Saturday, April 1, 2017

TBW BERJAYA PERKENALKAN TERENGGANU SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

KUALA NERUS, 1 April (Bernama) -- Kejayaan Program Konvoi Muhibbah Terengganu Bike Week 2017 dilihat sebagai perintis kepada lebih banyak aktiviti permotoran seterusnya menjadikan Terengganu sebagai hub sukan itu di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sejak dianjurkan pada 2012, jumlah penyertaannya sentiasa bertambah dan secara tidak langsung berjaya memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.


"Kerajaan negeri ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya buat Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggung Raja untuk program ini. Ia merupakan antara program himpunan permotoran terbesar di negeri ini.

"Tahun ini adalah paling tinggi penyertaannya iaitu seramai 3,000 orang dan telah menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017.

"Kita harap ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana impaknya sangat tinggi, sangat positif kepada rakyat terutama yang terlibat dalam perniagaan dan industri pelancongan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program tersebut di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, Rabu.

Turut hadir ialah Presiden PGPNT, Tengku Sri Temenggung Raja Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud; dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Terengganu Bike Week 2017 kali keenam itu bermula 27 Mac lalu dan turut menghimpunkan peserta dari luar negara termasuk Brunei, Singapura dan Thailand.

Ia dianjurkan Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT).

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga bersedia menaiktaraf kemudahan litar sedia ada di Gong Badak ketika ini.

No comments:

Post a Comment