Friday, April 7, 2017

TERENGGANU LANCAR JAGUNG MANIS YANG LEBIH BERKUALITI








SETIU, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terenggganu memperuntukkan RM150,000 bagi pembangunan tanaman jagung manis atau 'Jagung Manis Terengganu' melibatkan kawasan tanaman seluas 39 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata projek yang melibatkan 81 petani itu dijangka mampu mengeluarkan jagung jenis baharu itu sehingga 1.56 juta tongkol tahun ini.

"Bagi menjamin mutu dan kualiti jagung manis dwiwarna itu, Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran benih jagung tersebut untuk dibekalkan kepada petani.

"Sasaran kita ialah pengusaha yang berpotensi terlibat dalam projek pembangunan jagung manis dwiwarna itu seperti usahawan, penanam jagung sedia ada, belia dan petani berkelompok," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tanaman Jagung Manis Negeri Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.

Beliau berkata, melalui penanaman jagung manis jenis baharu itu permintaan terhadapnya dijangka akan meningkat dan membolehkan lebih ramai petani termasuk golongan belia menceburi projek berkenaan.

Muhammad Pehimi berkata, jagung tersebut lebih berkualiti daripada yang sedia ada, malah dijangka harganya juga akan meningkat 20 peratus lebih tinggi daripada jagung manis sedia ada di pasaran.

"Sebagai contoh, jika jagung biasa harga ladang dijual 80 sen setongkol tetapi jagung ini dijual lebih 20 peratus menjadikannya RM1 setongkol sekali gus akan memberi keuntungan kepada petani melalui peningkatan pendapatan jualan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi pengeluaran jagung manis biasa pada tahun lepas, Terengganu menghasilkan 11.62 juta tongkol jagung bernilai RM9.3 juta melibatkan 559 petani dengan keluasan kawasan tanaman jagung 331.8 hektar.

Benih Jagung Manis Terengganu, merupakan satu-satunya benih yang tidak terdapat di tempat lain malah pokoknya lebih lasak dan boleh dituai dalam tempoh 68 hari serta ditanam dalam empat musim bergantung kepada cuaca, katanya.

-- BERNAMA






No comments:

Post a Comment