Thursday, May 25, 2017

TDM SASAR 52,000 HEKTAR LADANG KELAPA SAWIT

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, menyasarkan pemilikan seluas 52,000 hektar ladang kelapa sawit di negeri ini menjelang 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan TDM Datuk Mohamat Muda berkata setakat kini, TDM memiliki 33,000 hektar dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut menerusi pelbagai usaha komprehensif dan perancangan yang dilakukan.

"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan bersedia untuk mengusahakan kawasan kita di negeri ini, " katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali ke-52 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di sini semalam.


Mohamat berkata TDM akan terus memberi perhatian kepada sektor perladangan di Kalimantan, Indonesia dan berusaha untuk memperoleh keuntungan seperti yang dikecapi di kawasan lain.

TDM yang ditubuhkan pada 1965, telah mengembangkan perniagaannya di Kalimantan sejak 2007.

Bahagian perladangan TDM iaitu TDM Plantation Sdn Bhd menguruskan 12 ladang kelapa sawit dan dua buah kilang yang terletak di Sungai Tong dan Kemaman, dan kesemuanya telah memperoleh sijil RSPO.

RSPO menyediakan kerangka yang paling sesuai dengan mengambil kira ciri-ciri ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam pembangunan dan pengurusan ladang serta kilang.

Sementara itu, Pengerusi TDM Berhad, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar mengumumkan hasil pendapatan kumpulan bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2017 yang meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM113.9 juta berbanding RM97.5 juta dalam tempoh sama pada 2016.

Manakala keuntungan bersih dicatatkan sebanyak RM22.5 juta, berbanding kerugian bersih sebanyak RM2.9 juta pada tahun sebelumnya .

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment