Friday, April 14, 2017

PPR BUKIT NANAS DITUNGGU TUNGGU 7,000 PENDUDUK TEPOH

KUALA NERUS, 14 April (Bernama) -- Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh di sini yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini, memang ditunggu-tunggu penduduk 10 buah kampung di kawasan itu.

Pegawai Pembangunan Kuala Nerus Datuk Basir Ismail berkata setiap kali beliau turun padang ke kampung berkenaan untuk bermesyuarat dan bertemu orang kampung, mereka sentiasa bertanya bila projek itu akan dilaksanakan.

"Apabila mengetahui perdana menteri akan merasmikannya esok... ia bagaikan isyarat bahawa rakyat akan menikmati kemudahan perumahan seperti yang dirancang kerajaan sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini berhubung lawatan Najib ke Tepoh.



Perdana menteri akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Terengganu bermula esok.

Basir berkata lawatan yang julung kalinya oleh pemimpin nombor satu negara itu ke Tepoh memang ditunggu-tunggu oleh kira-kira 7,000 penduduk terbabit dan mereka mula bergotong-royong membersih kawasan sejak minggu lalu.

"Projek PPR ini mempunyai enam buah blok bangunan setinggi empat tingkat dengan 500 unit rumah. Turut disediakan ialah pusat perniagaan komersial yang memberi peluang kepada penduduk setempat berniaga.

"Setakat ini, sebanyak 7,000 permohonan telah diterima daripada seluruh Parlimen Kuala Nerus dan ia akan diteliti sebaiknya bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak mendapatnya," katanya.

Basir berkata sebagai individu yang sentiasa bersama masyarakat setempat, beliau amat memahami kehendak mereka yang mahu tinggal di rumah sendiri dan kesediaan kerajaan negeri dan persekutuan mengadakan projek PPR tersebut adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

Katanya projek PPR itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan pemaju telah mendapat kelulusan pelan untuk melaksanakan projek itu.

Menurutnya projek itu menjadi keutamaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdasarkan keperluan penduduk.

Pada 23 Mei tahun lepas, Najib merasmikan Projek Akuapolitan Kuala Nerus khusus untuk manfaat golongan nelayan.

Projek yang dijangka siap pada 2020 itu menempatkan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan dan restoran yang mampu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup nelayan yang berdepan kekurangan hasil laut dan masalah "permainan harga oleh orang tengah".

Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk projek itu bagi melakukan transformasi dan mengubah nasib nelayan di kawasan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment