Thursday, August 24, 2017

MEMPERTAHANKAN PUTRAJAYA ADALAH SATU JIHAD

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO perlu menganggap usaha mempertahan Putrajaya sebagai satu jihad ke arah mengekalkan sebuah kerajaan persekutuan yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.


Beliau berkata sebagai barisan hadapan keutuhan sebuah kerajaan, UMNO Putrajaya perlu berjihad dalam segala aspek untuk memastikan kerusi Parlimen itu kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Di sini, UMNO diletakkan harapan yang tinggi sebagai barisan hadapan yang berperanan mempertahan Putrajaya, satu simbolik kepada pengekalan kerajaan yang sedia ada hari ini.

Sebagai barisan depan, pengorbanan besar anda amat dituntut dan atas sebab itu, perjuangan mengekalkan Putrajaya adalah satu jihad yang sangat diperlukan parti," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perjuangan mempertahankan Putrajaya sepatutnya bukan sesuatu yang sukar jika sebahagian daripada pengundi di Parlimen itu yang juga penjawat awam menghargai kerajaan yang memerintah.

"Kita kena ingat, kerajaan tidak pernah menyoal parti yang disokong semasa diambil bekerja dan atas sebab itu kita juga harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan dalam ucapannya mahu anggota parti itu tidak terjebak dengan budaya "copy and paste" propaganda yang disebarkan pihak lawan, seolah-olah menjadi suara penyambung kepada pihak terbabit.

"Ini kita perlu elak sama sekali, jangan tunjuk kita seolah-olah pembangkang sebaliknya perlu fahami isu itu dan turun ke bawah menjelaskan kekeliruan yang cuba ditimbulkan," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment