Tuesday, April 11, 2017

KEKALKAH RAZIF DI DUN SEBERANG TAKIR?



KUALA NERUS: Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sudah menjadi ADUN Seberang Takir selama dua penggal sejak PRU2008. DUN Seberang Takir merupakan DUN yang paling selamat dalam parlimen Kuala Nerus.

Datuk Abdul Rashid Ngah tak pernah tewas di DUN Seberang Takir selama tujuh penggal dari tahun 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999. Ketika kerajaan BN tumbang di Terengganu pada tahun 1999, Seberang Takir tetap menang bersama tiga DUN lain, Telemong, Ajil dan Kemasik.

Rashid Ngah bersara pada tahun 2004 dan beliau beri peluang kepada adik iparnya Haji Shafian Ali bertanding. Haji Shafian  menang sepenggal sahaja apabila Razif pula dipilih sebagai calon pada PRU 2008. Abangnya Azmi digugurkan sebagai calon parlimen Kuala Nerus pada PRU tersebut. Untuk memujuk Azmi supaya tidak sabotaj calon BN, maka adiknya Razif dipilih bertanding di DUN Seberang Takir.

Razif pernah bertanding untuk jawatan pemuda bahagian tetapi beliau tewas. Selepas beliau jadi Exco baru beliau menang bertanding kerusi ketua bahagian pada tahun 2013 mengalahkan penyandang Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dan Datuk Rahin Mohd Said.

Selepas PRU 2008 yang menyaksikan krisis istana dengan menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Razif adalah ADUN pertama yang menyokong Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar baharu. Sebagai balasannya beliau dilantik sebagai Exco kanan oleh Ahmad Said.

Pada tahun 2014, beliau dilantik menteri besar baharu menggantikan Ahmad Said yang berjanji dengan Perdana Menteri untuk jadi menteri besar selama satu tahun sahaja kerana prestasi BN merosot 17-15 dalam PRU pada tahun 2013.

Sudah tiga tahun Razif menjadi menteri besar, beliau telah membuat pelbagai perubahan melalui Terengganu Transformasi Baharu (TTB). Kekalkah beliau sebagai menteri besar pada PRU akan datang? Nampaknya krisis beliau dengan istana sudah berakhir maka kemungkinan besar beliau kekal bertanding di Seberang Takir.

Namun demikian jika beliau ditarik bertanding kerusi parlimen, siapakah yang layak menggantikan beliau? Dua nama disebut sebut sebagai calon Seberang takir iaiatu bekas YB, Haji Shafian Ali dan pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Haji Shafian sebagai bekas ADUN sudah dikenali umum. Maka meletakkan beliau sebagai calon di kubu kuat BN itu tidak menjadi masalah. Cuma yang dipersoal sejauh mana beliau boleh menambah majoriti BN.

Pada PRU 2013, Razif Abd Rahman yang mendapat 7,731 undi menang dengan majoriti 1,510 undi mengalahkan dua calon dari PAS, Zakaria Dagang yang mendapat 6,221 undi dan calon PKR, Ahmad Nazri Mohd Yusof yang mendapat 73 undi.

Dapatkah Haji Shafian menambah majoriti? Manakala calon kedua ialah pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi.

Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad dilahirkan pada 23 Jun 1964 di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Ren. Keb. Seberang Takir dan seterusnya di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri. Pada tahun 1982 beliau telah memasuki Matrikulasi I dan II di Universiti Sains Malaysia. Pada Tahun 1984 beliau mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral dan menamatkan pengajiannya pada Tahun 1988.

Setelah tamat pengajian, beliau sempat bertugas di SEDC Kuala Terengganu selama 6 bulan di bahagian geologi dan carigali dan terlibat dengan penemuan emas di Rusila pada Tahun 1989. Setelah itu, beliau menyambung pelajarannya di University of Queensland, Brisbane, Australia pada Tahun 1989 hingga 1993 dan menerima Ph.D dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan pada Tahun 1994. Pada Tahun 1994 dan 1995 beliau berkhitmat sebagai pensyarah di Kampus Cawangan Kejuruteraan USM di Tronoh, Perak (yang kini telah diambilalih oleh Universiti Teknologi Petronas, UTP).

Pada November, 1995, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai pensyarah universiti dan memulakan syarikat latihannya sendiri iaitu MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. Beliau adalah Pengasas kepada kursus Motivasi Alihan Pelajar yang telah melahirkan lebih daripada 100,000 pelajar dan menjalankan kursus hampir setiap minggu sehingga ke hari ini. Beliau juga merupakan seorang 'Public Speaker' dan motivator yang sering diundang oleh pihak radio dan televisyen antaranya ialah TV1, TV3, TV9, NTV7, TV Bernama, Astro Awani, Astro Oasis dan TV Al-Hijrah.

Jika beliau dipilih sebagai calon menggantikan Razif, pengundi Seberang Takir bertuah kerana calonnya sudah dikenali di seluruh negara melalui kaca tv.








No comments:

Post a Comment