Saturday, May 6, 2017
UMT ANJUR 36 PROGRAM WOW
KUALA NERUS, 6 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan 36 program sempena Sambutan Hari Lautan Sedunia (WOW) bermula 31 Mac hingga 13 Julai depan.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar berkata kesemua aktiviti tersebut melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah dan komuniti setempat bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan laut dan khazanah marin negara.
"Hari ini, adalah pertandingan akhir bicara berirama peringkat kebangsaan sempena WOW 2017 yang melibatkan penyertaan sekolah berasrama penuh dari seluruh negara.
"Pertandingan berbahasa Inggeris ini bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa generasi muda Malaysia sangat peka dengan perkembangan semasa yang berlaku terhadap alam sekitar akibat perbuatan manusia itu sendiri dan mahu mesej ini diambil peduli oleh pihak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan akhir bicara berirama peringkat kebangsaan sempena WOW 2017 di sini hari ini.
Nor Aeini berkata UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan kajian dan penyelidikan mengenai sains marin dan kelautan akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pengurusan sumber alam itu secara lebih lestari.
"Pemuliharaan laut ini telah menjadi satu topik yang sangat penting untuk dibincangkan dan UMT berasa bertuah kerana banyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa.
"Kita perlu menguruskannya secara mampan agar laut dan hidupan yang terdapat di dalamnya terus mampu diwariskan pada generasi akan datang. Sebab itu UMT sebagai universiti paling rapat dengan komuniti pantai, berasa terpanggil untuk terus memainkan peranan dalam perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment