KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini mengumumkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 seorang.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata kadar nilaian wang tunai itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred super tempatan di pasaran.
"Kadar zakat fitrah ini ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 18 Mei lalu.
"Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Tahun lepas MAIDAM juga menetapkan kadar yang sama dan bagi melancarkan kutipan zakat pada tahun ini MAIDAM telah melantik 1,038 amil yang ditempatkan di beberapa lokasi terutamanya di masjid dan surau seluruh Terengganu.
Shaikh Harun berkata selain itu, orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat MAIDAM dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja biasa dan pada minggu terakhir Ramadan, kaunter ini akan dibuka tujuh hari seminggu.
"Sukacita juga saya mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah atau zakat yang lain kepada orang selain MAIDAM atau wakilnya. Ini telah termaktub dalam Seksyen 20 (b) dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.
Shaikh Harun berkata pada tahun 2016, Maidam berjaya memungut fitrah sebanyak RM6.037 juta dan ia menyumbang kepada 4.5 peratus dari jumlah keseluruhan pungutan zakat di Terengganu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment