Najib mengambil alih kuasa daripada Tun Abdullah Badawi.

Komen itu dibuat dua bulan selepas bekas pemimpin Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU, yang membawa kepada perpecahan dalam parti pemerintah Melayu itu.

Pengacara rancangan itu, Dahlan Maamor diberhentikan daripada stesen televisyen itu dikatakan akibat kenyataan Adnan dalam program tersebut.




Seorang pemimpin pemuda Umno Wilayah Persekutuan menimbulkan kebimbangan bahawa kenyataan Adnan tentang Najib akan digunakan semula terhadap BN pada pilihan raya umum ke-14 ini.

"Macam mana dia nak jawab isu ini bila orang persoal," kata pemimpin pemuda yang enggan namanya disebut.

Apabila dihubungi, Adnan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sehingga penamaan calon dibuat secara rasmi, tetapi berkata beliau telah menjelaskan ucapannya kepada kepimpinan parti.




"Para pemimpin sudah menerima penjelasan penuh, dan sebelum mereka memilih mereka, mereka akan mempertimbangkan perkara ini.

"Pucuk pimpinan dah dapat penjelasan penuh jadi tak jadi isu, sebelum mereka buat pemilihan pun perkara ini mesti dah diambil kira.

"Orang tak puas hati saya tak nampak, di peringkat Bandar Tun Razak, kepimpinan bahagian dan di akar umbi, beri sokongan kepada saya seratus peratus, mungkin bahagian lain lah," kata Adnan.

Sunday, April 22, 2018

BN TERENGGANU LETAK CALON WANITA DI KUBU PAS

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Selepas 10 tahun, Barisan Nasional (BN) Terengganu mengotakan janji untuk menampilkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kali ini.

Lebih mengejutkan apabila bukan hanya seorang diumumkan, malah dua calon wanita diberi amanah untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili pembangkang.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin, 61, akan bertanding di DUN Bukit Payung manakala Bendahari Wanita UMNO Negeri yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun, Datuk Zainun Abu Bakar, 65, pula akan bertanding di DUN Sura.

Zaiton yang juga bekas Anggota Dewan Negara dan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia ketika ini berkeyakinan penuh untuk memenangi semula DUN Bukit Payung kerana sudah hampir lima tahun berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata semua isu dan permasalahan rakyat di Parlimen Marang sudah lama diselesaikan bersama jentera akar umbi termasuk 23 cawangan UMNO seluruh DUN Bukit Payung.

"Saya yakin 23,000 pengundi di Bukit Payung mahu generasi muda mereka terbela dan mereka pastinya mahu kerajaan yang kukuh dan stabil dapat membela dan menjaga kebajikan mereka untuk masa depan yang lebih cemerlang," katanya.

Sementara itu, Zainun yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Nun berkata hampir 45 peratus daripada 24,000 pengundi di DUN Sura adalah wanita dan yakin kerja kerasnya bersama jentera BN selama ini akan mendapat sokongan daripada pengundi kawasan itu.

"Walaupun Sura dikatakan kubu PAS kerana menang dua penggal di situ, namun BN tidak pernah menganak tirikan pengundi Sura selama ini."

"Bantuan disalur tanpa memilih bulu di kalangan pengundi. Kak Nun tak kira sama ada orang itu penyokong BN atau PAS, Kak Nun akan bantu mengikut keperluan mereka dan insya-Allah mereka yang dahulunya memberi undi kepada pihak sana pasti memberi undi kepada BN sekiranya mahu nasib mereka terus terbela," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir BN Terengganu meletakkan calon wanita pada PRU ke-12 tahun 2008 melalui Nordiana Shafie, yang bertanding di DUN Batu Buruk namun kalah kepada calon PAS ketika itu, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.

-- BERNAMA

Friday, April 20, 2018

ZAITON CALON TUNGGAL WANITA TEPATI RAMALAN TODAY TERENGGANU PADA 19 APRIL 2017



KUALA TERENGGANU 20 April - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan lima calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Kuala Nerus dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).



Selain beliau, calon lain terdiri daripada Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Basir Ismail; Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad; Pegawai Penyelaras DUN Buluh Gading (Teluk Pasu) , Che Mansor Salleh di samping pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.



Beliau bagaimanapun tidak menyebut bagi kerusi kawasan mana calon-calon itu akan diletakkan dalam membawa cabaran BN menghadapi PRU-14.


Bagaimanapun difahamkan Ahmad Razif akan kekal di DUN Seberang Takir manakala Basir di Tepuh, Tuan Arif (Bukit Tunggal), Che Mansor bagi Buluh Gading manakala Tengku Asmadi bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus.


“Sebagai Ketua Bahagian Kuala Nerus dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri maka, saya umumkan yang kelima-lima calon ini sudah sah akan bertanding bagi DUN dan Parlimen Kuala Nerus, tetapi tempat saya tidak mahu beritahu, kita tungu secara rasmi pengumuman sama ada pada Ahad atau Isnin.


“Selain itu, saya juga ingin umumkan yang Toh Puan Zaiton Mohd. Amin adalah satu-satunya calon wanita di Terengganu yang akan diketengahkan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.


Yang hadir sama, isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria merangkap Yang Dipertua Serikandi.


Ahmad Razif memberitahu, BN Terengganu akan menampilkan sekurang-kurangnya 19 muka baharu di samping tiga calon muda berusia bawah 40 tahun.


Bagaimanapun, beliau memberi bayangan ada di antara penyandang bagi kerusi PRU lalu bakal digugurkan daripada bertanding.


“InsyaAllah sehari dua lagi kita akan umumkan semuanya. Sebahagian daripada mereka (calon) sudah tahu,” katanya.

Pengumuman Zaiton sebagai calon BN menepati ramalan Today Terengganu pada 19 April 2017. Mampukah Zaitun menjadi Exco wanita Terengganu yang pertama jika BN menang pada 9 Mei nanti? Sama samalah kita tunggu

Thursday, April 19, 2018

SUK TERENGGANU TANDING PARLIMEN KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 19 April (Bernama) -- Setiausaha kerajaan negeri Terengganu Datuk Wan Nawawi Wan Ismail hari ini mengumumkan bakal bertanding di Parlimen Kuala Terengganu mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengumuman itu dibuat Wan Nawawi di Wisma Darul Iman hari ini, selepas mengetik kad perakam waktu bagi kali terakhir pada 12.45 tengah hari tadi selepas 37 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

"Hari ini merupakan hari terakhir saya di pejabat, tetapi tarikh sebenar saya bersara ialah Ahad ini (22 April). Persaraan saya ini bukan satu pengakhiran kepada kerjaya saya yang sentiasa memberi khidmat kepada rakyat kerana saya telah dipilih untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU14 ini.

"Saya telah dirisik sejak lima, enam bulan lalu oleh pucuk pimpinan parti (BN)...saya menerima semua ini sebagai takdir dan anugerah untuk terus berkhidmat," katanya pada sidang media di sini.

Wan Nawawi berkata dunia politik bukanlah satu perkara asing bagi dirinya kerana beliau telah terlibat secara tidak langsung dalam politik sejak tahun 80-an.....

Wednesday, April 18, 2018

RIBUAN HADIRI MAJLIS PELANCARAN MARKAS BN CAWANGAN CHUKAI




CHUKAI: Kira kira 2,000 orang pelbagai kaum  hadiri majlis pelancaran Markas BN Cawangan Chukai di hadapan Pasar Kemaman di sini tengahari semalam.  Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Datuk Rohani Abdullah.

Petang kelmarin dua ekor lembu sumbangan Tulangis Maju Sdn Bhd dikorbankan untuk menjayakan majlis jamuan rakyat tersebut. Sebelah malamnya pula diadakan majlis solat hajat selepas solat isyak. Turut hadir ialah bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin, Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Haji Mustafa Abdul Rahman dan Pegawai Tugas Tugas Khas Menteri Besar, Mat Dalam Awang.

Majlis tersebut memaparkan solidariti ahli-ahli Umno dalam DUN Chukai untuk merampas kembali kerusi tersebut dari tangan PAS.

Pada tahun 2013, calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti  2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457  undi manakala Wan Ahmad Nizam yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar mendapat 10,011 undi.

Pemerhati politik meramalkan jika semua ahli Umno bersatu tanpa mengira siapa calon maka BN dapat merampas semula kerusi tersebut dari tangan PAS. BN dijangka mendapat tentangan sengit tiga penjuru dari calon PAS dan calon PKR yang mana pengundi Cina akan jadi undi penentu yang mana kerusi DUN Chukai dianggap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai kerusi wajib menang untuk meneruskan pembangunan daerah Kemaman bagi lima tahun akan datang.

Di antara calon calon BN yang disebut sebut bakal bertanding di DUN Tersebut ialah Pegawai Pembangunan DUN, Datuk Mohamed Awang Tera, Pegawai Khas Menteri Besar, Mat Dalam Awang dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Ahmad Fikri Ibrahim.

Tuesday, April 17, 2018

BANDAR TUN RAZAK MAHU MENANG ATAU KALAH?

KUALA LUMPUR: Ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak sudah lama mengidam kerusi parlimen Bandar Tun Razak. Dua kali diwakili MCA pada tahun 1999 dan 2004, PKR menawan kerusi tersebut pada tahun 2008 dan 2013.

Syukurlah Umno mendapat kerusi itu buat kali pertama pada PRU 2018 setelah empat kali MCA mewakili BN. Dua kali menang, dua kali tewas maka sudah wajarlah MCA memberi laluan kepada Umno untuk menentang PKR.

Sepatutnya Ketua Umno Bahagian Datuk Rizalman Mokhtar jadi calon BN tetapi beliau ada kes maka nama beliau terus hitam.Walaupun polis dapati beliau tidak bersalah, tetapi imej beliau sudah tercemar. Maka Umno menawarkan kerusi itu kepada Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Jalil.

Jika Shahrizat bertanding maka isu lembu dalm kondo akan diserang pembangkang. Maka Shahrizat menolak tawaran tersebut walaupun peluang untuk Umno merampas kembali kerusi parlimen tersebut agak cerah.

Siapakah calon BN yang wajar bertanding di Bandar Tun Razak? Adakah BN mahu menang atau kalah? Bagi saya, jika benar BN mahu menang, BN wajar meletakkan bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yassin sebagai calon.

Semua penduduk di parlimen tersebut kenal siapa Zaharin. Beliau juga adalah setiausaha kerja BN Bandar Tun Razak. Penduduk yang berurusan dengan beliau puas hati dengan perkhidmatannya. Bila penduduk datang minta rumah PPR, surat sokongan Zaharin laku di Dewan Bandaraya.

Ramai penduduk Bandar Tun Razak suka dengan perkhidmatannya yang ikhlas kepada mereka. Oleh itu jika mahu menang wajarlah Zaharin dipilih sebagai calon BN Bandar Tun Razak.

Semua menteri dia kenal. Maka mudah beliau minta tolong menteri untuk kepentingan penduduk Bandar Tun Razak. Dia pun tak ada kepentingan peribadi dengan menteri kerana beliau bukan ahli perniagaan. Calon mudah menang ini akan memberi saingan sengit kepada calon PAS dan calon PKR.

Banyak jasa beliau kepada penduduk Bandar Tun Razak ketika beliau menjadi Setiausaha Umno Bahagian dan Setiausaha Kerja BN. Maka peluang untuk BN menang di situ amat cerah jika beliau yang bertanding.


Monday, April 16, 2018

KEMAMAN BAKAL PENGELUAR DAGING TERBESAR

KUALA LUMPUR, 16 April (BERNAMA) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan baka lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit, yang berpotensi memberi pendapatan yang lumayan kepada penternak berskala kecil dan sederhana.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata baka KK itu yang lebih cepat membesar, tahan cuaca persekitaran yang panas dan lembab serta serangan penyakit, dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran daging negara.

"Kajian yang telah dimulakan dari 2006 ini telah berjaya melahirkan baka Kedah-Kelantan (KK) Elit yang ditingkatkan beratnya sehingga mencapai berat maksimum antara 430 kilogram (kg) hingga 460 kg bagi jantan dan 220 kg hingga 250 kg bagi betina pada umur lingkungan tiga hingga empat tahun," katanya pada majlis pelancaran lembu Kedah-Kelantan dan lembah pedaging di Pasir Gajah, Kemaman baru-baru ini.

Beliau berkata baka lembu KK lebih popular dan digemari oleh pengusaha tempatan kerana tahan terhadap cuaca persekitaran, kadar kematian yang rendah iaitu kurang daripada dua peratus dan kos pengeluaran yang rendah kerana baka KK produktif dengan kualiti makanan yang sederhana.

Sementara itu, mengenai lembah pedaging Kemaman, beliau berkata Daerah Kemaman yang mempunyai populasi lembu KK terbanyak di Malaysia iaitu sebanyak 18,000 ekor merupakan kawasan paling sesuai bagi dibangunkan sebagai pengeluar daging utama di Malaysia.

"Dengan penubuhan ini, Kemaman akan menjadi satu kawasan yang sangat penting untuk negara kerana bakal menjadi pengeluar daging terbesar dan berupaya bagi meningkatkan tahap sara diri serta memenuhi permintaan yang kian meningkat," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, April 15, 2018

JABI DAPAT SEKOLAH SUKAN JIKA BN TERUS DIBERI MANDAT

BESUT, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu bercadang menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi di sini sebagai sekolah sukan, iaitu sekolah sukan pertama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, sekiranya Barisan Nasional terus diberi mandat memerintah negeri ini pada pilihan raya umum ke-14.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu selaras dengan kedudukan Kompleks Sukan Mini Jabi yang akan dibina tidak jauh dari kawasan sekolah berkenaan bermula Mei depan.

"Cadangan menjadikan SK Jabi sebagai perintis sekolah sukan di DUN ini akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan," katanya selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat peringkat DUN Jabi dekat sini, hari ini.

Turut hadir penyandang kerusi DUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie.

Pada majlis sama, Ahmad Razif melakukan pecah tanah kompleks sukan mini berkenaan, yang akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 2.025 hektar.

Saturday, April 14, 2018

PASAR PERIKANAN KURANGKAN PERANAN ORANG TENGAH

KEMAMAN, 14 April (Bernama) -- Inisiatif Kementerian Pertanian dan lndustri Asas Tani mewujudkan pasar perikanan adalah untuk membantu nelayan, penternak akuakultur dan pengusaha industri asas tani memasarkan hasil perikanan secara terus kepada pembeli.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pasar perikanan pertama yang diwujudkan di Dataran Perikanan, Pantai Teluk Mak Nik itu mampu mengurangkan peranan orang tengah dan membolehkan pembeli menikmati hasil perikanan pada harga lebih rendah.

