Wednesday, April 26, 2017

SATU LAGI "SUCCESS STORY" ANAK TERENGGANU


KUALA LUMPUR: Pesilat Siti Rahmah Mohamed Nasir,30, merupakan satu lagi "success story" anak Terengganu apabila mencatat sejarah sebagai anak Terengganu pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.


Beliau dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan manakala atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaam pada majlis Anugerah Sukan Negara 2016 (ASN 2016) di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.


Abdul Latif, 20, melakar sejarah sebagai atlet kelainan upaya pertama dipilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000 masing-masing kepada Abdul Latif dan Siti Rahmah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pemilihannya diputuskan Jawatankuasa Pemilihan ASN 2016 berdasarkan kejayaan cemerlang atlet dari Perlis itu meraih pingat emas, sambil tiga kali memperbaiki rekod dunia dan juga rekod baharu Sukan Paralimpik.

Pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lepas, Abdul Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya iaitu 7.35 meter yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada 2015 manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol pada Sukan Paralimpik London 2012.

Di Rio, atlet dari Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Arau itu kali pertama mengatasi rekod dunia lamanya dengan catatan 7.47m pada percubaan kedua, diikuti 7.54m pada percubaan berikutnya sebelum memperbaikinya pada lompatan kelima pada jarak 7.60m.

Sementara itu, Siti Rahmah adalah pesilat berpengalaman dan sentiasa mempamerkan prestasi yang konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Pesilat dari Terengganu itu berjaya mencipta hatrik kemenangan dalam Kejuaraan Silat Dunia selepas memenangi edisi ke-17 di Bali, Indonesia, pada Disember tahun lepas.

Sepanjang tahun lepas, Siti Rahmah turut memenangi pingat emas di Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belanda dan Kejuaraan Silat Asia Tenggara di sini.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Siti Rahmah yang mengharumkan nama negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Beliau meraikan kemenangan Siti Rahmah yang diiringi ibunya di sebuah hotel di sini pada jam 11.50 malam tadi yang turut dihadiri oleh Presiden PESAKA, Tan Sri Ali Rustam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.



"Saya bangga dengan kejayaan berganda anak Terengganu. Minggu lepas "the pocket rocketman "Zulhasni Awang mengharumkan nama Terengganu di Hong Kong. Malam ini pula Siti Rahmah mencatat sejarah sebagai anak Terengganu pertama yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sejak anugerah itu diwujudkan 51 tahun lalu pada tahun 1966," kata Razif yang memotong kek meraikan kemenangan Siti Rahmah yang merupakan anak pemain bolasepak Terengganu, Mohamed Nasir Jalil.

No comments:

Post a Comment