Tuesday, April 18, 2017

TIDAK MUSTAHIL TAWAN DUN LADANG



Kuala Terengganu – Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas melihat sokongan yang diberikan rakyat terhadap beberapa program yang dijalankan pihak kerajaan kebelakangan ini.


“Saya lihat satu transformasi telah berlaku apabila setiap program yang kita jalankan dan mendapat sambutan di luar dugaan. Dan bila saya datang ke DUN Ladang ini, saya nampak satu semangat yang berbeza walaupun ada yang terpaksa menunggu sehingga dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zon 1 sempena Program MB Turun Padang di Dewan Sivik Pasir Panjang, di sini semalam.


Program Transformasi Orang Muda (TOM) yang dilancarkan kerajaan Terengganu sejak Februari tahun lalu berjaya memikat golongan muda untuk terus bersama menyokong aspirasi kerajaan.

Menteri Besar berkata program yang menekankan aspek pendidikan dan peluang pekerjaan nyata disambut baik dan golongan muda mula memahami usaha kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

"Hari ini saya meluangkan masa bersama golongan muda di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang dan mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana banyak sediakan program untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan dan kemajuan negara," katanya.

Ahmad Razif berkata, rata-rata rakyat terutamanya golongan muda sudah sedar akan permainan pembangkang yang hanya tahu bercakap tetapi gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Alhamdulillah, mereka gembira dengan program Transformasi Orang Muda (TOM) yang kita buat ini kerana meraka merasakan apa yang kita laksanakan memenuhi citarasa orang muda,” katanya.

Dalam masa yang sama, kepimpinan DUN Ladang turut melancarkan slogan ‘Wi Gok Skali’ yang bermaksud DUN Ladang dikembalikan kepada Barisan Nasional.

Ulasan saya, tidak mustahil DUN Ladang dapat ditawan semula kerana kerusi itu sebelum ini adalah milik BN melalui Datuk Abu Bakar Daud dan Datuk Roslan Awang Chik.

Sudah dua penggal PAS menang di Ladang melalui Tengku Hassan Tengku Omar bekas pegawai kewangan negeri. Jika PAS menang pada PRU 2004, Tengku Hassan yang jadi Setiausaha Kerajaan terengganu tetapi beliau dibersarakan selepas BN merampas kerajaan negeri pada PRU tersebut.

Pada tahun 2008 beliau bertanding di Ladang mengalahkan calon BN, Datuk Wan Hisham Wan Salleh Exco Kerajaan negeri dengan majoriti 31 undi. Tengku Hassan dapat 6,723 undi manakala Wan Hisham mendapat 6,692 undi.

Pada tahun 2013 Tengku Hassan menambah majoritinya dari 31 undi kepada 924 undi. Beliau mengalahkan adik Wan Hisham, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendapat 8, 142 undi. Tengku Hassan mendapat 9,066 undi.

MB yakin BN mampu tawan Ladang kali ini. Siapakah yang layak jadi calon BN? Mereka ialah Datuk Sabri Alwi seorang ahli perniagaan yang dikenali dengan panggilan Mat Kerok. Beliau adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang.

Selain itu, Badrol Hisham seorang ahli perniagaan juga naib ketua Umno bahagian. Seorang lagi ialah Asmadi seorang peguam yang juga Ketua penerangan Umno Bahagian. Jika mereka yang tidak terpilih sebagai calon bekerja kuat memenangkan calon maka Ladang mampu ditawan semula oleh BN.



No comments:

Post a Comment