Monday, April 3, 2017

SULTAN TERENGGANU BERKENAN RASMI PECAH TANAH MAYANG MALL

KUALA TERENGGANU, 3 April (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berkenan merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan pusat beli-belah Mayang Mall di Kampung Ladang, di sini.


 

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) Datuk Kamalul Arifin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd (Sogo) Toh Peng Koon dan barisan Exco negeri Terengganu.

Projek Mayang Mall di tapak seluas 715,000 kaki persegi membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi pusat beli-belah enam tingkat dan servis apartmen 15 tingkat manakala fasa kedua pembinaan hotel 16 tingkat.

PHB selaku pemaju utama projek itu turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Sogo yang dilantik sebagai penyewa utama pusat beli-belah itu yang dijangka siap pada 2020.

Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, pembinaan Mayang Mall bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri ini menerusi penyediaan 3,000 peluang kerja apabila pusat beli-belah itu beroperasi.

"Di samping itu, kita turut menjangkakan impak positif bagi para peniaga dan mereka yang menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan hiliran, melalui limpahan aktiviti ekonomi yang dijana melalui projek Mayang Mall," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment