Thursday, August 10, 2017
JAMBATAN RM25 JUTA BAKAL DIBINA DI PASIR AKAR DENGAN DURIAN TELUR
BESUT, 10 Ogos (Bernama) -- Sebuah jambatan baharu bernilai RM25 juta bakal dibina di Hulu Besut bagi menggantikan jambatan Bailey yang telah berusia 25 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata jambatan itu menjadi penghubung utama lebih 500 penduduk di Kampung Durian Telur dengan Kampung Pasir Akar, di Hulu Besut.
Katanya, tender pembinaan jambatan sepanjang 150 meter yang merintangi Sungai Besut itu akan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui peruntukan kerajaan pusat.
"Jambatan Bailey dibina pada tahun 1992 ini hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa dan pengguna terpaksa mengikut giliran untuk menyeberanginya. Jambatan baharu yang akan dibina ini mempunyai kelebaran 2.4 meter dengan kemudahan dua lorong yang boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat termasuk lori dan bas, "katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Nawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Besut berkata pembinaan jambatan baharu itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun .
Tambahnya, pembinaan jambatan berkenaan diharap mampu membantu penduduk kampung dalam menjalankan pelbagai urusan harian kerana kebanyakan mereka adalah golongan petani yang mengusahakan penanaman padi organik, buah-buahan dan sayur-sayuran.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment