KEMAMAN, 1 April (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memuji kejayaan kerajaan Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam misi membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara, semalam.
Beliau yang memantau misi tersebut meluahkan rasa lega apabila rundingan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan Korea Utara akhirnya selesai dan rakyat Malaysia dapat keluar dari negara itu dengan selamat.
"Sebagai Pangliman Angkatan Tentera, saya memantau dengan rapat misi tersebut, ia merupakan satu malam yang panjang. Tapi alhamdulillah kerajaan kita telah berjaya melakukan pimpinan yang baik hingga isu ini akhirnya selesai.
"Saya turut berbangga dengan kejayaan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pulang semua rakyat kita yang terkandas di negara itu dengan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-37 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kemaman di sini Sabtu.
Turut hadir, Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Kemaman, Mejar (B) Datuk Mohamed Awang.
Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara ekoran krisis diplomatik antara kedua-dua negara itu selamat tiba di tanah air semalam.
Mereka diterbangkan dengan pesawat Bombardier Global Express milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang dipandu juruterbang (TUDM), Pegawai Memerintah Dua Skuadron TUDM, Leftenan Kolonel Hasrizan Kamis.
Sebelum ini hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas.
Susulan itu Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Raja Mohamed Affandi menyeru agar lebih banyak majikan di negara ini mengambil pesara tentera bekerja dengan mereka memandangkan kudrat dan tenaga mereka masih diperlukan dalam banyak sektor pekerjaan.
"Mereka adalah pasukan yang tersedia yang mempunyai daya tahan, taat setia dan kudrat untuk menyumbang kepada masyarakat. Ada di antara mereka yang masih boleh membawa kenderaan berat atau pun terlibat dalam sektor keselamatan," katanya.
Katanya mana-mana majikan yang berminat untuk mengambil mereka bekerja boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Veteran.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment