Saturday, May 20, 2017

USAHAWAN KUIH BAKUL DIPILIH IKON BELIA TERENGGANU 2017





KUALA BERANG, 20 Mei (Bernama) -- Usahawan kuih bakul yang merupakan orang kurang upaya, Haziqah Nurul Huda Harun, 21, diangkat menjadi Ikon Belia Negeri Terengganu 2017 pada Hari Belia Negeri Terengganu.

Haziqah atau nama mesranya 'Yaya' berterima kasih dengan angerah yang diberikan kepadanya dan ia menjadi kenangan manis dalam hidupnya.

"Alhamdulillah walaupun saya tidak seperti orang lain, saya tidak menjadikannya sebagai satu penghalang untuk saya mengecapi impian seperti orang lain," katanya di sini hari ini.

Beliau kini berhasrat mengembangkan lagi bisnesnya ke peringkat tertinggi dan ingin mempunyai pekerja tetap kerana tempahan diterima sentiasa meningkat terutamanya menjelang Tahun Baru Cina.

Dua lagi ikon Belia Negeri ialah Nor Ardillan Syah Abdullah, 37, usahawan memproses kitar semula sabut kelapa dan Mohd Saifullah Che Ghani, 28, usahawan pelancongan desa dan ketiga-tiga mereka membawa pulang sijil penghargaan dan wang ringgit.

Bagi Anugerah Pertubuhan Belia, dimenangi Persatuan Belia Setia Pakat yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 dan trofi serta sijil penghargaan.

Anugerah dan hadiah berkenaan disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat dan Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Dalam sidang medianya Ahmad Razif berkata peruntukan Dana Raya akan ditambah sebanyak RM20 juta tahun ini iaitu daripada RM70 juta kepada RM90 juta.

Tambah beliau, ini adalah satu cara kerajaan negeri membantu dan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Objektif kerajaan tahun ini juga untuk menangani kos sara hidup dan dana berkenaan akan mula diagihkan secara berperingkat bermula minggu pertama puasa nanti. Kita yakin, kebanyakan penerima dana ini tidak akan belanja luar dari negeri dan ia akan menjadi satu kartalis dalam menggerakkan ekonomi setempat.

"Kerajaan negeri juga bakal membuka makmal belia di setiap daerah bermula tahun depan untuk melaksanakan program yang lebih bersifat kerakyatan.

"Berdasarkan konsep kerajaan kita yang inklusif iaitu rakyat boleh membantu kita memberi idea dalam mengurangkan kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan dan perumahan melalui makmal ini," katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata cetusan idea-idea berkenaan akan membantu kerajaan negeri dalam merangka sasaran bajet 2018 dan menjadi manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

--BERNAMA



No comments:

Post a Comment