Thursday, August 31, 2017

RAZIF MAHU RAKYAT HARGAI KEMERDEKAAN



KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu semua rakyat menghargai kemerdekaan yang negara Malaysia kecapi hasil usaha dan pengorbanan pemimpin dan pejuang terdahulu.


‘Tidak ada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam suasana aman, damai dan tenteram. Kemerdekaan bererti keamanan, kedamaian, ketenteraman, kemakmuran’.


‘Inilah yang kita sedang nikmati sekarang di bumi Malaysia. Dan inilah yang kita perlu pertahankan sampai bila – bila’.

‘Banyak Negara yang mencapai kemerdekaan sezaman dengan Negara kita’.

‘Tetapi tidak ada satupun yang dapat mencapai tahap kejayaan dan pembangunan sepertimana yang sedang kita di Malaysia kecapi sekarang ini’.

‘Tidak ada satupun. Kerana hanya ada satu Malaysia di bumi ini. Satu Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai bangsa, pelbagai budaya, pelbagai agama. Kita berjaya buktikan bahawa di sebalik kepelbagaian, adanya kesatuan. Malah kepelbagaian inilah yang menjadi sumber dan tunjang kekuatan Malaysia sebagai sebuah Negara. Inilah yang kita perlu pertahankan’, katanya ketika berucap di Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 2017 Peringkat Negeri Terengganu yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pagi tadi.






Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, EXCO Kerajaan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Angung Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, EXCO-EXCO Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan dan orang ramai.

Tambahnya, semua rakyat perlu mempertahankan kemerdekaan Negara ini daripada ancaman pihak yang tidak bertanggung jawab dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi negeri dan Negara dalam bersama-sama membangun dan memajukan Malaysia.

‘60 tahun bukanlah satu usia atau tempoh yang panjang. Tetapi dalam jangkamasa yang begitu singkat kita menjadi sebuah Negara yang merdeka, kita sudah capai satu tahap yang amat membanggakan. Malah menjadi contoh teladan di kalangan Negara –Negara Islam di seluruh dunia’.

‘Ada orang menjanjikan bulan dan bintang, langit dan bumi. Tetapi mereka hanya boleh berjanji kerana mereka hanya perlu membuat janji. Kita yang mendengar segala janji mereka janganlah terpedaya. Kerana mereka tidak akan tunaikan janji. Kerana tanggungjawab mereka yang sedia adapun, mereka tidak laksanakan. Inikan pula berjanji perkara yang bukan menjadi tanggungjawab mereka lagi’ katanya lagi.

Wednesday, August 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OGOS 2017

"Siapa wanita bertuah menjadi calon?" yang disiarkan dalam blog ini bertarikh 5 Ogos 2017 mendapat rating tertinggi bagi bulan Ogos 2017 dengan 376 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Ogos adalah seperti berikut:-

1. Siapa wanita yang bertuah menjadi calon? (5/8/2017)
2. Kedai coklat diserang pada hari pelancaran Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir (1/8/2017)
3.Razif seru terima sesiapa sahaja jadi calon (18/8/2017)
4. Kesatuan rakyat bantu pertahanan negara (17/8/2017)
5.Najib serang Langkawi dengan umum projek rumah RM247 juta (19/8/2017)
6. Terengganu buka hab pelancongan di Huaxi (27/8/2017)
7.YPU anjur konvesyen usahawan Melayu pada 13 Ogos (3/8/2017)
8.Gelombang Biru berjaya kerana ia ada roh (21/8/2017)
9. Epic adakan dua majlis serentak (21/8/2017)
10. MB lancar skim RTB tapak rumah (2/8/2017)

JANGAN MUDAH KITA LEPASKAN KEMERDEKAAN YANG DIKECAPI HARI INI

KUALA BERANG, 30 Ogos (Bernama) -- "Kemerdekaan yang dikecapi hari ini ini tidak ternilai harganya, jangan mudah kita lepaskan, kerana sekali kita lepaskan, dengan air mata darah sekali pun, tidak mungkin kita akan mendapatnya semula," demikian pesan bekas guru dan anggota veteran UMNO.

Abdul Razak Yakob, 80, yang tinggal di Kampung Rahmat, Kuala Berang, dekat sini berkata, oleh itu, generasi hari ini perlu terus menghargai perjuangan orang-orang terdahulu yang merintis jalan ke arah kemerdekaan kerana ia bukan diraih dalam masa sehari dan perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan juga tidak mudah.

Katanya zaman mudanya banyak dihabiskan berjuang bersama UMNO dan ketika itu bagi beliau, imbuhan tidak penting kerana yang menjadi keutamaan menuntut kemerdekaan daripada pihak British.

"Tanpa sebuah kemerdekaan, negara ini tidak akan maju dan membangun kerana kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sumber bumi yang kita ada dan pendidikan untuk anak-anak Melayu juga tidak diutamakan.

"Anak-anak Melayu ketika itu juga tidak digalakkan belajar tinggi-tinggi, habis tinggi pun boleh jadi polis dan guru. Ia terjadi kerana ibu bapa ketika itu sering dimomok-momokkan oleh penjajah bahawa untuk dapat pekerjaan yang bagus-bagus sangat susah," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Melihat kepincangan itu, beliau yang ketika itu masih remaja mengambil keputusan untuk bergiat cergas dalam UMNO kerana maklum ia satu-satunya platform untuk anak-anak Melayu menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

"Saya masih ingat, ketika itu kita nak buat pilihan raya umum yang pertama, kalau tidak silap pada tahun 1955. Saya ketika itu masih berumur belasan tahun pergi berkempen dan berjumpa pengundi di kampung-kampung di pedalaman Hulu Terengganu dengan menaiki perahu.

Meskipun terpaksa menyabung nyawa, ketika itu saya, pegawai daerah dan pegawai pilihan raya, kami bertiga dengan cekal hati masuk ke kampung-kampung berkenaan, berminggu-minggu lamanya, pergi dari satu rumah ke satu rumah untuk berkempen dan menyedarkan orang ramai agar turun mengundi.

"Sebab kalau tidak mengundi macam mana kita nak tuntut kemerdekaan daripada orang putih" katanya.

Katanya, meskipun tidak diberi ganjaran yang mewah untuk kerja-kerja parti yang dilakukan tetapi apa yang paling bermakna adalah nikmat kemerdekaan yang dikecapi setahun kemudiannya daripada pihak British.

"Saya diberi kepercayaan mengetuai acara menurunkan bendera Union Jack di Padang Astaka, Kuala Berang sebaik sahaja Tengku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) mengumumkan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957.

"Dengan rasa bangga dapat memegang dan menggantikannya dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini Jalur Gemilang). Menitik air mata ketika itu kerana perjuangan bersama UMNO membuahkan hasil," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, August 29, 2017

MIC TAK AKAN LEPASKAN CAMERON HIGHLANDS KEPADA MYPPP

TEMERLOH, 28 Ogos (Bernama) -- MIC bertegas dengan pendirian mereka supaya kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.


Beliau berkata Cameron Highlands telah menjadi kerusi tradisi kepada MIC sejak dahulu, dan parti itu bercadang meneruskan tradisi itu, selain turut berhasrat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai di Bentong.

Kerusi Parlimen itu kini dipegang bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.

"Kita telah memberitahu kepimpinan Barisan Nasional (BN) bahawa ia (Cameron Highlands) kena dikekalkan sebagai kerusi MIC walaupun ada parti lain yang menunjukkan minat untuk bertanding di situ.

"Jentera pilihan raya MIC juga sudah bergerak di Cameron Highlands dan Sabai dan akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN.

"Saya sudah jelaskan mengenai hal ini kepada kerajaan Pusat dan juga di peringkat negeri Pahang dan saya ingat mereka semua sudah terima (keputusan ini)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Ke-71 MIC Pahang di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Dr Subramaniam bagaimanapun mengakui parti itu masih belum memilih calon yang sesuai untuk bertanding di Cameron Highlands.

Mengulas mengenai persiapan MIC menjelang PRU14, Dr Subramaniam berkata MIC sudah mengenal pasti dan sedang melakukan saringan calon-calon yang sesuai untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN, sebelum nama mereka boleh diumumkan.

"50 hingga 60 peratus calon yang sedang dikenalpasti adalah muka baharu," katanya.

Selain itu, Dr Subramaniam juga berharap kerajaan negeri Pahang akan membantu kaum India dalam pembangunan sektor pertanian termasuk aspek pemberian tanah dan bantuan barangan supaya dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Dalam Pelan Tindakan (Blueprint) Masyarakat India Malaysia, Pahang dicadang untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian.

"Saya harap dapat bantuan khususnya dalam bidang penternakan lembu tenusu kerana kaum India secara tradisi memang berpengalaman dan boleh menyumbang dalam industri ini," katanya.

Ulasan saya, MIC belum kenal pasti calon yang sesuai bertanding di Cameron Highlands sedangkan Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas yang berasala dari situ sudah lama masuk kampung keluar kampung.

Andai kata MIC yang terpilih mewakili BN bagaimana BN mahu menang kerana pengundi Cameron Highlands tidak kenal calon MIC. Sepatutnya dalam soal ini BN kena letak calon yang dikehendaki rakyat seperti M. Kayveas yang sudah lama bergerak.

Wajarlah MIC pilih kawasan lain dan beri laluan kepada MyPPP untuk pertahankan kerusi Cameron Highlands.

Monday, August 28, 2017

AKADEMI TDM SASAR JADI AKADEMI PERTANIAN PERTAMA DI PANTAI TIMUR




SETIU, 28 Ogos (Bernama) -- Akademi TDM, yang dimiliki oleh TDM Berhad iaitu syarikat milik kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadi akademi pertanian pertama di pantai timur dalam tempoh 10 tahun lagi.


Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda berkata ia satu transformasi yang dilakukan bagi menjadikan TDM antara syarikat perladangan terbaik di negara ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya kini mengadakan kerjasama dengan lima buah institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian untuk berkongsi kemahiran, ilmu dan kepakaran kepada pelatih akademi berkenaan.

"Lima institusi itu ialah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Pengurusan Perladangan Antarabangsa (IIPM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

"Dengan kerjasama itu juga kita berharap sasaran untuk melahirkan golongan korporat dan teknokrat serta pemimpin masa hadapan negara khususnya dalam bidang pertanian akan tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian akademi itu dan Pusat Timbang Komuniti oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di akademi berkenaan, di sini, hari ini.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara akademi dan lima institusi pengajian itu juga ditandatangani pada majlis itu dan disaksikan oleh Ahmad Razif.

Mohamat berkata, akademi itu dinaik taraf daripada pusat latihan TDM sebelum ini dan menyediakan kursus teknikal, pengurusan dan penjagaan kesihatan kepada para pelatih.

"Seramai 400 daripada 3,100 pekerja TDM telah mendapat manfaat daripada kursus yang kita jalankan sejak pengambilan pertama Februari lepas.

"Penubuhan akademi ini juga adalah satu usaha bagi TDM untuk mencapai permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion menjelang tahun 2020, dengan pengagihan dividen tahunan RM100 juta dan keuntungan sebelum cukai RM200 juta menjelang 2022," katanya.

-- BERNAMA






Sunday, August 27, 2017

TERENGGANU BUKA HAB PELANCONGAN DI BANDAR HUAXI

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos (Bernama) -- Terengganu akan menjadi negeri pertama di negara ini yang akan membuka hab pelancongan di bandar Huaxi, iaitu perkampungan terkaya di wilayah Jiangsu, China dalam usaha menarik lebih ramai pelancong China ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan wilayah itu telah meluluskan tanah seluas 0.4 hektar untuk dibina sebuah pavilion di bandar itu yang berkonsepkan rumah tradisional Terengganu dengan kos RM3 juta.

Katanya, satu memorandum persefahaman (MOU) telah ditandatangani dengan kerajaan wilayah itu dan pembinaan pavilion itu akan bermula bila-bila masa dari sekarang.

"Terengganu negeri pertama yang membina pavilion berkenaan di mana lokasinya terletak dalam kawasan yang menempatkan mercu tanda pelancongan terkenal seluruh dunia seperti London Bridge.

"Selain akan menjadi menjadi hab pelancongan Terengganu di negara China, pavilion itu juga akan menjadi menjadi pusat untuk kita memasarkan pelbagai produk milik perusahaan rakyat Terengganu dan pameran mengenai tarikan pelancongan di negeri turut akan diadakan di situ dari semasa ke semasa," katanya.

Saturday, August 26, 2017

GELOMBANG BIRU BERJAYA KERANA IA ADA ROH

Membaca buku Ayob Mamat GELOMBANG BIRU (GB) dapat kita hayati sejarah kebangkitan ahli Umno Terengganu untuk merampas kembali negeri itu dari tangan PAS pada PRU 2004.

Buku setebal 429 muka surat itu telah dicetak sebanyak dua kali pada Jun 2017 dan Ogos 2017 membuktikan bahawa rakyat terengganu mahu membaca sejarah penubuhan GB oleh Datuk Seri Idris Jusoh.

Walaupun ketika itu Umno Terengganu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi Idrislah selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri  yang mencetuskan idea GB sebagai satu platform untuk merampas negeri Terengganu dari tangan PAS.

Buku yang mempunyai 20 bab ini bermula dengan kekalahan BN pada PRU 1999. Ayob banyak kali mengatakan bahawa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah punca kekalahan BN di Terengganu kerana menurutnya apabila ramai pengundi luar balik mengundi mereka yang simpati dengan Anwar mempengaruhi keluarga mereka di kampung untuk mengundi PAS.

Maka PAS berjaya membentuk kerajaan baharu walaupun ramai berpendapat bahawa pengundi muak dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang masih bertanding lagi dalam PRU1999 walaupun sudah 25 tahun menjadi MB Terengganu.

Ini bermakna PAS menang bukan kerana PAS kuat tetapi kerana orang Umno mengundi PAS akibat marah kepada Wan Mokhtar yang terlalu lama memerintah Terengganu. Apabila Pak Lah menamakan Idris sebagai bakal MB baharu pada PRU 2004 maka orang Umno kembali mengundi BN.

Ayob terlibat secara langsung di zaman kalah ini di bawah biro penerangan Umno negeri yang diketuai oleh Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri. Mereka selalu berhujah dan berbincang dengan idris untuk mengorek kelemahan kerajaan PAS. Kesepakatan idea ini akhirnya melahirkan GB.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan GB pada 17 Ogos 2002 sempena Konvensyen BN Terengganu. Sejak itu GB dilancarkan di setiap daerah dan paling meriah di Kemaman pada 16 Mei 2003 dilancarkan oleh Pak Lah selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dengan perarakan lima ekor gajah sebagai lambang untuk merampas 4 kerusi DUN dan 1 kerusi parlimen yang kalah.

Pada 21 Mac 2004 BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS. Idris yang mengangkat sumpah sebagai MB baharu tidak melantik "pembangkang" yang aktif dalam sidang DUN 1999-2004 iaitu Datuk Abu Bakar Ali sebagai Exco. Hanya Datuk Rosol Wahid yang menang pada 1999 dilantik sebagai Exco.

Idris memang seorang yang bijaksana memerintah negeri dengan slogan "Tiada Halangan Hanya Peluang" yang menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk melakukan pembaharuan. Pelbagai projek mega dilaksanakan oleh idris seperti Taman Tamaddun islam, Lebuhraya Pantai Timur, Stadium baharu dan pembesaran lapangan terbang Sultan Mahmud.

Malah Terengganu terkenal ke seluruh dunia di zaman idris menjadi MB apabila acara sukan tahunan Monsoon Cup diadakan.

Buku ini juga mengisahkan bagaimana Ayob mengenali MB sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika terlibat dalam jawatankuasa merangka soalan kepada 4 ADUN BN di zaman kalah. Ayob dapati Razif seorang yang banyak idea dan Ayob berkata suatu hari nanti Razif akan jadi seorang pemimpin besar.

Seronok membaca buku ini kerana Ayob terlibat sendiri di zaman GB. Seperti kata Ayob Gelombang Merah di Kelantan gagal kerana ia tiada roh sebaliknya GB ada roh kerana ahli Umno perit ditekan oleh kerajaan PAS sehingga mereka tergamak menghalau budak tadika dari balai raya.

Kezaliman kerajaan PAS selama sepenggal menyebabkan ahli Umno yang mengundi PAS pada PRU 1999 kembali mengundi BN pada PRU 2004. Seperti kata Ayob Gelombang Biru kedua wajar dilancarkan semula untuk merampas 15 kerusi BN yang kalah pada PRU 2013 kerana GB terbukti sudah berjaya menyatukan semua pemimpin duduk semeja.

Buku ini wajar dibaca oleh semua ahli Umno terutamanya di negeri BN kalah seperti Kelantan dan Selangor. Syabas Ayob.

KERAJAAN SENTIASA CAKNA GOLONGAN PESARA




OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN



Nampaknya kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Hari Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017, bahawa golongan bersara tidak seharusnya “menggigit tangan kepada yang memberi makan” telah menarik perhatian ramai.

Bahkan kenyataan ini telah dijadikan isu oleh beberapa individu tertentu yang ingin mengambil kesempatan ,kononnya apa yang ditegaskan oleh Zahid Hamidi itu sebagai sesuatu yang tidak patut dinyatakan. Ada yang menganggap golongan pesara tidak ada hutang dengan kerajaan dan tidak perlu untuk terus setia bersama dengan kerajaan.

Namun adakah mereka ini faham akan apa yang cuba dinyatakan oleh Zahid Hamidi atau sekadar memberikan satu intepretasi kepada satu perumpamaan .

Dalam hal ini, Zahid mengaku bahawa pasti ada sesuatu isu atau perkara yang tidak dipersetujui oleh golongan pesara ini , Namun ,tidaklah perlu untuk golongan ini “menggigit tangan” bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Apa yang sebenarnya dimaksudkan ialah gunakanlah saluran yang betul dan berikanlah kritik atau tegurlah dengan cara yang berhemah dan bukannya mengikut nafsu dan perasaan untuk terus “menggigit tangan”. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan.

Memandangkan jasa yang telah diberikan, pastinya golongan pesara kerajaan akan sentiasa dihormati oleh generasi hari . Itu sebabnya apa yang dilakukan oleh mereka boleh dicontohi oleh generasi hari ini dan adalah penting bagi golongan pesara mengamalkan adab dan tatasusila yang betul dalam melontarkan perbezaan pendapat masing-masing walaupun golongan ini tidak lagi berada dalam organisasi kerajaan.

Dalam ucapannya, Zahid Hamidi juga telah menyentuh dan menegaskan bahawa golongan pesara kerajaan masih merupakan aset terpenting kepada kerajaan dan negara serta tidak pernah dianggap sebagai satu liabiliti. Itu sebabnya kerajaan sentiasa mengambil berat dan prihatin tentang kebajikan golongan pesara ini.

Adalah difahamkan bahawa Jumlah pesara kerajaan dijangka meningkat daripada 775,000 orang pada tahun 2016 kepada 1.5 juta pada tahun 2050 seiring dengan peningkatan jangka hayat penduduk iaitu daripada 75 tahun kepada 85 tahun ,dalam tempoh tersebut. Arah aliran itu turut dijangka akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk pesara daripada RM20.35 bilion pada tahun 2016 kepada RM100 bilion pada tahun 2050.

Ini merupakan satu komitmen dari pihak kerajaan yang tidak boleh dinafikan lagi dan membuktikan bahawa sistem pencen di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia . Itulah sebabnya janganlah terkejut jika masih ramai yang ingin menjadi penjawat awam.

Pengalaman yang diperolehi oleh golongan pesara semasa berkhidmat merupakan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.Bahkan golongan ini masih digalakkan untuk terus menyalurkan idea dan pandangan terhadap sesuatu perkara khasnya yang berhubung dengan pembangunan negara kita.

Mungkin ada di antara kita yang lupa, tetapi pada tahun 2015 , telah berlakunya satu pertemuan lapan pemimpin Yayasan Pesara Kerajaan dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan hala tuju pesara kerajaan selain melihat kepada peranan mereka untuk membantu kerajaan menghadapi cabaran masa depan.

Usaha ini membuktikan bahawa pihak kerajaan sentiasa menghargai dan masih mengharapkan golongan pesara terus memberikan sumbangan kepada pembangunan negara, khansya ketika negara kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran bagi menjayakan Transformasi Nasional 2050.

Sebagaimana yang dinyatakan, kerajaan sejak dari dahulu lagi telah mengambil berat akan kebajikan para pesara kerajaan.Antara usaha yang telah dilakukan ialah menubuhkan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia, iaitu sebuah yayasan yang memperjuangkan kebajikan dan kepentingan para pesara kerajaan.



Yayasan ini merupakan sebuah pertubuhan yang menjadi perantara antara pesara dan kerajaan bagi membincangkan tentang kesejahteraan para pesara. Dan saya yakin ini bukanlah usaha terakhir oleh pihak kerajaan hari ini untuk terus memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada golongan pesara ini.

Friday, August 25, 2017

PEMIMPIN UMNO PERLU ADA MENTALITI MAHU MENANG

KUALA NERUS, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin-pemimpin UMNO memiliki mentaliti mahu menang yang perlu dijadikan pasak untuk terus bekerja keras dalam usaha mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata kerja keras itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukan sekadar retorik kerana kejayaan cemerlang hanya dicapai menerusi semangat mahu menang yang tinggi.



"Kita perlu ada mentaliti mahu menang dan pasakkan kemenangan (dalam diri masing-masing) di bahagian, cawangan, dan akar umbi. Kita kena berusaha terlebih dahulu, barulah bertawakal dan berdoa kepada Allah (untuk menang)... ini bukan retorik tetapi kena usaha berterusan.

"Kita lihat (semangat untuk menang) ini cuba dinafikan oleh faktor luaran dan kerap kita rasa mahu kecundang ekoran pelbagai isu selain pihak luar cuba meranapkan usaha kita menang pada pilihan raya umum akan datang.

"Dengan kerja keras ini, barulah kita dapat memastikan BN dan UMNO terus memerintah negara dan Terengganu,? katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh merangkap Anggota Parlimen Besut, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari serta 7,000 anggota perwakilan Bahagian Kuala Nerus.

Ahmad Zahid juga menarik perhatian bahawa kehebatan UMNO berpunca daripada kejayaan yang dicapai dari semasa ke semasa dan bukannya pencapaian sekelip mata.

"UMNO adalah parti yang mempunyai daya tahan yang terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa ibaratnya seperti pelari maraton meskipun ia bermula dengan keadaan yang sukar atau perlahan tetapi tetap sampai ke garisan penamatnya.

"...berbanding dengan parti serpihan yang dilihat seperti pelari pecut, hanya menang satu peringkat tetapi di peringkat lain, mereka kalah,?" katanya.

Bagi mencapai matlamat UMNO menjadi juara di garisan penamat, beliau berkata setiap anggota parti juga perlu memenangi hati dan minda rakyat.

"Untuk kekal sebagai pemimpin di atas, kita kena ambil tahu kebajikan pihak di bawah. Kalau mahu UMNO kekal perkasa, jangan amalkan sikap pilih bulu, pilih kawasan atau bahagian, kena sama-sama bantu semua sekali pihak di bawah.

Jadi calon yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang pun ditentukan akar umbi dan bukannya calon ditentukan atau melalui lobi kepada pucuk pimpinan parti," katanya.

Ahmad Zahid turut meminta para pemimpin UMNO supaya mendekatkan diri dengan golongan veteran kerana mereka mempunyai banyak pengalaman berikutan melalui pelbagai perjuangan bersama parti sejak sekian lama.

Pada majlis itu, beliau juga menerima sumbangan dari Tulangis  Maju sebanyak RM1 juta untuk membina bangunan baru UMNO Bahagian Kuala Nerus.



-- BERNAMA

Thursday, August 24, 2017

MEMPERTAHANKAN PUTRAJAYA ADALAH SATU JIHAD

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO perlu menganggap usaha mempertahan Putrajaya sebagai satu jihad ke arah mengekalkan sebuah kerajaan persekutuan yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.


Beliau berkata sebagai barisan hadapan keutuhan sebuah kerajaan, UMNO Putrajaya perlu berjihad dalam segala aspek untuk memastikan kerusi Parlimen itu kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Di sini, UMNO diletakkan harapan yang tinggi sebagai barisan hadapan yang berperanan mempertahan Putrajaya, satu simbolik kepada pengekalan kerajaan yang sedia ada hari ini.

Sebagai barisan depan, pengorbanan besar anda amat dituntut dan atas sebab itu, perjuangan mengekalkan Putrajaya adalah satu jihad yang sangat diperlukan parti," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perjuangan mempertahankan Putrajaya sepatutnya bukan sesuatu yang sukar jika sebahagian daripada pengundi di Parlimen itu yang juga penjawat awam menghargai kerajaan yang memerintah.

"Kita kena ingat, kerajaan tidak pernah menyoal parti yang disokong semasa diambil bekerja dan atas sebab itu kita juga harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan dalam ucapannya mahu anggota parti itu tidak terjebak dengan budaya "copy and paste" propaganda yang disebarkan pihak lawan, seolah-olah menjadi suara penyambung kepada pihak terbabit.

"Ini kita perlu elak sama sekali, jangan tunjuk kita seolah-olah pembangkang sebaliknya perlu fahami isu itu dan turun ke bawah menjelaskan kekeliruan yang cuba ditimbulkan," katanya. -- BERNAMA

Wednesday, August 23, 2017

TERENGGANU KURANGKAN PERGANTUNGAN KEPADA HASIL MINYAK


KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Terengganu kini semakin kurang bergantung kepada peruntukan petroleum dan royalti daripada kerajaan Persekutuan bagi membiayai belanjawan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata ada kemungkinan hasil negeri pada masa akan datang merangkumi 40 peratus hasil petroleum dan 60 peratus pendapatan bukan petroleum. (Nisbah 40:60).

Terengganu yang menemukan petroleum di luar pantai pada 1973, menerima royalti bernilai RM1.1 bilion tahun lepas, penurunan daripada purata RM2 bilion yang diterima sebelum kejatuhan harga minyak.

"Ketika harga minyak mentah global turun, kami mengurangkan nisbah kebergantungan kami daripada 85:15 kepada 68:32," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Dasar Induk (HOA) antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd ( Terengganu Inc) dan lima agensi kerajaan lain di sini hari ini.

Terengganu Inc, yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, menandatangani HOA dengan Lembaga Dana Amanah Warisan Terengganu, Menteri Besar Diperbadankan, Perbadanan Kemajuan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata HOA itu merupakan sebahagian daripada langkah penjajaran semula negeri yang bermatlamat untuk memastikan setiap agensi lebih fokus dalam operasi, prestasi dan potensi hasil, serta usaha menjimatkan kos.

Beliau memetik contoh Terengganu Inc telah menyelaraskan operasi beberapa hotel di negeri itu di bawah sebuah entiti baharu yang dinamakan TI Hotel and Resort Management Sdn Bhd.

Sementara itu, dalam pembinaan dan pembangunan infrastruktur, operasi Kumpulan Syarikat GPQ akan dipindahkan ke Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu,

-- BERNAMA



Tuesday, August 22, 2017

SATU LAGI SUCCESS STORY ANAK TERENGGANU

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kampung Baru Kemasik, Terengganu dinobatkan sebagai johan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan bagi kategori Kampung Tradisional, membawa pulang wang tunai RM100,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM600,000.

Kampung Pengkalan Tereh, Johor muncul johan bagi kategori Kampung Orang Asli manakala Rumah Bengau, Ng Sut, Kapit di Sarawak menjadi johan Rumah Panjang, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan projek bernilai RM100,000.

Anugerah tersebut disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Konvensyen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)/Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Konvensyen anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu turut dihadiri menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, timbalan menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi serta lebih 10,000 ahli JKKK/JKKKP seluruh negara.

Anugerah Desa Perdana merupakan kemuncak iltizam kerajaan untuk menghargai dan mengiktiraf kepimpinan kampung yang telah berusaha bersungguh-sungguh mentadbir kampung secara muafakat dan cemerlang.

Monday, August 21, 2017

EPIC ADAKAN DUA MAJLIS SERENTAK













CHUKAI, 21 Ogos (Bernama) -- EPIC Berhad sebuah anak syarikat milik kerajaan Terengganu mencatat sejarah kerana mengadakan dua majlis serentak semalam di sebuah hotel terkemuka di sini.

Pada mulanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melancarkan Syarikat Eastern Pacific GD Solar Sdn Bhd, iaitu salah satu anak syarikat baharu EPIC, yang membangunkan projek Loji Janakuasa Tenaga yang dianggap oleh beliau sebagai satu lagi "success story" negeri Terengganu.

Ahmad Razif percaya industri Tenaga Baharu ini akan sentiasa terus disokong dan terus berkembang serta berdaya saing. Industri tenaga baharu masih kurang diterokai sepenuhnya di Malaysia dan peluang untuk kita bersama-sama membangunkan industri ini terbuka luas, seiring Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu.

Loji janakuasa tenaga solar berkapasiti 18.5 megawatt (mW) di Teluk Kalong di sini yang sedang dibangunkan dengan kos RM80 juta dijangka beroperasi Mac 2018.


Ahmad Razif  berkata, projek yang digerakkan oleh anak syarikat kerajaan negeri menjadi perintis dan pemacu industri solar di pantai timur.

Katanya, pembangunan sistem solar berskala utiliti di atas kawasan seluas 28.32 hektar dalan tiga fasa itu mampu menjana keuntungan dianggarkan sebanyak RM262 juta dalam tempoh 15 tahun hasil jualan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelak.

Katanya, ketika ini Syarikat Eastern Pasific GD Solar Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) Bhd. sudah menjalankan kerja membabitkan penghantaran panel.

"Pembangunan sistem solar berskala utiliti ini akan memberi banyak manfaat kepada kita yang secara tidak langsung mengurangkan kos pengendalian sistem penjanaan yang kompleks.

"Projek ini dijangka akan mengeluarkan tenaga tahunan kira-kira 33 juta kilowatt (kW) dan memberikan pulangan keuntungan melalui beberapa fasa," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan projek pembangunan loji itu di Awana Resort World Kijal di sini semalam.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan perjanjian, EPIC Bhd. akan membekalkan tenaga solar kepada TNB selama 21 tahun.

Selepas pelancaran projek solar tersebut,  EPIC Mushtari Engineering Sdn Bhd (EME), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Stork Technical Services Holding B.V untuk melaksanakan perkongsian teknologi dan kepakaran bersama rakan niaga antarabangsa.

Pengerusi EME, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata MoU itu akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dalam menjana keuntungan secara efisyen untuk menghadapi persaingan industri dan ekonomi pada masa depan.

"Kerjasama ini juga akan membantu mempertingkatkan syarikat kepada lebih aktif, agresif dan produktif dalam mencipta peluang dalam bidang pemulihan dan pembaikan loji.

"EME dan Strok Technical Services telah mencapai beberapa kata sepakat untuk melaksanakan rangkaian kerjasama ini. Ia adalah usaha untuk menembusi peluang pasaran lebih tinggi khususnya yang menepati keperluan Petronas," katanya ketika berucap di majlis penandatanganan MoU itu di sini semalam.

EME diwakili Pengarah Urusan Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor manakala Stork Technical Services diwakili Pengarah Operasi Wilayah, Deon Otto dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.....

Sunday, August 20, 2017

ISU YANG DIBANGKITKAN PEMBANGKANG TAK AKAN LEMAHKAN BN


GUA MUSANG, 19 Ogos (Bernama) -- Pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang berhubung pentadbiran negara pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak akan melemahkan Barisan Nasional (BN), kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata ini kerana rakyat tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu berkenaan yang
disifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

"Saya rasa tidak ada suatu (isu) yang boleh menggugat sokongan rakyat terhadap BN...lagi pun rakyat bijak menilainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, Sabtu.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang mengakui rakyat merasai kesan daripada kenaikan harga barang namun, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menurutnya BN mempunyai kekuatan tersendiri sejak dahulu lagi dan tidak pernah tergugat walaupun berdepan dengan pelbagai isu setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh mengingatkan jentera BN supaya terus bekerja keras dan mengatur strategi berkesan supaya rakyat memberikan sokongan penuh kepada gabungan parti itu.

"Kerajaan Persekutuan pimpinan BN sudah banyak membantu rakyat termasuk penduduk di luar bandar walaupun mereka berdepan dengan tekanan ekonomi. Kita yakin rakyat akan membalas jasa dengan terus memberikan sokongan kepada BN," katanya.

-- BERNAMA



Saturday, August 19, 2017

NAJIB SERANG LANGKAWI DENGAN UMUM PROJEK RUMAH RM247 JUTA




LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerang Langkawi yang kononnya akan ditandingi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada PRU akan datang dengan melancarkan projek Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 1,000 unit kediaman iaitu di Kuah dan Ulu Melaka, di Langkawi semalam.

Projek dengan nilai RM247 juta itu kini diperingkat pelaksanaan dengan kontraktor sudah dilantik untuk memulakan kerja dan dijangka siap pada 2019.

Najib berkata, projek perumahan itu adalah bukti betapa kerajaan prihatin dan mendengar denyut nadi masyarakat yang memerlukan kediaman di kawasan terbabit.

“Sebenarnya dua projek PPR di Langkawi tiada dalam bajet kerajaan.

“Namun oleh kerana rayuan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan disokong ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid serta ADUN Kuah, Nor Sidi Nanyan, saya luluskan dua projek ini, selepas berbincang dengan Tan Sri Noh Omar (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Projek PPR Ulu Melaka meliputi dua blok manakala di Kuah, tiga blok dan masing-masing setinggi 11 tingkat,” katanya ketika berucap Majlis Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pelancaran Perumahan PPR dan Jet Nelayan Chenang di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) semalam.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.


Sebelah pagi beliau melancarkan  Digital Langkawi 2017, yang bertujuan memangkinkan pembangunan ekonomi digital Kedah.

Pelbagai inisiatif akan dibangunkan di bawah program ini, antaranya aplikasi pelancongan Mycribbooking, aplikasi pemantauan keselamatan dan Cashless School, satu sistem pembayaran tanpa wang di sekolah.

Langkawi akan mengambil kesempatan dengan ekonomi perkongsian dan digital kini. Melalui peruntukan RM200 juta yang diterima, pencapaian di bawah pembangunan ini termasuk penaiktarafan dua kabel dasar laut, pembinaan 10 menara telekomunikasi baharu dan perhubungan 47 menara telekomunikasi melalui kabel gentian fiber sepanjang 152 kilometer (km) di seluruh Langkawi.

Najib menegaskan beliau mengambil berat masa depan Langkawi dan komited untuk terus melaksanakan pembangunan di pulau lagenda itu selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memerintah.

Beliau berkata, Langkawi akan dibangunkan sebagai Pulau bertaraf dunia yang maju serta boleh dibanggakan bukan saja penduduk Langkawi malah seluruh negara.

“Hari ini juga saya melancarkan Projek Jeti Nelayan Chenang bernilai RM9.16 juta yang saya luluskan sebelum ini dan bakal memberi manfaat kepada 400 nelayan.

“Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) sudah melawat jeti ini.

“Purata pendapatan nelayan antara RM2,000 hingga RM3,000 dan kita tambah lagi RM300 untuk membantu mereka,” katanya

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, status pulau bebas cukai dinikmati Langkawi ketika ini akan terus kekal selagi BN memerintah dan meminta rakyat di pulau itu terus yakin dengan kerajaan yang ada.

“Pelbagai pembangunan akan kita bawa termasuk projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bernilai RM89 juta.

“Malah, saya bakal lancarkan penerbangan terus AirAsia dari Langkawi ke Shenzhen, China yang akan meningkatkan kehadiran pelancong asing.

“Saya juga menyarankan semua teksi di pulau ini beralih kepada perkhidmatan teksi Uber dan Grabcar dengan subsidi RM5,000 bagi setiap pembelian kereta,” katanya.

Pada majlis sama Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM5juta untuk menaik taraf jalan




kampung di seluruh Langkawi.





Friday, August 18, 2017

RAZIF SERU TERIMA SESIAPA SAHAJA SEBAGAI CALON

KUALA NERUS, 18 Ogos (Bernama) -- Umno Terengganu telah mengemukakan senarai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada pucuk pimpinan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata calon yang dipilih adalah daripada kalangan mereka yang berwibawa, dekat di hati rakyat dan boleh memberi kemenangan kepada parti.

"Badan Perhubungan UMNO negeri telah menyenarai pendek dan merujuk calon-calon yang terpilih daripada bahagian masing-masing sebelum nama mereka diberikan kepada pucuk pimpinan parti.

"Peratusan muka baharu atau sama ada berapa calon daripada kalangan wanita (yang akan disenaraikan sebagai calon) hanya akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Basir Ismail, Ketua Pemuda
Umno Bahagian Kuala Nerus Khairuddin Abd Majid dan kira-kira 500 anggota perwakilan daripada bahagian itu.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapan perasmiannya meminta semua pihak menerima dan menyokong sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan bagi memastikan UMNO terus menerajui negeri ini.

"Kita tidak mahu sejarah PRU pada 1999 berulang kembali dan jika kita tewas pada kali ini, kemungkinan untuk menawan kembali negeri ini daripada pihak lawan adalah sukar.

"Tetapi saya percaya dengan semangat waja jentera parti dan sokongan padu kita dapat mencipta cerita kejayaan dengan menjadikan negeri ini kekal milik UMNO dan Barisan Nasional," katanya.

Thursday, August 17, 2017

KESATUAN RAKYAT BANTU PERTAHAN NEGARA

KEMAMAN, 17 Ogos (Bernama) -- Kemerdekaan negara bukan sahaja perlu dipertahankan menerusi kekuatan angkatan tentera tetapi kesatuan rakyat turut membantu dalam mempertahankan negara daripada pelbagai ancaman.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor berkata selain harus meletakkan kepercayaan penuh kepada angkatan tentera dalam memerangi musuh namun rakyat di negara ini juga perlu menjiwai semangat kemerdekaan dalam diri masing-masing.

"Di pihak tentera kita telah membuktikan kesetiaan dalam mempertahankan negara daripada pelbagai anasir yang mengancam keselamatan negara (dari segi kekuatan anggota dan aset-aset yang dimiliki).

"Namun kekuatan dan kemerdekaan negara bukan bergantung kepada angkatan tentera semata-mata tetapi keutuhan dan kesatuan rakyat dalam menjiwai semangat kemerdekaan juga penting dalam mencapai matlamat itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Semarak Merdeka Parlimen Kemaman di Padang Astaka di sini hari ini.

Wednesday, August 16, 2017

3.7 JUTA GOLONGAN MUDA DISERU DAFTAR PENGUNDI SEGERA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata seluruh rakyat terutama golongan muda yang layak mengundi hendaklah mendaftar sebagai pemilih bagi menentukan pemerintahan kerajaan pada masa depan.

Salleh berkata adalah menjadi tanggungjawab rakyat kepada negara untuk memilih kerajaan yang akan memerintah negara bagi lima tahun ke hadapan.

"Kedua, mengundi adalah hak kita sebagai warganegara. Ketiga, tanpa rakyat yang sedar politik,
negara menjadi tidak kompetitif akibat partisipasi politik rakyat yang pasif.

"Keempat, tidak mendaftar sebagai pengundi akan merencatkan sistem demokrasi negara," katanya menerusi catatan pada laman blog beliau, sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sehingga 31 Mac lepas, masih terdapat 3.7 juta rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi daripada 18 juta rakyat yang layak mengundi.

"Anak muda tidak boleh bersikap apati begini. Ini kerana masa depan negara memerlukan anak muda yang celik peta politik. Oleh itu, anak muda perlu mendaftar sebagai pengundi,? katanya.

Justeru, Salleh berkata sebagai warganegara, rakyat perlu mendaftar sebagai pengundi kerana itu hak Perlembagaan sebagai warganegara.

-- BERNAMA

Tuesday, August 15, 2017

KTS BEROPERASI MULAI JANUARI 2018

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos (Bernama) -- Pusat perubatan Kuala Terengganu Specialist (KTS) baharu dijangka memulakan operasinya Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri Roslee Daud berkata hingga kini KTS masih menunggu kelulusan daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

Katanya, permohonan kepada CKAPS untuk membuat pemeriksaan di hospital itu telah dibuat pada 21 Jun lalu dan beliau tidak menafikan bahawa berlaku beberapa permasalahan (mendapan dan kewujudan fungus) yang menyebabkan kelewatan operasi KTS mengikut jadual asal.

"Namun, kita telah buat beberapa penangguhan dan kita kenal pasti serta cuba sedaya upaya supaya perkara yang disebut tadi dapat diatasi segera. Kita doakan KTS ini dapat beroperasi pada 2018," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Syed Azman Syed Nawawi (PAS-Batu Buruk) mengenai tarikh KTS akan mula beroperasi secara rasmi, susulan beberapa masalah yang berlaku di hospital itu.

KTS ialah pusat perubatan milik anak syarikat kerajaan negeri Terengganu iaitu TDM Berhad yang akan memberikan perawatan alternatif kepada orang ramai khususnya yang memerlukan rawatan pakar seperti ortopedik, pediatrik, ENT (telinga, hidung dan tekak) dan pembedahan am.

Mengikut jadual asal, KTS dijangka beroperasi sepenuhnya pada November 2014 namun dilanjutkan sebanyak dua kali iaitu lanjutan pertama pada September 2015 manakala lanjutan kedua pada 15 Mei 2016 dan terbaharu ia dijangka beroperasi pada Januari 2018.

Apabila beroperasi kelak, dijangka 100,000 pesakit dari seluruh Terengganu akan menerima rawatan di KTS setiap tahun.

-- BERNAMA

Monday, August 14, 2017

PEMBANGKANG DENGAN FITNAH BERPISAH TIADA

IPOH,14 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini menyelar kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang menuduh UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya merupakan dalang kekecohan semasa Program Nothing To Hide 2.0 semalam.

Noh berkata kenyataan itu berunsur fitnah semata-mata.


"Pembangkang dan fitnah berpisah tiada, saya ingat Rafizi (Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli) yang suka buat fitnah, tetapi Azmin pun sama. Inilah perangai dan sikap pemimpin pembangkang kerana apa juga perkara (buruk) yang berlaku dalam negara, mesti kita dipersalahkan.

"Yang buat kecoh semalam adalah mereka (pembangkang) tetapi kenapa nak tuduh UMNO dan perdana menteri. Saya ingat cukup-cukuplah hendak menghasut dan menipu rakyat terutama MB Selangor...apa juga kesilapan yang dia buat, dia tak akan boleh terima," katanya.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Negeri Perak Sesi 2017-2019 dan Penganugerahan Penarafan Bintang PBT 2016 Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Azmin kononnya Najib menggunakan gangsterisme semasa majlis Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam semalam yang bertukar kecoh apabila dicemari insiden membaling selipar dan sebagainya daripada beberapa individu yang hadir.

Insiden kira-kira 5.10 petang itu bermula apabila seorang hadirin lelaki bertanya kepada Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.

Bagaimanapun, sebelum soalan tersebut selesai dijawab oleh Dr Mahathir, kelihatan individu tertentu membaling selipar, diikuti kerusi, kasut dan botol air sebelum menyalakan suar dan membalingnya ke arah bekas perdana menteri itu yang berada di tengah pentas dan hampir mengenainya.

-- BERNAMA

Sunday, August 13, 2017

MB TAK PERNAH RESTUI MANA MANA PIHAK KUTIP DERMA

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan kutipan derma yang menggunakan nama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Ahmad Razif, Prof Madya Dr Mohd Rozailan Mamat hari ini, kutipan derma itu didakwa dibuat sempena jamuan makan amal.



"Pihak kami juga ingin menegaskan bahawa Pejabat Menteri Besar tidak pernah memberi sebarang kelulusan atau kebenaran kepada mana-mana individu, persatuan, atau pertubuhan menggunakan nama baik Menteri Besar Terengganu bagi tujuan kutipan derma.

"Kami kesal dengan tindakan penyalahgunaan nama baik Menteri Besar dalam aktiviti memohon sumbangan tersebut dan menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dan diminta berhubung dengan Pejabat Menteri Besar Terengganu jika terdapat sebarang keraguan," demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Saturday, August 12, 2017

JENTERA JALINAN RAKYAT DAN JR PLUS AKAN GUNAKAN 'PAPERLESS"



CHUKAI, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhasrat mahu menggunakan kaedah 'paperless' dalam Jentera Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus serta persidangan melibatkan Pergerakan Wanita UMNO di seluruh negara pada masa akan datang.




Beliau yang teruja melihat pelaksanaan sistem yang dirintis UMNO Bahagian Kemaman itu melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika mengedar buku mesyuarat kepada perwakilan, kagum dengan kesungguhan UMNO Bahagian itu melakukan transformasi.










"Saya ucapkan tahniah, tak sangka teknologi ini akan dirintis oleh UMNO Bahagian Kemaman di kawasan pantai timur. Saya harap teknologi ini juga akan dapat diguna oleh Jentera JR dan JR Plus kerana jika kita tidak guna, mungkin kita akan ketinggalan.




"Saya akan minta kerjasama Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk merintis sistem ini kerana ia sangat maju, canggih dan akan membantu pergerakan jentera dengan lebih strategik lagi agar hasrat kita menang di kesemua DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen Kemaman tercapai," katanya.




Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.




Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalannya Ahmad Shabery, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Shaheda Jusoh.




Sistem 'paperless' atau I-Book itu dibangunkan oleh UMNO Bahagian Kemaman dengan kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan dimulakan pada persidangan tahun lepas.




Melalui sistem itu, perwakilan boleh memperolehnya menerusi e-mel; memuat turun daripada aplikasi WhatsApp, laman web dan Facebook Umno Kemaman serta memuat turun melalui QR code yang diletakkan di belakang tag nama perwakilan atau di lokasi persidangan.




Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita berkata UMNO Bahagian Kemaman telah dapat menjimatkan RM80,000 apabila menggunakan sistem itu.




"Biasanya setiap tahun, kita keluarkan belanja sebanyak RM80,000 untuk kos buat buku persidangan tetapi sekarang kos itu sudah dapat dijimatkan," katanya.




-- BERNAMA




Friday, August 11, 2017

TERENGGANU TUBUH MAJLIS PETROLEUM TERENGGANU



KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) yang menjadi platform bagi kerajaan untuk merencana, menyelaras dan memantau urusan berkaitan industri minyak dan gas di negeri ini.


Majlis tersebut dinaungi oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata, penyelarasan tersebut akan membolehkan pihaknya membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat tempatan terlibat dalam industri minyak dan gas sekali gus memastikan hak anak tempatan dan juga projek-projek dimanfaatkan dengan lebih baik.

“Pengumuman ini juga akan membuka jalan kepada TPC untuk memulakan operasi dan menjalankan kerja-kerja awal dengan segera. Buat masa ini, Pejabat TPC akan ditempatkan di Tingkat 6, Wisma Darul Iman,” katanya pada Majlis Pengumuman TPC di U2, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Beliau berkata, penubuhan TPC berserta terma-terma rujukan umum secara dasarnya diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 17 Mei lepas dan pelancaran secara rasmi dijangka dibuat secepat mungkin.

Ahmad Razif berkata, TPC turut diberi mandat mengkaji kemungkinan dan mengenal pasti potensi manfaat untuk rakyat dan negeri serta melihat isu kelestarian sumber tersebut untuk memaksimumkan hayat sumbangan sektor tersebut secara berterusan kepada pendapatan hasil negeri.

Di samping itu, katanya, peranan TPC turut memastikan penglibatan anak tempatan dalam industri minyak dan gas di Terengganu dalam aspek pembangunan sumber tenaga, pembinaan kepakaran teknikal dan peluang pekerjaan dalam industri terlibat.

Jelasnya, penubuhan TPC juga akan menyelaras dan membantu dari segi penyediaan dan ruang kepada anak-anak Terengganu dari segi biasiswa, kursus jangka pendek dan panjang serta memberikan latihan yang sewajarnya.

Sementara itu katanya, TPC tidak mengikut model atau entiti di mana-mana negeri sebaliknya mengikut konsep sendiri dalam melindungi kepentingan Terengganu dalam industri minyak dan gas serta memaksimumkan penglibatan entiti di Terengganu dan industri itu.

Katanya, majlis tersebut turut menumpukan kepada hasrat untuk mengembalikan hak Terengganu selain pembahagian peluang perniagaan, pekerjaan, tanggungjawab sosial korporat, pembangunan modal insan dan keutamaan kepada rakyat negeri ini.

Thursday, August 10, 2017

JAMBATAN RM25 JUTA BAKAL DIBINA DI PASIR AKAR DENGAN DURIAN TELUR


BESUT, 10 Ogos (Bernama) -- Sebuah jambatan baharu bernilai RM25 juta bakal dibina di Hulu Besut bagi menggantikan jambatan Bailey yang telah berusia 25 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata jambatan itu menjadi penghubung utama lebih 500 penduduk di Kampung Durian Telur dengan Kampung Pasir Akar, di Hulu Besut.

Katanya, tender pembinaan jambatan sepanjang 150 meter yang merintangi Sungai Besut itu akan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui peruntukan kerajaan pusat.

"Jambatan Bailey dibina pada tahun 1992 ini hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa dan pengguna terpaksa mengikut giliran untuk menyeberanginya. Jambatan baharu yang akan dibina ini mempunyai kelebaran 2.4 meter dengan kemudahan dua lorong yang boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat termasuk lori dan bas, "katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Besut berkata pembinaan jambatan baharu itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun .

Tambahnya, pembinaan jambatan berkenaan diharap mampu membantu penduduk kampung dalam menjalankan pelbagai urusan harian kerana kebanyakan mereka adalah golongan petani yang mengusahakan penanaman padi organik, buah-buahan dan sayur-sayuran.



-- BERNAMA

Wednesday, August 9, 2017

15 PELAJAR DIREMAN TERBABIT KES BULI DUA PELAJAR



KUALA TERENGGANU: Seramai 15 pelajar sebuah kolej di Kuala Nerus, direman empat hari selepas dipercayai terbabit dalam kes buli dua pelajar junior, pagi semalam.




Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Roszita Md Saad, bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dijalankan terhadap mereka.



Semua suspek berusia 16 tahun dan 17 tahun ditahan pada kira-kira jam 8 malam, semalam selepas pihak polis memanggil penjaga menyerahkan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.



Media sebelum ini melaporkan, dua pelajar vokasional jurusan Teknologi Elektronik di Kuala Nerus cedera, dipercayai akibat dibelasah kira-kira 20 pelajar senior di asrama mereka, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.



Berikutan itu, seorang daripada pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, Ahmad Zikrill Azim, 16, yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan dua kali pengsan, manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.



Ahmad Zikrill terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila pengsan selepas disoal siasat polis berhubung kes terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.



Keluarga mangsa membuat laporan di IPD Kuala Terengganu kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Tuesday, August 8, 2017

DALAM MASA SATU MINGGU JUALAN BEBAS CUKAI TASIK KENYIR KUTIP RM450K

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Operasi Jualan Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir merekodkan kutipan hasil yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM450,284 dengan jumlah kedatangan pelancongan seramai 17,930 orang sejak mula beroperasi pada 1 Ogos sehingga 7 Ogos lepas.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata operasi yang berlangsung di Pengkalan Gawi itu menunjukkan satu daripada kejayaan pembangunan yang dijalankan di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

"Kementerian menyalurkan peruntukan kepada Ketengah untuk mengatur program mempromosikan Tasik Kenyir antaranya bekerjasama dengan pihak pelancongan Negeri Terengganu, melaksanakan Program Beautiful Terengganu, menjalankan promosi di luar negara, mengedarkan risalah dan juga menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Malah, Ismail Sabri berkata pembangunan yang dilakukan oleh Ketengah juga turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat termasuk membuka 832 peluang pekerjaan di sekitar Tasik Kenyir.....

Monday, August 7, 2017

SKIM INSURANS BERKELOMPOK NELAYAN AKAN DITAMBAHBAIK

DUNGUN, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membentuk jawatankuasa bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden bot karam sehingga menyebabkan empat nelayan hilang dalam kejadian Rabu lepas.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jawatankuasa itu akan dianggotai Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan syarikat insurans.

Katanya jawatankuasa itu juga akan mengkaji dan melakukan penambahbaikan terhadap Skim Insurans Berkelompok yang dicarum oleh nelayan menerusi elaun yang diterima mereka setiap bulan.

"Laporan itu kita akan dapatkan secepat mungkin untuk dibentangkan pada mesyuarat kabinet," katanya selepas menziarahi anggota keluarga mangsa bot karam di Kuala Dungun, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2 Ogos lepas, empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka ke jeti Kuala Dungun terbalik dipukul ombak dalam kejadian pada kira-kira 10 malam.

Sunday, August 6, 2017

MAHATHIR PAKSA ZAHID LETAK JAWATAN KETUA PEMUDA SELEPAS TAHAN ZAHID DI BAWAH ISA

SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan keyakinan beliau terhadap timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebalik apa yang dilihat sebagai cubaan seorang bekas pemimpin negara untuk melaga-lagakan mereka.

Mereka berdua telah bersama-sama mengharungi waktu susah dan senang sejak 1986, kata Najib yang merujuk kepada semasa beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum disertai Ahmad Zahid sebagai setiausaha politiknya.


Selain itu, Najib yang juga presiden UMNO berkata beliau dulu pernah membantu Ahmad Zahid mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bagan Datoh (kini Bagan Datuk).

"Sebab itu saya ingin beritahu anda bahawa pimpinan UMNO kukuh, yakinlah saya tetap yakin pada timbalan saya (Ahmad Zahid). Kita tidak usah fikir bab ini, banyak lagi yang perlu kita lakukan," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid pernah menemui beliau dalam cubaan menjatuhkan Najib dua tahun lalu.

Namun Ahmad Zahid, naib presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti rakaman bagi menangkis tuduhan itu.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memperkatakan tentang tindakan Dr Mahathir menggunakan kuasanya ketika menjadi perdana menteri apabila menahan Ahmad Zahid di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

"Bayangkan Ahmad Zahid yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia kena masuk ISA. Dia (Dr Mahathir) kemudian hantar dua SB (pegawai Cawangan Khas) pergi jumpa Ahmad Zahid dan beritahu kalau nak keluar daripada ISA lebih awal Ahmad Zahid perlu tandatangan surat letak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia...akhirnya dia tandatangan lepaskan jawatan," kata perdana menteri.

Najib seterusnya berkata Ahmad Zahid sekali lagi didatangi pegawai SB keesokannya dan memintanya menandatangan satu lagi surat bahawa dia meletak jawatan atas kerelaan hati.

"Ahmad Zahid ditekan ibarat pistol di letak pada kepalanya! sebab itu Ahmad Zahid tidak lupa! sebab itu tidak masuk akal dia jumpa Tun M minta sokongan untuk gulingkan saya. Ini satu fitnah sama sekali," tegas perdana menteri.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari.

Mengenai kehadirannya pada perasmian mesyuarat hari ini, Najib berkata beliau memilih Shah Alam daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor bagi menghantar satu mesej politik. iaitu sekiranya UMNO dan BN ingin mengubah landskap politik dengan kembali berkuasa di negeri itu, gelombang kuat harus bermula di kawasan Parlimen Shah Alam.

"Jangan sampai tiga kali (kecundang dalam cubaan kembali berkuasa di Selangor). Kali ini kita bangkit semula dengan kekuatan baharu, kita rampas Shah Alam dan Selangor� jadikan negeri ini milik UMNO dan BN," katanya.

Untuk tujuan itu, Najib berkata UMNO dan BN perlu menyusun strategi dan perancangan bersepadu untuk meyakinkan rakyat Selangor bahawa pentingnya mempunyai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan daripada parti yang sama.

Katanya, rakyat harus diperlihatkan bahawa kerajaan UMNO dan BN telah mencapai banyak kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sekiranya parti yang sama memerintah Selangor, negeri itu akan pesat membangun pada masa akan datang.

"Kita kena beritahu rakyat janji mudah, cakap mudah oleh pihak pembangkang murah nilainya, tetapi kestabilan politik dalam negara, keamanan dan keharmonian dibawa UMNO dan BN tinggi nilainya dan tidak boleh dipandang sepi," kata Najib.

Menurutnya, rakyat Selangor perlu mengetahui tentang kegagalan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat melaksanakan janji yang dibuat pada pilihan raya umum (PRU) lalu, seperti kegagalan menyediakan pendidikan percuma di negeri itu.

"Sebab itu kita akan sediakan manifesto PRU ke-14 untuk Selangor yang boleh dipercayai dan mampu dilaksanakan. Kita dah rasai keperitan jadi pembangkang dan kita nak tawar satu kerajaan lebih baik untuk rakyat Selangor," katanya.

Pada majlis sama, Najib mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada UMNO Bahagian Shah Alam untuk melaksanakan program kemasyarakatan di kawasan parlimen itu termasuk kemudahan surau, masjid dan aktiviti rumah ibadat bagi penganut agama lain.

-- BERNAMA

Saturday, August 5, 2017

SIAPA WANITA YANG BERTUAH MENJADI CALON?

KUALA BERANG, 5 Julai (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu hari ini bersetuju meletakkan calon wanita dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merangkap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbang cadangan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Fatimah Mamat.

"Kita juga akan turut mencadangkan beberapa calon daripada wanita untuk bertanding dan selebihnya kita akan serahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara berkenaan.

"Setakat ini, kita belum memutuskan jumlah calon wanita yang bakal diletakkan tapi insya-Allah kita akan segera membuat penilaian dan keputusan bagi calon yang layak," katanya pada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap ADUN Ajil Ghazali Taib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Hulu Terengganu Johari Abu Bakar.

Selain itu, Ahmad Razif turut melancarkan jentera Jalinan Rakyat bagi Parlimen Hulu Terengganu dalam persidangan yang dihadiri oleh 130 cawangan bahagian itu.

Beliau berkata konsep Jalinan Rakyat ini adalah untuk menggantikan konsep Ketua 10 (K10) yang diguna pakai dalam Pergerakan Wanita UMNO.

"Ia adalah pendekatan yang lebih strategik hubungan kerana konsep ini lebih rapat dalam menghubungkan diri dengan rakyat.

"Maka disebabkan pembaharuan ini, saya yakin UMNO Bahagian Hulu Terengganu mampu menang besar iaitu 5-0 (4 DUN 1 Parlimen) dalam pilihan raya kelak," katanya lagi.

Ulasan saya, nampaknya lapan ketua wanita bahagian dan lapan ketua puteri bahagian wajar dipertimbangkan sebagai calon. Soal berapa orang calon wanita bertanding di Terengganu tak perlu diambil kira satu orang pun okay tetapi sebaik baiknya dua orang satu mewakili wanita Umno dan satu lagi mewakili puteri Umno.

Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa calon yang boleh menang. Kalau boleh pilih calon wanita yang dapat bertanding di kawasan selamat tidak di Batu Buruk kubu kuat PAS seperti yang berlaku kepada bekas ketua puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie. 

Pilihlah kawasan selamat seperti Pengkalan Berangan yang mana Toh Puan Zaitun Mat Amin isteri Datuk Muda Mamat layak jadi calon mewakili wanita Umno di situ. Bagi calon puteri pula, terpulang kepada ketua puteri Umno Malaysia mahu calonkan ketua puteri bahagian mana sebagai calon BN.