"Pasar Perikanan ini adalah hasil projek perintis yang telah dilaksanakan Jabatan Perikanan sebanyak dua kali iaitu pada Februari dan Mac lalu. Ia mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk setempat dan telah memperoleh nilai jualan hampir RM15,000.

"Komuniti nelayan boleh menjadikan pasar ini sebagai platform untuk menjalankan aktiviti jualan terus yang mana sekarang ini pendaratan ikan di Zon A berjumlah 2,909 tan metrik daripada 441 buah vesel," katanya selepas merasmikan Dataran Perikanan, Pantai Teluk Mak Nik hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu akan diperluaskan di seluruh negara dalam usaha menjadikan pasar itu sebagai tempat yang menawarkan harga paling rendah kepada pembeli.

Thursday, April 12, 2018

PH AKAN GUNAKAN PELBAGAI CARA UNTUK JAYAKAN MALAYSIAN MALAYSIA

PADANG TERAP, 12 April ( Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP akan menggunakan pelbagai cara demi menjayakan Gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan parti itu selama ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, disebabkan itu, DAP sanggup membuat pengorbanan yang besar untuk menggunakan logo PKR dalam pilihan raya umum ( PRU) ke-14 walaupun mendapat kritikan daripada sebahagian ahli DAP di akar umbi.

"Untuk menjayakan Gagasan Malaysian Malaysia, saya tengok DAP akan guna apa cara sekalipun untuk membolehkan orang Melayu menyokong gagasan yang dibawa DAP yang berpaksikan kesamarataan.

"Malah kita sudah lihat ramai pemimpin Melayu sudah diperdayakan oleh DAP demi menjayakan gagasan itu," katanya pada Majlis Perasmian Dewan Seri Merbau, Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun yakin orang Melayu dan bumiputera sudah mulai sedar sandiwara yang dimainkan parti itu dan tidak akan menyokong parti yang akan menjejaskan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam..

RAZIF KEKAL MB TERENGGANU JIKA BN MENANG

KUALA BERANG, 12 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik untuk rakyat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada agensi risikan dan bebas bukannya atas kehendak individu tertentu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ramai yang berasa mereka layak bertanding tetapi pucuk kepimpinan BN yang akan menentukan calon setelah melakukan saringan dengan pelbagai sumber maklumat terbaik.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden juga mengulangi peringatannya agar tiada tindakan ?tikam belakang' dilakukan apabila senarai calon diumumkan kelak, sebaliknya menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi.

"Saya mahu rakyat Terengganu mempelajari pengalaman lalu apabila kita melayani perpecahan dalam kalangan kita sama ada di peringkat Parlimen, DUN (Dewan Undangan Negeri) dan cawangan...kita telah kehilangan negeri ini selama satu penggal (PRU11).

"Jangan toleh ke belakang siapa pun calon...atas nama panji BN kita sokong calon itu dalam keadaan apa sahaja. Memang ramai orang berkelayakan jadi calon tetapi kita ikut kaji selidik daripada agensi risikan dan bebas, bukan siapa yang dikehendaki tetapi siapa rakyat kehendaki untuk jadi ADUN dan Ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Manifesto BN Terengganu dan Jentera Pilihan Raya Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Kuala Berang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Seri Jailani Johari.

Mengenai jentera pilihan raya BN, Ahmad Zahid mengingatkan supaya mereka terus bekerja keras bagi memastikan pengundi memberi sokongan padu terhadap calon BN untuk memastikan kemenangan lebih besar di Terengganu berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Jumlah kerusi yang dimenangi BN untuk membentuk kerajaan pada PRU13 adalah terlalu marginal...untuk itu, kita mahu keputusan pilihan raya nanti kerusi DUN 'wajib' lebih (undi) lagi daripada yang kita menang sebelum ini.

"Dengan itu, yakinlah dengan pilihan yang telah dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan harus berlapang dada dengan calon yang dipilih.. saya yakin dengan semangat kekitaan, pengundi BN akan menempuhi kejayaan pada PRU akan datang," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan jentera parti agar terus mendekati masyarakat untuk memberi penerangan mengenai Manifesto BN yang dilancarkan baru-baru ini agar mereka memahami hanya BN yang mampu memacu negara, bukannya pembangkang yang memutar belit fakta.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi gambaran Ahmad Razif bakal menjadi Menteri Besar seterusnya jika BN memenangi pilihan raya kelak dan mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keputusan itu berdasarkan kecemerlangan Ahmad Razif sepanjang menerajui negeri dengan pelbagai program Transformasi Terengganu Baharu, katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pembinaan bangunan baharu ibu pejabat polis daerah Kuala Berang bernilai RM150 juta, sebuah masjid di Kampung Pasir Dula di sini dan pusat komuniti di Kampung Teris di sini masing-masing berjumlah RM250,000 dan RM4 juta. 


Dalam majlis yang sama, Menteri Besar hari ini mengesahkan seorang calon wanita akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata siapa dan di mana kawasan calon tersebut akan bertanding masih dirahsiakan sehinggalah pengumuman rasmi dibuat.

Katanya, keputusan itu sebagai menghargai perjuangan wanita dan ia telah mendapat persetujuan daripada pihak kepimpinan pusat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran manifesto BN Terengganu dan jentera pilihan raya Parlimen Hulu Terengganu yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi manifesto BN Terengganu, terdapat lima teras akujanji yang bertemakan 'Masa Hadapan Kita Bina Bersama' yang turut menyenaraikan penglibatan aktif golongan wanita dalam pelbagai bidang.

Wednesday, April 11, 2018

TERENGGANU MAHU WUJUDKAN KOLEJ UNIVERSITI AL QURAN

KUALA TERENGGANU, 11 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu merancang mewujudkan Kolej Univesiti al-Quran yang berkonsepkan wakaf dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telahpun mewujudkan Kolej al-Quran di Institut al-Quran (IQ) Padang Midin, di sini.

Beliau berkata ia bertaraf kolej maka kampus berkenaan akan dipindah dan ditempatkan sementara di Pusat Latihan Telekom di Rusila, Marang.

Menurutnya, kerajaan telah membeli bangunan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Kuala Berang bernilai RM30 juta melalui Tabung Warisan untuk dijadikan kampus tetap Kolej al-Quran.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) dan hadiah kecemerlangan pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Tuesday, April 10, 2018

JAMINAN PAS CEPATKAN BINA LPT3 AMAT MELUCUKAN





KUALA TERENGGANU: PAS memberi jaminan bahawa Lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) akan disegerakan jika berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata ini kerana lebuh raya tersebut telah lama dicadangkan.

"Apabila PAS diberikan kemenangan di peringkat negeri dan persekutuan, cadangan lebuh raya tersebut akan disegerakan agar rakyat segera mendapat manfaat.

"PAS memberi jaminan dengan izin Allah SWT lebuhraya Tepoh, Kuala Nerus ke Kelantan disiapkan dengan segera secara telus dan berhemah dalam perbelanjaan," katanya


LPT3 yang turut dimasukkan dalam manifesto BN merupakan projek lebuh raya yang sudah diwar-warkan seawal 2015 dan dijangka akan menghubungkan Tepoh, Kuala Nerus dengan negeri Kelantan.


Khairuddin yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS berkata pihaknya juga memberi jaminan bahawa pelaksanaan lebuh raya tersebut akan dilaksanakan secara telus dan berhemah.

"Ia (LPT3) perkara yang sudah lama dicadangkan kerana menjadi keperluan rakyat.

"PAS memberi jaminan ia akan dilaksanakan secara telus dan dengan perbelanjaan berhemah bagi mengelakkan tragedi yang berlaku pada pembinaan LPT2 yang sepatutnya disiapkan pada 2010 tetapi tertangguh sehingga hanya mampu siap sepenuhnya hanya pada 2015.

"Kelewatan ini menyebabkan kos asal yang hanya RM1.7 bilion telah meningkat kepada hampir RM5 bilion," katanya.

Khairuddin berkata demikian bagi mengulas janji BN Terengganu untuk membina lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) sekiranya kekal menang PRU14 akan datang.

Datuk Seri Najib Razak pada 8 April lalu mengumumkan sekali lagi berhubung projek itu dalam pelancaran manifesto BN untuk PRU14 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada PRU13 lepas, BN berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu.

Sementara PAS menang 14 dan PKR menang 1 kerusi DUN di Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon adalah pada Sabtu, 28 April manakala pembuangan undi pada Rabu, 9 Mei.

Ulasan saya, lucu membaca kenyataan Dr Khairuddin memandangkan jika PAS menang di Terengganu, kerajaan negeri ada duit ke nak buat lebuhraya yang bernilai bilion ringgit. Takkan beliau lupa ketika PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999-2004, PAS pernah rancang nak buat lebuhraya tetapi tidak ada funder yang berani beri pinjaman kepada kerajaan PAS.

Masa PAS buat pengumuman itu, rakyat kagum dengan kerajaan Terengganu yang mahu bina lebuhraya baru yang laluannya ke arah hulu sedikit yang mana pemimpin PAS lebih minat menyapu kawasan balak dan bukannya nak buat lebuhraya.

RAZIF NAFI SENARAI CALON YANG DITULARKAN DALAM WHATSAPP

KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini menafikan senarai calon Terengganu yang tular dalam aplikasi WhatsApp adalah calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, ini kerana senarai calon masih belum dimuktamadkan dan masih dalam pertimbangan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Memang senarai calon telah dimuktamadkan oleh negeri (Badan Perhubungan UMNO negeri Terengganu) tapi masih lagi diteliti (di peringkat pusat), mungkin minggu ini akan selesai.

"Senarai calon yang akhir sekali, yang paling muktamad hanya ada pada Presiden UMNO (Najib)...selagi presiden tak beri lagi pada saya, maksudnya belum selesai. Apabila presiden sudah serahkan kepada pengerusi badan perhubungan UMNO negeri, barulah senarai itu dikira muktamad, jadi kita tunggu sahaja senarai yang akan diumumkan nanti," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan penyebaran senarai nama calon itu dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku terutama dalam situasi yang agak 'panas' ketika ini.

Monday, April 9, 2018

JANGAN FIKIR SIAPA JADI CALON



KUALA TERENGGANU 9 April - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mahu ahli UMNO menumpukan kepada gerak kerja memenangkan parti dan bukan soal siapa yang akan dipilih sebagai calon dan bakal menerajui negeri ini.


Katanya, sesiapa sahaja yang dipilih, perlu diterima, dan jangan meletakkan kepentingan sendiri sehingga menjejaskan parti dalam usaha meraih lebih banyak kerusi bagi memperkukuhkan kerajaan yang bakal dibentuk, dan terus merencanakan masa depan untuk negeri dan rakyat.


“Siapa sahaja yang bertanding atas tiket BN, kita kena sokong. Kepada bekas wakil rakyat, sekiranya tidak terpilih, jangan sabotaj parti sebaliknya sentiasa memberi sokongan kepada calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

“Jangan kianat parti jika nama kita tidak dicalonkan... kita kena ingat masa kita bertanding dulu kita disokong oleh ahli parti,” katanya yang juga Pengerusi BN negeri dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar yang dihadiri kira-kira 2,000 orang di sini hari ini.

Beliau mengajak semua agar berusaha untuk membawa kebaikan kepada parti dan kepentingan negeri.

“Jika saya sendiri tidak diperlukan bertanding... saya tidak akan bertanding. Kita juga jangan fikir siapa menteri besar selepas ini... yang penting kemenangan BN dan kita dapat mengekalkan kuasa.


Sunday, April 8, 2018

MANIFESTO BN BERI KELEBIHAN KEPADA RAKYAT TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 8 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja untuk kepentingan rakyat tetapi juga menekankan pembangunan modal insan dan ekonomi negara, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, pengumuman pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Tepoh, Kuala Nerus ke Kelantan juga memberi banyak kelebihan kepada rakyat Terengganu.

"Sekiranya diberi mandat sekali lagi kepada kerajaan BN untuk memerintah, sudah pastinya pengumuman pembinaan lebuh raya ini akan merancakkan lagi ekonomi tempatan tersebut di samping menjimatkan masa perjalanan.

"Ini merupakan berita gembira buat rakyat Terengganu khususnya penduduk di Kuala Nerus, Setiu dan Besut. Rakyat perlu yakin dan percaya bahawa Kerajaan BN merupakan kerajaan yang diasaskan untuk memberikan kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat, bukannya berasaskan dendam dan benci yang akhirnya akan memakan diri sendiri," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas manifesto BN bertemakan 'Bersama BN, Hebatkan Negaraku' yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Kuala Lumpur malam tadi.

Ahmad Razif turut menyifatkan manifesto itu adalah bukti BN yang tidak sesekali mengabaikan nasib rakyat dari setiap golongan, bermula dari Perlis sehinggalah ke Sabah yang menekankan setiap inci perihal kebajikan rakyat serta pembangunan negara.

"Kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang menepati janji dan tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat.

"Jadi rakyat tidak perlu berasa takut dan ragu-ragu dengan kerajaan Barisan Nasional kerana kita janji, kita umum, kita buat dan kita laksanakan," katanya.

-- BERNAMA

Friday, April 6, 2018

NAWI TETAP BEKERJA UNTUK BN JIKA TIDAK DICALONKAN DI DUN HULU BESUT



BESUT 6 April - Ketua UMNO bahagian, Nawi Mohamad menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada beliau wajar dicalonkan semula atau tidak bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Hulu Besut.



NAWI MOHAMAD


Nawi secara terbuka menegaskan, jika tidak dicalonkan bagi mempertahan kerusi itu, beliau akan tetap bekerja memastikan semua kerusi dalam Parlimen Besut kekal di bawah Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


“Jika pucuk pimpinan masih memberi kepercayaan sekali lagi bagi DUN Hulu saya akan meneruskan perancangan yang dibuat sebelum ini untik diselesaikan bagi kepentingan rakyat,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan projek perumahan di Kampung Bukit Cina Pasir Akar dekat sini semalam.

Beliau yang memegang portfolio Jawatankuasa Luar Bandar Koperasi dan Kepenggunaan negeri telah tiga kali memenangi kerusi DUN Hulu Besut dan tewas pertama kali pada tahun 1999.

Dalam pada itu, beliau yakin BN akan meraih kemenangan lebih besar apabila berdepan saingan tiga atau empat penjuru.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi baharu yang terdiri daripada golongan muda setelah mendekati mereka dalam pelbagai program yang dianjurkan. 

Di antara nama yang disebut-sebut menggantikan Nawi di DUN Hulu Besut ialah Zahari Mat. Dalam pada itu, menurut sumber Nawi mungkin bertanding di parlimen Besut menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh yang menjadi ahli parlimen Besut sejak tahun 1995.



Thursday, April 5, 2018

30 PERATUS CALON BN CALON WANITA?

KUALA NERUS, 5 April (Bernama) -- Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kehadiran calon wanita dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) amat penting berikutan peratusan pengundi yang tinggai di kalangan wanita.

"Saya tahu memang susah nak namakan calon...bukan sahaja wanita tetapi juga kaum bapa pun...ini menjadi satu cabaran kepada Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan negeri-negeri. Namun saya berharap kali ini seeloknya ada calon di Parlimen dan juga peringkat negeri," katanya.

Katanya perkara itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sedang menunggu keputusan berhubung jumlah calon wanita yang akan diketengahkan.

Pergerakan itu mensasarkan 30 peratus pencalonan adalah wanita berbanding hanya 10 peratus sebelum ini, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian JR Plus Negeri Terengganu dan Jentera PRU14 Wanita peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Shahrizat berkata kehadiran calon wanita adalah sebagai simbol penghargaan terhadap usaha yang dimainkan Pergerakan Wanita selama ini.

-- BERNAMA

Wednesday, April 4, 2018

BIAR POLIS JALANKAN SIASATAN KES RIZALMAN

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar menafikan dakwaan beliau terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas ditahan di sebuah kelab hiburan di ibu negara, awal pagi Isnin lalu.

Rizalman percaya dakwaan itu adalah satu perangkap yang bermotifkan politik bagi merosakkan nama baik dirinya.

Beliau mendakwa serbuan yang dilakukan itu khusus disasarkan kepada beliau dan rakan-rakannya memandangkan polis hanya memeriksa biliknya tanpa membuat pemeriksaan di bilik-bilik lain di premis tersebut.

"Saya mengaku saya adalah individu yang ditahan itu, tapi saya hanya mengambil kopi dan semua rakan-rakan saya mengambil minuman ringan, tiada minuman keras, jadi saya tertanya-tanya bagaimana saringan awal adalah saya positif dadah.

"...dan sebab itu saya mengesyaki saya telah diperangkap, bagaimanapun saya tidak tahu siapa yang melakukannya," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Ulasan saya, Rizalman yang sedang disiasat polis sepatutnya tidak buat sidang akhbar membela dirinya. Biar polis jalankan siasatannya. Jika polis dapati ada kes, beliau akan didakwa di mahkamah. Maka gunakanlah mahkamah untuk membela diri. Tak perlu menggunakan media.


Sementara itu sumber berkata Rizalman diperangkap kerana Umno Bahagian Tun Razak mahu kerusi parlimen tersebut dalam PRU akan datang. Dua kali calon MCA kalah kepada calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim pada PRU 2008 dan 2013. Maka Umno mahu kerusi tersebut yang sudah tentu tidak disukai oleh MCA.


Rizalman berkata beliau tidak tahu siapa yang memerangkapnya tetapi mungkin MCA menjadi dalang di sebalik serbuan tersebut kerana polis hanya menyerbu biliknya sahaja. Yang menjadi persoalan kenapa minum kopi positif dadah pula. Oleh itu biarlah polis jalankan siasatan.

Tuesday, April 3, 2018

CHICKEN COTTAGE BUKA OUTLET YANG KE 90




KUALA LUMPUR: Pengerusi Chicken Cottage (CC), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata sebagai sebuah jenama tempatan yang beroperasi di peringkat global, CC mempunyai perancangan dan persiapan rapi untuk masa akan datang.

Katanya, CC mempunyai financial dan operation capacity berserta dengan komitmen yang jitu bagi mengembangkan bisnes pada tahun ini, seiring dengan ekonomi negara dan negeri yang semakin bertambah baik.

Katanya lagi, sebagai stakeholder terbesar CC, kerajaan negeri akan memastikan CC akan terus berada di landasan yang betul.

“Target yang pertama adalah untuk menjadikan CC sebagai global brand setanding dengan Quick Service Restaurats (QSR) lain seperti McDonalds, Pizza Hut dan Burger King,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis perasmian outlet pertama CC di Lembah Klang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tambahnya lagi, target yang kedua adalah untuk menyediakan access of halal food kepada pelanggan CC di seluruh dunia.

“ Status halal ini adalah amat penting untuk menjadikan CC sebagai inclusive brand yang mempunyai niche products yang tersendiri,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Setiausaha Kerajaan negeri berkata seiring dengan hasrat untuk menjadikan CC sebagai global brand yang menyediakan halal food products kepada pelanggannya, CC juga akan terus memfokuskan pembangunan di Asia Pacific Region selain di negara Barat.

“ Dalam jangka masa lima tahun dari sekarang, CC is expected to have more than 250 outlets globally. Daripada jumlah ini, 50 daripada outlet CC tersebut akan berfokus di Asia Tenggara,” tegasnya.

Beliau berharap perasmian outlet baru CC di TTDI hari ini akan dapat mengukuhkan jenama CC di Malaysia.

“Pada pandangan saya, kita patut berbangga dengan CC kerana ia adalah hak milik kita semua, rakyat Malaysia. Jika bukan kita sendiri yang menyokong jenama tempatan, siapa lagi,” katanya lagi.

Wan Nawawi menjelaskan CC telah ditubuhkan pada tahun 1994. Outlet pertama telah dilancarkan secara rasmi di Ealing Road, Wembley, United Kingdom pada tahun yang sama dan masih beroperasi hingga ke hari ini.

Katanya, Kerajaan negeri Terengganu melalui anak syarikat Terengganu Inc telah membeli 70% saham CC pada tahun 2014. Pada April 2017, secara rasminya Terengganu Inc telah membeli baki 30% saham CC. Pembelian kesemua saham ini menjadikan CC adalah hak milik penuh kerajaan negeri dan juga sebagai jenama Malaysia.

Katanya lagi, pada tahun ini, genaplah usia Chicken Cottage selama 24 tahun. Dari awal penubuhannya sehingga kini, Chicken Cottage merupakan satu-satunya global fast food brand yang menyediakan 100% makanan halal di setiap outletnya di seluruh dunia.

“Buat masa sekarang, terdapat 90 outlet CC yang sedang dan masih beroperasi di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, 67 outlet ini berada di United Kingdom. 21 lagi outlet dibuka di merata tempat, antaranya di beberapa negara Eropah, Iraq, Afrika dan Pakistan. Outlet pertama di Malaysia telah dirasmikan oleh MB Terengganu pada 17 Disember 2015 di Kuala Terengganu,” hurai beliau.

Wan Nawawi berkata outlet Chicken Cottage di TTDI ini merupakan outlet yang ke-90 di bawah jenama Chicken Cottage.

“Kedudukan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di antara sempadan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor menjadi pulling factor kepada pembukaan outlet CC di sini. Malah, dari sudut capaian pula, jaringan jalan di TTDI adalah berdekatan dengan commercial area yang popular seperti Pusat Beli Belah 1Utama, the Curve, IKEA, KPJ Damansara Specialist Centre dan Tropicana City Mall,” jelasnya.

Katanya lagi, stesen MRT TTDI yang baru siap dan keberadaan outlet ini di commercial area (ruang pejabat, kedai persendirian dll) akan memberi advantage kepada outlet di sini untuk mengembangkan lagi jenama CC dalam kalangan masyarakat tempatan terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan Lembah Klang.

Monday, April 2, 2018

TPM LANCAR PROJEK TULANGIS PERTAMA DI PERAK








LENGGONG, 2 April (Bernama) -- Kemampuan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menunjukkan kerajaan tidak bankrap, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan pihak tertentu yang menyatakan sedemikian terhadap kerajaan yang sebenarnya berfikiran bankrap.

"Projek Perumahan Rakyat di Lenggong ini yang dibina sebanyak 500 unit rumah akan dijual dengan harga jualan bernilai RM35,000 seunit.

"Jadi mana ada pemaju yang membuat rumah yang bernilai kira-kira RM194,000 tetapi dijual dengan harga RM35,000. Tidak ada, hanya kerajaan tidak bankrap sahaja boleh jual dengan harga RM35,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bantu rakyat dan majlis pecah tanah PPR Lenggong di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jangan menyamakan atau menghina penerima BR1M sebagai ayam dan itik yang memakan dedak.

Ahmad Zahid berkata tahun lepas setengah juta rakyat di negara ini mendapat BR1M 4.0 bernilai RM605 juta keseluruhannya dan di Perak kira-kira 684,000 orang menerima bantuan itu.

"Adakah ia dedak atau gula-gula atau hanya taburan untuk ayam itik, jangan hina rakyat ayam itik, sedangkan agihan untuk Parlimen Lenggong sahaja adalah 11,631 orang.






"Jangan hina orang Lenggong, orang Perak, orang Malaysia yang menerima BR1M. Rakyat juga perlu berterima kasih kepada kerajaan," katanya.

Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan bernilai RM2.73 juta bagi pembangunan di Lenggong termasuklah menaik taraf Rumah Rehat dan Resort Tasek Raban, menaik taraf Dataran Tasek Raban serta Lenggong serta menambah kemudahan bilik belajar sebuah Maahad Tahfiz di Air Jernih, Gerik.

-- BERNAMA