Tuesday, May 30, 2017

BLOG INI BERCUTI SELAMA SEBULAN MULAI ESOK

Mulai esok 1 Jun 2017, blog ini berehat selama sebulan atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan. Kita jumpa lagi pada 1 Julai nanti. Insya Allah. Selamat hari raya aidilfitri dari admin.

RATING TERTINGGI BAGI MEI 2017

Bulan Mei 2017 menyaksikan rating yang tinggi bagi blog ini dengan 610 hits, 10 rating tertinggi ialah:-

1. Penghulu pernah jadi YB di Terengganu? (15 mei)- 610 hits
2. Penduduk Air Putih mahu calon tempatan (12 mei)
3. Zakari Ali peserta FELCRA yang paling berjaya (8 mei)
4. Dua ADUN di Besut gugur? (4 mei)
5. Jambatan RM242 juta siap dibina (4 mei)
6. Rahman Yasin tanding di Batu Rakit?(7 mei)
7. Tujuh NGO buat laporan polis terhadap anak Mustafa Ali (24 mei)\
8. Usahawan kueh bakul dipilih ikon belia Terengganu 2017 (20 mei)
9. Bagaimana nasib Idris Jusoh di Besut? (5 mei)
10. UMT menang empat anugerah buku negara (2 mei)

Monday, May 29, 2017

JAMBATAN ALTERNATIF KE KUALA TERENGGANU DIBUKA MULAI SEMALAM

KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) -- Jambatan yang menghubungkan Bandaraya Kuala Terengganu dengan Pulau Sekati yang merentasi Sungai Terengganu mula dibuka semalam.



Jambatan sepanjang enam kilometer yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu dan Losong melalui Pulau Sekati itu merupakan satu lagi laluan alternatif untuk orang ramai ke pusat bandar dengan perjalanan yang lebih cepat dan selesa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan projek tersebut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kerajaan negeri.

Ia ditandatangani antara Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md. Daud dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan serta kontraktor utama Datuk Zainal @ Sharif Ibrahim daripada Zainal @Shariff Ibrahim Sdn Bhd.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman.

Projek bernilai RM245 juta itu menyediakan satu lagi laluan penghubung antara bandar raya ini dengan Daerah Kuala Nerus sekali gus memberikan kelegaan kepada pengguna terutama penduduk kerana mempunyai satu lagi alternatif setelah kesesakan makin ketara di laluan Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir.

Ahmad Razif ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata laluan yang dibuka hari ini adalah sejauh tiga kilometer melibatkan laluan dari Losong ke Pulau Sekati.

"Manakala sebahagian tiga kilometer jambatan itu yang menghubungkan Jalan Banggul Tuan Muda ke Jeram Tok Kong akan dibuka pada 19 Jun ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Sekati, Ramli Man berkata pembinaan jambatan itu memberi kelegaan kepada 250 penduduk kampung itu dalam urusan harian mereka.

"Pembinaan jambatan ini memang dinantikan oleh penduduk di sini memandangkan untuk ke bandar mereka terpaksa melalui jambatan kecil yang hanya boleh dilalui oleh motosikal. Ini menyulitkan bagi penduduk yang mempunyai kenderaan.

"Syukurlan bila jambatan ini dah siap penduduk di kampung ini lebih mudah untuk berulang alik ke bandar dan masa pun boleh dijimatkan," katanya.

Sementara itu Pengerusi Gerakan Belia 4B Kampung Pulau Sekati, Mohd Hafez Harun berkata pembinaan jambatan itu dilihat mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi kampung itu kerana ia mempunyai nilai estetika tersendiri khususnya sebagai tarikan pelancongan baharu di Kuala Terengganu.

"Kampung Pulau Sekati ini banyak kelebihan jika dimajukan sebagai tarikan pelancongan. Di samping keindahan suasana kampung yang menjadi buruan lensa kamera pencinta seni fotografi ia juga mempunyai sejarah dan warisan yang masih belum diketahui umum," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, May 28, 2017

TTB PELENGKAP TN50

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang diperkenalkan pada 2014 mampu menjadi landasan dan pelengkap agenda Tranformasi Nasional 2050 (TN50).

Idea TTB yang dicetuskan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu bukan sahaja memberi fokus kepada transformasi ekonomi dan kerajaan tetapi juga dalam politik bersama lapan prinsip asas.

Ahmad Razif yang baru sahaja memegang jawatan selama sebulan ketika itu, mengumumkan hasrat memacu TTB dan dilihat serius meneruskan misinya hingga menampakkan hasilnya beberapa bulan sahaja selepas itu, ekoran gerakan berterusan dalam memberi pemahaman kepada rakyat.

Hasrat beliau, TTB bukan sekadar suatu pernyataan slogan dan jenama, tetapi ia perlu diterjemahkan bersama jentera kerajaan dan parti agar matlamat akhir benar-benar terarah, membawa lebih banyak kebaikan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Pada Okt tahun lalu pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mencetuskan fenomena TN50, iaitu persediaan sebelum 2050 yang memerlukan pandangan anak muda tentang hasrat mereka dalam menempuh status negara maju.

Ahmad Razif ketika dihubungi Bernama berkata sekiranya misi TTB tercapai, ia sedikit sebanyak mampu memenuhi hasrat yang dilontarkan menerusi TN50 dan lebih membanggakan apabila rakyat Terengganu telah bersedia dalam pelbagai keadaan pada 2050.

"Mencapai matlamat TTB bukan sesuatu yang mudah tetapi ia telah bermula dan telah melekat dalam jiwa rakyat Terengganu. Kami mahu jadi yang terbaik dalam pelbagai aspek. Ia bukan sahaja untuk kerajaan negeri tetapi juga untuk rakyat," katanya yang kadang-kala berseloroh dengan menyatakan TTB bermaksud 'Tak Takut Bini'.

TTB menetapkan lapan prinsip iaitu 'Inklusif, Suara Rakyat Suara Keramat' yang membawa fokus meraikan suara rakyat sebagai input dalam membangunkan negeri, mendengar dan memahami permasalahan rakyat serta membangunkan negeri mengikut acuan yang diperlukan rakyat bukannya kehendak pemimpin.

Menurut Ahmad Razif, TN50 juga menekankan prinsip tersebut dan disebabkan itulah pandangan rakyat terutama pelajar dan belia di seluruh negeri dicungkil dan didengari untuk dikumpul menjadi pemangkin dan asas menuju ke arah 2050.

"Pengisian TTB adalah berdasarkan beberapa cerita kejayaan anak negeri ini yang mampu dijadikan contoh dan rujukan. Begitu juga dengan TN50 yang memerlukan kita merangka apa yang bakal ada pada masa akan datang.

"Di antara yang dijadikan rujukan ialah kejayaan anak negeri dalam pendidikan, prestasi peperiksaan utama negara seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menjadi juara kebangsaan tiga tahun berturut-turut dan mempunyai anak jati negeri yang berpotensi dalam bidang sukan serta akademik," katanya.

Selain itu, prinsip kedua TTB ialah 'Masjid dan Surau Sebagai Sumber Penyatuan' yang memperluaskan fungsi masjid sebagai sumber penyatuan masyarakat dan mengangkat institusi masjid sebagai tempat prasarana pembinaan ummah.

Ketiga, ia meletakkan prinsip 'Keluarga Bahagia Keluarga Sejahtera' iaitu menggalakkan usaha menyubur pembinaan keluarga yang bahagia sebagai asas kesejahteraan rakyat dan menjadikan institusi kekeluargaan unit terpenting dalam pembinaan setiap masyarakat.

Keempat, merupakan 'Integriti, Bersih Dalaman dan Luaran' iaitu penekanan kebersihan dan persekitaran luaran melambangkan budaya rakyat Terengganu manakala kebersihan dalaman pula bermaksud bersih dari sebarang bentuk gejala seperti rasuah, penyelewengan dan ketirisan.

Prinsip kelima, 'Mesra Tapi Tegas' merupakan prinsip yang dilihat remeh oleh sesetengah pihak tetapi ia sebenarnya mempunyai maksud tersirat yang mendalam, iaitu dengan meminta memberi senyuman dan tegur sapa agar memecah tembok persepsi yang menghalang hubungan baik sesama manusia.

Keenam pula ia memberi fokus terhadap 'Disiplin Kerja Yang Tinggi' kerana menganggap perkara tersebut sangat penting untuk pertumbuhan organisasi dan menekankan soal konsisten atau kegigihan dan istiqamah.

Ia mencakupi keperibadian dalam komunikasi yang diharap mampu meningkatkan imej dan keyakinan serta kebolehpercayaan orang lain serta mempunyai disiplin kerja yang tinggi sebagai satu penanda aras mengukur pencapaian prestasi dan produktiviti kerja seseorang.

Ketujuh, merupakan 'Seruan Perpaduan' yang perlu menjadi langkah memperkukuhkan perpaduan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negeri dan negara serta memastikan rakyat bersangka baik terhadap seruan berbaik-baik sesama manusia bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

Terakhir (kelapan) ialah 'Memperkasa Pendidikan', antaranya hasrat memperkasa bidang pendidikan menerusi program penubuhan sekolah pondok moden, program peningkatan bahasa Inggeris dan matematik pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan penubuhan tiga Sekolah Menengah Imtiaz baru di Marang, Setiu dan Kuala Nerus.

Ahmad Razif tidak meletakkan sebarang noktah dalam merancang agenda TTB dan beliau berharap ia akan berterusan hingga mampu meletakkan Terengganu di tahap terbaik dalam semua perkara, selaras dengan kehendak TN50 dan kini beliau giat mempromosi kedua-dua agenda itu, agar rakyat memahami dan menjadi pegangan demi masa depan.

-- BERNAMA

Saturday, May 27, 2017

MB MAHU RAKYAT LIPATGANDAKAN AMALAN DI BULAN RAMADHAN

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mahu rakyat yang beragama Islam di negeri ini memanfaatkan dan melipatgandakan amalan dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, kedatangan bulan yang mulia ini perlu diambil kesempatan oleh rakyat negeri ini dengan menghidupkan amalan di masjid-masjid dan surau-surau.

"Ia selaras dengan prinsip kedua Transformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu masjid dan surau, Sumber Penyatuan telah menyemarakan lagi wadah memperkukuhkan semangat solidariti yang menjadi teras kepada terciptanya 'kisah kejayaan' kebanggaan rakyat," katanya dalam perutusan sempena kedatangan bulan Ramadan yang disiarkan di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Razif dalam pada itu meminta bulan Ramadan ini dijadikan sebagai panduan untuk melatih diri menjadi insan yang penyabar dan mampu menghadapi setiap permasalahan dengan baik, sesuai dengan tuntutan agama.

"Ramadan disebut juga dengan syahrus shabr kerana pada bulan ini umat Islam dilatih untuk bersabar. Terdapat tiga jenis sabar dalam ibadah puasa iaitu; sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT, sabar dalam meninggalkan yang diharamkan oleh-Nya, dan sabar dalam menghadapi musibah," katanya.

-- BERNAMA

Friday, May 26, 2017

SEMUA BEKALAN MAKANAN CUKUP SEPANJANG RAMADHAN

KEMAMAN, 25 Mei (Bernama) -- Semua bahan makanan bagi keperluan di sepanjang bulan Ramadan mencukupi berikutan tindakan kerajaan yang telah membuat persiapan awal dan rapi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini pendaratan ikan juga telah bertambah di seluruh negara, kecuali di beberapa kawasan di Pantai Timur, namun ia bukanlah pada tahap membimbangkan.

"Ada ikan-ikan tertentu dilihat pendaratannya melebihi daripada biasa misalnya ikan tongkol. Bagi bekalan ayam bekalan ayam, pihak pengusaha telah diminta supaya menambah pengeluaran mereka lebih awal.

Ayam boleh dikeluarkan dalam tempoh 45 hari. Jadi pengusaha mampu menjadualkan penternakan mereka dan boleh dikeluarkan semasa bulan puasa ini. Kalau ada sedikit masalah mungkin melibatkan hari pertama dan kedua puasa kerana masalah logistik," katanya.


Beliau, yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat peringkat daerah Kemaman di sini Khamis.

"Bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi (KPDNKK) sentiasa memantau dan mengambil berat untuk memastikan bekalan makanan dan minuman sentiasa cukup dan ditingkatkan pada bulan puasa ini. Yang saya bimbangkan ialah pembaziran," katanya.

Ahmad Shabery berharap orang ramai dapat mengawal tabiat pembaziran kerana ia bukan sahaja tidak baik di sisi agama, tetapi juga memudaratkan alam sektiar, yang menjadikan keupayaan untuk menghasilkan makanan ke tahap kelestarian yang sepatutnya terbantut.

Selain itu Ahmad Shabery berkata, bagi bekalan kelapa, negara masih memperolehinya daripada dari negara-negara lain seperti Indonesia dan Filipina dan yakin ia mencukupi di bulan puasa ini.

-- BERNAMA

Thursday, May 25, 2017

TDM SASAR 52,000 HEKTAR LADANG KELAPA SAWIT

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, menyasarkan pemilikan seluas 52,000 hektar ladang kelapa sawit di negeri ini menjelang 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan TDM Datuk Mohamat Muda berkata setakat kini, TDM memiliki 33,000 hektar dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut menerusi pelbagai usaha komprehensif dan perancangan yang dilakukan.

"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan bersedia untuk mengusahakan kawasan kita di negeri ini, " katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali ke-52 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di sini semalam.


Mohamat berkata TDM akan terus memberi perhatian kepada sektor perladangan di Kalimantan, Indonesia dan berusaha untuk memperoleh keuntungan seperti yang dikecapi di kawasan lain.

TDM yang ditubuhkan pada 1965, telah mengembangkan perniagaannya di Kalimantan sejak 2007.

Bahagian perladangan TDM iaitu TDM Plantation Sdn Bhd menguruskan 12 ladang kelapa sawit dan dua buah kilang yang terletak di Sungai Tong dan Kemaman, dan kesemuanya telah memperoleh sijil RSPO.

RSPO menyediakan kerangka yang paling sesuai dengan mengambil kira ciri-ciri ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam pembangunan dan pengurusan ladang serta kilang.

Sementara itu, Pengerusi TDM Berhad, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar mengumumkan hasil pendapatan kumpulan bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2017 yang meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM113.9 juta berbanding RM97.5 juta dalam tempoh sama pada 2016.

Manakala keuntungan bersih dicatatkan sebanyak RM22.5 juta, berbanding kerugian bersih sebanyak RM2.9 juta pada tahun sebelumnya .

-- BERNAMA

Wednesday, May 24, 2017

YANG DITAHAN TIDAK BERPUASA AKAN DIBERI KAUNSELING





KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) akan mengadakan sesi kaunseling ke atas umat Islam yang ditahan kerana tidak berpuasa semasa Ramadan.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata pihaknya akan menahan mereka tetapi bukan dengan dibawa menaiki van jenazah seperti yang dibuat di setengah-setengah tempat kerana ia akan menjatuhkan maruah dan memalukan umat Islam sendiri.

Tetapi kita tahan mereka dan bawa ke pejabat agama untuk diberi kaunseling untuk menyedarkan mereka berhubung ibadat puasa," kataya pada majlis Ihya' Ramadan serta pengagihan bantuan kepada masjid dan surau seluruh negeri yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong.

Wan Mohd berkata tahun lepas, tidak ramai orang Islam yang ditahan kerana tidak berpuasa dan bagi memeriahkan sambutan Ramadan ini, JHEAT turut mengatur pelbagai program terutama di masjid dan surau.

Katanya, JHEAT menyediakan peruntukan kira-kira RM900,000 untuk diagihkan kepada 506 masjid dan surau di seluruh negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti mengadakan majlis berbuka dan ceramah agama.

Setiap masjid menerima antara RM1,000 dan RM2,000 bergantung kepada besar atau kecil masjid berkenaan manakala bagi surau pula sebanyak RM300.

-- BERNAMA

 

Tuesday, May 23, 2017

KADAR FITRAH RM7.00 SEORANG DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini mengumumkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 seorang.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata kadar nilaian wang tunai itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred super tempatan di pasaran.

"Kadar zakat fitrah ini ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 18 Mei lalu.

"Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Tahun lepas MAIDAM juga menetapkan kadar yang sama dan bagi melancarkan kutipan zakat pada tahun ini MAIDAM telah melantik 1,038 amil yang ditempatkan di beberapa lokasi terutamanya di masjid dan surau seluruh Terengganu.

Shaikh Harun berkata selain itu, orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat MAIDAM dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja biasa dan pada minggu terakhir Ramadan, kaunter ini akan dibuka tujuh hari seminggu.

"Sukacita juga saya mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah atau zakat yang lain kepada orang selain MAIDAM atau wakilnya. Ini telah termaktub dalam Seksyen 20 (b) dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Shaikh Harun berkata pada tahun 2016, Maidam berjaya memungut fitrah sebanyak RM6.037 juta dan ia menyumbang kepada 4.5 peratus dari jumlah keseluruhan pungutan zakat di Terengganu.

-- BERNAMA



Monday, May 22, 2017

TUJUH NGO BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP ANAK MUSTAFA ALI



KUALA TERENGGANU: Tujuh NGO Negeri Terengganu telah membuat laporan polis berkaitan isu peguam Fariz Irwan Mustafa yang membuat tuduhan yang tidak berasas di atas isu penipuan UMRAH Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT).


Menurut Pengerusi Kelab Generasi Baharu (KGB)Negeri Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar, apa yang dinyatakan oleh Fariz itu adalah satu tuduhan berniat jahat terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Safruddin Ali Hussin.

Katanya, isu ini dalam proses mahkamah dan kalau betul dia(Fariz) berniat untuk membantu mangsa tersebut dia bantu lah, kenapa dia kaitkan MB Terengganu dan pengarah JPNT?

“ MB dan Pengarah JPNT tidak terlibat dalam kes berkenaan dan beliau dengan sengaja telah menerbitkan unsur-unsur fitnah terhadap dua orang yang saya dinyatakan tadi,

“Hari ini saya bersama NGO-NGO negeri Terengganu, mohon supaya pihak polis membuat siasatan terhadap Fariz Irwan kerana dengan niat menjatuhkan maruah YAB MB dan kita sama-sama menjaga insitusi Menteri Besar itu sendiri”, ujurnya.


Tambahnya lagi ,Fariz diberi masa 24 jam untuk memohon maaf secara terbuka dan bertulis kepada MB Terengganu diatas tuduhan yang di lemparkan.



Turut membuat laporan Polis harini , Pesaka Negeri Terengganu (Pesaka) ,Pewaris Pekida Negeri Terengganu (Pekida) , Cemara Bugis Negeri Terengganu, MAYC Negeri Terengganu, Gerakan Belia 4B Negeri Terengganu dan Gerakan Belia 4 B Kawasan Kuala Terengganu pada jam 2.00 petang di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu hari ini.

Selain itu, Setiausaha Pesaka Negeri Terengganu Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, beliau dan rakan-rakan NGO membuat laporan polis hari ini bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati berkaitan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan secara semberono serta melulu oleh Fariz.

“Beliau kononnya mengaku sebagai seorang peguam yang tidak tahu cara dan tatasusila guaman dan menjaga anak guamnya”

“Saya tertarik dengan kenyataan yang ditularkan oleh beliau dan menarik perhatian saya adalah… jikalau saya diberi peluang bertanding di Seberang Takir atas parti bebas…”

“Jikalau beliau hendak berpolitik… berpolitiklah diatas padang yang lapang… dan kalau anda seorang peguam serta bersikap adil dan bawalah perkara ini ke mahkamah…”

Kami di fahamkan beliau bukan peguam yang di lantik tetapi hadir hanyalah sebagai pemerhati kes tersebut.

“Fariz juga di ingatkan jangan bersikap semberono serta berniat jahat membuat fitnah tanpa bukti dan memburukkan Menteri Besar kita”, ujarnya.

Sunday, May 21, 2017

AZRB BANGUNKAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM BERNILAI RM200 JUTA

MARANG, 21 Mei (Bernama) -- Temala Development Sdn Bhd (TDSB) akan membangunkan satu projek perumahan penjawat awam di Terengganu membabitkan 685 unit bernilai kira-kira RM200 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata projek di atas tapak seluas 66.96 ekar itu akan dibina di jalan utama Kuala Berang-Kuala Terengganu dalam beberapa fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Daripada 685 unit rumah itu, sebanyak 160 unit rumah bandar mampu milik, 349 unit rumah teres dua tingkat, 100 unit rumah berkembar dua tingkat, 76 unit kedai dan pejabat dua tingkat dan satu lot tapak komersial akan dibina dengan harga daripada RM272,500 ke atas bagi satu unit.

"TDSB merupakan anak syarikat Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB), telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan divisyen hartanahnya sebagai penyumbang utama kumpulan pada masa hadapan.

"Projek itu dirancang dalam tiga fasa dan akan memberi penekanan kepada fasa pertama iaitu projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dikhaskan bagi kakitangan awam," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran projek berkenaan di sini semalam.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri A Latiff Awang dan Pengurus Besar AZRB Zawawi Wahab.


Ahmad Razif berkata, projek pembangunan yang dikenali sebagai Puncak Temala itu merupakan sebuah projek perbandaran bersepadu yang pertama seumpamanya bagi negeri ini.

Sementara itu, Zawawi berkata, ini merupakan projek perumahan terbesar syarikatnya yang mempunyai kedudukan amat strategik iaitu hanya empat kilometer dari Pekan Ajil dan 23km dari pusat bandar Kuala Terengganu.

Katanya, Puncak Temala mengetengahkan konsep pembangunan lestari yang mampu menjadi daya tarikan kepada bakal pembeli kerana hampir setiap rumah di situ di kelilingi kawasan hijau bagi mewujudkan persekitaran yang sejuk dan harmoni.

Beliau berkata, pemasangan kabel elektrik projek perumahan itu adalah secara pemasangan bawah tanah yang mana ia memberi kelebihan dari sudut keseluruhan susun atur dan perancangan bandar yang lebih teratur dan moden.

Zawawi berkata, penjawat awam yang berminat untuk mendapatkan kediaman itu boleh membuat pendaftaran serta mendapatkan maklumat lanjut melalui portal www.ppa1m.gov.my.

-- BERNAMA

Saturday, May 20, 2017

USAHAWAN KUIH BAKUL DIPILIH IKON BELIA TERENGGANU 2017





KUALA BERANG, 20 Mei (Bernama) -- Usahawan kuih bakul yang merupakan orang kurang upaya, Haziqah Nurul Huda Harun, 21, diangkat menjadi Ikon Belia Negeri Terengganu 2017 pada Hari Belia Negeri Terengganu.

Haziqah atau nama mesranya 'Yaya' berterima kasih dengan angerah yang diberikan kepadanya dan ia menjadi kenangan manis dalam hidupnya.

"Alhamdulillah walaupun saya tidak seperti orang lain, saya tidak menjadikannya sebagai satu penghalang untuk saya mengecapi impian seperti orang lain," katanya di sini hari ini.

Beliau kini berhasrat mengembangkan lagi bisnesnya ke peringkat tertinggi dan ingin mempunyai pekerja tetap kerana tempahan diterima sentiasa meningkat terutamanya menjelang Tahun Baru Cina.

Dua lagi ikon Belia Negeri ialah Nor Ardillan Syah Abdullah, 37, usahawan memproses kitar semula sabut kelapa dan Mohd Saifullah Che Ghani, 28, usahawan pelancongan desa dan ketiga-tiga mereka membawa pulang sijil penghargaan dan wang ringgit.

Bagi Anugerah Pertubuhan Belia, dimenangi Persatuan Belia Setia Pakat yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 dan trofi serta sijil penghargaan.

Anugerah dan hadiah berkenaan disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat dan Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Dalam sidang medianya Ahmad Razif berkata peruntukan Dana Raya akan ditambah sebanyak RM20 juta tahun ini iaitu daripada RM70 juta kepada RM90 juta.

Tambah beliau, ini adalah satu cara kerajaan negeri membantu dan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Objektif kerajaan tahun ini juga untuk menangani kos sara hidup dan dana berkenaan akan mula diagihkan secara berperingkat bermula minggu pertama puasa nanti. Kita yakin, kebanyakan penerima dana ini tidak akan belanja luar dari negeri dan ia akan menjadi satu kartalis dalam menggerakkan ekonomi setempat.

"Kerajaan negeri juga bakal membuka makmal belia di setiap daerah bermula tahun depan untuk melaksanakan program yang lebih bersifat kerakyatan.

"Berdasarkan konsep kerajaan kita yang inklusif iaitu rakyat boleh membantu kita memberi idea dalam mengurangkan kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan dan perumahan melalui makmal ini," katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata cetusan idea-idea berkenaan akan membantu kerajaan negeri dalam merangka sasaran bajet 2018 dan menjadi manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

--BERNAMA



Friday, May 19, 2017

KASTAM BENTERAS PENYELUDUPAN ROKOK, MERCUN DAN BUNGA API

KUALA TERENGGANU,19 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu akan melaksanakan Operasi Terengganu Strategi Lautan Biru Kastam atau OPS T-Cbos bagi menyekat kegiatan penyeludupan barangan terlarang khususnya pada musim perayaan.

Pengarahnya Aidid Tajuddin berkata operasi itu adalah bagi menyekat pergerakan bekalan, penjualan dan pembelian barang-barang yang belum mendapat kelulusan Kastam.

Beliau berkata operasi bermula 22 Mei hingga 22 Jun itu akan memberi fokus terhadap pelbagai bentuk barangan terutama rokok, mercun dan bunga api.

"Lazimnya apabila tiba musim perayaan, barangan tersebut mendapat permintaan yang tinggi di pasaran, jadi kita mengambil langkah awal bagi menyekat aktiviti ini daripada terus berleluasa.

"Ini juga bagi meningkatkan tahap pematuhan peniaga terhadap peruntukan undang-undang Kastam di bawah Akta Kastam 1967 serta Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2015," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Aidid berkata selain mengadakan sekatan di jalan raya, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan di premis menjual mercun dan bunga api serta di bazar Ramadan yang menjual bahan larangan tersebut.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang ditahan atas kesalahan tersebut dan rampasan serta tangkapan akan dilakukan kepada mereka yang ingkar.

"Saya ingin menegaskan tiada tawaran kompaun akan dikeluarkan serta tiada bayaran tunai perlu dibuat bagi tujuan bayaran kepada Jabatan Kastam sepanjang operasi berkenaan," katanya.

Bagi melancarkan operasi itu, beliau berkata pihaknya memohon semua peniaga dan orang ramai memberi kerjasama dan sebarang keraguan boleh berhubung terus menerusi talian 09-62256674.

Aidid berkata pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan di 1,820 premis yang berdaftar GST sehingga Rabu lepas, dan daripada 7,236 peniaga yang berdaftar di seluruh Terengganu, tahap pematuhan mereka terhadap perkara itu mencecah 92 peratus.

-- BERNAMA

Thursday, May 18, 2017

MB MAHU SAMAN AKHBAR YANG SIAR ISU MERCU TANDA BANDAR BAHARU KUALA NERUS

KUALA TERENGGANU, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bakal menyaman wartawan dan sebuah syarikat akhbar yang menimbulkan isu pokok benang sutera berharga RM180,000 yang menjadi mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus.

Ahmad Razif berkata tindakan tersebut susulan laporan yang disiarkan di muka depan akhbar arus perdana tersebut hari ini yang masih membangkitkan isu yang pernah dinafikannya dan mendakwa pokok berkenaan telah mati sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya.

"Saya amat terkejut sebab isu ini telah selesai. Isu tidak ada kena mengena dengan kerajaan, jadi saya tidak tahu apakah motif ditimbulkan semula isu ini. Saya sedang meilhat dan menilai semula, kemungkinan kita akan serah kepada perundangan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di sini.

Wednesday, May 17, 2017

PENERBANGAN TERUS KT KE JB MULAI 22 JUN



KUALA TERENGGANU 17 Mei - AirAsia Berhad memperkenalkan laluan baharu menghubungkan Kuala Terengganu -Johor Bahru dengan penerbangan tiga kali seminggu bermula 22 Jun depan.


Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Aziz Bakar berkata, perkhidmatan terbaharu dengan kerjasama kerajaan negeri diharap dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancongan dari arah Selatan Semenanjung dan merancakkan kegiatan perdagangan.

Katanya, Terengganu mencatatkan permintaan perjalanan amat tinggi sejak AirAsia memulakan penerbangan pada 2002 dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan kekerapan tujuh kali seminggu yang kini meningkatkan kepada 28 penerbangan.


"Pada tahun lalu, kami mencatatkan lebih 420,000 penumpang yang terbang masuk dan keluar dari Terengganu dan tahun ini, kami menyasarkan lebih 500,000 penumpang membabitkan laluan ini.

"Negeri ini merupakan destinasi yang terkenal dengan pantai yang cantik di samping makanan tempatan yang lazat, justeru, melalui kerjasama ini, kami akan berusaha mempromosikan Terengganu sebagai sebuah destinasi yang mesti dikunjungi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Air Asia dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini petang ini.

Aziz mewakili AirAsia manakala kerajaan negeri oleh Setiausaha Kerajaan, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, dan upacara itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, penerbangan terus bagi laluan itu dilihat mampu membuka pelbagai peluang dan kemungkinan yang bermanfaat untuk rakyat.

Katanya, malah pemilihan Johor Bahru itu disifatkan tepat kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut mempunyai penerbangan terus ke Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Sibu, Miri, Jakarta dan Guangzhao.


Tuesday, May 16, 2017

LIMA ADUN BN ADALAH BEKAS GURU






KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Guru dianggap sebagai kerjaya yang amat dihormati dan dipandang mulia oleh rakyat Malaysia kerana golongan pendidik banyak berjasa kepada anak bangsa selain menabur bakti kepada masyarakat menerusi pelbagai program.

Berikutan itu, guru sering didampingi penduduk setempat yang mahu mengadu nasib dan meminta bantuan untuk menyelesaikan masalah, dengan 'keakraban' itu membuka laluan mereka ke arena politik.

Di Terengganu, misalnya, lima daripada 17 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) kini terdiri daripada bekas guru termasuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Empat lagi bekas guru ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A Latiff Awang (ADUN Pengkalan Berangan), Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib (ADUN Ajil), Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Rozi Mamat (ADUN Telemong) dan Bazlan Abdul Rahman (ADUN Batu Rakit).

Mereka juga sememangnya rapat dengan masyarakat setempat dan sentiasa proaktif dengan program kebajikan, kesukarelawanan dan khidmat sosial.

Bagi Ahmad Razif, penglibatan guru dalam politik adalah disebabkan keikhlasan mereka untuk berkhidmat dan berdamping dengan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang dan warna kulit seseorang.

"Sesiapa sahaja boleh menjadi ahli politik. Namun, persoalannya adakah mereka bersedia menjalankan tanggungjawab dengan sempurna apabila memikul amanah sebagai pemimpin?.

"Bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghaffar Baba juga bekas guru. Begitu juga dengan Menteri Pelajaran sekarang Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah guru dahulu," katanya kepada Bernama.

Ahmad Razif mula berkhidmat sebagai guru pada 1989 dengan mengajar Matematik, Bahasa Malaysia dan Muzik. Beliau meletakkan jawatan sebagai guru apabila dipilih menjadi calon BN bagi kawasan DUN Seberang Takir pada pilihan raya umum 2008.

Lulusan Ijazah Sarjana Sains (Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 12 Mei 2014 sebelum memperkenalkan banyak penambahbaikan bagi memperkasa pendidikan di Negeri Anjung Ilmu ini.

Bagi Ghazali pula, pengalamannya berkhidmat sebagai guru selama 25 tahun menjadi kenangan manis yang cukup berharga kerana tempoh itu melakar 1001 kisah yang mematangkan beliau.

"Saya terlibat dalam politik kerana banyak terlibat dengan kerja-kerja amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktif dalam semua kegiatan masjid dan surau. Politik adalah satu platform untuk kita memperluaskan lagi peranan untuk agama, bangsa dan negara.

"Apabila diberi kepercayaan menjadi seorang wakil rakyat, ia adalah peluang untuk saya memainkan peranan yang lebih besar dalam menyumbang idea, pemikiran serta tindakan yang lebih berkesan dalam membangunkan pemikiran yang berkualiti kepada masyarakat.

"Saya yakin guru-guru yang dipilih sebagai pemimpin dalam pentadbiran negeri adalah individu yang mempunyai beberapa kebolehan istimewa. Mereka boleh menterjemahkan keistimewaan itu dalam membentuk pembinaan negeri melalui pentadbiran dan pengurusan negeri secara terbaik," katanya yang lebih mesra disapa Cikgu Zali.

Exco termuda di Terengganu,Rozi, juga seorang guru dan pernah bertugas sebagai Pegawai Pusat Sumber Pendidikan Terengganu (Bahagian Teknologi Pendidikan) hampir empat tahun.

"Saya tidak sangka akan terlibat dalam politik kerana pada usia muda, saya sangat aktif dalam gerakan Belia 4B di Terengganu sekitar tahun 1990-an. Pelbagai aktiviti kami lakukan untuk golongan belia ketika itu dan pernah menjuarai beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan.

"Bakat kepimpinan saya disedari pemimpin UMNO ketika itu dan mencadangkan saya menjadi calon DUN Telemong pada 2004," katanya yang menyandang portfolio sukan dan belia.

A Latiff pula mengakui portfolio pendidikan yang diamanahkan kepadanya amat serasi dengan kerjayanya sebagai guru sebelum ini.

"Kebetulan pula Menteri Besar juga adalah bekas guru dan ini secara tidak langsung memudahkan lagi kerjasama kami dalam memartabatkan pendidikan sebagai satu dari lapan intipati penting yang menjadi fokus kerajaan negeri melalui gagasan Tranformasi Terengganu Baharu," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi timbalannya iaitu Bazlan yang pernah menjadi guru selama 25 tahun dan berkhidmat di empat sekolah sekitar Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Saya tertarik menyertai badan bukan kerajaan (NGO) seawal usia 18 tahun. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya bergiat aktif dalam banyak NGO dan persatuan sukarelawan untuk membantu masyarakat setempat.

"Semua kerja amal yang dilakukan sepanjang bergelar guru mendapat perhatian penduduk setempat dan jawatan pertama saya dalam UMNO ialah sebagai Setiausaha Pemuda Cawangan Padang Polis di Batu Rakit pada tahun 1990.

"Sejak itu, saya mencurahkan khidmat sepenuhnya dalam bidang politik dan berharap mampu menjalankan amanah ini sebaik mungkin demi generasi muda yang akan memacu kepimpinan negara dengan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya yang dikenali sebagai Cikgu Lan di sekitar Batu Rakit dan Pulau Redang.

-- BERNAMA

Friday, May 12, 2017

PENDUDUK AIR PUTIH MAHU CALON TEMPATAN

KEMAMAN: Kali terakhir  DUN Air Putih     mempunyai calon anak tempatan adalah pada tahun 1986-1999. Ia diwakili Datuk Haji Harun Hassan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar  yang berasal dari Binjai, Kemaman.

Selama tiga penggal Haji Harun menabur bakti di Air Putih. Pada tahun 1999, pucuk pimpinan meletakkan orang Kijal sebagai calon (Dr. Ramli Taib) tapi kalah. Pada tahun 2004, BN meletakkan orang Chukai sebagai calon dan menang (Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid). Wan Ahmad Nizam sepenggal diganti    oleh orang Chukai juga (Wan Hakim Wan Mokhtar) pada tahun 2008.

Wan Hakim sudah dua penggal jadi YB Air Putih. Kini kedengaran penduduk Air Putih mahu calon anak tempatan. Salah seorang anak tempatan yang disebut sebut ialah Ustaz Zulkifli Sulong.

Berusia 46 tahun, Ustaz Zul berasal dari Kampung Seberang Tayor Hilir anak kepada bekas ketua cawangan, Pak Sulong. Beliau adalah guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang bahasa Arab dan kesusateraan.

Pernah mengajar di Sekomah Menengah Agaman Sheikh Haji Othman Wahab, Kuching (1998-2003) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang di Muazam Shah  (2003-2008) sebelum balik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi, Kemaman (2008- kini).

Kini beliau adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman sejak tahun 2012 serta Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Bahagian dari tahun 2012.

Sebelum itu beliau adalah ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian (2008-2012)                              dan kelebihan beliau adalah selalu dijemput menjadi khatib jumaat  dan pengiring dan jurubahasa kepada imam dari Arab Saudi untuk program Ihya Ramadhan di Terengganu.

Beliau kini adalah timbalan pengerusi penyelaras DUN Air Putih dan sering dijemput ke majlis Wan Hakim. Dapatkah penduduk Air Putih memiliki calon anak tempatan? terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan.


Wednesday, May 10, 2017

TATIUC IDAMAN INN MAHU SETARAF DENGAN HOTEL UNIVERSITI LAIN

KEMAMAN, 10 Mei (Bernama) -- Kolej Universiti TATI (TATIUC) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Terengganu mahu memperluaskan lagi peranannya dalam sektor perhotelan melalui proses penjenamaan semula Hotel TATIUC kepada nama baharu iaitu TATIUC Idaman Inn.

Rektor TATIUC, Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata ketika ini kebanyakan universiti lain mempunyai hotel atau penginapan khas kepada masyarakat luar seperti Hotel UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun (gambar) dan Shah Alam, RHR Hotel (Uniten) dan Hotel Puri Pujangga (Universiti Kebangsaan Malaysia).

"Oleh itu, TATIUC Idaman Inn juga berhasrat untuk mengikut jejak langkah universiti berkenaan. Walaupun TATIUC Idaman Inn belum mencapai taraf hotel universiti berkenaan tetapi suatu hari nanti kita berharap kita mampu mencapai taraf seperti mereka.

"Sehingga kini, TATIUC Idaman Inn telah digunakan semasa majlis tertentu seperti konvokesyen TATIUC, penempatan peserta gamelan, keluarga pelajar dan juga pegawai-pegawai yang terlibat dalam majlis tersebut dan penjenamaan semula ini diharap melonjakkan lagi kecemerlangan TATIUC pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pelancaran penjenamaan semula hotel itu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman di sini Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zamri berkata pada asalnya, Hotel TATIUC dibina bertujuan untuk memberi kemudahan penginapan kepada peserta kursus dari TATIUC, Ruane TATI dan Pusat Latihan Keselamatan Terengganu (TSTC).

"Bangunan ini mula dibina pada 20 Nov 2007 dan siap sepenuhnya pada Mei 2009 menggunakan peruntukan kewangan TATIUC.

"Jarak penginapan yang bersebelahan dengan kelas kursus memberikan banyak kelebihan kepada peserta terutama dalam menjimatkan kos pengangkutan ke tempat kursus dan seiring penambahbaikan kemudahan yang ditawarkan, sudah tiba masanya hotel ini dijenamakan semula untuk perkhidmatan lebih baik," katanya.

Ketika ini, TATIUC Idaman Inn mempunyai lima bilik untuk keluarga (Family Unit) berharga RM47.70 sehari dan 40 bilik single berharga RM31.80 serta RM53 untuk bilik single berhawa dingin (terhad dua bilik).

"Family Unit dilengkapi dengan dua bilik, satu bilik air, ruang keluarga serta ruang dapur manakala single unit dilengkapi dua tilam bujang serta meja dan almari.

"Kawasan TATIUC Idaman Inn juga disediakan kemudahan wifi percuma mengikut keperluan terkini, malah kami akan mewujudkan sebuah bilik seminar khas untuk disewakan kepada syarikat luar," katanya.

Sementara itu, Bazlan yang juga Pengerusi Lembaga Pentadbir TATIUC berkata kerajaan negeri Terengganu akan terus memperkukuhkan lagi peranan TATIUC sebagai sebuah kolej universiti kemahiran teknikal yang terkenal di negara ini.

"Penjenamaan semula hotel ini adalah permulaan yang lebih baik kepada TATIUC untuk terus dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sahaja sebagai pengeluar tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah turut terkenal dengan kemudahan hotelnya yang terbaik.

"Kerajaan negeri akan terus menyokong hasrat TATIUC untuk menjadikan hotel ini setaraf dengan hotel universiti yang lain dalam masa terdekat melalui pelbagai program yang akan dirancang dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 9, 2017

SIAPA MAMPU TAWAN BATU BURUK?

KUALA TERENGGANU: PAS menang di DUN Batu Buruk buat kali pertama pada tahun 1982 melalui calonnya Wan Mutalib Wan Embong. Tak silap saya pada tahun 1986, calon BN, Datuk Mutalib berjaya merampas kembali kerusi Batu Buruk daripada tangan PAS.

Namun demikian PAS kembali merampas Batu Buruk pada PRU 1990. Sejak itu PAS  sudah 27 tahun menguasai Batu Buruk sehinggalah hari ini.

Pada PRU 2013, calon PAS, Dr Syed Azman Syed Nawawi telah menang dengan majoriti 2,273 undi.
Beliau mengalahkan calon BN, Datuk Haji Che Mat Jusoh. Dr Syed Azman mendapat 13,679 undi manakala Che Mat mendapat 11,406 undi.Mampukah calon BN menawan DUN Batu Buruk pada PRU akan datang?

Dr Syed Azman dikatakan kini menyokong Parti Amanah Negara (PAN). Maka perpecahan PAS dan PAN akan menguntungkan calon BN. Siapakah calon BN yang layak bertanding di situ? Empat nama disebut sebut sebagai calon favourite ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Shafarudin Mustafa; CEO Epic, Norfadil; ahli perniagaan, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengerusi Penyelaras DUN Batu Buruk serta ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Terengganu, Zamri Awang Hitam.

Dalam suasana perpecahan antara PAS dengan PAN,jika empat bakal calon ini tidak peteh keting sesama sendiri, maka BN mampu merampas kembali kerusi Batu Buruk.Siapa sahaja yang dipilih sebagai calon hendaklah disokong sepenuhnya oleh tiga orang yang lain. Maka sudah tentu BN dapat bertapak semula di Batu Buruk.



Monday, May 8, 2017

ZAKARI ALI PESERTA FELCRA YANG BERJAYA

KUALA BERANG: Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu, Zakari Ali meninggal dunia petang semalam kerana menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Beliau, 63 tahun, merupakan peserta rancangan tanah belia (RTB) FELCRA Bukit Kapah, Hulu Terengganu yang dibuka pada tahun 1975. Berasal dari Buluh Gading, Kuala Nerus, beliau berpindah ke Bukit Kapah apabila dipilih menjadi peserta tanah belia FELCRA yang jauh dari kampung halamannya.

Arwah Zakari mengenali ayah saya, Haji Saidi ketika beliau menjadi penyelia kanan FELCRA Sungai Dura pada tahun 1975. Apabila saya bekerja sebagai pegawai pembangunan peserta FELCRA pada tahun 1980 saya pernah menganjurkan kursus kepada peserta FELCRA Bukit Kapah. Apabila beliau mengetahui bahawa saya anak Haji Saidi, beliau rapat dengan saya sampailah hari ini. Setiap kali saya menemuinya di Restoran Nagas beliau selalu bertanya mengenai ayah, emak dan adik beradik saya yang dibesarkan di Kuala Berang.

Arwah Zakari adalah peserta tanah belia FELCRA yang berjaya bukan sahaja sebagai peserta yang dikurniakan ladang kelapa sawit seluas 10 ekar malah beliau berjaya sebagai ahli perniagaan. Beliau buka kedai emas di bandar Kuala Berang dan akhirnya berkecimpung dalam politik.

Beliau menang bertanding jawatan ketua pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu pada tahun 1988 seangkatan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Bulan lepas ketika merasmikan pecah tanah PPR Bukit Nanas di Kuala Nerus, Perdana Menteri sempat menziarahi Zakari yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau memang rapat dengan Najib. Pernah seorang ahli parlimen yang mempunyai masalah, telah menghantar Zakari supaya memberitahu Najib supaya selesaikan kesnya. Najib yang enggan campurtangan dengan kes ahli parlimen tersebut bertanya kepada Zakari, "you nak I tolong you ke atau you nak I tolong kawan you?"

Ugutan Najib itu bermakna beliau tidak mahu peduli kes ahli parlimen tersebut kerana Najib mahu persahabatan dengan Zakari berkekalan. Pada PRU 13, nama Zakari turut disebut sebut sebagai bakal calon DUN Telemong tetapi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu Datuk Rozi Mamat kekal di Telemong. Memang tiada rezeki Zakari untuk jadi YB kerana beliau dianggap sebagai orang Datuk Seri Idris Jusoh.

Di zaman Idris jadi Menteri Besar, syarikat  yang mana Zakari jadi pengerusi milik arwah Datuk Mahazan mendapat projek menaik taraf Pupuk Semangat Terengganu di Teluk Kalung bernilai RM200 juta.

Zakari Ali telah membuktikan bahawa sebagai peserta FELCRA, ia bukan penghalang untuk menjadi seorang kontraktor yang berjaya. Syabas kepada beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah buat Zakari Ali.

Sunday, May 7, 2017

RAHMAN MAT YASSIN TANDING DI BATU RAKIT?

PERMAISURI:  Pada PRU 13, BN meletakkan orang baru Bazlan Abd Rahman di DUN Batu Rakit. Beliau menang dengan majoriti 1,635 undi mengalahkan calon PAS, Che Ghani Che Ambak. Bazlan mendapat 7,008 undi manakala Che Ghani mendapat 5,373 undi.

Bazlan turut disebut sebut akan mempertahankan kerusi Batu Rakit pada PRU akan datang. Namun demikian dua nama lain turut disebut sebut akan bertanding di situ iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Jailani Ngah dan Senator Datuk Abdul Rahman Mohd Yassin.

Nama Jailani turut naik pada PRU 2013 tetapi pada saat akhir nama beliau dicantas kerana bimbang beliau menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said. Bagaimana nasib beliau kali ini? Dapatkah beliau jadi calon DUN Batu Rakit kali ini atau calon parlimen Setiu?

Dalam pada itu bekas Ketua Pemuda Bahagian Setiu, Senator Rahman amat popular di kalangan penduduk Batu Rakit. Beliau bukan orang baru dalam politik. Beliau adalah bekas pegawai khas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang jaga Terengganu.

