Monday, May 8, 2017

ZAKARI ALI PESERTA FELCRA YANG BERJAYA

KUALA BERANG: Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu, Zakari Ali meninggal dunia petang semalam kerana menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Beliau, 63 tahun, merupakan peserta rancangan tanah belia (RTB) FELCRA Bukit Kapah, Hulu Terengganu yang dibuka pada tahun 1975. Berasal dari Buluh Gading, Kuala Nerus, beliau berpindah ke Bukit Kapah apabila dipilih menjadi peserta tanah belia FELCRA yang jauh dari kampung halamannya.

Arwah Zakari mengenali ayah saya, Haji Saidi ketika beliau menjadi penyelia kanan FELCRA Sungai Dura pada tahun 1975. Apabila saya bekerja sebagai pegawai pembangunan peserta FELCRA pada tahun 1980 saya pernah menganjurkan kursus kepada peserta FELCRA Bukit Kapah. Apabila beliau mengetahui bahawa saya anak Haji Saidi, beliau rapat dengan saya sampailah hari ini. Setiap kali saya menemuinya di Restoran Nagas beliau selalu bertanya mengenai ayah, emak dan adik beradik saya yang dibesarkan di Kuala Berang.

Arwah Zakari adalah peserta tanah belia FELCRA yang berjaya bukan sahaja sebagai peserta yang dikurniakan ladang kelapa sawit seluas 10 ekar malah beliau berjaya sebagai ahli perniagaan. Beliau buka kedai emas di bandar Kuala Berang dan akhirnya berkecimpung dalam politik.

Beliau menang bertanding jawatan ketua pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu pada tahun 1988 seangkatan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Bulan lepas ketika merasmikan pecah tanah PPR Bukit Nanas di Kuala Nerus, Perdana Menteri sempat menziarahi Zakari yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau memang rapat dengan Najib. Pernah seorang ahli parlimen yang mempunyai masalah, telah menghantar Zakari supaya memberitahu Najib supaya selesaikan kesnya. Najib yang enggan campurtangan dengan kes ahli parlimen tersebut bertanya kepada Zakari, "you nak I tolong you ke atau you nak I tolong kawan you?"

Ugutan Najib itu bermakna beliau tidak mahu peduli kes ahli parlimen tersebut kerana Najib mahu persahabatan dengan Zakari berkekalan. Pada PRU 13, nama Zakari turut disebut sebut sebagai bakal calon DUN Telemong tetapi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu Datuk Rozi Mamat kekal di Telemong. Memang tiada rezeki Zakari untuk jadi YB kerana beliau dianggap sebagai orang Datuk Seri Idris Jusoh.

Di zaman Idris jadi Menteri Besar, syarikat  yang mana Zakari jadi pengerusi milik arwah Datuk Mahazan mendapat projek menaik taraf Pupuk Semangat Terengganu di Teluk Kalung bernilai RM200 juta.

Zakari Ali telah membuktikan bahawa sebagai peserta FELCRA, ia bukan penghalang untuk menjadi seorang kontraktor yang berjaya. Syabas kepada beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah buat Zakari Ali.

No comments:

Post a Comment