Wednesday, May 3, 2017

BAGAIMANA NASIB IDRIS JUSOH DI BESUT?

JERTEH: Adakah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kekal di parlimen Besut? Ada yang mengatakan bahawa beliau tidak berminat bertanding lagi setelah tidak menjadi ketua Umno Bahagian Besut pada tahun 2013.

Pada tahun tersebut, beliau dicabar oleh Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad proksi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Maka beliau tarik diri dan beri laluan kepada Datuk Pehemi Yusof menentang Nawi.

Pehemi tarik diri menyebabkan Nawi menang tanpa bertanding. Pehemi menawarkan diri bertanding timbalan ketua bahagian mengisi tempat Nawi dan Idris terpaksa berundur mengambil tempat Pehemi sebagai naib ketua bahagian untuk mengelakkan perpecahan di kalangan ahli Umno Bahagian Besut.

Walau pun beliau adalah ahli majlis tertinggi Umno di peringkat pusat tetai di peringkat bahagian beliau berkorban dan menjadi orang nombor tiga.

Ada yang berpendapat bahawa Idris akan kekal di parlimen Besut kerana kecemerlangan beliau di kementerian pengajian tinggi menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  masih memerlukan perkhidmatan beliau.

Idris menjadi ahli parlimen Besut pada tahun 1995 dan dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan. Beliau kalah bertanding di DUN Jerteh pada tahun 1999. Pada tahun 2004 beliau selaku Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu  yang mengetuai gelombang biru berjaya menawan semula Terengganu dan beliau yang menang di DUN Jerteh  dilantik Menteri Besar Terengganu.

Pada tahun 2008 beliau kekal di DUN Jerteh tetapi tidak dilantik semula Menteri Besar. Pada tahun 2013 beliau bertukar ke parlimen Besut dan dilantik Menteri Pengajian Tinggi. Bagaimana nasib Idris pada PRU akan datang?

Jika beliau bersara dari politik, siapakah yang akan menggantikan beliau di parlimen Besut? Khabarnya ketua bahagian, Nawi Mohamad paling layak untuk bertanding di parlimen Besut selaku kedudukannya sebagai ketua bahagian dan Exco Kerajaan Negeri.

Manakala satu nama lagi yang layak bertanding di parlimen Besut ialah pegawai kebudayaan dan kesenian di Kuala Lumpur, Zahari Mat. Nama Nawi dan Zahari menjadi pilihan utama jika Idris tidak bertanding semula. Namun demikian jika Idris kekal di parlimen Besut beliau tetap menang kerana jasa beliau membangunkan Besut masih diingati penduduk Besut.






No comments:

Post a Comment