Apabila beliau dilantik Senator, beliau melepaskan jawatan pegawai khas Zahid. Jawatannya kini disandang oleh ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman, Haji Mustafa Abdul Rahman. Beliau adalah seorang kontraktor yang berjaya di zaman Ahmad Said. Tetapi beliau rapat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Rahman bolehlah dianggap sebagai orang Razif. Dalam suasana Razif memerlukan sokongan lebih ramai ADUN maka Rahman patut dipilih sebagai calon kerana Bazlan dianggap sebagai orang Ahmad Said.

Jawatan Senator biasanya adalah batu loncatan untuk menjadi ADUN atau ahli parlimen. Rahman adalah Senator yang dicalonkan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu menunjukkan betapa rapatnya beliau dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa yang patut mewakili BN di DUN Batu Rakit.

















Saturday, May 6, 2017

UMT ANJUR 36 PROGRAM WOW


KUALA NERUS, 6 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan 36 program sempena Sambutan Hari Lautan Sedunia (WOW) bermula 31 Mac hingga 13 Julai depan.


Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar berkata kesemua aktiviti tersebut melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah dan komuniti setempat bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan laut dan khazanah marin negara.

"Hari ini, adalah pertandingan akhir bicara berirama peringkat kebangsaan sempena WOW 2017 yang melibatkan penyertaan sekolah berasrama penuh dari seluruh negara.

"Pertandingan berbahasa Inggeris ini bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa generasi muda Malaysia sangat peka dengan perkembangan semasa yang berlaku terhadap alam sekitar akibat perbuatan manusia itu sendiri dan mahu mesej ini diambil peduli oleh pihak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan akhir bicara berirama peringkat kebangsaan sempena WOW 2017 di sini hari ini.

Nor Aeini berkata UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan kajian dan penyelidikan mengenai sains marin dan kelautan akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pengurusan sumber alam itu secara lebih lestari.

"Pemuliharaan laut ini telah menjadi satu topik yang sangat penting untuk dibincangkan dan UMT berasa bertuah kerana banyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa.

"Kita perlu menguruskannya secara mampan agar laut dan hidupan yang terdapat di dalamnya terus mampu diwariskan pada generasi akan datang. Sebab itu UMT sebagai universiti paling rapat dengan komuniti pantai, berasa terpanggil untuk terus memainkan peranan dalam perkara ini," katanya.

-- BERNAMA

Friday, May 5, 2017

PENGHULU PERNAH JADI YB DI TERENGGANU

MARANG: Datuk Ahmad Sidi Ismail bekas ketua Umno bahagian Hulu Terengganu adalah seorang penghulu sebelum menyertai politik pada tahun 1974.  Beliau adalah Exco Kerajaan negeri. Pada tahun 1995 beliau ditawarkan bertanding kerusi parlimen Hulu Terengganu tetapi beliau menolak tawaran itu. Tempatnya digantikan oleh Mustapha Muda.

Tradisi penghulu menjadi YB akan diteruskan oleh Mohd Adnan Mohd Amin jika beliau dipilih sebagai calon BN bagi DUN Bukit Payong pada PRU akan datang. Malah PAS pernah ada YB dari bekas penghulu Mohamad Sulong mengalahkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau adalah bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Marang dari tahun 1993 hingga 2000. Beliau adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Marang dari tahun 2008 hingga sekarang. Malah beliau pernah dilantik ketua penerangan bahagian pada tahun 2008.

Beliau kini adalah naib pengerusi penyelaras DUN Bukit Payong dan beliau aktif dalam NGO iaitu Pengerusi Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia cawangan Terengganu 2016-2018 serta Naib Presiden Persatuan Gimnastik Terengganu dari tahun 2016-2018.

Dapatkah BN meneruskan tradisi memilih penghulu sebagai calon? Penghulu yang mesra rakyat, turun padang, cakna merupakan ciri utama calon mampu menang. Sama sama kita tunggu hari penamaan calon PRU nanti.


Thursday, May 4, 2017

DUA ADUN DI BESUT GUGUR?






JERTEH: Sekurang-kurangnya dua orang ADUN akan digugurkan sebagai calon BN pada PRU akan datang. Mereka ialah ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad dan ADUN Kota Putera, Mohd Mahadi Musa.

Nawi yang juga ketua Umno Bahagian Best sudah tiga penggal menjadi ADUN Hulu Besut. Manakala Mahadi yang baru sepenggal jadi YB lebih kelihatan sebagai ahli perniagaan daripada wakil rakyat.

Tempat Nawi dikatakan akan diisi oleh seorang pegawai kebudayaan di Kuala Lumpur, Zahari Mat. Nama Zahari amat popular di Hulu Besut. Manakala tempat Mahadi di Kota Putera akan diisi oleh ADUN Jerteh, Datuk Pehimi Yusof. Pehimi dikatakan akan meninggalkan DUN Jerteh yang dikatakan kerusi kurang selamat. Pada tahun 2008 Pehimi sudah jadi ADUN Kota Putera.

Calon baru di DUN Jerteh belum dipastikan lagi. Namun demikian sumber berkata Ketua Puteri Negeri Terengganu, Ernisalwani Saidi dijangka bertanding di DUN Jerteh.
Manakala Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dijangka kekal di DUN Kuala Besut.

JAMBATAN TIGA KILOMETER RM242 JUTA SIAP DIBINA

KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Jambatan yang menghubungkan kampung Teluk Pasu, Pulau Sekati dan Bukit Losong, kini siap dibina dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan Sultan Mahmud serta Jambatan Manir seperti yang berlaku sekarang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata jambatan sepanjang tiga kilometer dengan empat lorong dua hala yang mula dibina pada April 2012 itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM242 juta.


Katanya jambatan itu akan menghubungkan rangkaian jalan sedia ada di Kuala Nerus seperti kampung Kubang Jela, Banggol Tuan Muda, Kampung Jeram Tok Kong, Bukit Jong dan seterusnya ke Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau ke Setiu, Besut dan Kelantan.

Selain itu, jika melalui dari Kampung Losong, ia menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu dan ke kawasan bandar baru Bukit Besar, Jalan Kuala Berang dan ke pusat pelancongan Tasik kenyir.

"Dengan siapnya projek jambatan itu, ia merupakan satu lagi kemudahan yang disediakan kerajaan untuk rakyat. Kita sedang mencari satu tarikh yang sesuai bagi upacara perasmian jambatan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Makruf Peribumi (KAMP), di sini semalam.

"Saya yakin apabila siap satu lagi jambatan iaitu jambatan angkat yang menghubungkan Seberang Takir-Bandaraya Kuala Terengganu, sudah pasti masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi sepenuhnya," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Pulau Sekati Ramli Man, 56, melahirkan rasa syukur apabila jambatan yang dibina melalui kampungnya itu sudah siap dan dapat memberi kemudahan kepada penduduk.

Katanya, sebelum ini kira-kira 250 penduduk pulau berkenaan hanya menggunakan jambatan kayu dan bot untuk ke tanah besar.

"Saya harap jambatan kayu berkenaan tidak akan diroboh. Ini kerana ia memberi kemudahan kepada pelajar kampung itu berulang alik ke Sekolah Kebangsaan Paloh," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Razif meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada KAMP, sebagai bantuan pentadbiran pertubuhan Melayu yang mempunyai lebih 12,000 anggota itu.

-- BERNAMA

Wednesday, May 3, 2017

BAGAIMANA NASIB IDRIS JUSOH DI BESUT?

JERTEH: Adakah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kekal di parlimen Besut? Ada yang mengatakan bahawa beliau tidak berminat bertanding lagi setelah tidak menjadi ketua Umno Bahagian Besut pada tahun 2013.

Pada tahun tersebut, beliau dicabar oleh Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad proksi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Maka beliau tarik diri dan beri laluan kepada Datuk Pehemi Yusof menentang Nawi.

Pehemi tarik diri menyebabkan Nawi menang tanpa bertanding. Pehemi menawarkan diri bertanding timbalan ketua bahagian mengisi tempat Nawi dan Idris terpaksa berundur mengambil tempat Pehemi sebagai naib ketua bahagian untuk mengelakkan perpecahan di kalangan ahli Umno Bahagian Besut.

Walau pun beliau adalah ahli majlis tertinggi Umno di peringkat pusat tetai di peringkat bahagian beliau berkorban dan menjadi orang nombor tiga.

Ada yang berpendapat bahawa Idris akan kekal di parlimen Besut kerana kecemerlangan beliau di kementerian pengajian tinggi menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  masih memerlukan perkhidmatan beliau.

Idris menjadi ahli parlimen Besut pada tahun 1995 dan dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan. Beliau kalah bertanding di DUN Jerteh pada tahun 1999. Pada tahun 2004 beliau selaku Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu  yang mengetuai gelombang biru berjaya menawan semula Terengganu dan beliau yang menang di DUN Jerteh  dilantik Menteri Besar Terengganu.

Pada tahun 2008 beliau kekal di DUN Jerteh tetapi tidak dilantik semula Menteri Besar. Pada tahun 2013 beliau bertukar ke parlimen Besut dan dilantik Menteri Pengajian Tinggi. Bagaimana nasib Idris pada PRU akan datang?

Jika beliau bersara dari politik, siapakah yang akan menggantikan beliau di parlimen Besut? Khabarnya ketua bahagian, Nawi Mohamad paling layak untuk bertanding di parlimen Besut selaku kedudukannya sebagai ketua bahagian dan Exco Kerajaan Negeri.

Manakala satu nama lagi yang layak bertanding di parlimen Besut ialah pegawai kebudayaan dan kesenian di Kuala Lumpur, Zahari Mat. Nama Nawi dan Zahari menjadi pilihan utama jika Idris tidak bertanding semula. Namun demikian jika Idris kekal di parlimen Besut beliau tetap menang kerana jasa beliau membangunkan Besut masih diingati penduduk Besut.






Tuesday, May 2, 2017

UMT MENANG EMPAT ANUGERAH BUKU NEGARA



KUALA LUMPUR: Pembabitan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha menerbitkan buku ilmiah berimpak tinggi untuk bacaan golongan akademik mahupun umum terbukti apabila dianugerahkan empat Anugerah Buku Negara semasa Majlis Anugerah Buku Negara 2017, semalam.

Dua anugerah tersebut diperolehi melalui Kategori Pengajian Tinggi iaitu Buku Ilmiah Terbaik (Tenggiling Sunda Khazanah Alam Malaysia – Pengarang Muhammad Hafiz Sulaiman & Chong Ju Lian) dan Buku Terjemahan Terbaik (Ikan Lut Sinar – Pengarang Ying Giat Seah & Mazlan Abd Ghafar) manakala dua lagi anugerah diperolehi melalui Kategori Industri iaitu Buku Zoologi Terbaik (Evolusi dan Biogeografi Mamalia Malayisa – Pengarang Mohd Tajuddin Abdullah) serta Buku Biografi Terbaik (Tan Sri Samsudin Osman : Demi Perkhidmatan Awam dan Negara Kerana-Nya Jua – Pengarang Noraien Mansor).

Pengarah Penerbit UMT, Datuk Prof Madya Dr. Noraien Mansor berkata, UMT melakar sejarah dengan kemenangan besar yang diperolehi pada tahun ini.

“Sejak 2013 UMT berjaya merangkul satu anugerah sahaja pada setiap tahun, tetapi untuk 2017 UMT diberi penghormatan apabila berjaya memperolehi empat Anugerah Buku Negara dan ini tentunya akan menjadi dorongan buat UMT untuk terus menerbitkan buku ilmiah berkualiti tinggi selaras dengan Dasar Buku Negara (DBN) serta Transformasi Nasional 2050 (TN50),"katanya.

Katanya, anugerah ini dilihat sebagai satu kejayaan besar UMT dalam menghasilkan karya berbentuk ilmiah dan ia juga tidak akan berjaya tanpa sokongan padu dari pihak penulis terutamanya pensyarah UMT sendiri.

Beliau memberitahu Today Terengganu bahawa sepanjang tahun 2016 UMT telah menerbitkan 60 buah buku termasuk buku digital.

"Dengan anugerah ini ia meransang UMT untuk menerbitkan lebih banyak lagi buku ilmiah pada tahun ini walaupun peruntukan mencetak buku tidak sebesar mana," katanya.





Anugerah Buku Negara diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 28 April hingga 7 Mei 2017.


Monday, May 1, 2017

AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG DANGKAL SEMASA BENTANG RUU355

ALOR SETAR, 1 Mei (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memberi laluan kepada parti itu membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata pembentangan rang undang-undang itu merupakan satu sejarah buat PAS dan parti itu akan sentiasa mengingati jasa baik kerajaan.

"Kita (PAS) berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan laluan berharga buat PAS untuk membentangkan usul berkenaan. Kita tidak akan lupakan perkara itu sampai bila-bila.

"Suara hati kita telah berjaya dilontar di Parlimen dan keputusan menangguhkan persidangan Parlimen membolehkan kita memberi penerangan mengenai RUU itu kepada masyarakat," katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS ke-63 di Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku di Parlimen semasa pembentangan RUU berkenaan memperlihat kedangkalan sesetengah Anggota Parlimen terutama daripada pembangkang.

"Kita perhatikan akhlak murahan termasuk (Anggota Parlimen) bukan Islam yang membantah pembentangan itu dengan menunjukkan aksi terjerit-jerit dan melaungkan kata kurang sopan...ini bukanlah ciri-ciri Anggota Parlimen sejati yang dipilih rakyat. Kerana marahkan PAS untuk memartabatkan Islam, PAS telah dihalang sebegitu rupa," katanya.

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa PAS bukannya parti persinggahan bagi pihak-pihak tertentu yang mahu memperguna parti Islam itu demi kepentingan diri sendiri.

"Jangan jadikan PAS parti persinggahan hanya untuk sementara dan kemudian berambus pergi bila 'aircond' kita rosak," katanya.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyemak semula perjalanan semua parti politik di negara ini berikutan ada parti politik yang dilihat tidak menghormati perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk mempersoalkan kedudukan agama Islam.

Pada sidang media kemudian, semasa ditanya sama ada ucapan terima kasih PAS kepada kerajaan membayangkan kemungkinan PAS dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama, Abdul Hadi berkata PAS akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mementingkan kebajikan rakyat dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

"Konsep kerjasama kita adalah untuk perkara yang baik. Perkara yang baik seperti kebajikan rakyat, kita boleh bekerjasama. Kalau bercanggah dengan agama Islam, kita bangkang, kita tentang...itu pendirian kita yang terbuka," katanya.

Ditanya mengenai parti mana yang menjadikan PAS sebagai parti persinggahan, beliau berkata itu adalah satu kenyataan umum kerana PAS tidak memusuhi mana-mana parti politik.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS bersedia menggantikan kerajaan sedia ada kerana pihaknya optimis mampu mencapai sasaran memenangi 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menjawab dakwaan bahawa PAS akan mendapat undi tercorot jika bertanding satu lawan satu pada PRU14, beliau berkata PAS mempunyai banyak pengalaman dalam pilihan raya dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Kita pernah menghadapi segala kemungkinan kerana sejarah politik kita, senario kita lebih panjang daripada orang lain. Kita pernah bersendirian, kita pernah tinggal satu kerusi, negeri ini ada kerusi, negeri itu kita tak ada kerusi langsung. Pertandingan dua, tiga dan empat penjuru...pengalaman kita banyak," katanya.

Berhubung keputusan tahaluf siyasi yang akan diputuskan Majlis Syura Ulama, Abdul Hadi berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada badan itu dan terpulang kepada mereka bila mahu bermesyuarat bagi menentukan perkara itu.

-- BERNAMA