Kira-kira lebih 30 tahun yang lalu datang ke Chukai Kemaman, menaiki bot nelayan dari Terengganu untuk mencari penghidupan baru.
Biarpun terpaksa mengharungi badai gelombang di tengah lautan, dia yang baru berusia 15 tahun waktu itu nekad bahawa di hujung sana ada negeri lain yang boleh memberi suatu sinar baru bagi kehidupannya yang sunyi di pulau yang bersetentangan bandar Chukai Kemaman di tengah-tengah Laut China Selatan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Namun, pulau tempat asalnya itu, Seluan (antara pulau yang terdapat dalam gugusan Natuna) adalah di bawah jajahan takluk Indonesia, meskipun hatinya begitu mencintai Malaysia dan sebuah negeri yang bernama Terengganu.
Kini cintanya kepada Terengganu, Malaysia menjadi kenyataan apabila bersuamikan Kamaruzan awal 50 an, orang Kemaman Terengganu.
Cintanya kepada Kamaruzan adalah cintanya juga kepada Terengganu, malah beliau sebelum ini beberapa kali sanggup 48 jam bertarung dengan gelombang di lautan demi kasih sayangnya pada Kamaruzan lelaki Kemaman yang berjaya mencuri hatinya.
Zuriat pertama yang dilahirkan hasil percintaan suci Teni-Kamaruzan diberi nama Deby Marindo (kini menetap di Selangor).
Deby yang kini telah berusia lewat 20an dilahirkan di kampung halaman ibunya Teni di Pulau Seluan, Natuna.
Ini kerana sebaik sahaja mengandung tiga bulan, Teni menjadi terlalu rindu kepada orang tuanya di pulau Seluang, Natuna.
Beliau pada tahun 1986 sewaktu mengandung tiga bulan bersama ibubapa yang menaiki bot nelayan ke Chukai Kemaman pulang ke Seluan menumpang bot nelayan Kemaman yang pergi ke sana, dengan harapan suaminya datang mengambilnya kembali setelah pulang untuk melawat kampung asalnya.
(Sebelum itu ayah dan ibu yang rindukan anaknya Teni itu sanggup datang ke Chukai, juga dengan menumpang bot nelayan).
Akhirnya dia melahirkan anak sulung, yang dinamakan Deby itu tanpa suami di sini. Dua tahun kepulangannya semula ke Pulau Seluan Natuna, itu tanpa khabar berita tentang suaminya.
“Bagi Teni, Teni fikir sebenarnya sudah berpisah, tiada harapan lagi dan biarlah Teni kembali bersendiri bersama anak hasil perkahwinan sahnya dengan Kamaruzan,” katanya mengenang peristiwa pilu dalam hidupnya yang lalu itu.
Tanpa di duga, suatu hari dia menerima sepucuk surat yang disampaikan oleh seorang nelayan Kemaman yang datang ke pulau itu yang kebetulan kawan suaminya dengan disertakan lukisan wajah berairmata, yakni orang dalam kesedihan dan derita.
Lalu dia berpesan kepada kawan suaminya itu, bahawa dia juga masih mencintai dan mengingati suaminya dan menunggu biarpun berapa lama sekalipun.
Kawan kepada suaminya itu kembali ke Kemaman membawa khabar itu kepada Kamaruzan, suami Teni yang berada di Chukai Kemaman.
Lantas Kamaruzan mengambil keputusan nekad menaiki bot nelayan dari Kemaman itu terus ke pulau Seluan, Natuna untuk membawa pulang kembali Teni ke Chukai Kemaman, termasuklah anak mereka, Deby Marindo yang dilahirkan oleh Teni di pulau itu.
Teni yang pernah bekerja di Kampung Air, Kemaman kini bersama Kamaruzan dan anak serta cucunya begitu bahagia sekali.
Teni ketika ditemubual Pengarang yang membongkarkan hubungan Kepulauan Natuna dengan nelayan Kemaman ini menyatakan, baginya Natuna dan Terengganu adalah sebahagian dari sejarah kehidupannya.
Kisah ini penulis abadikan bagi menggambarkan betapa eratnya hubungan penduduk Chukai, Kemaman, khususnya nelayan dengan kepulauan itu.
Hubungan dua tempat yang berlainan pemerintah itu adalah suatu kenyataan bukannya fantasi.
Natuna ke Anambas??
ReplyDelete