KUALA TERENGGANU, 14 Ogos (Bernama) -- Pusat perubatan Kuala Terengganu Specialist (KTS) baharu dijangka memulakan operasinya Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri Roslee Daud berkata hingga kini KTS masih menunggu kelulusan daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Katanya, permohonan kepada CKAPS untuk membuat pemeriksaan di hospital itu telah dibuat pada 21 Jun lalu dan beliau tidak menafikan bahawa berlaku beberapa permasalahan (mendapan dan kewujudan fungus) yang menyebabkan kelewatan operasi KTS mengikut jadual asal.
"Namun, kita telah buat beberapa penangguhan dan kita kenal pasti serta cuba sedaya upaya supaya perkara yang disebut tadi dapat diatasi segera. Kita doakan KTS ini dapat beroperasi pada 2018," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Syed Azman Syed Nawawi (PAS-Batu Buruk) mengenai tarikh KTS akan mula beroperasi secara rasmi, susulan beberapa masalah yang berlaku di hospital itu.
KTS ialah pusat perubatan milik anak syarikat kerajaan negeri Terengganu iaitu TDM Berhad yang akan memberikan perawatan alternatif kepada orang ramai khususnya yang memerlukan rawatan pakar seperti ortopedik, pediatrik, ENT (telinga, hidung dan tekak) dan pembedahan am.
Mengikut jadual asal, KTS dijangka beroperasi sepenuhnya pada November 2014 namun dilanjutkan sebanyak dua kali iaitu lanjutan pertama pada September 2015 manakala lanjutan kedua pada 15 Mei 2016 dan terbaharu ia dijangka beroperasi pada Januari 2018.
Apabila beroperasi kelak, dijangka 100,000 pesakit dari seluruh Terengganu akan menerima rawatan di KTS setiap tahun.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment