Saturday, April 22, 2017

LEBIH TUJUH DEKAD UMNO MEWARNAI POLITIK NEGARA


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


11 Mei 2017 bakal menyaksikan UMNO akan menyambut  ulang tahun yang Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Baru-baru ini dikhabarkan juga bahawa ulang tahun kali ini akan mencatat sejarah sebagai acara sambutan ulang tahun terbesar dalam sejarah parti.Dan dijangkakan seramai 200 ribu ahli UMNO akan mengambil bahagian dalam perayaan kali ini.

Tidak salah untuk menyambut  ulang tahun secara besar-besaran, apatah lagi , sejak penubuhan parti keramat ini, UMNO sentiasa memainkan peranan penting  dalam pemerintahan negara dan telah melalui pelbagai ranjau dan duri. Namun perlu diigatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya jangan lalai dan hilang fokus perjuangan  apabila meraikan sesuatu itu dengan begitu gah.

Beberapa tahun yang lalu, Najib Tun Razak pernah mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya sentiasa bermuhasabah diri dan melakukan usaha untuk penambahbaikkan  agar parti UMNO akan terus relevan. Inilah nasihat yang sebaik-baiknya bagi ahli-ahli UMNO dan juga para pemimpinnya.

Bahkan beliau pernah menjelaskan lagi bahawa  kesetiaan ahli-ahli Umno yang digabung  dengan kemahiran mengikuti peredaran zaman dan keupayaan intelektual merupakan  elemen  utama untuk memastikan parti keramat ini lebih unggul dan gagah pada masa hadapan.

Penulis juga tertarik dengan kenyataan Presiden UMNO dalam menegaskan betapa pentingnya sifat kesederhanaan untuk terus memenangi hati rakyat Malaysia. Daam temubual yang disiarkan oleh salah satu stesen televisyen pada tahun lepas, Najib menegaskan bahawa selain mengamalkan dasar yang sederhana, UMNO terus  mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, dan akan terus  membawa pembangunan dan  perubahan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Jika nasihat dan saranan ini terus dipraktikkan oleh ahli-ahli UMNO, maka UMNO akan sentiasa relevan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.Namun begitu, apa yang lebih penting ialah ahli ahli UMNO mestilah bersedia untuk  bekerja dengan lebih kuat lagi.


Itu sebabnya  cabaran terhadap kemimpinan UMNO dan Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya akan datang jangan dianggap mudah. Biarpun pihak pembangkang tidak sehebat mana dengan pelbagai masalah yang melanda, namun ahli-ahli UMNO jangan lalai dengan kelemahan yang ada pada pihak pembangkang. Ini disebakan kuasa yang ada pada rakyat boleh mengubah segalanya.

Statistik menunjukkan bahawa 198 daripada 222 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-11 merosot kepada 140 kerusi pada 2008 dan menurun kepada 134 kerusi pada 2013 sebelum tinggal 132 kerusi pada masa ini selepas Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal , Ahli parlimen Semporna meninggalkan parti itu.

Jika cabaran ini tidak disahut maka jangan terkejut jika angka kerusi Parlimen BN akan terus merosot. Itu sebabnya, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan berulang kali betapa pentingnya UMNO sebagai sebuah parti yang menunjangi kerajaan perlu sentiasa berusaha dan menjelaskan kepada rakyat , bahawa agenda utama kerajaan pimpinan BN ialah untuk terus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Dan salah satu cara untuk menyampaikan usaha ini ialah dengan menguasai ruang siber. Ini bukanlah satu isu baru dan Zahid Hamidi telah mengingatkan kepada semua anggota sayap UMNO supaya menggunakan dengan bijak dan sebaik baiknya ruang siber untuk melawan dan menangkis serangan fitnah dan tohmahan daripada musuh UMNO.

Usia 71 tahun merupakan satu usia yang kaya dengan pengalaman dan kematangan dalam menangani pelbagai isu. Dan dengan berbekalkan segala kematangan dan pengalaman itu, maka UMNO mesti terus membuktikan kepada rakyat Malaysia  bahawa parti keramat ini merupakan sebagai sebuah parti yang terus relevan , utuh dan gagah dalam menunjangi kerajaan hari ini.

No comments:

Post a Comment