Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri mahu lebih banyak tumpuan dan promosi pelancongan terhadap kawasan sekitar pusat bandar selaras identiti Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Pesisir Air.
"Bermula dari Dataran Shahbandar, Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam dan Pulau Duyung, saya mahu lebih banyak pencahayaan dibuat pada waktu malam dan boleh juga kaji kemungkinan menggunakan tenaga solar sebagai sumber alternatif untuk tujuan itu.
"Mana-mana syarikat atau GLC dialu-alukan menaja pencahayaan di lokasi strategik yang mereka gemari dan secara tidak langsung, itu juga satu promosi untuk syarikat dan perniagaan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Duyung di sini hari ini.
Seramai 60 peniaga kecil terlibat dalam festival itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di mana keunikan festival tersebut ialah perniagaan dijalankan di atas jeti.
Selain itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin mempromosi dan memartabatkan seni warisan Terengganu sebagai daya tarikan pelancong ke negeri itu.
Menurutnya, usaha pemilik Galeri Seni Duyung sangat dihargai kerana penganjuran begitu banyak aktiviti sepanjang tiga hari memberi peluang dan banyak manfaat kepada rakyat terutama golongan usahawan dan penggiat seni tempatan.
"Sehubungan itu, saya mahu festival ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar datang ke sini melihat keunikan festival ini," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment