Saturday, April 8, 2017

SEMUA YB KENA TURUN PADANG TERANGKAN TN50



BESUT, 8 April (Bernama) -- Kesemua wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan di Terengganu perlu memperhebat aktiviti turun padang untuk menjelaskan aspirasi pelan induk Transformasi Nasional 2050 (TN50) kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata ia bagi memastikan dasar kerajaan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dapat difahami dan dihayati terus oleh rakyat.

Beliau berkata semua idea, harapan dan saranan daripada rakyat terutama golongan muda perlu diberi perhatian dan disimpan sebagai rujukan bagi membuat perancangan serta pembangunan yang lebih tepat kepada golongan sasar.

"Inilah keistimewaan TN50 kerana rakyat berpeluang menyuarakan pendapat dan kemahuan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Konvoi TN50 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil yang dihadiri lebih 150 anggota Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam tadi.

Ghazali berkata: "Melalui pendekatan turun padang TN50 ini, kita faham apa aspirasi rakyat dan tahu kehendak mereka. Jika mereka mahukan pertanian, laksanakan projek pertanian di tempat mereka. Jika mereka nelayan, laksanakan projek berkaitan industri akuakultur untuk mereka.

"Janganlah kita buat kilang elektronik pula. Sebab itu aktiviti turun padang perlu diperhebatkan lagi supaya lebih banyak input diperoleh kerajaan untuk merancang pelan tindakan yang perlu," katanya.

Ghazali berkata semua cadangan yang dikemukakan dalam sesi soal jawab TN50 itu akan dimaklumkan kepada Unit Perancang Ekonomi agar mendapat perhatian jabatan dan agensi yang bertanggungjawab.

"Sudah pasti semua idea ini akan diperincikan oleh wakil rakyat masing-masing seterusnya akan direalisasikan mengikut keperluan dan kesesuaian masa, lokasi serta keupayaan kewangan," katanya.

Antara topik yang dibangkitkan peserta program itu adalah pengangguran, pusat pendidikan, keusahawanan dan kebajikan rakyat di kawasan DUN Ajil serta persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA











No comments:

Post a Comment