Wednesday, April 5, 2017

TERENGGANU NEGERI KETUJUH TANDATANGANI IKRAR BEBAS RASUAH







KUALA TERENGGANU, 5 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang permohonan dari mana-mana negeri yang diperintah pembangkang untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata walaupun ikrar itu hanyalah inisiatif untuk kerajaan negeri menunjukkan komitmen mereka memerangi rasuah, pihaknya sangat menggalakkan agar semua kerajaan negeri melaksanakannya.

"Ini hanya inisiatif kerajaan negeri masing-masing. SPRM tak pernah minta untuk semua negeri melakukannya. Kerajaan negeri datang kepada kita dan mohon saya hadir menyaksikan majlis tersebut.

"Kalau ada permohonan (dari negeri diperintah pembangkang), insya-Allah kita akan pergi. Memang kita galakkan semua negeri tersebut mengangkat ikrar ini untuk tunjuk keikhlasan dan ketulusan mereka membanteras rasuah, ia bergantung kepada kepimpinan tertinggi dalam negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan sembilan exco melafaz serta menandatangani ikrar itu di sini Rabu.



Terengganu adalah negeri ketujuh yang melafaz serta menandatangani IBR selepas Sarawak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri tidak sesekali akan berkompromi dan bertolak ansur dengan mana-mana salah laku membabitkan rasuah dalam kalangan pemimpin atau penjawat awam di negeri ini.

"Ini bersesuaian dengan prinsip keempat yang perlu diterjemahkan dalam Transformasi Terengganu Baharu iaitu Prinsip Integriti - bersih luaran dan dalaman.

"Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM apabila diperlukan. Setakat ini, Terengganu tidak ada apa-apa, alhamdulillah," katanya.

-- BERNAMA





No comments:

Post a Comment